Saturday, April 30, 2005

Aceh, Mayat Mereka Berbogel!

"Nak dengar satu cerita tak? Cerita yang tidak akan dapat didengar di tempat lain.." Ayah memulakan perbualan waktu Ideal sekeluarga baru saja duduk untuk menjamah hidangan makan malam.

Ayah baru saja pulang dari Banda Aceh petang semalam. Malah, Ideal sendiri yang menjemput Ayah dari KLIA. Pemergian Ayah ke sana tempoh hari adalah bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan. Walaupun sudah hampir setengah tahun tragedi Tsunami melanda Indonesia, tapi proses pemulihan mungkin akan memakan masa yang amat lama. Mungkin sekarang ini tidak ada lagi mayat-mayat atau mangsa-mangsa yang perlu diselamatkan dari selitan-hempapan kayu dan batu, tapi sokongan moral dan bantuan perkakasan masih amat diperlukan.

Justeru itu, bantuan-bantuan kemanusiaan yang Ayah hulurkan di sana lebih kepada bantuan berbentuk moral, selain menghantar bekalan keperluan harian. Sokongan moral berbentuk motivasi dan kaunseling adalah sebahagian dari perkara esensi, kerana walaupun ramai rakyat Aceh yang sudah belajar untuk akur dengan ketentuan ilahi, tapi mereka masih terkapai-kapai dalam menelusuri perubahan mendadak yang perlu mereka hadapi saban hari.

"Cerita ni, Ayah dapat dari salah seorang warga Aceh sendiri."

Cerita atas cerita! Terdetik dalam hati Ideal. Kalau dalam istilah undang-undang, cerita atas cerita ini, yang disampaikan secara lisan dipanggil hear say. Dan hear say, dalam dunia perundangan, adalah antara bahan yang tidak wajar dijadikan sumber rujukan mahupun bahan bukti. Hal ini kerana kesahihanya boleh diragui setelah kisah sebenar diperturunkan dari satu lisan ke lisan yang lain. Bagi mereka yang selalu main permainan 'telefon rosak', tentu faham akan perkara ini. Teringat pula Ideal zaman waktu kanak-kanak dahulu, ramai guru-guru yang memilih menggunakan permainan ini sebagai rekreasi minda untuk para pelajarnya, bagi menghilangkan suasana bosan kelas.

"Warga Aceh tu ditugaskan sebagai penunjuk jalan rombongan bantuan kemanusiaan yang Ayah ikut." Ayah bercerita, walaupun soalnya sama ada yang lain mahu mendengar atau tidak, masih belum berjawab. Mungkin mereka masih sibuk mencapai hidangan untuk mengisi perut masing-masing, membuatkan semuanya alpa dengan soalan Ayah.

Sambil menyantap, Ideal terus tekun mendengar kisah yang diceritakan oleh Ayah. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Ideap pula sambil menyantap pasang telinga.

"Menurut warga Aceh itu, katanya separuh dari mayat-mayat yang ditemui ketika Tsunami baru menimpa, dijumpai dalam keadaan berbogel." Ayah menyambung ceritanya. "Tahu kenapa Ayah kata separuh?"

Ayah kata? Ayah kata atau warga Aceh itu yang kata, lalu Ayah hanya menceritakan kembali kata-kata si warga Aceh? Ideal jadi pusing. Tapi terus mendengar.

"Kenapa?"

"Sebab yang dijumpai berbogel itu adalah mayat-mayat perempuan. Majoriti, kalau bukan semua mayat-mayat perempuan yang dijumpai adalah dalam keadaan tanpa seurat benang."

Pelik, pelik... Tapi sekarang Ideal faham kenapa tadi Ayah kata bahawa dia yang berkata, dan bukan warga Aceh itu. Sebab perkataan 'separuh' yang diguna pakai dalam ceritanya tadi adalah ciptaanya sendiri, bagi mencipta suasana persoalan dan suspens, dalam berkisah. Sedangkan, perkara yang ingin disampaikan cukup jelas: separuh mewakili perempuan. Cuma penyampaiannya sahaja yang berlapik. Mungkinkah itu seninya dalam bercerita?

"Yang lelakinya, tak pula dijumpai sedemikian rupa. Rata-rata mayat lelaki yang dijumpai sekurang-kurangnya masih berseluar dalam. Itu sekurang-kurangnya, tapi ramai pula yang berpakaian seperti biasa."

Mengapa pula begitu ya? Terdetik soalan itu dalam minda Ideal. Sejurus itu juga dijawab oleh Ayah, seolah-olah Ayah mendengar detik minda Ideal.

"Orang-orang alim disana ramai yang berpendapat, ini petunjuk dari Tuhan. Allah itu maha berkuasa, dan dia bercerita menyampaikan amaranya dengan cara-cara begini."

Ya, sekarang ini tiada lagi Rasul pesuruh Tuhan sebagai jurucakap Yang Maha Esa. Tapi, Tuhan masih bisa berkomunikasi dengan hamba-hambanya. Bagaimana? Dengan cara mempersembahkan kejadian-kejadian pelik.

Bagi orang yang hanya tahu melihat tanpa berfikir, mereka tidak akan mendapat apa-apa daripada kejadian yang sebegini. Tapi bagi yang punya penglihatan minda, diawasi pula oleh mata hati yang dekat dengan Tuhan, maka mereka akan dapat mentafsirkan kejadian-kejadian ini. Tafsiran mereka mungkin tepat, mungkin juga tidak. Kerana yang maha mengetahui hanyalah Tuhan pencipta Alam. Dia yang cipta, dia yang lebih tahu. Sama juga seperti karya-karya sastera. Para pembaca mungkin dapat mentafsir, tapi ketepatan tafsiran mereka bukan sesuatu yang pasti. Ini kerana hanya pencipta karya seni itu yang tahu sebenar-benarnya apa yang tersirat.

"Ada seorang cina yang Ayah jumpa di Aceh. Katanya memang benar ramai mayat yang dijumpai berbogel. Tapi si cina itu berpendapat hal ini kerana kandungan sulfur dalam air laut tsunami itu."

Sulfur. Mungkin juga ada kebenaranya. Segalanya ada kemungkinan. Sewaktu Ideal belajar kimia dahulu, seingatnya Sulfur memang bersifat menghakis. Jadi memang boleh dijadikan satu kebarangkalian disini. Tapi kalau difikir-fikirkan kembali, kalau mayat-mayat berbogel disebabkan pakaian mereka hancur dek sulfur, kenapa pula mayat-mayat lelaki masih berpakaian? Manakan bisa sulfur tahu mengenal jantina pakaian. 'Yang lelaki, jangan dikacau pakaianya, cuma yang perempuan saja kita ganggu.' Tidakkah pelik?

"Tapi warga aceh yang jadi penunjuk jalan rombongan itu, pula berpendapat, tak mungkin sulfur. Sebab kalau sulfur mampu menghancurkan baju, ia juga seharusnya mampu merosakkan kulit. Tapi mayat-mayat bogel yang dijumpai masih baik kulitnya. Malah lebih pelik lagi, gelag-gelang, rantai-rantai masih pula tersemat kemas pada tubuh mereka. Kalau pun sudah hilang disambar pencopet, sekurang-kurangnya masih berbekas dibadan mereka kesan pemakaian barang kemas tersebut."

Maksudnya, mereka berbogel, tapi masih bisa berbarang kemas? Pelik, pelik. Tapi itulah petunjuk Tuhan.

"Apa maksud ayah tentang orang-orang Alim yang berpendapat bahawa Tuhan ingin tunjukkan sesuatu?"

"Ooh, tentang itu, kata si warga Aceh tadi, orang-orang alim mentafsirkan bahawa Tuhan marah. Marahnya Tuhan pada hambanya, bila ramai perempuan yang tidak mahu menutup aurat. Sedangkan sudah jelas dalam Alquran surah Annur ayat 31, supaya dilindungi hiasan-hiasan tubuh wanita daripada pandangan yang bukan mahram, kecuali yang zahirnya sahaja. Tapi mereka masih juga degil. Mereka berdalih, katanya tutup yang zahir sahaja. Kata zahir itu bisa ditafsirkan dengan begitu meluas. Bahagian manakah yang zahir? Adakah rambut juga termasuk dalam yang zahir? Lengan, kaki, dan yang lainya bagaimana?" Panjang celoteh Ayah.

Ayah meneguk segelas air, sebelum menyambung lagi. "Hal ini semua walaupun tidak tercatat dalam Al Quran, tapi sebenarnya sudah diceritakan pula oleh Allah melalui lidah Rasulnya. Kata nabi, yang zahir itu bagi wanita hanyalah mukanya, dan kedua telapak tangan. Tapi mereka masih juga berdegil. Malah ada pula yang berani memutar belitkan kalam Tuhan dan Kekasihnya." Terpancar nama Astora Jabat dalam minda Ideal.

Lantaran itu, Tuhan dengan segala kuasa yang ada padanya, membunuh hamba-hambanya dan kemudian mengkafankan mereka dengan kain aib. Biar bikin malu! Bagi mereka yang berfikir, kejadian ini suatu amaran. Tapi bagi yang tidak, kejadian ini cuma satu peristiwa pelik yang tak perlu diambil pusing.

"Ideal, tak elok mengelamun dihadapan rezeki. Tengok tu, dari tadi lagi tak luak-luak lagi. Cepat habiskan." Suara Emak kedengaran.

Ideal tersentap dari lamunan. Ooh, rupanya cerita yang dikisahkan ayah sudah pun usai. Cuma Ideal sahaja yang tidak perasan, kerana mindanya masih berkira-kira memikirkan kejadian kuasa tuhan yang menakjubkan. Masih terbayang-bayang jelas di fikiranya akan ribuan mayat-mayat bergelimpangan tanpa seurat benang. Ideal jadi mual, seleranya pun terganggu.

Kisah mayat bogel... Memang ia merupakan kisah cerita atas cerita yang tidak relevan dijadikan sumber rujukan, fikir Ideal dalam diam. Tapi, bukankah pedomanya tetap ada?

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP