Tuesday, March 29, 2005

Cerpen: Tsunamot

Malam tadi, seluruh warga UiTM kedah gempar dengan gegaran yang berlaku. Semua berkeliaran lari, turun ke ruang lapang. Sejurus keadaan menjadi reda, Ideal tulis sebuah cerpen bertajuk Tsunamot:


Aku merenung jauh melalui tingkap dihadapan meja tempat aku biasa mentelaah pelajaran. Meja ini sudah sekian lama menjadi saksi tempat aku menimba segenap ilmu dalam dunia fana ini. Dihadapan, terbentang permaidani malam, berselimutkan langit yang gelap gelita.

Kulemparkan pandanganku jauh-jauh dimana tersergamnya lukisan indah alami berlatar-belakangkan gunung-ganang dan bukit-bukau. Dipuncak salah satu bukit-bukau yang memuncak itu, kelihatan lampu merah berkelipan. Walaupun dalam samar-samar malam, aku tahu kerdipan itu datangnya dari menara pencawang yang dibina dipuncak Jerai. Aku tahu, kerana puncak itu baru saja aku tawan beberapa bulan yang lepas.

Memang sungguh menakjubkan, bila difikir-fikirkan kembali. Bagaimana bisa terbentuknya gunung-ganang yang memuncak tinggi mencapai kepulan-kepulan awan yang mengapung di udara. Itulah kuasa tuhan, lalu aku insaf akan kebesaran yang maha pencipta.

Kalau mengikut methodologi saintifik yang aku pelajari dalam ilmu geografi dahulu, seingat aku gunung-ganang ini tercipta hasil dari pertembungan plet-plet tektonik bumi. Masih aku ingat lagi nama guru yang mengajar aku subjek geografi dalam tingatan 3, Cikgu Jalal. Takkan bisa aku lupakan nama guru yang telah banyak membimbing aku memahami persoalan alam fana ini.

"Bumi ini bagaikan bola" Terang Cikgu Jalal. Kami, para pelajar Tingkatan 3 Pluto diam, menumpukan sepenuh perhatian dengan minat yang mendalam terhadap setiap patah perkataan yang diutarakan.

"Tahukan kamu kenapa saya samakan bola dengan bumi?" Soalnya, menguji.

Memang menjadi kegemaranku, setiap kali persoalan diutarakan oleh mana-mana guru yang sedang mengajar, tak kiralah apa pun subjeknya, maka perasaanku akan melonjak-lonjak ingin mencuba. Aku jadikanya sebagai cabaran buat diriku. Aku ingin jadi pelajar yang bukan hanya tahu bersifat pasif menerima bulat-bulat apa yang diberikan oleh guru, sebaliknya aku ingin bersifat proaktif dan imaginatif.

Aku lalu mengangkat tangan, kemudian disambut dengan isyarat tanda memberi laluan untuk aku.

"Err..." Aku kesan sedikit gugup dalam diri.. "Sebab bumi ini bundar. Sama juga seperti bola.."

"Mmm.." Cikgu Jalal kelihatan seolah-olah memikirkan sesuatu, mungkin menyusun kata-kata sebelum menyambung " Memang betul bumi itu bundar. Tapi bundarnya bukan seperti bundar bola. Bundar bola itu rata, sebaliknya bundar bumi ini lebih kepada membujur seperti bentuk telur."

Cikgu Jalal memandang tepat kearah mataku seolah-olah ingin pastikan aku benar-benar faham akan kata-katanya tadi. Aku angguk perlahan, bagi menunjukan bahawa aku khusyuk mendengar, serta faham akan penjelasanya.

"Bumi ini sama seperti bola, bukan kerana bentuknya yang bundar. Tapi kerana wujudnya plet-plet dibawah permukaan bumi. Plet-plet ini yang kita panggil kepingan kerak bumi, kalau diamati, sama seperti corak-corak heksagon pada permukaan bola (bola sepak). Ia membahagikan bumi, seperti mana corak-corak heksagon membahagi-bahagikan permukaan bola." Terang dan jelas penerangan guru yang juga merupakan pesara tentera laut ini.

"Setiap yang dijadikan tuhan, pasti ada motifnya. Begitu juga dengan kepingan-kepingan kerak yang wujud pada dasar permukaan bumi. Gunung-ganang, bukit-bukau yang tercipta, semuanya terbentuk hasil dari pergerakan kepingan-kepingan ini. Apabila plet bumi bergerak, lalu bertembung antara satu sama lain, maka pertembungan itu akan membentuk gunung-ganang yang tinggi."

"Setiap yang baik, ada pula buruknya. Kerana yang baik sepenuhnya hanyalah Tuhan, walhal makhluk, dalam baik pasti ada jua buruknya. Begitu juga halnya dengan bumi. Kalau pembentukan gunung-ganang boleh disifatkan sebagai kesan baik dari pergerakan plet-plet tersebut, kesan buruknya adalah, apabila plet-plet bergerak, maka berlakulah gempa bumi. Bencana alam yang menurut kronologi sejarah telah mengorbankan berjuta, malah mungkin berbilion nyawa."


Aku tersentap dari lamunanku seketika. Sapaan rakan sekamarku, Azus mengejutkan aku keluar dari alam lamunan. Tak sangka sudah begitu jauh fikiranku melayang, sedangkan helaian nota-nota kuliahku masih juga tak luak.

"Jauh sangat ni mengelamun. Ingatkan orang tersayang ke?" dengan nada sinis, Azus menyapa.

"Ermm.. takdelah. Cuma teringat kan kata-kata cikgu aku, masa aku muda-muda dulu." Aku jawab, acuh tak acuh. "Kau tahu tak, macamana terbentuknya gunung ganang?"

"Tahu. sama lah macam gempa bumi. Sebab gerakan kepingan kerak bumi kan?" Ringkas jawab Azus. "Tapi syukurkan, negara kita ni terlindung dari bencana alam yang boleh mengorbankan nyawa. Kadang-kadang bila difikirkan balik, kita memang beruntung. Bukan saja negara kita ni terlindung dari gempa bumi, tapi kita juga terkeluar dari lingkaran gunung berapi. Jadi secara teorinya, memang kita selamat."

"Betul tu. Bumi Malaysia ni memang bumi bertuah. Dah lah selamat, kaya pula tu dengan bahan mentah semula jadi."

Dalam kerancakan aku berbincang dengan Azus, sesuatu terasa seperti ada kelainan dari biasa. Sangkaanku, ia hanya pening kepala biasa. Tapi bila Azus pun turut terasa, aku jadi bingung.

"Eh, rasa macam goyanglah. Macam bergegar. Cuba tengok kat botol air tu." Memang betul, air dalam botol itu berkocak, sedangkan tiada siapa yang menyentuhnya.


Malam itu aku tak dapat tidur nyenyak. Fikiranku masih lagi buntu memikirkan persoalan gegaran yang kualami. Kalau diikutkan teorinya, memang Malaysia terlindung. Tapi apa kejadahnya pula gegaran yang kurasa tadi.

Tapi, kalau difikir-fikirkan semula, banyak teori-teori yang tercipta, kemudianya dibuktikan salah. Seperti teori termasyhur Charles Darwin mengenai Evolusi. Begitu juga mengenai teori bumi ini rata. Sama juga dengan teori yang mengatakan bumi ini pusat kepada alam semesta yang lain, yang mana planet-planet, bulan dan matahari semuanya mengelilingi bumi. Teori-teori ini semuanya telah disanggah, dan disahkan salah. Walhal pada zaman waktu teori itu belum terbukti silap, sudah tentu segenap manusia semuanya yakin akan kesahihan teori tersebut.

Dulu, para saintis sebulat suara berpandangan bahawa atom adalah komponen terkecil dalam dunia ini. Teori itu diyakini, sampailah suatu hari atom akhirnya berjaya dipecahkan kepada beberapa komponen lain. Itulah dia sains. Itulah dia teori. Semuanya buatan manusia. Tiada yang tetap. Yang tetap hanyalah yang maha pencipta.


Esok paginya, dalam aku berselera menikmati sarapan sambil menonton berita, aku kaget mendengar tajuk utama: Tsunami meragut lebih 6000 nyawa.

Akhbar-akhbar harian pula melaporkan: Malaysia tidak terlindung dari gempa bumi. Kalau negara jiran seperti Indonesia, mengalami gempa bumi berskala Richter 8, Malaysia mungkin akan terkena tempiasnya juga, tapi dalam skala yang lebih kecil.

Hari berikutnya, lagi laporan dari akhbar: Gegaran yang berlaku mungkin telah menukar profil kerak bumi. Keterlindungan Malaysia dari gempa bumi mungkin tercabar. Ada kebarangkalian Malaysia menghadapi risiko gegaran yang lebih kuat pada masa akan datang!

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP