Thursday, May 26, 2005

Kabut dan Bulan Sabit di Demak

Petang tadi keluar sebentar mencari buku. Sebetulnya hajat dihati nak cari novel: Mencari Locus Standi, karya Nisah Haron. (Novel yang menyerapkan sedikit unsur perundangan. Nisah sendiri adalah seorang peguam). Tapi ternyata kedua-dua kedai buku di Kompleks PKNS Shah Alam tidak ada simpanan buku tersebut. Dalam mencari, bertemu jodoh pula dengan novel yang tak kurang menariknya: Kabut dan Bulan Sabit di Demak, karya Nunung Prajarto.

Belum mula baca pun lagi. Masih ada beberapa buku lain yang perlu dihabiskan terlebih dahulu sebelum baca yang ini, sebab Ideal mahu seimbangkan antara pembacaan fiksyen dengan non-fiksyen.

Tapi rasa-rasanya novel ini mungkin mengambil konsep yang sama dengan novel 1515, karya Faisal Tehrani (ini hanya hipotesis awal Ideal sebelum membaca). Melihatkan pada intro di muka pertamanya, perenggan pertama yang berbunyi:

Aku tak pernah meniru sejarah. Bahkan untuk sejarah apa pun. Mengapa orang tak menciptakan sejarahnya sendiri? Langkah Islamku menandai sejarah diriku, sejarah Islam tanah karyaku di bumi jawa.

Jadi rasanya penulis novel ini menggunakan daya imaginasi untuk mencipta sejarah gemilangnya sendiri. Kalau 1515 sebuah novel yang menukar sejarah, yang ini barangkali mencipta pula. Apa-apa pun, kena tunggu dah habis baca dulu baru boleh tahu. Atau barangkali sudah ada yang pernah baca? Sesiapa..?

Sinopsis di akhir novel tertulis:

Keadilan Sultan sahaja tidak cukup. Ketangkasan senopati sahaja tidak memadai. Demak sedang makmur, sedang menuju gemilang, dan siapa sahaja mahu mengambil bahagian daripada kemakmuran itu. Dan pergulatan kuasa selamanya menuntut lebih daripada kualiti fizik, nilai adil jujur- bahkan siasat politik.

Ini kisah kerajaan yang perkasa melebarkan pengaruhnya, yang tawaduk pemerintahnya. Kisah Demak yang mengambil tanggungjawab Malaka menancapkan bendera Islam di bumi Nusantara. Kisah pesong dendam nafsu membolot kuasa.


Seperkara yang telah menarik minat Ideal untuk membeli buku ini, sebab novel ini berlatarkan tentang perjuangan. Ideal memang gemar kisah-kisah perjuangan. Macam buku Bukit Kepong karya Ismail Johari. Macam 1515 juga. Konserto terakhir juga barangkali dari satu sudut boleh dilihat sebagai perjuangan (perjuangan dari seorang budak kampung yang dipandang hina oleh keluarga ayahnya sendiri, sehingga akhirnya berjaya jadi seniman agung). Masing-masing berbeza perihal perjuangannya. Tapi perjuangan tetap perjuangan, dan Ideal memang suka.

Novel Kabut Dan Bulan Sabit di Demak ini juga merupakan pemenang anugerah sastera Darul Iman iv.

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP