Friday, December 03, 2004

Kegagalan Seorang Ideal - Sebuah Analisa

Ideal gagal memperoleh keputusan cemerlang dalam A Levels yang lalu!

Tapi ini bukan ceritra tentang kegagalan. Sebaliknya ini adalah kisah tentang jatuh bangunnya seorang Ideal. Kita selalu dengar pepatah yang berbunyi: 'Kehidupan kita ini bagaikan roda. Ada kalanya kita diatas, ada tikanya pula kita dibawah.' Firaun yang gah itu pun, tak dapat melawan resam kehidupan. Akhirnya tersungkur juga dia. Sedangkan sewaktu hayatnya, dia tak pernah sakit hatta walau bersin sekalipun. Begitu juga dengan empayar Othmaniah yang suatu masa dahulu begitu berkuasa hingga mampu menakluk sepertiga dunia. Bila tiba masanya, jatuh juga akhirnya. Begitulah kuasa dan takdir tuhan.

Resam 'bagaikan roda' yang menimpa Firaun dan empayar Othmaniah sudah pun menimpa diri Ideal. Dulu, sewaktu disekolah rendah, Ideal seorang yang boleh dikategorikan sebagai lembab. Seingat Ideal, nombor paling cantik yang pernah Ideal pegang dalam rangking kelas cumalah sekadar nombor 7. Kalau dibandingkan dengan abang Ideal yang hampir setiap peperiksaan mendapat nombor 1, Ideal memang teruk. Malah, pernah suatu ketika Ideal curi-curi dengar perbualan antara Ibu Ideal dengan guru tuisyen: "Kalau boleh cikgu berikanlah tumpuan lebih sikit pada anak saya yang ini, sebab dia ini LEMBAB sikit". Waktu itu, bila dengar perkataan lembab dari mulut ibu Ideal, Ideal memang benar-benar rasa rendah diri.

Namun demikian akan tiba juga masanya yang dibawah naik ke atas. Segalanya berubah waktu Ideal naik ke sekolah menengah. Bermula apabila Ideal dimasukkan ke kelas elit dalam sekolah, Ideal mula merasakan bahang persaingan antara rakan-rakan sekelas. Semenjak itu, Ideal terus menerus mencipta kejayaan yang boleh dibanggakan. Dalam PMR, Ideal merupakan satu-satunya pelajar lelaki melayu yang mendapat 7A (Ideal mengambil 8 subjek sahaja), selain seorang lagi perempuan Melayu yang mendapat 8A. Seterusnya, dengan keputusan itu Ideal telah diterima masuk ke MRSM Serting. Di MRSM pula, Ideal telah berhempas pulas untuk menghadapi SPM, yang mana akhirnya telah membuahkan hasil yang tidak kurang moleknya: 8A

Dengan keputusan itu, Ideal telah diterima masuk ke UIA untuk kursus kejuruteraan. Namun belum pun sempat berpanas punggung di UIA, satu lagi tawaran memanggil-manggil. Tawaran untuk biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melanjutkan pelajaran ke UK, dalam bidang Undang-undang. Tapi sebelum itu, Ideal perlu terlebih dahulu menghabiskan A Levels (juga dibawah tajaan JPA) sebagai kursus persediaan untuk ke sana.

Dalam waktu Ideal membuat kursus persediaan inilah, roda yang sebelum ini diatas, telah jatuh semula ke bawah. Lalu kegagalan pun menimpa Ideal.

Ideal bukan mahu mempertikaikan takdir tuhan. Tidak, tidak sekali-kali. Tuhan itu maha mengetahui atas apa yang ditakdirkannya, jua Dia maha adil. Apa yang Ideal ingin paparkan di sini adalah analisa, tentang jatuh bangunnya era pembelajaran Ideal, agar dapat dijadikan sumber untuk memperbaiki diri ini.

Kalau dilihatkan era mencipta kejayaan Ideal (iaitu zaman sekolah menengah), Ideal tak pernah berpuas hati dengan kecemerlangan yang Ideal capai. Ini membuatkan Ideal benar-benar bersemangat untuk terus mara. Waktu di menengah rendah, kedua ibu bapa Ideal tinggal nun jauh di Mesir (atas panggilan pekerjaan) untuk mencari rezeki. Oleh itu, Ideal telah dimasukkan ke asrama di Sekolah Menengah Undang Rembau. Sekolah ini bukan asrama penuh, malah peratusan pelajar yang duduk diasrama teramatlah kecil. Jadi, kemudahan-kemudahan asas asrama sangatlah tidak lengkap. Kehidupan disana boleh Ideal ibaratkan sebagai zaman kehidupan paling teruk dalam konteks keselesaan.

Segala-galanya tidak selesa. Tempat tidur, tandas, dewan makan, abang-abang senior... semuanya teruk. Malah suasana pembelajarannya juga amat teruk. Namun demikian, kehidupan yang teruk lagi menyiksakan inilah yang telah membuatkan Ideal berazam dan berusaha sungguh-sungguh untuk cemerlang. Matlamatnya satu, iaitu untuk cemerlang dalam PMR, agar dapat keluar dari sekolah itu, dan berpindah ke sekolah berasrama penuh yang mempunyai suasana lebih kondusif. Dengan kata lain, kehidupan yang teruk menjadi sumber inspirasi untuk Ideal berjaya.

Apabila naik ke menangah atas di MRSM Serting, kehidupannya jauh selesa berbanding sekolah lama Ideal. Kalau di sekolah lama dulu Ideal berkerja keras agar dapat berpindah ke tempat yang lebih baik, namun demikian di MRSM tidak ada lagi cacat cela persekitaran yang mampu dijadikan sumber inspirasi untuk Ideal berusaha. Segala kemudahannya mencukupi, serta suasana pebelajaran begitu mengasyikkan.

Suasana persekitaran yang teruk tidak lagi relevan untuk memotivasikan diri Ideal ketika di MRSM. Ideal pada waktu itu sudah berpuas hati dengan apa yang Ideal perolehi di MRSM. Sebaliknya, apa yang telah berjaya mendorong Ideal untuk terus cemerlang adalah cita-cita Ideal sendiri. Waktu itu, Ideal benar-benar kepingin menjadi seorang juruterbang. Ideal tahu, untuk menjadi seorang juruterbang, subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan dan Fizik amat penting. Tambahan pula, persaingan untuk mendapat tempat sebagai seorang juruterbang amat tinggi, kerana dalam 1000 orang yang memohon, hanya 10-20 orang yang diterima untuk setiap kemasukan. Jadi keputusan cemerlang dalam SPM merupakan suatu kemestian untuk merealisasikan cita-cita Ideal yang ini. Melalui cita-cita ini, Ideal terdorong untuk cemerlang dalam peringkat SPM.

Seterusnya Ideal menerima tawaran dari UIA, dan kemudian dari JPA untuk kursus persediaan undang-undang ke UK (tak perlulah Ideal ceritakan disini kenapa Ideal tidak meneruskan cita-cita Ideal untuk menjadi seorang juruterbang). Sewaktu membuat kursus persediaan, iaitu A Levels dibawah tajaan JPA Ideal telah ditempatkan di Kolej Sunway. Disini, segalanya begitu selesa. Para pelajar tajaan JPA semuanya ditempatkan di sebuah condo yang boleh dikategorikan sebagai mewah. Kemudahan condo itu mencakupi dari kemudahan capaian internet 24jam, hinggalah ke sebuah kolam renang bersaiz olimpik. Pendek kata, kehidupan 2 tahun di kolej Sunway adalah kehidupan yang senang. Tiada langsung susahnya.

Di peringkat ini, Ideal sudah seolahnya berasa lega dengan pencapaian Ideal. Seolah-olah tiada apa lagi yang ingin dikejar, tiada apa lagi yang perlu dicapai. Mendapat tajaan JPA untuk kursus persediaan membuatkan Ideal rasa terjamin masa depan, terjamin akan melanjutkan pelajaran ke UK dalam jurusan undang-undang, terjamin menjadi seorang peguam.

Kehidupan terlalu senang, ramai yang menyangkanya sebuah kehidupan sempurna. Namun mereka salah. Sebab kehidupan yang senang sebenarnya ketandusan tekanan. Seseorang yang tidak melalui tekanan, sukar berjaya. Cuba kita lihat para rasul persuruh Allah. Mengapa mereka diberikan ujian serta tekanan yang begitu dahsyat oleh Allah? Sedangkan mereka itu adalah kekasih Allah. Sebenarnya tekanan itulah yang akan membentuk peribadi seorang untuk berjaya. Dalam buku Dare to Fail, penulisnya Billi P.S Lim ada memberi contoh batu berlian yang sangat cantik. Bagaimanakah berlian itu boleh menjadi sedemikian indah, kalau tidak kerana berlian telah melalui tekanan yang begitu tinggi jauh ke dasar bumi. Lebih tinggi tekanan yang diterima, lebih indahlah hasil yang keluar.

Dari analisa Ideal, mungkin perasaan terjamin atau dalam bahasa inggerisnya feeling secured adalah tunjang kepada punca kegagalan Ideal mencapai kecemerlangan dalam A Levels. Apabila seseorang merasa terjamin, apabila seseorang merasa selesa dengan kedudukannya, apabila seseorang merasa cukup dan berpuas hati dengan pencapaiannya, maka usahanya tidak akan dilipat gandakan. Malah kalau dalam kes yang lebih teruk lagi, dia akan mula lupa diri, lalu inilah yang akan menjadi titik tolak kejatuhan seseorang.

Robert T Kiyosaki, penulis buku Rich Dad Poor Dad ada menyatakan salah satu sebab mengapa ayahnya gagal melepaskan diri dari cengkaman masalah kewangan adalah kerana ayahnya terlalu bergantung kepada keterjaminan kerjayanya. Terlalu bergantung kepada jaminan gaji oleh majikan: The idea of job protection for life and job benefits seemed more important, at times, than the job.

Dalam A Levels Ideal tidak ada apa-apa lagi yang ingin dikejarkan. Bila tiada yang ingin dikejar, samalah ertinya tiada cita-cita. Bila tiada cita-cita, kehidupan pun jadi seperti tiada hala tuju.

Begitulah, cerita jatuh bangun seorang Ideal. Doakanlah agar selepas ini, Ideal tidak lagi terus menjunam jatuh, sebaliknya kembali bangkit mengibarkan panji-panji kejayaan... InsyaAllah.

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP