Monday, September 27, 2004

Maksiat Cemari Tasik Shah Alam

Lama dah rasanya tak menulis artikel. Asyik-asyik tulis tentang jurnal peribadi sahaja. Semalam di surau, terbaca suatu artikel yang tertampal pada papan kenyataan surau bertajuk: Maksiat Cemari Tasik Shah Alam. Saya terpanggil untuk menulis pandangan saya mengenai isu ini.

Artikel tersebut merupakan surat dari pembaca Harian Metro sendiri. Antara perkara yang dikemukakan oleh penulis artikel tersebut termasuklah, keadaan taman tasik Shah Alam yang dicemari maksiat oleh muda-mudi adalah antara lain silap pihak berkuasa MBSA, jabatan agama mahupun pihak polis. Menurutnya, kalau orang datang memancing di tasik tersebut (memancing adalah dilarang di tasik Shah Alam), tak sampai 10 minit, pihak berkuasa sudah datang menghalau orang tersebut. Namun demikian, kalau maksiat dilakukan, muda mudi bercumbu-cumbuan, peluk-pelukan dikhalayak ramai tak kira siang atau malam, dibiarkan sahaja oleh pihak berkuasa.

Tasik yang indah permai, sesuai dijadikan lapangan untuk aktiviti riadhah keluarga sudah tercemar dek perbuatan jijik golongan tidak bertanggung jawab. Malah ada keluarga yang datang dengan tujuan berekreasi, terpaksa membatalkan hasrat kerana tidak mahu anak-anak mereka dijamah dengan pemandangan memalukan. Penulis artikel itu menyatakan kekesalanya. Kalaupun pihak jabatan agama tidak ada kuasa untuk menahan pelaku sumbang di tasik tersebut, sekurang-kurangnya mereka seharusnya menghalau mereka.

Memang benar, apa yang dinyatakan oleh penulis artikel tersebut. Pihak berkuasa seharusnya memainkan peranan yang lebih agresif dan proaktif dalam membenteras gejala sosial yang seperti ini. Kita tidak mahu nanti bumi Malaysia dicemari dengan adegan-adegan yang merosakkan akhlak, seperti mana yang sudah berlaku di negara-negara barat. Namun demikian, persoalanya: Adakah pihak berkuasa semata-mata yang harus dipersalahkan?

Dalam hal ini, tiada gunanya bagi kita untuk menghalakan telunjuk kepada orang lain. Kalau nak dihalakan telunjuk, memang semua orang boleh dipersalahkan. Kerajaan, pihak berkuasa, jabatan agama, mak ayah, muda-mudi itu sendiri... and the list goes on.

Malah kalau pihak berkuasa mengambil tindakan sekalipun, sejauh manakah mereka mampu membanteras perilaku golongan ini? Mungkin apabila pihak berkuasa bertindak tegas, mereka tidak lagi berpeluk cumbu di taman tasik dan di khalayak ramai. Tapi apa yang mereka lakukan dibelakang khalayak, siapa yang tahu? Di balik semak samun, belukar, malah dalam kamar mereka sendiri.

Orang tua-tua selalu mengeluh bila melihat keadaan muda-mudi pada hari ini; "Ap nak jadi lah dengan orang muda zaman sekarang ni. Dulu, tak macam ini pun." Ayat seperti ini seolahnya sudah menjadi ayat wajib golongan sudah berumur. Namun lupakah mereka bahawa muda-mudi yang mereka katakan 'apa nak jadi' ini, sebenarnya merupakan anak-anak mereka sendiri, yang mana mereka sendiri didik dan ajar. Lupakah mereka bahawa setiap anak itu dilahirkan bagaikan kain putih, dan kedua orang tua lah yang mencorakanya. Lupakan mereka bahawa keadaan sekarang sudah tidak sama lagi seperti keadaan di zaman mereka dahulu. Masa berlalu, dan keadaan berubah. Jangan mudah lupa.

Dulu tidak ada astro. Tidak ada hiburan-hiburan melampau. Tidak ada Akedemi Fantasia. Tidak ada Malaysian Idol, dan juga tidak ada Sure Heboh. Tidak ada akses internet. Kini capaian maklumat semuanya dihujung jari. Maklumat berguna, mahupun maklumat sampah. Membeli CD lucah semudah mendapatkan rokok dikedai.

Pada saya, perubahan paling ketara yang menyumbang pada masalah muda-mudi ini adalah perubahan pandangan sosial masyarakat itu sendiri. Maksud saya; Orang dulu-dulu, mereka kahwin awal. Kalau perempuanya dalam umur 16-17 tahun sudah ramai yang berkahwin. Dalam usia 20, sudah menimang anak. Bagi lelaki pula, mungkin dalam usia 18-20 adalah usia normal untuk mereka memegang tanggung jawab sebagai ketua keluarga. Belum pun sempat nak berlaku sumbang, sudah dikahwinkan...

Tetapi tidak bagi masyarakat kita pada hari ini. Orang berkahwin awal selalu mendapat tentangan hebat dari pihak keluarga, serta dipandang serong oleh masyarakat. Keluarga memberi tekanan menyuruh mereka melanjutkan pelajaran terlebih dahulu. Masyarakat pula mengherdik; 'Tak sabar-sabar ke nak kahwin?!'

Namun kita terlupa bahawa berkahwin itu bisa mencegah perbuatan sumbang antara muda-mudi. Kebelakangan ini heboh dengan perangkaan lelaki Malaysia majoriti berkahwin lambat. Mengapa berlaku begini? Pelbagai alasan dikemukakan. Antara lain, kerana mendahulukan kerjaya, untuk mengejar cita-cita dan sebagainya. Namun demikian pada pendapat saya, tekanan hidup masa kini adalah penyumbang terbesar. Tekanan hidup kerana, tanpa keadaan ekonomi yang kukuh, seseorang itu tak mampu untuk sekalipun bermimpi untuk berkahwin. Baca: Why Marriage Institution is Failing In Our Country?

Mari kita buat kira-kira sedikit. Rata-ratanya muda-mudi di Malaysia berkahwin dalam sekitar umur 25-28 tahun. Berapa lama agaknya kalau dikira dari mereka akil baligh, sebelum mereka diijab kabulkan? Anak-anak sekarang mencapai akil baligh semakin awal semenjak masyarakat kita dibanjiri dengan pelbagai unsur hiburan melampau. Murid sekolah rendah sudah tahu melakukan oral seks. Kalau dikira bagi orang perempuannya akil baligh pada usia 9 tahun, ini bermaksud mereka harus menunggu dalam 19 tahun sebelum usia mereka mencapai angka 28. Dengan keadaan maklumat tanpa sempadan pada internet, kaca tv mahupun media bercetak, mampukan muda-mudi ini bertahan selama 19 tahun sebelum mereka benar-benar mampu (mampu dalam konteks masyarakat sekarang) berkahwin?

Anak kepada jiran depan rumah baru berkahwin dalam sebulan dua yang lepas. Si suami belum bekerja, istri juga menganggur. Masyarakat sekeliling mencemuh: 'Nak makan dengan apa?' Tapi kalau tidak dikahwinkan, lalu berlaku maksiat, siapa agaknya yang akan dipersalahkan? Tentunya kedua pasangan tersebut! Kahwin salah, tak kahwin pun salah.

Kalau di negara-negara barat, akhlak mereka memang sudah rosak. Remaja mereka, kalau sudah mencapai usia 17 tetapi masih perawan, itu dianggap sebagai satu keaiban besar bagi diri sendiri.

Persepsi masyarakat terhadap poligami harus diubah. Perlu diingat bahawa poligami adalah hukum Tuhan, dan Tuhan maha mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk bagi hamba-hambanya. Pengetahuan Tuhan melangkaui dari apa yang mampu difikirkan oleh manusia. Antara hikmah poligami termasuklah bagi membela kaum wanita, kerana seperti mana yang dimaklumi semua bahawa diakhir zaman ini kaum hawa lebih jumlahnya berbanding kaum adam. Selain itu poligami juga mampu mencegah maksiat, kerana keperluan seksual lelaki berbeza berbanding keperluan perempuan. Namun demikian, akhir-akhir ini, suatu golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang hak asasi wanita kononnya, mendesak agar perubahan dilakukan dalam peraturan poligami. Ini menjadikan urusan-urusan poligami menjadi lebih sukar, lalu untuk mengambil jalan mudah, maksiat adalah penyelesaianya. Pejuang hak asasi wanita ini(kononnya) tersenyum girang.

Apa pun, kalau nak dicari punca berlaku maksiat, memang tak terkira. Terlalu banyak jumlahnya. Tapi Tuhan sudah kasi panduan dalam buku panduan yang diturunkan kepada junjungan besar SAW: 'Sesungguhnya solat itu mencegah dari perkara fahsya' dan mungkar.' Perkara pertama yang perlu dibaiki adalah dalam diri setiap individu. Bila wujud rasa sayang dan takut dengan Tuhan, maka maksiat akan terpadam dari kamus masyarakat kita. Rasa sayang menggerakan manusia untuk melakukan segala kebaikan yang disukai olehNya, kerana manusia selalu ingin menggembirakan apa yang dicintainya. Manakala rasa takut pula menghalang manusia dari melakukan apa yang diharamkan oleh Tuhan, sebab takut akan kemurkaanNya.

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP