Thursday, April 21, 2005

Cerpen: Anak Haram

"Nyah engkau dari sini. Aku bencikan kau!"

Aku benci kau. Aku benci kau. Aku benci kau. Aku benci kau. Aku benci kau. Kata-kata itu terngiang-ngian di telinga tuaku ini.

Aku menadah telinga, menerima segala kata-kata kesatnya. Pedih. Pedih rasa hati ini tak terhingga. Begini aku dibalas akhirnya, setelah cinta yang maha suci aku curahkan kepadanya. Cinta pandang pertama, cinta seikhlas hati, cinta tak berbelah bahagi. Bukan sedikit pengorbanan yang telah aku lakukan untuknya. Demi cinta, pengorbanan yang maha besar, tidak pernah terasa berat olehku, kerana aku percaya cinta itu lebih tinggi nilainya.

Segala-galanya bermula dari pertemuanku dengan seorang pemuda yang bernama Mark Demiris, peniaga berbangsa Jerman.

Secawan kopi! Ya, secawan kopilah yang telah menemukan aku dengan Mark Demiris. Suatu malam, sedang aku berseorangan duduk di kaunter sebuah bar di ibu kota, menghadap secawan coke yang aku minum sedikit demi sedikit, seorang pemuda melanggarku. Lengan kananku terasa pedih. Panas yang meruap-ruap.

"Oops, saya minta maaf. Awak tak apa-apa?" Berbahasa Inggeris dengan pelat Jerman, pemuda tersebut meminta maaf, kerana melanggar aku, lalu secara tidak sengaja tertumpahkan secawan kopi panas ke lengan kananku. Dengan penuh rasa bersalah, dia mengelap sisa-sisa tumpahan pada tanganku dengan menggunakan bajunya sendiri. Dirapatkan badanya, supaya dapat sampai bajunya pada lenganku, ditarik keluar baju yang pada mulanya tersemat kemas kedalam seluar, lalu dilap tanganku.

Aku kaget. Terkesima dengan tindak balasnya itu. Soalannya sama ada aku okay atau tidak, aku biarkan tidak berjawab. Tanganku masih panas tak tertahan sakitnya. Ada sedikit rasa marah dalam hati, tapi kemudianya terpadam dek sikap pemuda tersebut.

“Biar saya bawa saudari ke klinik. Ini pasti melecur, kalau tak jumpa doctor nanti lagi teruk.”

Aku yang masih dalam kaget, mengangguk perlahan. Aku sendiri tak tahu kenapa begitu mudah aku membenarkan dia menyentuhku, mengelap lenganku. Dan kini, aku benarkan pula dia membawa aku ke klinik. Walhal bukan tak boleh aku pergi sendiri. Lagi pula dalam malam-malam begini, bukankah bahaya padahnya kalau-kalau pemuda yang belum ku kenali ini sebenarnya dari kalangan orang jahat-jahat.

Malam itu dibawanya aku ke klinik. Ya, malam pertama dibawanya aku ke klinik, setelah bertukar-tukar nombor telefon, malam kedua-ketiga dan seterusnya, disusuli pula dengan keluar makan malam bersama. Begitulah asalnya bermula bibit-bibit cinta antara aku dan dia.

Sebagai seorang perempuan, aku sering diselimuti dengan mimpi-mimpi indah bersamanya. Lagi pula dia sering memberikan harapan serta janji-janji kepadaku. Dari perkenalanku bersamanya, aku yakin dia bukan dari kalangan yang sering memberikan janji-janji kosong. Malah kebiasaanya, setiap apa yang diperkatakan, pasti akan dikotakanya. Dia seorang lelaki yang punya perinsip. Aku mengaguminya.

Maklum sajalah. Mark Demiris adalah seorang peniaga. Kata orang putih, businessman. Kata orang Melayu pula, ahli koporat. Dia datang ke Malaysia pun dengan urusan perniagaan. Katanya, di dihantar oleh majikanya untuk menjenguk-intai peluang yang ada.

Dua hari sebelum pertemuan pertama aku dengannya, dia berada di Langkawi. Memangnya majikanya berhasrat membina hotel disana. Dan di sini, di Kuala Lumpur, dia hanya menghabiskan masa seminggu sebelum dia akan terbang kembali ke Jerman.

Tibanya hari perpisahan denganya adalah ketibaan yang sangat aku benci. Sungguh pun baru seminggu usia perkenalan kami, namun keakraban dan keintiman kami sudah seperti suami isteri. Lantaran itu, air mataku pun turun mencurah-curah dalam kadar yang cepat.

Melihat aku begitu sedih, Mark Demiris berjanji yang dia akan pulang kembali ke Malaysia untuk menjenguk aku. Dia memberikan aku nombor telefonya di Jerman, siap dengan alamat sekali. Sekurang-kurangnya, harapan yang diberikan padaku mampu mengurangkan rasa sebak dihati.

Hari bertukar minggu. Minggu bertukar bulan. Begitulah saat-saat kekosong yang aku lalui tanpa dirinya. Namun pertalian telefon dan internet tetap menjadi penghubung setia kami. Dalam kerinduan yang tak tertahan lagi, satu hari aku muntah-muntah. Dalam mual-mual itu, aku berjumpa doktor, dan seperti yang aku jangkakan, aku disahkan mengandung.

Tika itu aku tak pasti apakah perasaan aku. Segenap perasaan bercampur aduk. Antara gelisah, kerana aku masih lagi belum ada pertalian tapi sudah mengandung, gembira kerana berjaya mengandungkan anak Mark, dan takut dek apa pula nanti kata masyarakat dan ibu-bapaku. Namun yang pasti, ada satu perasaan yang menyerlah mengatasi segala perasaan yang lain. Itulah dia rasa sayang dan cinta akan anak yang didalam kandungan itu. Kadang-kadang terdetik juga rasa hati; ‘bilalah anak ini akan beranak. Kenapalah 9 bulan tu lama sangat…’ Tak sabat-sabar aku menunggunya.

Kata Mark, dia akan bertanggung jawab. Dia akan datang ke Malaysia dan bawa aku ke Jerman agar aku dapat dinikahinya. Namun dalam kejahilanku, aku tetap tahu sedikit-sebanyak tentang hukum-hakam. Lebih-lebih lagi bila berkaitan hal ehwal perkahwinan, mana bisa seorang Islam bersuamikan seorang bukan Islam. Lantas aku pun terangkan kepadanya, dan syukur, dia amat memahami. Sungguh aku mengaguminya. Dia seorang yang sangat bertanggung-jawab. Dalam keadaan yang mana aku dan dia berjauhan sekarang ini, boleh saja dia memilih untuk mendiamkan diri dan membiarkan aku terkontang-kanting berseorangan di sini. Namun dia tidak berbuat demikian, tetapi memilih untuk berbuat sebaliknya.

Dulu, rakan sekelasku ada bercanda. Katanya, lelaki itu ada dua macam. Satu pemain kriket, dan yang satu lagi pemain golf. Kalau pemain kriket, setiap kali selepas bola dipukul, dia lari dan tak ambil hal lagi tentang bola yang dipukulnya. Tapi kalau pemain golf, selepas bola dipukul, dia cari kembali bola tersebut. Kalaulah perempuan itu diibaratkan sebagai bola, maka Mark, pada pandangan aku adalah dalam golongan pemain golf.

Tepat sebulan selepas aku disahkan mengandung, Mark Demiris menjejakkan kakinya semula ke Malaysia buat kesekelian kalinya. Kali ini bukan lagi dengan tujuan perniagaan, tapi atas panggilan rasa tanggung-jawab dan daya tarikan cinta antara benua. Aku membawanya berjumpa dengan kedua orang tuaku, dan perhubungan kami direstui mereka. Namun demikian, mereka masih belum tahu bahawa aku sebenarnya sedang mengandungkan anak Mark. Biarlah itu jadi rahsia kami berdua sahaja. Rahsia antara aku dan kekasihku, Mark Demiris.

Mark Demiris aku bawa ke pejabat PERKIM untuk diislamkan. Heh, macamlah Mark ni produk, yang senang-senang saja nak diislam-islamkan! Nak kahwin, baru jadi Islam, kalau tak, jangan haraplah. Itulah namanya beriman bukan atas kesedaran agama, tapi atas kesedaran hendak berkahwin. Akhirnya, Mark berjaya juga diislamkan. Namanya dari Mark Demiris aku tukarkan kepada Johari Demiris. Sedap bukan? Aku sengaja pilih nama Johari sebab bunyinya macam ade kelas sedikit. Maklum sajalah, tokoh koporat, nama mesti mahu kelas. Soal maksud disebalik nama, langsung aku tak ambil peduli.

Dari proses pengislaman Mark..Oops silap, Johari Demiris, hinggalah akhirnya kami selamat disatukan segalanya berjalan lancar. Walau terkadang ada jua permasalahan yang timbul, seperti persoalan kewarganegaraan diriku. Johari pinta agar aku menukarkan kewarganegaraanku kepada warganegara Jerman. Menurut kata pegawai pendaftaran kenegaraan yang aku dan Johari sama-sama jumpa, Malaysia tidak benarkan rakyatnya memegang lebih dari satu kerakyatan. Tidak seperti beberapa negara lain, seperti Amerika Syarikat misalnya. Bermakna, aku harus memilih sama ada memenuhi permintaan suamiku itu, atau melepaskan kerakyatan negara tercinta, tanah tumpah darah.

Dalam hal ini, memang berat bagiku untuk membuat pilihan. Antara cintakan suami, dengan cintakan negara. Aku ini sebenarnya bukanlah seorang warganegara yang patriotik, tapi untuk menukar terus kewarganegaraan adalah satu perkara yang berat bagiku. Bagaimana kalau suatu hari nanti ditakdirkan jodohku denganya tak berpanjangan? Tidak kah aku terkontang-kanting nanti dibuatnya. Bukankah jodoh mati ketentuan ilahi? Manusia hanya mampu merancang, sedangkan yang akan menentukan diakhir hari nanti adalah Tuhan yang maha berkuasa. Dalam hal ini, panjang pula fikiranku menjangkau. Walaupun aku tahu Johari itu sangat baik orangnya, sangat bertanggungjawab, tapi manalah tahu nanti; disangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Lagi pula perkenalan kami masih lagi setahun jagung. Aku sering dengar kisah-kisah yang mana pasangan sangat bahagia waktu bercinta, tapi gagal dalam menelusuri arus perkahwinan.Lalu aku memilih untuk kekal sebagai warganegara Malaysia.

Pilihanku itu ternyata telah menyelamatkan aku dari terkontang-kanting berseorangan, bila mana jodohku dengan Johari hanya bertahan selama 7 tahun lebih. Waktu itu, anak yang kami namakan Daniel Ahmad sudah menjangkau usia 7 tahun. Aku menangkap Johari berlaku curang padaku dengan seorang perempuan sebangsa denganya. Sekali, aku maafkan dan dia juga berjanji untuk tidak mengulangi. Tapi bila aku menangkapnya lagi buat kali kedua, darahku naik mendidih tak tertahan lagi. Maka meletuslah perang dunia ketiga. Perdamaian tak bisa lagi tercapai, melainkan perceraian sajalah jalan penyelesaian.

Bagi orang berumah-tangga, perceraian adalah perkara yang paling ingin dijauhi sekali. Namun bagi diriku, walaupun pada awalnya aku amat takut akan perceraian, tapi apabila aku fikir-fikirkan kembali, sebenarnya banyak hikmah yang aku peroleh hasil dari perceraian aku dengan Johari. Johari bukanlah dari orang yang kuat pegangan agamanya. Maklum sajalah, masuk Islam pun atas dasar hendak berkahwin. Malah Johari sebenarnya sangat anti dengan amalan-amalan keagamaan. Nama saja Islam, tapi sepenjang aku bersuamikan dirinya, dia tidak sama sekali benarkan aku menjalankan kewajipanku sebagai seorang muslimah. Aku tidak dibenarkanya sembahyang. Apalagi mahu berpuasa. Kalau mahu menutup aurat, memang langkah mayatnya dahululah!

Selepas perceraian itu, baru aku mula tersentap. Tersentap dan tersedar dari kehidupan kotor yang aku lalui sebelum ini yang bergelumang dengan dosa. Begitulah lumrah manusia, bila susah ditimpa ujian baru ingatkan Tuhan. Kalau tidak... haram!

Bercerai, kalau belum ada anak tak jadi persoalan besar. Tapi bila sudah ada anak, maka proses perebutan hak penjagaan anak amat merumitkan. Aku mahukan Daniel Ahmad bersamaku di Malaysia, sedangkan Johari, mahukan anak kami itu bersamanya di Jerman. Aku mahu selamatkan agama anak kami, sedangkan Johari mahu murtadkan aqidah anak itu. Tapi dalam banyak-banyak hal, ada satu perkara yang aku dan Johari berkongsi pendapat dan kehendak, iaitu kami berdua mahukan Daniel mendapat pendidikan di sekolah Jerman. Tak kiralah sekalipun Daniel bersamaku di Malaysia, aku tetap berhasrat menghantarnya ke sekolah Jerman. Sememangnya terdapat sebuah sekolah kelolaan kedutaan Jerman yang letaknya di Petaling Jaya.

Aku bukan apa, walaupun sudah bercerai, tapi aku sebenarnya masih mengagumi Johari. Kerana itu, aku ingin Daniel mengikut jejak langkah kejayaan ayahnya dalam dunia kerjaya kelak. Aku mahu dia hidup mewah, bukan jadi seperti orang kebanyakan di sini yang setiap kali hujung bulan, mula resah gelisah memikirkan wang yang tak pernah cukup. Sebab itu aku mahu Daniel mendapat pendidikan Jerman, persis seperti ayahnya.

Ayahnya itu, sungguh pun sudah bercerai masih lagi mampu memberi kemewahan pada Daniel. Dan dalam hal ini, aku pun tumpang sekaki memandangkan Daniel, aku yang jaga. Johari meninggalkan sebuah kondominium mewah di Damansara sebagai tempat tinggal kami. Begitu juga dengan wang pampasan perceraian, dia telah bersetuju membayar aku kurang-lebih seratus ribu. Kalau bukan dengan kelulusan luar negaranya (Jerman), sudah tentu Johari tak akan dibayar gaji setinggi itu, sampaikan dia mampu membelanjakan wang sebegitu sekali. Gajinya tinggi pun sebab dia bekerja dengan syarikat Jerman. Kalau syarikat Malaysia, mana ada yang bayar gaji pekerjanya sampai begitu rupa. Rata-ratanya kalau lulusan universiti pun, bayarnya hanya dalam linkungan seribu ke tiga ribu sahaja.

Kalau Daniel diberi pendidikan Jerman, sekurang-kurangnya bila besar kelak dia ada pilihan. Sama ada mahu bekerja dengan syarikat tempatan, atau luar. Aku sentiasa doakan dan mahukan yang terbaik buat anakku yang seorang itu.

Bercakap tentang mahukan yang terbaik, aku teringat suatu hari dalam beberapa bulan selepas penceraian aku, Johari datang bertandang ke Malaysia dari Jerman. Dia datang dengan tujuan menjenguk Daniel. Aku pada waktu itu tidak menaruh apa-apa curiga. Fikirku, sudah berbulan dia tak tatap wajah Daniel, apalah salahnya aku benarkan saja dia melepas rindu sekali-sekala. Dia bawa Daniel tidur bersamanya di hotel. Hujung minggu, dibawa pula Daniel makan angin ke Pulau Langkawi, tidur disana dua malam.

Memangnya Daniel cukup bahagia waktu itu. Aku dapat lihat dari raut mukanya, dia juga amat rindukan Johari. Melihat Daniel begitu bahagia, aku tumpang gembira. Tapi tak kusangka kegembiraan ku tak berpanjangan, bila mana suatu hari pulangnya aku dari kerja, aku dapati kamarku berselerak. Aku cari-cari, passport Daniel hilang.

'Daniel dibawa lari oleh Johari balik ke Jerman!'

Langsung fikiran itu terlintas. Selama ini, memang Johari ada kata dia juga mahukan hak penjagaan Daniel. Tapi tak pula terlintas difikiranku yang dia sampai berani bawa Daniel lari tanpa kebenaran aku. Lagi pula dia pernah kata, selagi hal ini belum selesai di mahkamah, dia bersetuju Daniel tinggal bersama aku dahulu.

Kalau betullah Johari bawa lari Daniel, kes aku ini saling tak tumpah seperti kisah Raja Baharom dengan bekas isterinya yang berbangsa Australia. Mahkamah Malaysia menetapkan hak penjagaan anak adalah pada Raja Baharom, tapi dalam masa yang sama, isteri Raja Baharom mencabar keputusan tersebut dengan membawa kes ini dihadapan mahkamah Australia. Keputusan Mahkamah Australia pula memihak pada si isteri. Dari cinta antara benua, jadi pertelingkahan antara benua pula. Maka terpaksalah Raja Baharom bersusah payah ke Australia, merampas kembali anaknya tanpa pengetahuan si isteri, supaya dapat diselamatkan aqidah anak itu.

Aku cuba dail nombor telefon bimbit Johari, tapi tak dapat. Berkali-kali aku ulang dail nombornya, tapi asyik-asyik keluar suara wanita "nombor yang anda dail, tidak dapat dihubungi. Sila dail sebentar lagi." Aku jadi resah, tapi keresahan aku itu tak berpanjangan. Pagi esoknya aku terima panggilan telefon dari Johari memberitahu dia dan Daniel telah selamat sampai di Jerman. Kini, rasa resah bertukar jadi geram. Kalaulah Johari ada dalam capaianku waktu itu, sudah aku cincang-cincang dia sampai lumat.

Hari itu aku tidak ke kantor. Aku duduk diam-diam dirumah memikirkan tindakan yang patut aku ambil. Demi cinta agungku pada anak kesayangan aku itu, aku membuat keputusan nekad untuk ke Jerman, merampas kembali hak milik aku itu. Aku yang mengandungkanya sembilan bulan, aku yang bertarung nyawa melahirkan, sekarang ini senang-senang pula orang lain ingin memisahkan aku denganya.

"Hello, Kak Edah" Aku menghubungi kenalanku di Jerman.

Kebetulan pula waktu zaman-zaman bahagia aku bersama Johari, waktu aku tinggal di Jerman, aku ada mengenali sebuah keluarga Malaysia yang tinggal di sana atas panggilan pekerjaan. Walid, suami Kak Edah bekerja sebagai wakil MAS disana. Aku harap, dia dapat membantu, sekurang-kurangnya sebagai tempat tumpangan aku selama aku berada di Jerman nanti.

Alhamdulillah, Kak Edah sekeluarga sudi terima aku sebagai tetamu mereka. Sesampai di Jerman, aku mula mengatur stratergi bagaimana untuk aku dapatkan kembali permata hatiku itu.

Hari isnin pagi, aku mulakan langkahan kaki menuju ke rumah banglow yang suatu ketika dahulu pernah menjadi istana aku disisi Johari. Pagi isnin, sudah tentu Johari tiada dirumah kerana ke kantor. Seperti yang aku bayangkan, setibanya aku disana, yang ada hanyalah Daniel bersama pembantu rumah Johari. Pembantu rumahnya menyambut aku dengan wajah yang penuh kekagetan. Aku senyum, buat-buat seperti tiada apa yang harus dipelikkan,seraya memberi tahu aku hanya mahu berjumpa dengan Daniel. Memandangkan dulu aku pernah jadi mem besar di rumah itu, dia jadi tak berani untuk menghalang aku.

Namun demikian, bila aku tanyakan tentang passport Daniel, mukanya berubah jadi pucat. Sedikit gugup, dia katakan yang dia tidak tahu. Namun dari sinaran gentar pada matanya, aku yakin dia berbohong. Aku melangkah ke kamar Johari untuk mencari, tapi hanya menemui kehampaan bila pintunya berkunci.

'Ah, sudah! Macam mana ni. Kalau takde passport, macam mana aku nak bawa balik Daniel ke Malaysia?' Aku bermonolog dalam nada merungut.

Mahu tidak mahu, aku terpaksa larikan Daniel tanpa passport. Bila pembantu rumah Johari bertanyakan kemana Daniel hendak aku bawa, aku cuma jawab, acuh tak acuh, "saja nak bawa Daniel bersiar-siar kejap". Namun sebenarnya aku dan Daniel terus menuju ke rumah Kak Edah sekeluarga. Fikirku, mungkin Abang Walid dapat carikan jalan bagaimana aku bisa kembalikan Daniel ke Malaysia dalam keadaan passportnya yang tiada bersamaku.

3 minggu lamanya aku di Jerman menguruskan urusan imigresen untuk bawa Daniel pulang. Tapi Johari langsung tidak aku hubungi. Aku takut kalau dia tahu, nanti dibawanya Daniel lari lagi sekali.. tak ke nyaya!

Tiap hari ada saja perkara yang perlu diselesaikan. Ulang-alik dari Kedutaan Besar Malaysia ke pejabat imigresen. Sampai lenguh kaki aku dibuatnya turun naik tangga kedua-dua pejabat tersebut. Akhirnya, alhamdulillah dengan bantuan Abang Walid suami Kak Edah, Kedutaan Besar Malaysia telah bersetuju untuk mengeluarkan passport sementara buat Daniel pulang ke tanah air, dalam masa yang sama membatalkan passport Daniel yang sedang dalam simpanan Johari. Jadi kalau apa-apa, Johari tak akan dapat berbuat apa-apa kalau hanya dengan passport lama itu.

Sebenarnya yang menjadi masalah hingga terpaksa berlanjutan sampai tiga minggu adalah kerana pejabat imigresen Jerman mahukan tarikh tepat bila kali terakhir Daniel masuk ke Jerman. Kalau mengikut rekod mereka, kali terakhir Daniel masuk Jerman adalah setahun lepas, iaitu ketika bersama aku, sebelum perceraian antara aku dan Johari. Pelik, pelik. Kalau begitu bagaimana pula Johari bawa masuk Daniel tempoh hari? Takkanlah Daniel dibawa masuk secara haram, sampaikan tiada rekod?

Persoalan itu menjadikan hal yang mudah jadi rumit. Nasib baik Abang Walid masuk campur dalam urusan ini. Abang Walid yang memang dalam kerja harianya sebagai wakil MAS banyak berhubung dengan kedutaan, menjadikan Abang Walid punya hubungan yang agak akrab dengan duta. Abang Walid minta agar dengan jasa baik duta, surat permohonan dihantar kepada pejabat imigresen supaya mereka luluskan saja Daniel pulang ke Malaysia walaupun tanpa tarikh masuk terakhir yang tepat. Dengan pertalian Abang Walid, perkara yang rumit dipermudah. Syukur.

Tepat tiga minggu aku di Jerman, aku pun berangkat pulang ke tanah air tercinta, bersama dengan permata hatiku. Segala-galanya tak mungkin selesai, kalau tidak dengan kemurahan hati Kak Edah sekeluarga. Aku cukup terhutang budi dengan mereka. Sepanjang dalam penerbangan, aku asyik teringatkan pesan Kak Edah dan Abang Walid.

"Jaga anak kau ni baik-baik. Kita sama-sama dah bersusah payah nak dapatkan dia balik. Jangan kau sia-siakan usaha kita ni" Kak Edah memulakan perbualan.

"Yelah kak, jangan lah akak risau. Dia ni lah jantung hati saya. Takkanlah saya nak sia-siakan dia"

"Abang bukan apa, abang cuma risau nanti kalau-kalau Johari cari kamu berdua balik dekat Malaysia." Abang Walid tiba-tiba mencelah.

"Sebaik-baiknya bila kau dah sampai Malaysia, cuba terus selesaikan urusan hak penjagaan anak kau tu dengan mahkamah. Lepas tu, kalau Johari datang-datang nak melawat, pastikan passport baru Daniel kau simpan baik-baik. Jangan sampai jatuh ke tangan Johari semula."

Begitulah antara pesanan-pesanan mereka. Pernah juga mereka berpesan supaya memperkayakan Daniel dengan ilmu-ilmu agama. Katanya, bila sudah besar nanti, ilmu-ilmu itulah yang akan memberikan kesedaran pada Daniel bagi membezakan mana yang baik dengan yang buruk antara ibu dengan ayahnya.

"Daniel ni, dalam usia semuda sekarang sudah berhadapan dengan konflik keluarga sampai macam ini sekali. Abang takut nanti bila sudah besar, dia jadi keliru. Emosinya terganggu kerana ibu dan bapa dia bercakaran berebutkan dia."

"Betul tu. Kak Edah pun fikir begitu. Jangan sekali-kali kau abaikan makanan rohani untuk anak ini. Imanlah perkara paling penting yang perlu kau dulukan dalam mendidik dia."

Dalam banyak-banyak pesanan yang mereka berikan pada aku, pesanan terakhir Kak Edah lah yang paling menusuk kalbuku sepanjang aku dalam penerbangan pulang ke Malaysia. "Imanlah perkara paling penting yang perlu kau dulukan dalam mendidik dia". Tapi pelik, sesampainya aku di Malaysia, segala-galanya seperti beterbangan menjadi debu-debu yang tiada bernilai. Bukan apa, cuma dalam kesibukan aku mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal, aku seperti tak cukup tangan untuk menguruskan Daniel berseorangan lantas terlupa segala pesanan-pesanan tersebut.

Pagi-pagi lagi Daniel sudah aku hantar ke sekolah Jermanya di Petaling Jaya. Selepas itu, aku pula masuk pejabat. Pukul 2 Daniel selesai sekolah, tapi aku suruh dia sibukkan diri dengan aktiviti-aktivit ko-kurikulum di sekolah hingga ke petang, sebab aku hanya dapat datang jemput selepas pukul 4.30. Bukannya tak boleh Daniel pulang menaiki perkhidmatan bas sekolah yang disediakan, tapi kalau pulang pun, tiada siapa dirumah. Jadi aku lebih suka kalau dia tunggu di sekolah sambil melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah dibawah kelolaan kelab dan persatuan sekolah.

Begitulah aktiviti Daniel dan aku setiap hari, lima hari seminggu. Malamnya pula aku luangkan masa bersamanya menghadap kerja-kerja dari sekolah siang tadi. Hari minggu, kadang-kadang aku bawa dia bersiar-siar. Tapi selalunya, aku gunakan hujung minggu sebagai hari melepaskan lelah bekerja seminggu. Tuhan sajalah yang tahu betapa susahnya membesarkan anak tanpa suami disisi.

Aku sebenarnya ada terasa betapa tidak lengkapnya pembesaran Daniel tanpa pendidikan agama, seperti pesanan Kak Edah dan Abang Walid. Tapi memandangkan sekolah agama adalah pada waktu petang, dan petang pula, aku tak punya waktu untuk menjemput Daniel, jadi aku terpaksa melupakanya saja. Hendak diajar sendiri, masih terlalu cetek ilmu agamaku. Sembahyang pun masih kadang-kadang cukup, kadang-kadang ponteng. Lantas, terdidiklah Daniel dalam suasana yang penuh kasih-sayang olehku, dalam persekitaran sekular seperti yang terdidik di sekolah Jermanya, tapi dalam ketandusan santapan rohani. Dia semakin membesar matang, dan aku pula semakin dimamah usia.

Mungkin ,sebab itulah pada hari ini, dalam usiaku yang kini mencecah 75 tahun, aku diusir oleh anakku sendiri. Setelah segala pengorbanan dan kasih sayang cinta tak berbelah bahagi aku curahkan padanya, aku akhirnya dibalas dengan sepotong kata-kata nista, "Nyah Engkau dari sini. Aku bencikan kau!"

Aku benci kau. Aku benci kau. Aku benci kau. Aku benci kau. Aku benci kau. Kata-kata itu terngiang-ngian di telinga tuaku ini.

'Memang dasar anak haram! Tak tahu mengenang budi!' Aku merungut dalam hati, tapi tanpa aku sedar, sebenarnya segala-gala yang berlaku adalah silapku sendiri. Manik-manik jernih mula bergelinang menelusuri pipiku yang berkedut-kedut dimamah usia.

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP