Dengan Tinta: Surat Kuasa
Surat kuasa daripada pihak berkuasa Jepun yang diberikan kepada Dato’ Onn itu ternyata banyak sekali gunanya. Surat itu seolah-olah seperti memiliki suatu kekuatan mistis, bertindak sebagai pelindung, malah seperti ada kekuasaan tangkal yang berupaya menghalau mana-mana askar Jepun untuk lari lintang-pukang sebaik ternampak akan selembar kertas itu. Seperti terkena jampi serapah atau sumpah teluh yang maha dahsyat langsung mereka akan menggigil-gigil sebelum mengangkat langkah seribu, sedangkan para lasykar-lasykar pendek bermata sepet itu sebelumnya kelihatan begitu ganas bukan main berani sekali.
Pernah sekali, saya baru sahaja habis sembahyang maghrib dengan Pak Mid, Nadzreen, dan beberapa lagi para pelarian yang tampaknya sudah semakin ramai mahu mengikut berjemaah, dan kedengaran susup-sasap langkahan kaki seseorang yang berlari laju sekali meredah gelap malam. Bunyinya memijak ranting-ranting kayu yang patah, bergeselan dengan dahan-dahan pepohon yang kasar, menghentak daun-daun kering yang rangup, sungguh jelas walaupun kelibatnya tak kelihatan. Malahan seolah-olah dapat kedengaran, di antara sela-sela bacaan doa oleh Pak Mid, akan desis nafasnya yang tercungap-cungap. Antara saya dan Nadzreen langsung saling memandang penuh curiga. Dada saya juga berdegup kencang. Tetapi kami tidak berkata apa-apa memandangkan masing-masing masih menadah tangan menghormati doa yang dibacakan oleh Pak Mid. Seusai doa, Pak Mid yang tidak perasan apa-apa ingin melanjutkan dengan memberikan kuliah maghrib seperti biasa, tetapi belum pun sempat, dan baru pak cik berusia empat puluhan itu hendak membersihkan tekak memulakan suara, tiba-tiba sahaja pecah kecoh bising-bising dari satu sudut bahagian hutan.Dalam gelap malam, kami yang masih duduk dalam saf, tentu sekali tidak nampak, tetapi masih dapat mengagak dari mana arah datangnya.
“Apa hal pulak kali ini?” kedengaran satu suara daripada kalangan jemaah yang masih dalam barisan, menyoal dengan nada mengeluh separa berbisik. Tetapi pertanyaannya itu tidak disambut oleh siap-siapa. Diam sahaja suasana – melainkan suara-suara kecoh yang kedengaran tidak begitu jauh dari tempat kami sedang berkumpul itu. Masing-masing cuba memasang telinga, berusaha mengagak apakah yang sebenarnya ditelingkahkan itu.
Dalam suasana kami yang berlindung di tengah-tengah hutan Kempas ini, dalam masa-masa perang, tentu sekali kami harus senantiasa berwaspada, dan harus selalu peka akan apa-apa yang terjadi di sekeliling. Kalau-kalau ada kejadian kecemasan atau apa-apa, kami harus cepat bertindak menyelamatkan diri. Terlambat biar sekadar beberapa saat boleh menyebabkan perbezaan antara hidup dengan mati.
Telinga terus ditajamkan. Semakin kami berusaha mendengar, semakin kami pasti bahawa suara bising itu adalah jerit lolong di dalam bahasa yang bukan bahasa Melayu. Sebaliknya bahasa Jepun! Kami memang tidak mengerti patah-patah perkataan bahasa negara matahari terbit itu, tetapi kami boleh cam parau dan garaunya. Justeru yakinlah kami bahawa ia adalah jeritan askar Jepun yang masuk ke dalam hutan ini.
Soalnya, apakah yang mereka mahu masuk ke sini malam-malam seperti ini?
Hal ini menimbulkan gelisah yang tidak sedikit antara kami. Sehinggakan hampir serentak, setengah meloncat sebetulnya dari posisi duduk dalam saf tadinya, kami semua langsung bangun meninggalkan tempat itu.
Sudah banyak benar saya mendengar cerita-cerita tentang keganasan tentera Jepun yang tak punya perasaan kasihan kemanusiaan. Tubuh yang ketot pendek ternyata tidak menghalang mereka untuk memiliki nafsu dan hati buas mengalahkan haiwan paling ganas. Hari sebelumnya, beberapa orang tentera masuk dan memeras setiap seorang pelarian – segala apa barangan berharga terpaksa diberikan: gelang, rantai, jam tangan, apa sahaja. Siapa-siapa yang enggan, habis dibalun sampai berdarah patah kaki patah tangan setengah mati. Dan pagi-pagi subuh tadi pula, seorang perempuan tiba-tiba menjerit memecahkan hening dinihari apabila seorang tentera Jepun hendak mengganggunya yang sedang mengambil wuduk di pinggir sungai seorang diri. Syukur ketika itu Dato’ Onn juga sedang di tempat berdekatan bersiap untuk solat Subuh. Lantas bersegeralah beliau tempikkan askar Jepun tersebut dengan sangat lantang. Tentera itu pada awalnya hendak mengugut menggunakan senapangnya yang tersandang di bahu, tetapi setelah Dato’ Onn tunjukkan surat kuasa, askar itu langsung meninggalkan mereka dengan segera tanpa banyak soal lagi. Malah wajahnya kelihatan lesi pucat.
Begitulah sekali keramatnya surat kuasa yang ada di tangan Dato’ Onn itu.
Ini adalah petikan daripada bab ke-20 novel bersiri Dengan Tinta. Dapatkan akhbar Berita Minggu hari ini bagi membaca siri yang penuh. (Novel ini disirikan setiap hari Ahad di akhbar tersebut).













