Monday, May 23, 2005

Cerpen: Macan Tak Bertaring

Mata sepetnya liar memandang ke kiri dan ke kanan, kemudian ke kiri kembali. Namun demikian, kepalanya tetap, dan tidak pula ditoleh searah dengan pandanganya. Hanya anak mata sahaja yang dikerlingkan. Takut kalau-kalau ada pula yang perasan nanti. Malu.

Hatinya berasa lega seketika. Nasib baik apa yang dilakukanya tidak silap, sebab dilihatnya orang lain pun sama menggunakan garpu dan pisau. Tadi, waktu mula-mula dia agak canggung tak tahu yang mana satu harus dicapainya. Diatas meja, disebelah kanannya tersusun sebatang sudu, dan sebilah pisau. Manakala dibahagian kiri pula tersusun dua buah garpu, satu besar, dan yang satu lagi agak kecil. Takut juga dia kalau tersilap tadi.

Tulang belakangnya tegak, sedang bahunya sedikit menguncup kehadapan. Sekejap bahu kirinya ke atas, sekejap bahu kanan pula yang ternaik. Payah sungguh dia mahu memotong secubit ayam dalam pingganya itu.

"Oops, maaf." Wajahnya kemerahan menahan malu. Siku kanannya terhentam keras orang yang duduk bersebelahan denganya. Dia silap, kerana dalam kerumitan memotong secubit ayam dengan pisau dan garpunya, dia telah mengepakkan siku sampai terlanggar orang disebelah. Orang yang disebelah pula, sedang khusyuk menikmati ayam dan sayur-sayuran dimasak chineese style, tersentap lalu tersedak. Garpu ditangan kirinya terlepas dan jatuh ke lantai. Kling!

Berderau darahnya. Serasa seolah-olah mata-mata sekalian hadirin semua tertumpu kepadanya. Pasti mereka sedang berbisik-bisik sesama sendiri, 'lihat tu, dia tak tahu makan beradab. Makan pun gopoh-gapah, sampai kelanggaran orang disebelah. Kasihan orang yang disebelahnya tu.' Dia seolah-olah dapat mendengar sendiri sok-sek sok-sek bisikan mereka. Dia menundukkan kepala, kedua-dua tangan masih bergoyang-goyang memotong apa yang ada didalam pinggan, seolah-olah sedang khusyuk menghadap hidangan. Mahu ditutup malunya tadi.

Kalaulah makan di hotel boleh bertangan, kan mudah. Makanannya enak... memang sedap. Dari aromanya pun memang sudah sungguh-sungguh membuka selera. Tapi dek kerana susahnya bersudu-garpu, seleranya pun jadi sukar untuk dipuaskan. Mahu memotong secubit ayam pun setengah mati, ini kan pula mahu dicedok nasi dengan menggunakan garpu. Dia pun pelik macam mana orang disebelah-sebelahnya boleh pula menikmati makanan mereka sehabis ria. Seolah berpisau-garpu bukan penghalang buat mereka mengecapi nikmat menyantap malam itu. Barangkali mereka memang sudah terbiasa, fikirnya.

Kalaulah dulu dia tidak malas, tentu dia sudah pandai bersudu-garpu, malah berpisau sekali. Dulu waktu menuntut di universiti, dia pernah terpilih untuk menghadiri kursus makan beradat. Kalau tawaran tersebut ditawarkan kepada rakan-rakannya yang lain, sudah pasti mereka tak akan lepaskan peluang begitu. Maklumlah, kehidupan sebagai mahasiswa, makan minum selalunya tidak menentu. Kalau waktu kocek penuh, perut pun selalulah di isi, tapi kalau masuk waktu-waktu hujung bulan, ramai pula yang terpaksa ikat perut. Makanya bila ada kursus-kursus sebegini ditawarkan, siapa pula yang sanggup melepaskan peluang makan percuma?

Tapi bagi dirinya, bila hanya dia seorang yang terpilih dari kalangan rakan-rakan yang dikenalinya, dia jadi malas menghadirinya. Dia bayangkan nanti hanya dia berseorangan sahaja, manakala yang lain semuanya tidak dia kenali. Pasti kekok nanti rasanya. Kursus sehari suntuk, dari pagi sampai ke malam. Mahu berbual dengan siapa nanti? Kalau waktu-waktu rehat, mahu bersama siap pula dia nanti? Lantas dia pun tak jadi pergi.

Sekarang, dia juga yang rugi, melepaskan peluang sebegitu berharga. Bila pagi tadi bosnya memberitahu yang malam nanti ada diner, dia sudah jadi tidak keruan. "I want all the chambering students to be present as well!" Setelah 23 tahun hidup, itulah buat pertama kalinya dia akan makan gaya orang barat. Bersudu, bergarpu, berpisau, apa kala pakaianya pula berkot dan bertali leher. Dia lalu berkira-kira bagaimana dia mahu membawa diri nanti. Dan apa yang terjadi tadi, sudah cukup membuktikan betapa dia gagal membawa diri dengan baik apa kala dia melanggar orang disebelahnya.

Dia merenung satu-satu mereka yang duduk semeja denganya. Mejanya bulat, menempatkan lapan orang. Disebelah kananya (orang yang dilanggarnya tadi), adalah perempuan cina, juga salah seorang pelatih yang masih menjalani chambering. Disebelah kirinya pula, adalah salah seorang peguam disyarikat guaman tempat dia sedang chambering. Usianya, dia berkira-kira barangkali dalam lingkungan penghujung tiga puluhan, melihat pada kerut-kerut kulit wajah dan uban dirambut yang masih malu-malu bersembunyi. Lain-lain yang semeja denganya, memang kebanyakannya peguam. Hanya dia dan perempuan cina disebelah kanannya sahaja yang masih pelatih chambering, dan seorang bujang yang duduk tepat-tepat dihadapanya, peon di kantor. Mereka semua kelihatan tenang menikmati hidangan, sambil berbual-bual tentang entah apa. Hanya dirinya seorang saja yang termangu tak tahu apa yang mahu dibualkan, memandangkan dia masih baru dan belum kenal baik dengan mereka.

"Ish, apa ni! Tak henti-henti melanggar orang. Tak reti bersopan ke bila makan?" Lelaki lingkungan penghujung tiga puluhan disebelah kirinya bersuara keras, sekaligus mematikan lamunan sunyinya. Ternyata dalam dia termangu tadi, sambil tangannya dengan penuh susah payah menguis-nguis dengan garpu dan pisau, dia telah sekali lagi mengepakkan sikunya. Kali ini sikunya itu menghentam lelaki disebelah kirinya pula. Apalah nasibnya malam itu. Tak habis-habis ditimpa malang.

Kalau tadi, perempuan cina itu tidak apa-apa, tapi kali ini lelaki itu dilihatnya agak berang. Dia pernah dengar dari bualan orang-orang di pejabat, yang lelaki ini agak panas baran sifatnya. Mereka memanggilnya Macan Tak Bertaring, sesuai dengan darah jawanya dan pangkatnya yang tidaklah setinggi mana, tapi selalu lagak seperti bos. Apa saja yang dilihat tak kena, mahu dimarahnya.

"Maaf, saya tak biasa makan begini."

"Apa kau kata? Tak biasa makan cara orang bertamadun begini? Habis tu makan bagaimana yang kau biasa?" Lelaki itu kelihatannya makin meninggi berangnya. Suaranya pun makin meninggi, membolehkan orang-orang lain disekeliling mendengar. Dia sekali lagi terasa seolah-olah mata-mata mereka semua tertumpu kepadanya. Bisikan-biskan sok-sek sok-sek mereka pun mula memenuhi ruang pendengaran imaginasinya. ‘Lihat tu, dia tak tahu makan beradab. Makan pun gopoh-gapah, sampai kelanggaran orang disebelahnya..’

Cara orang bertamadun? Dia sendiri jadi agak tercabar egonya bila soal bertamadun dipersoalkan. Apakah dirinya ini sampai begitu rendah sekali mahu dipersoalkan ketamadunan dirinya? "Err.. Maksud saya, saya tak biasa bersudu, bergarpu begini gaya orang barat. Saya lebih suka makan bertangan. Lagipun, bukankah makan dengan tangan itu lebih Melayu budayanya. Islamnya pun lebih." Panjang dia jawab dengan harapan agar lelaki itu faham. Dia malu, dan kalau boleh dia tak mahu terus menjadi tumpuan. Selagi lelaki itu terus mencengkamnya dengan kuku perbalahan, dia akan terus jadi tumpuan mata-mata mereka semua.

"Islam yang kau persoalkan?" Nada lelaki itu seolah-olah tidak percaya. Masih belum puas, lagaknya.

"Yalah... bukankah nabi kita makannya dengan tangan. Malah ada yang kata bertangan, hanya dengan tiga jari sahaja sunnahnya. Sarjana barat pun mengakui hikmah makan bertangan. Katanya enzim ditangan membantu pencernaan diperut." Dia berhujah, lagaknya seorang peguam.

"Huh, engkau mahu berhujah dari falsafah perubatan konon. Tapi barangkali engkau sendiri tidak tahu sejarah perkembangan ketamadunan orang-orang Islam..."

Lelaki itu berhenti sebentar, apabila pramusaji datang, mengangkat pinggan-pinggan yang sudah kosong. Pinggan-pinggan yang kedua-dua garpu dan pisaunya dirapatkan, tanda selesai. Mereka semua sudah selesai, tapi hanya dia seorang yang belum. Mereka semua sudah kenyang, hanya dia yang masih lapar kerana tidak puas makan berpisau dan bergarpu. Tapi apa kan daya, dia terpaksa benarkan saja pramusaji itu mengangkat pinggannya bersama-sama dengan pinggan-pinggan yang lain kerana selepas ini, santapan penutup pula akan disajikan.

"Engkau mempersoalkan budaya bersudu-bergarpu? Engkau melabelkan makan begini makan gaya orang barat? Barangkali engkau belum pernah kenal dengan si Burung Hitam..."

Dia menggaru-garu kepalanya. "Burung Hitam? Binatang apa itu?"

"Burung Hitam adalah terjemahan terus kepada perkataan Arab, Ziryab, iaitu gelaran yang diberikan kepada Abu al-Hasan Ali Ibn Nafi. Dia merupakan seniman agung waktu zaman kegemilangan Islam di Baghdad sekitar awal 800 masehi. Digelar Burung Hitam sebagai perbandingan dengan burung yang bersuara merdu, dan berbulu hitam, memandangkan Ziryab sendiri bersuara merdu, manakala kulitnya berwarna agak gelap.

"Asalnya dari Iraq, tapi kemudian bermigrasi ke Spanyol dan menjadi amat rapat dengan kerabat istana disana. Malah dia kemudianya diangkat sebagai menteri kebudayaan. Nah, disinilah letaknya peranan Ziryab dalam memperkenalkan budaya-budaya baru dalam dunia Islam ketika itu." Lelaki itu berhenti sejenak, sambil tangan kanannya mencapai gelas berisi air dari langit lalu meneguknya. Dahinya dikerutkan, lalu menyambung.

"Kalau engkau makan asparagus, atau pun kalau kau memulakan makan dengan sup, dan mengakhirinya dengan makanan penutup manis-manisan, seperti yang kita makan malam ini, atau barangkali kalau kau menggunakan ubat gigi, maka engkau sebenarnya banyak terhutang budi pada seniman agung ini."

Kebetulan pula pada waktu itu, pramusaji datang, menghidangkan makanan penutup. Koktel buah-buahan disajikan, dalam mangkuk bertelinga dua. Pramusaji yang lain pula datang, bertanyakan teh atau kopi. "Teh saja.." dia jawab, bila ditanya. Dia memang tidak biasa minum kopi waktu malam-malam. Takut nanti sukar untuk melelapkan mata. Esok pula masih hari bekerja, kalau tidur lambat nanti susah bangun pula.

Dilihatnya semua yang duduk semeja dengannya mencapai sudu yang disebelah kanan mereka. Ooh, patutlah tadi mereka tak gunakan sudu untuk makan nasi. Ternyata sudu disimpan untuk makan penutup, fikirnya. Dia tersenyum sendirian. Senyum puas, kerana sekarang dia baru faham susun atur pemilihan sudu garpu.

Lelaki itu membuka mulutnya kembali. "Tidak terlihatkah engkau, betapa si Burung Hitam itu adalah penyumbang besar kepada budaya yang sehingga ke hari ini masih kekal diamalkan." Dia kembali merenung wajah lelaki disebelah kirinya itu, tanda masih mendengar. Kini, nada lelaki itu tidak lagi berunsurkan berang. Nadanya, ekspresi mukanya, dan gerakan tanganya bila berbicara, seolah-olah sedang berceramah. Lelaki itu pasti sedang asyik berceloteh. "Budaya makan beradab seperti mana yang sedang kita amalkan malam ini, kalau engkau melabelkanya sebagai budaya barat, kau sebenarnya silap. Sebab sebenarnya ini budaya Islam yang dicopet oleh barat. Ini budaya yang lahir di tengah-tengah zaman kegemilangan Islam.

"Tinggal lagi sejarah peradaban dunia kini dipegang oleh sarjana barat, maka dengan terancang jasa-jasa tokoh-tokoh Islam dipadamkan. Sebab itulah nama Ziryab jarang kita jumpa dalam buku-buku sejarah." Dia sudah mulai seronok mendengar celoteh lelaki itu. Sekurang-kurangnya sekarang ini tumpuan mata tidak lagi kepadanya. Sok-sek sok-sek mereka juga sudah tidak kedengaran lagi. Yang kedengaran hanya patah-patah perkataan yang keluar dari mulut Macan Tak Bertaring.

"Sebelum Ziryab, adat cara menghadap makanan di barat sangat ringkas, pengaruh dari puak Visigoths iaitu penguasa selepas puak Vandals. Makanan yang lain-lain dicampur-adukkan dalam sebuah dulang, tidak dipisahkan. Meja makan pun diperbuat dari kayu yang tidak langsung diberi sentuhan keindahan. Kala itu, adab makan tak pernah wujud dalam kamus masyarakat. Ziryab lah yang memperkenalkan pengalas meja yang waktu itu diperbuat dari kulit haiwan. Ziryab juga menukarkan gelas-gelas yang berat diperbuat dari emas dan perak kepada gelas kristal. Dia menggantikan sudu dan garpu kayu yang besar-besar kepada yang lebih sesuai dan lebih mirip kepada apa yang kita gunakan pada malam ini. Semua ini dilakukan dan diamalkan buat pertama kalinya didalam istana, dengan kebenaran amir Spanyol ketika itu, dibawah kelolaan Ziryab si Burung Hitam."

"Kalau semuanya bermula dari dalam istana, bagaimana pula ia boleh tersebar dengan begitu meluas sekali, seperti yang kita lihat pada hari ini?" Giliran dia pula yang bersuara kali ini.

"Oh, tentang itu..." Lelaki itu tersenyum puas. Barangkali bangga, kerana soalan yang diutarakan adalah bukti bahawa celotehnya didengari. "Zaman itu, sama seperti zaman sekarang juga. Artis diagung-agungkan. Seniman adalah selebriti yang dikenali seantero dunia. Lebih-lebih lagi Ziryab yang menurut kata Al-Maqqari, sejarawan Arab kurun ke 17, sebagai tokoh yang tiada tolok bandingnya sama ada sebelum zamannya, sewaktu, mahupun selepas. Dia disayangi dan disanjungi oleh masyarakat tika itu. Sebab itu apa yang disarankan, apa yang dicadangkan, apa yang dilakukan, semuanya menjadi ikutan orang." Lelaki itu mencedok koktel buahnya dan kemudian menghirup. Dia yang disebelah pun turut sama. Manis... campuran dari buah epal, pic, nenas dan ceri.

"Ya, barangkali benar katamu, aku silap. Barangkali memang benar budaya makan beradat seperti yang diamalkan barat, bukan budaya asal mereka. Mungkin benar katamu, budaya ini dipopularkan oleh seorang tokoh Islam yang berasal dari Baghdad. Tapi perlu kita sedari, apa yang diketengahkan tokoh beragama Islam, tidak semestinya berbudaya Islam." Dia cuba mengemukakan pendapatnya. Dia masih percaya, bahawa sunnah nabi (makan dengan menggunakan tangan) itulah yang terbaik dan yang berbudaya Islam. “Cuba kita perhatikan perjuangan yang dipelopori oleh Osama Laden. Walaupun dipelopori oleh seorang Islam apakah ia berbudaya Islam?"

"Heh, Ziryab itu tokoh terkemuka yang dikenali kerana jasanya. Tak pantas kau samakan dia dengan pengganas yang dikenali kerana jahatnya."

"Bukan begitu maksudku. Begini... cuba kau teliti tokoh terkemuka sastera Arab, Abu Nuwas yang juga hidup sekitar tahun 800. Abu Nuwas terkenal kerana jasanya, sumbanganya dalam sastera Arab, seperti mana Ziryab dikenali kerana jasanya dalam peradaban manusia. Malah tak terhingganya jasa Abu Nuwas, sehingga dia dikatakan sebagai orang pertama yang mengangkat bahasa pertuturan Parsi dan Arab kedaerahan yang sebelumnya hanya dipakai dalam bahasa kuno, kedalam karya-karya kesusasteraannya. Namun demikian, sungguh pun teramatlah besar sumbangannya, apakah karya-karyanya boleh kita labelkan sebagai berbudaya Islam, sedangkan Abu Nuwas itu sendiri beragama Islam? Tentu sekali tidak! Dia dengan terang-terang mengisytiharkan; dia menyukai apa yang dilarang oleh kitab (Al Quran), manakala benci apa yang diseru oleh kitab. Sebab itulah kementerian kebudayaan Mesir akhirnya, pada tahun 2001, telah membakar 6000 buku hasil karya Abu Nuwas, atas kelancangannya menghina serta merendahkan hukum Tuhan.

"Apa yang aku maksudkan ialah, budaya Islam itu tidak seharusnya diukur dari siapa pencetusnya. Sebaliknya budaya Islam itu diukur dari sumber utama agama, iaitu Al Quran dan Sunnah nabi. Sunnah nabi makannya dengan tangan. Lagi pula sudah terang-terangan sarjana barat mengiktiraf keselarian sunnah yang ini dengan kajian perubatan." Dia senyum, hujahnya sudah dilepaskan.

"Heh.." Lelaki itu menyeringai dalam tawa sumbing. "Kau menyamakan sumbangan si Burung Hitam dengan Abu Nuwas, sasterawan Arab yang cenderung pada hubungan sejenis..." tak sempat menghabiskan ayat. Tup!

Terasa bahunya disentuh seseorang. Dia menoleh kebelakang, wajah bosnya yang berbangsa India mengisi ruang retina. Bosnya berbongkok sedikit, sebelah tangan dibahunya, dan sebelah lagi dibahu Macan Tak Bertaring. "Come, come, all senior lawyers and chambering students. Come, wine testing." Beria-ia bosnya mengajak ke meja bos-bos. Mahu disuruh rasa arak-arak keluaran baru, katanya.

Ah sudah! Macam mana ni? Dia jadi panik. Bagi kalangan mereka semua, dijemput untuk wine testing adalah satu penghormatan. Lagi pula jemputan itu datangnya dari bos syarikat sendiri. Memang dia sudah sering dengar cerita dari senior-seniornya ketika masih menuntut, bahawa kehidupan dan gaya sosial peguam, banyak terjerumus pada hal-hal yang begini. Tapi kali ini, dia sendiri menghadapinya.

"Err, maaf.. saya perlu ke tandas sebentar." Dia mengelak secara baik, bangun dan kemudian keluar untuk menuju ke tandas. Hanya itulah jalan yang dapat difikirkannya. Sebelum keluar dari ruang makan itu, dia sempat menoleh ke belakang. Dia nampak lelaki yang duduk disebelahnya tadi bangun, dan pergi menuju ke meja bos-bos untuk wine testing.

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP