Saturday, June 05, 2004

Sengketa Yang Hidup

Satu minggu ini, tak habis-habis dengan peperiksaan. Setiap hari, satu paper, malah ada hari yang sehingga dua paper sekaligus pagi dan petang. Semalam pula (jumaat) paper pada waktu solat Jumaat. Antara mahu dengan tidak, terpaksa menggantikan solat jumaat dengan sekadar solat Zuhur biasa. Akhirnya minggu yang penuh sarat dengan peperiksaan ini berakhir jua. Paper seterusnya langkau agak jauh, seminggu dari sekarang. Setelah lama tak update, sebab sibuk peperiksaan, saya menulis sebuah cerpen bertajuk Sengketa Yang Hidup:

Tehrani terus-menerus menghadap komputernya. Geram rasa hatinya masih membakar. Selagi tidak dijawabnya, selagi itu gejolak di jiwa tidak akan reda. Jari jemarinya semakin laju bergerak menaip menghasilkan bait-bait jawapan buat kata-kata fitnah yang terlempar. Kata-kata fitnah? Entah... Hakikatnya Tehrani sendiri tak pasti. Apakah kenyataan yang dibuat oleh rakannya itu bisa dikategorikan sebagai kata-kata fitnah, ataupun apakah kenyataan itu hanya untuk menyatakan kebenaran? "Aaah... aku tak pernah kisah tentang itu semua." Yang pastinya, dia tidak sepatutnya memaparkan kenyataan kontroversi seperti itu didalam internet. Apalagi kalau dipaparkan di dalam ruangan Myfriends yang begitu popular dikalangan rakan-rakan sekolejnya.

Tehrani berhenti sebentar dari menaip. Fikirannya buntu seketika, tak tahu apa lagi hujah yang patut dikeluarkan. Dia meneguk secawan kopi yang sudah sedia ada diatas mejanya disamping skrin komputer. Sudah sejuk dek kerana ditinggalkan agak lama. Tehrani masih ingat, kala kali pertama dia bersua muka dengan rakannya itu. Ketika itu Tehrani merupakan presiden kelab Taekwondo Kolej. Taekwondo WTF yang berdiri atas nama World Taekwondo Federation. "Hmmh... alangkah indahnya waktu itu.." Dikenangnya kembali saat-saat indah dikala keharmornian dikecapi bersama oleh ahli-ahli kelab dan persatuan seni beladiri di kolej. Tika itu tidak banyak, malah mungkin boleh dikatakan tidak wujud sama sekali persengketaan antara pelatih dan pengamal seni-seni itu, walaupun mereka berasal dari hujung pangkal yang berbeza. Selesai latihan, mereka yang dari aliran berbeza ini akan bersama-sama menjamu perut menikmati makan malam di restoran Pak Ya yang bersebelahan dengan kolej mereka. Adakalanya kalau latihan pada petang Jumaat, mereka akan bersama-sama pergi bersantai menonton wayang dimalamnya selepas latihan. Di kolej ini terdapat pelbagai jenis seni yang memberikan pilihan kepada para pelajar berdasarkan kesesuaian minat serta peribadi mereka. Antaranya termasuklah Taekwondo WTF, Shito Ryu Karate, Shotokan Karate, Jujitsu, Ninjitsu, Aikido, dan juga Silat Sendeng.

Taekwondo ITF - Terpacul sahaja nama seni itu didalam benak fikiran Tehrani sudah cukup membahangkan lagi kemarahan di jiwa Tehrani. Ya.. ITF lah punca segala-galanya. Waktu pertama kali Tehrani berjumpa dengan rakannya itu, adalah dari pertemuan pada sesi latihan Taekwondo. Tika itu dia bertandang ke kelas latihan Taekwondo WTF, dan kebetulan pula pada sesi itu jurulatih yang sepatutnya hadir tidak dapat hadir kerana ada mesyuarat bersama majlis sukan negeri. Maklum sajalah, Sukan Malaysia (SUKMA) sudah dekat. Jadi terpaksalah Tehrani, selaku pelatih yang paling senior mengambil alih tugas jurulatih bagi mengendalikan kelas pada sesi petang itu. Sekaligus, sekiranya ada sesiapa yang datang bertandang bagi menanyakan tentang perihal kelab tersebut maka tentunya menjadi tanggung jawab Tehrani menjelaskan segala-galanya.

"Saya Adrianna. Saya merupakan pelatih dari seni Taekwondo ITF, pemegang ijazah talipinggang hitam peringkat pertama. Disebabkan di kolej ini masih belum ada Taekwondo aliran ITF, kalau boleh saya amat berminat untuk menuntut serta mendalami ilmu dalam seni Taekwondo aliran WTF pula. Saya ingin menyelami keindahan pattern aliran WTF, itupun kalau saudara sudi menerima..." Begitulah antara bait-bait awal perkenalan Adrianna kepada Tehrani. Begitu lembut dan indah susunan tutur katanya. Dan ketika itu, Tehrani agak kaget. Terpana tak pasti apakah yang patut diperkatakannya. Namun sebuah senyuman, menyimpan seribu erti. Maka senyumanlah yang menjadi penghias raut Tehrani ketika saat-saat dia tak tahu apa yang patut dikatakannya.

Dalam bulan-bulan pertama perkenalan, mereka bergaul dengan baik. Tidak ada persengketaan yang wujud, walau ada tikanya salah faham muncul. Namun segalanya diselesaikan dengan baik dan saksama. Mereka berbincang, berdebat, dan akhirnya mencapai kata putus. Malah kalau kata putus tak tercapai sekali pun, masing-masing akan berdiam diri, menghormati pandangan yang bercanggah itu. Seingat Tehrani, seringkali Adrianna menjadi bahan gelak tawa rakan-rakan didalam sesi latihan, kerana dia berasal dari aliran yang berlainan. Namun demikian, Tehrani lah yang sering memarahi serta mengingatkan rakan-rakannya yang mereka tidak sepatutnya berperangai begitu. Adrianna tidak seharusnya dilayan dengan buruk hanya kerana dia mempelajari seni dari aliran yang berbeza. Seringkali waktu sore-sore, dikala angin sepoi bertiup, mereka akan bersama-sama menghayun kaki bersenam lari-lari anak. Setelah puas dan letih berlari, berhenti untuk melakukan sedikit renggangan dan kemudian latihan akan diteruskan. Mereka berlatih teknik-teknik Taekwondo bersama di padang yang terletak tidak berapa jauh dari unit asrama mereka. Bertukar-tukar ilmu dari seni aliran masing-masing. Sparring bersama bagi memantapkan lagi kemahiran serta penguasaan seni itu.

Segalanya begitu indah dan damai, sehinggalah pada suatu hari. Adrianna akhirnya meluahkan hasrat hatinya yang sebenar. Dia memuntahkan kata-kata yang hadir dari dalam kalbunya, yang selama ini dipendam dan disembunyikan dari pengetahuan Tehrani. "Aku cintakan.... " Kata-katanya tersekat lalu terhenti disitu.

"Apa dia Adrianna, kenapa kau gugup... Adakah apa-apa yang tak kena?"

"Aku cintakan.... aliranku, Tehrani... Aku ingin tubuhkan seni aliranku dikolej ini."

"Kenapa, Adrianna? Tak cukupkah latihanmu bersama Taekwondo WTF?" Tehrani cuba membantah

"Bukan begitu... tetapi hakikatnya aku merasakan seperti orang asing apabila berlatih seni aliranmu itu. Aku tidak merasakan seni itu seniku. Aku tidak mampu menghayati seni aliranmu itu. Aku sudah terlalu sebati dengan seni aliranku, Tehrani. Dari usia 6 tahun, sehingga sekarang umurku sudah mencecah 20, sudah hampir 14 tahun aku mendambakan diriku untuk seni aliranku itu." Begitu petah kata-kata yang terpacul dari mulut Adrianna. Begitulah hakikatnya, apabila kata-kata timbul dari hati sanu bari seseorang, maka sudah tentunya kata-kata itu akan keluar dengan lancar dan dengan intonasi yang segar.

----------------------------------------------------------------------

Begitu jugalah hakikatnya apabila penulisan seseorang itu timbul dari hati sanu bari seseorang, yang penuh sarat dengan rasa, maka sudah tentunya penulisan itu akan terhasil dengan lancar, serta dengan susunan madah yang segar, lagi mudah difahami. Penulisan yang sebegini seringkali akan menggambarkan emosi si penulis, malah ada kalanya bisa juga memainkan serta menyemarakkan emosi para pembaca.

Dalam keheningan itu,
Secangkir rasa datang menyimbah,
Membasahi kotak fikiran,

Pena nan sebatang,
Diasah dengan minda,
Mencoret ukiran halus,

Sehalus belaian sutera,
Seindah alam membentang,
Segalanya kurakamkan


Begitulah berakhirnya sebuah persahabatan. Dia menulis dengan emosi. Lalu dibaca pula oleh Tehrani dengan emosi. Tehrani membalas dengan tulisan berbaur emosi. Lalu dibaca oleh dia dengan emosi, dan persengketaan ini akan terus hidup selagi emosi terus dijadikan senjata buat penulis menembak serta menyerang si dia. Selagi masing-masing berterusan memandang dengan lensa kacamata yang tidak wujud muzakarah.

Sebuah speda biru
aku melihatnya dgn kaca mata hijau
hijau dan biru
menjadi kuning

Sebuah speda biru
dia melihatnya dgn kacamata kuning
kuning dan biru
menjadi hijau

Sebuah speda biru
aku dan dia
menanggalkan kacamata hijau dan kuning...
lalu tersergam sebuah speda biru
cantik berkilau dihadapan kami

Rambut sama hitam
hati lain-lain....
hanya kan sama
bila ada muzakarah


Hingga kini, Tehrani dan Adrianna masih lagi bermasam muka. Mereka masih terus menerus melancarkan peperangan artikel didalam internet. Masing-masing menghentam seni aliran masing-masing. Menulis didalam artikel lalu diposkan didalam internet menyatakan keaslian, serta keunggulan alirannya, dalam masa yang sama menafikan keunggulan serta keaslian aliran yang lain. Begitu cetek pemikiran mereka....

5 comments:

WaWa said...

Saya belum lagi habis exam.

WaWa said...

cerita benarkah ini?

Ideal said...

wawa, erm.. takde lah.. cerita tue fiksyen semata-mata. Tiada berkaitan dgn yang hidup, mahupun yang telah mati.. hehe..

zaLIna said...

nice story. tehrani yg penulis tu ker?

Rajiv Finn said...

i finally understand the speda biru sajak..
nice story.. seems almost real when i read it.. loL..
hang in there.. :D

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP