Thursday, May 12, 2005

12 May, Tarikh Keramat!

Hari ini genap setahun Ideal ketagihan.. Bermula dengan cuba-cuba, sekarang baru tahu padahnya. Itulah, orang tua-tua sudah berpesan, "Katakan taknak!". Pak Lah, perdana menteri kita pun gigih sampaikan mesej yang sama melalui kempen seluruh negaranya. Sekarang lihat apa sudah jadi? Sudah ketagihan. Siapa yang susah? Diri sendiri juga yang terima padahnya. Padan muka!

Pula tu, dalam tempoh pengajian di UiTM Kedah, capaian internetnya amat terhad. Sesak rasanya nafas, bila kadang-kadang sehari suntuk tak dapat bertemu mata dengan the Ideal Online site.

Barangkali gitulah gambaran kalau rokok, atau barangkali dadah, sekiranya dijadikan metafora buat perbandinganya dengan budaya blogging dalam diri Ideal. Setelah genap setahun bergelumang dengan dunia blog, Ideal sebenarnya sudah ketagihan dengan blog (blog addict). Kalau dalam sehari tak dijenguknya blog, rasa resah gelisah. Tak senang duduk dibuatnya. Bila sudah dijenguk, walaupun buat seketika cuma, maka bayu tenang pun bertiup kembali.

Bermula ketika di Kolej Sunway, kemudahan capaian internet 24jam di bilik membuatkan Ideal sampai muak melayari internet. Bila ada masa kosong saja, internet akan jadi peneman setia. Pula tu, memang hampir 24 jam online sentiasa dengan msn messenger.

Bila sudah bosan, lumrah manusia, timbul pula keinginan untuk mencari sesuatu yang baru. Perasaan ingin tahu pula merengek-rengek ingin menyelami ke dasar lautan pembinaan laman web. Maka dari situ, bermulalah pencarian Ideal... pencarian akan bagaimana cara membina laman web sendiri. Nak tanya kawan, rasanya waktu itu memang belum ada taulan yang sudah punya laman web sendiri. Jadi terpaksa lah diselidiki sendiri.

Cari punya cari, akhirnya bertemu jodoh dengan geocities.com. Ideal pun cubalah. Baca sana-sini dalam enjin pencarian, dan adakalanya dalam web geocities sendiri. Akhirnya terbina sebuah laman web yang sangat asas, dengan menggunakan PageWizard Geocities. PageWizard ini mudah dan mesra pengguna, kerana untuk menggunakanya, kemahiran skrip java mahupun kod html tidak diperlukan. Laman web pertama itu masih tersergam utuh, walaupun barangkali sudah bersawang. Untuk melawat, klik sini. Waktu itu, fokus Ideal bukan pada isi dalamnya, tapi hanya sekadar bagi memenuhi rintihan hati yang kepinginkan web peribadi. Jadi laman itu agak hambar dari segi pengisian. Temanya pula, Ideal pilih tema Taekwondo, memandangkan ia adalah salah satu dari nafas hidup Ideal.

Satu hari, Ideal terjumpa pula sebuah laman web peribadi, milik Anna Abadi yang sangat menarik. Laman web yang menggunakan khidmat Geocities.com ini, mengambil sajak dan sastera sebagai tema utamanya. Terpesona dengan keindahan luar dan dalamnya, Ideal yang kala itu masih terumbang-ambing dengan pemakaian tema laman web, membuat keputusan untuk berpindah ke laman web baru dengan tema sajak pula. (Ini kira kes ikut-ikut, tiru-tiru lah ni...) Laman web yang kedua ini pula, boleh dilihat disini.

Apabila rakan serumah Ideal (ketika di Kolej Sunway), Nasrul, terlihatkan laman web yang Ideal cuba bina, dia sarankan untuk dijenguk laman web Nik Nazmi. Nik Nazmi, yang pernah kami temui dalam sebuah makan malam anjuran sebuah syarikat guaman, memang memiliki sebuah laman web yang menarik. Bukan saja reka bentuknya yang indah, tapi isinya juga luar biasa. Dari situ, melompat-lompat ke blog orang lain (blog hopping), Ideal jumpa blog Alia di Lieawulf.blogspot.com, yang mengangkat Taekwondo sebagai salah satu tema bloggingnya. Dari blog Alia lah Ideal mula berkenalan dengan blogger.com, dan hingga kini masih setia ketagihan.

Blogger.com berlainan dengan PageWizard di Geocities kerana pengguna diberi pilihan. Sama ada inginkan yang asas (reka bentuk yang sudah sedia ada), atau mahu yang diberi sentuhan sendiri (memerlukan sedikit pengetahuan tentang kod html). Dalam setahun usia blog Ideal Online ini, Ideal ralit menukar-nukar reka bentuknya. Tak pasti sudah berapa kali ditukar, tapi rasanya sudah melebih 50 kali. Semuanya dibuat dengan cara cuba-cuba. Masukkan kod, tekan butang preview, masukkan kod, tekan preview, dan begitulah sampai reka-bentuk yang diidamkan menjelma.

Pun sudah setahun usia blog Ideal Online ini, temanya masih samar-samar. Ideal sendiri masih tak pasti apakah tema yang harus diangkat. Kadang-kadang menulis tentang minat Ideal dalam dunia Taekwondo, silat dan sebagainya...ada tika yang lain pula menulis tentang isu-isu semasa dan artikel...waktu-waktu yang lain pula, berkisar tentang cerpen dan sajak. Tapi rasanya, yang paling selalu, tentang jurnal peribadi.

Ideal masih belum berpuas hati dari segi isi dan tema.... Apa-apa pun, selamat hari lahir yang pertama, Ideal Online! 13 May, tarikh tragis. 12 May, tarikh keramat...

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP