Friday, June 03, 2005

Cerpen: Bila Nysrah Kata Tak Mahu...

Kereta api terus meluncur laju. Nysrah terus termangu. Kereta api terus-menerus tak henti-henti bergegar kecil membuatkan Nysrah yang sedang duduk di dalamnya pun turut sama ikut bergoyangan mengikut rentaknya. Sekejap ke kiri, dan sebentar kemudian ke kanan.

Ditutupnya buku Putera Gunung Tahan, karangan Pak Sako. Kemudian dia menoleh ke arah jam tangan orang yang duduk disebelahnya. Sudah pukul satu pagi. Dia menghela nafas panjang. Setiap kali usai membaca sesebuah buku, pasti dia akan berasa puas. Bukan puas kerana berjaya menghabiskannya, tapi puas mendapat ilmu di dalamnya. Walaupun karya Pak Sako ini sebuah karya fiksyen, tapi terlalu banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripadanya.

Barangkali memang itulah pun yang menjadi fokus Pak Sako waktu menulis dahulu. Bukankah Pak Sako sendiri pernah beri komentar tentang karyanya yang ini, "Saya menulis Putera Gunung Tahan khusus sebagai alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah.."

Membaca karya klasik sebegini memang benar-benar meninggalkan kesan pada diri Nysrah. Jiwanya terasa tenang, mindanya pula terasa diisi. Mesejnya seolah-olah terus menyelusup masuk ke dalam hatinya.

"Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali."
"Anakanda mesti ingat dan jangan percaya sangat akan seorang dagang seperti itu..."

Bibit-bibit dialog antara watak perempuan tua dengan Ratu Bongsu itu masih segar dalam ingatannya. Memang benarlah...dahulu zaman penjajah, mereka datang dengan niat di hati ingin mengaut untung. Orang-orang Melayu pula yang memang terdidik dengan penuh kesantunan, menerima mereka dengan baik. Meraikan tetamu, sampai kepala sendiri dipijak. Memanggil mereka Tuan, dan menjadi hamba di bumi sendiri.

Tapi dalam zaman sekarang, walaupun telah lama kita terlepas dari cengkaman penjajahan, masih ada lagi watak-watak seperti Tuan William dan Tuan Robert dalam Putera Gunung Tahan itu. Watak yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.

Hj Qulai!

Ah, berdosakah dia kalau menyamakan penolong pengetua hal ehwal pelajar sekolahnya itu dengan watak-watak antagonis dalam buku itu? Barangkali dia bukan sengaja mahu menganiaya Nysrah, hanya kerana kedudukannya yang tinggi sebagai penolong pengetua, sedangkan Nysrah hanya seorang pelajar biasa. Barangkali dia cuma tak faham akan masalah kewangan yang dihadapi keluarga Nysrah. Mungkin dia tak pernah berniat mengambil kesempatan ke atas kelemahan diri Nysrah yang selalu berlemah-lembut bila berbicara. Lebih baik Nysrah bersangka baik sahaja.

Tapi, salahkah seorang pelajar yang hanya mengharap simpati dari seorang guru? Salahkah, seorang pelajar meminta haknya sebagai salah seorang warga sekolah dipenuhi? Bila berbicara tentang tanggung-jawab yang dibebankan ke atas pundak para pelajar, guru-guru selalu berapi-api berpidato..berceramah. "Menjadi tanggung-jawab kamu semua menaikkan nama sekolah, tak kiralah sama ada di dalam arena akademik, mahupun ko-kurikulum.." Tapi mengapa bila soal hak para pelajar diutarakan, guru-guru selalu saja mencari alasan?

"Tidak. Pihak sekolah tidak akan membayar gaji lebih masa kepada pemandu van sekolah, hanya semata-mata untuk menjemput kamu." Gitulah antara bibit-bibit jawapan lepas tangan yang diberikan, waktu Nysrah bertemu dengan Hj Qulai di kamar penolong pengetua hal ehwal pelajar.

"Cikgu, dari kelantan, kereta apinya akan tiba di Bahau seawal jam lima pagi. Saya tak punya pilihan lain, hanya itulah satu-satunya kereta api yang dijadualkan. Jam lima pagi cikgu! Dan saya berseorangan, sebab cuma saya seorang sahaja pelajar sekolah ini yang berasal dari Kelantan. Saya ni perempuan Cikgu. Saya risau kalau saya pulang mengambil teksi berseorangan pagi-pagi buta begitu, bahaya padahnya."

Memang sungguh-sungguh dia risau. Peristiwa awal pagi yang berlaku kepadanya masih terlalu segar di dalam ingatan. Ya.. segala-galanya bermula persis seperti malam inilah. Cuma waktu itu dia masih di tingkatan empat, sedang sekarang dia sudah bergelar senior.

Waktu itu dia naik dari Kota Bharu juga jam sembilan malam. Lapan jam kemudian, dia tiba di stesen kereta api Bahau tepat jam lima pagi. Letih, lenguh, mengantuk, segalanya bercampur-aduk. Semalaman dia di dalam gerabak, jadi kalau boleh dia mahu lekas sampai ke sekolah. Mahu dilepaskan lelah semalaman berjam-jam duduk postur tegak di kerusi kelas ekonomi. Kebetulan memang sudah ada beberapa pemandu teksi yang terpacak di laluan keluar, menawarkan khidmat kereta mereka. Nysrah juga perasan, tidak berapa jauh dari laluan keluar ada seorang pemuda, yang seolah-olah senantiasa memerhatikan gerak-gerinya. Tapi dia tak ambil pusing sebab dia sudah terlalu letih. Barangkali dia hanya salah seorang pemandu teksi yang memerhatikan dari jauh kalau-kalau ada yang berpotensi dijadikan penumpang.

"Dik, nak pergi mana dik? Teksi dik?" Seorang warga berbangsa India menegurnya. Dia pula, tanpa banyak soal langsung memberitahu destinasinya, dan setelah harga dipersetujui- RM10, lelaki india tersebut menyuruhnya tunggu sebentar. Mahu ambil kereta, katanya.

Dalam menunggu, tiba-tiba dia didatangi pemuda yang memerhatikannya dari jauh tadi. Bila sudah dekat, dia dapat mengagak, pemuda itu barangkali dalam lingkungan awal 40an umurnya. 'Ah, pasti menawarkan teksi lagi...' Nysrah sudah siap, kalau khidmat teksi yang ditawarkan, dia akan memberitahu yang dia sudah mendapat teksi lain. Tapi kalau harga yang ditawarkan lebih murah, barangkali tak ada salahnya kalau dia menukar fikiran.

"Saya nasihatkan saudari tunggu subuh dahulu. Bila sudah ada bas, naik bas..." Pendek, tapi cukup untuk membuatkan Nysrah jadi tidak keruan. Lelaki itu kemudian terus beredar tanpa memberi kesempatan kepada Nysrah untuk berkata-kata. Jantungnya meletup. Rembesan adrenalina memenuhi segenap tubuh.

Seperti tindakan refleks, tanpa berfikir panjang kedua-dua kaki Nysrah terus menghayun langkah mengikut pemuda tersebut dari belakang, tanpa diminta. Nysrah sendiri tak tahu kenapa dia berbuat begitu. Dia terus mengekori pemuda itu, sampai lelaki itu berhenti di keretanya. Proton Saga warna metalik.

"Err, kenapa encik cakap macam tu?" Kalau tadi kakinya melangkah tanpa dikawal otaknya, kini lidahnya pula bertutur tanpa kawalan. Entah kenapa pagi-pagi buta begitu dia seolah hilang percaturan.

"Awak tak nampak ke yang lelaki india tu mabuk? Awak tak bau ke? Takkan awak tak boleh perasan cara dia bercakap pun dah lain.." Suara lelaki itu sedikit meninggi. E'eh, orang tanya elok-elok, dia marah-marah pula. Gamaknya dia fikir Nysrah itu anak perempuannya, mahu dileteri. Tapi bagus juga, sekurang-kurangnya masyarakat kita masih prihatin. Bukan jenis yang jaga kain sendiri.

"Errr... saya tak tahu sebenarnya. Manalah saya pernah bau arak. Saya pun tak pernah terserempak dengan orang mabuk sebelum ini." Barangkali pemuda itu lupa yang dia itu anak dara yang baru setahun jagung, tak banyak pengalaman. "Boleh encik tolong hantarkan saya? Saya perlu pulang ke asrama." Sudah terhantuk baru mahu tengadah. Sudah terhembur kata-katanya, baru Nysrah terfikir kembali.'Eh, apa yang aku lakukan ni?'

Pemuda itu tidak dikenalinya. Dia tiba-tiba muncul dihadapannya, pagi-pagi buta begitu. Muncul-muncul langsung menasihatkan dirinya, meninggalkan kata-kata yang memberi kesan takut dan risau kepadanya. Sekarang, tidak semena-mena dia minta lelaki yang tidak dia kenali itu, menghantarnya ke asrama pula. Apa dia sudah tidak waras? Kalau dibuatnya lelaki itu sengaja berkomplot dengan lelaki india pemandu teksi itu, bagaimana? Sengaja membawa watak baik, supaya dirinya terpedaya. Ah, bagaimana ni?

Tapi terlajak perahu boleh diundur. "Ok. Jom." Begitu saja. Dan Nysrah sedar-sedar dia sudah berada di dalam kereta pemuda itu. Kereta itu terus meluncur laju.

"Kamu ni lain kali kena hati-hati. Jangan main boh aje. Beringat sikit, awak tu perempuan. Anak dara lagi. Terlalu ramai dalam masyarakat kita ni yang bermuka manusia berhati binatang." Pemuda itu membuka mulut meleteri Nysrah. Memang dia manusia prihatin. Anak orang dirisaukannya seperti anak sendiri.

"Mmm, boleh saya tahu kenapa encik duduk melongo saja di stesen tadi? Apa encik buat?" Nysrah cuba-cuba beranikan diri bertanya bila pemuda itu berhenti dari meleterinya.

"Itu dah memang jadi tugasan harian." Ternyata pemuda tersebut adalah polis yang ditugaskan mengawasi keadaan sekitar pekan Bahau malam itu. Nysrah terselamat dari bahaya. Pertama, bahaya lelaki india yang mabuk. Dan kedua, bahaya pemuda yang tak dikenalinya. Nasib baik dia bukan orang jahat.

Tapi nasib tidak akan senantiasa sahaja berwajah baik. Sebab itulah selepas dari peristiwa itu dia mahu mengambil pengajaran. Makanya, itulah sebabnya dia minta jasa baik Hj Qulai, kalau boleh pemandu van sekolah menjemputnya dari Bahau. Tapi tahu apa yang dijawabnya Hj Qulai, bila peristiwa itu diceritakan oleh Nysrah? "Pihak sekolah tak akan bayar gaji lebih masa kepada pemandu van. Memang tak ada peruntukan."

Bohong! Kalau tiada peruntukan, masakan lawatan-lawatan sekolah yang memakan masa lebih dari sehari, pemandunya langsung tak dibayar lebih? Kalau untuk lawatan boleh, kenapa untuk keselamatan pelajar tak boleh? Mahu saja Nysrah membalas kembali, tapi menyedari dia sebagai seorang pelajar, dan adab pelajar kepada guru itu penting, maka dia lupakan sahaja. Bukankah Melayu itu adatnya memang beradab? -seperti gambaran dalam Putera Gunung Tahan itu.

"Kalau awak nak juga, awak kena berurusan sendiri dengan pemandu sekolah. Awak telefon sendiri, awak bayar sendiri, segalanya awak urus sendiri!" Memang Hj Qulai tak pernah mahu faham keadaan ekonomi keluarga Nysrah. Mahu saja dia pampangkan penyata pendapatan ayahnya ke muka Hj Qulai. RM300 sebulan! (kalau waktu bulan-bulan pendapatan kurang kerana hujan dan sebagainya) Sedangkan jumlah tanggungan semua sekali sebelas orang.



"Stesen Bahau.... Stesen Bahau." Pengumuman dari pembesar suara menandakan masuknya minit-minit terakhir sebelum tiba ke destinasi. Nysrah terjaga. Dia sendiri tak sedar bila dia terlena tadi, tahu-tahu sudah sampai pula. Dia menoleh ke arah jam tangan orang yang duduk disebelahnya. Begitu pantas waktu berlalu. Tadi, seingatnya kali terakhir menoleh ke arah jarum jam, baru pukul satu pagi. Sekarang sudah jam lima pagi.

Kereta api berhenti. Pintu terbuka. Para penumpang bangun. Nysrah juga ikut sama. Dia membetul-betulkan tudung dan pakaian batik sekolahnya, disarungnya beg galas, capai tas tangan dan beredar.

Seperti biasa di laluan keluar sudah menanti beberapa pemandu teksi yang yang terpacak mencari penumpang. Tak ramai. Adalah dalam sekitar empat ke lima orang. "Teksi dik? Nak ke sekolah ya? RM 12 saja." Seorang pemuda Cina menawarkan. Nysrah geleng, sambil terus berlalu. Dia tak mahu peristiwa dahulu berulang kembali. Dia sudah rancang mahu menunggu subuh dahulu. Selepas itu, bila sudah ada bas, naik bas. Biarlah lambat sedikit. Biarlah penat sedikit. Janji keselamatan dirinya terjamin.

Nysrah melangkah keluar dari stesen kereta api. Keadaan di luar sungguh lengang, seolah-olah pekan Bahau sama-sama tertidur sekali dengan penghuni-penghuninya. Nysrah berjalan menuju ke stesen bas. Tak jauh, cuma dalam lima minit sahaja berjalan. Tapi lampu jalan yang kurang kerana Bahau masih berstatus pekan, menyebabkan perjalanan Nysrah diselubungi kegelapan. Takut juga dia, tapi sudah tiada pilihan.

Dia masih belum solat Isyak lagi. Di stesen bas setahunya ada surau kecil. Bolehlah dia solat isyak terlebih dahulu, dan kemudian sementara menunggu subuh dan menantikan bas, duduk-duduk, baring-baring didalamnya.

Sampai di stesen bas, seperti yang dijangkakan, tiada siapa di sana. Sunyi-sepi. Cuma sesekali kedengaran bunyi kenderaan yang lalu di jalan di belakang stesen bas. Nysrah pusing stesen itu satu pusingan, mencari surau. Apabila nampakkan tandas dia masuk untuk buang air kecil dan mengambil wudhu'. Tertulis dihadapan tandas, 20sen sekali masuk. Tapi sebab tiada yang menjaganya, Nysrah masuk tanpa membayar.

Selesai menyucikan diri, Nysrah terus ke surau. Suraunya tak begitu besar. Hanya barangkali boleh memuatkan tiga orang untuk berjemaah sekali. Nysrah nyalakan lampu dan kipas. Kemudian dia menutup pintu surau. Dia mahu menguncinya, tapi tak boleh pula. Kuncinya rosak. Tapi tak mengapa, sekurang-kurangnya kalau ada yang mahu menumpang solat sekali, tidaklah terkunci.

Nysrah buka tas tangannya. Dia keluarkan telekung, dan diselak-selaknya mencari jam. Seingatnya tadi, dia ada masukkan jam loceng kepunyaan emaknya. Dia memanggilnya jam loceng antik, sebab memang jam itu sudah lama pun. Sekarang ini jam loceng sudah tidak ada lagi yang seperti kepunyaan emaknya itu. Rata-rata semuanya sudah diperbuat dari plastik, dan bunyinya, hanya bunyi elektronik- tit tit tit tit.. sahaja. Sedangkan yang ini, rangkanya diperbuat dari besi. Saiznya besar, kurang lebih satu telapak tangan lelaki dewasa. Bunyinya.... memang kuat- kriiiiiing. Sebab ini jam loceng yang bunyinya terhasil dari ketukan tukul besi kecil, ke loceng jam.

Setelah diselak-selak, akhirnya tangannya berjumpa juga dengan jam tersebut. Oh, baru 5.10 pagi. Nysrah kemudian membuka tudung yang sedang dipakainya, dan digantikan dengan telekung. Setelah siap semua, dan dia merasa puas dengan penampilannya untuk menghadap Raja sekalian raja, maka dia pun bangun mengambil posisi kiam. "Allahukakbar!" Serentak dengan itu juga segala urusan duniawi ditinggalkannya. Secara fizikal, mental, mahupun rohani. Kini jasad dan rohaninya ditumpukan sepenuhnya kepada Yang Maha Pencipta. Kiam, rukuk, sujud...

Masuk rakaat kedua, tumpuan ibadahnya terganggu sebentar. Kalau tadi segala hal duniawi terpisah dari dirinya, kali ini telinganya tak mampu dipekakkan apabila pintu dibelakangnya berbunyi, menandakan ada seseorang yang memasuki surau. Mungkin ada yang mahu tumpang solat sekali.

Tapi pelik. Orang itu tidak pula bersembahyang. Dia hanya mundar-mandir di belakang Nysrah yang sedang solat. Betul-betul di belakangnya, kira-kira satu meter dari Nysrah. Mundar-mandir dari kiri ke kanan, dan kemudian ke kiri kembali. Nysrah dapat kesan, sebab gegendang telinganya dapat menangkap bunyi telapak kaki orang tersebut.

Nysrah yang sedang menyembah dan baru masuk rakaat kedua jadi tidak keruan. Naluri kemanusiaannya tertanya-tanya siapa pula orang itu, dan apa pula yang dimahunya sampai bermundar-mandir di belakangnya. Seolah-olah dia sedang menunggu sesuatu pula. Menunggu dirinya, barangkali. Ah, Nysrah jadi seram sejuk.

Dari rakaat ke dua, sampai rakaat penghabisan, semuanya dicepatkan Nysrah. Semuanya jadi tunggang-langgang- entah mana tama'ninahnya, entah sempurna tidak, solatnya. Dia sedar, nabi pernah bersabda, "Sejahat-jahat pencuri, adalah pencuri yang mencuri di dalam sembahyangnya...... Itulah dia yang tidak sujud dan ruku' dengan sempurna.." Tapi ini kes kecemasan. Dia benar-benar tidak keruan, dan semahu-mahunya hendak menoleh lihat siapa dibelakangnya. Kalau setiap rukun disempurnakan dengan sekurang-kurangnya perantaraan satu kali 'subhanallah' seperti yang disarankan nabi, nanti lambatlah pula habisnya.

Masuk sujud terakhir, dia berdoa dalam hatinya mudah-mudahan Tuhan selamatkan dia dari bala bencana. "Allahuakbar!" Nysrah duduk tahyat akhir. Ironinya, duduk saja Nysrah dalam posisi tahyat akhir, bunyi telapak kaki pun hilang. Segalanya kembali sunyi. "Assalamualaikum warahmatullah.."

Tak sempat berdoa, tak sempat berwirid. Langsung Nysrah memalingkan mukanya ke belakang. Serentak itu juga, berderau darah Nysrah. Seram sejuk Nysrah, apabila melihatkan apa yang dilihatnya. Lututnya seolah-olah tiba-tiba jadi lemah-gemalai untuk bangun. Tubuhnya sedikit menggigil.

Ya Tuhan... Bagai tak percaya dengan apa yang dilihatnya. Seorang lelaki india hitam legam berada tepat-tepat diluar pintu surau yang terbuka luas. Dia memakai baju kemeja lengan pendek, tapi dada dan perut buncitnya terdedah luas sebab hanya satu butang sahaja yang dikancingkan. Dapat dilihatnya sekalian bulu pada tubuh orang itu. Manakala bahagian bawahnya pula kosong, tidak bertutup sama sekali. Tidak berseluar sama sekali.

Mata lelaki itu memandang tepat kearah diri Nysrah. Matanya kelihatan sedikit khayal, manakala mulutnya pula sedikit tersenyum. Hujung bibirnya terangkat-angkat, seolah-olah terlalu asyik tersenyum. Tangan lelaki itu nakal. Sebelah tangannya bermain-main memegang kemaluannya. Syukur, walaupun pada jarak yang tidaklah sebegitu jauh, barangkali dalam tiga meter, mata Nysrah tidak sampai dapat melihat kemaluan lelaki hitam legam itu. Terlindung dek tangannya yang hitam legam yang asyik menggentel-gentel bende alah itu.

"Aku tak mahu!" Sekuat hati Nysrah menjerit, mengherdik lelaki itu. Serentak dengan itu juga ditolaknya pintu surau sekuat hati, menutupnya kembali. Tapi kalau tutup pun, senang-senang saja lelaki itu boleh membukanya kembali, sebab pintunya tidak berkunci. Agakan Nysrah memang tidak silap, sebab selang 10 saat kemudian, pintu itu kembali terbuka.

Sekali lagi, Nysrah menjerit sekuat hati, "Aku tak mahu!" Kemudian ditolaknya pintu surau sekuat hati, menutupnya kembali. Dia yang masih dalam bertelekung, cepat-cepat menanggalkannya. Kali ini, baru Nysrah dapat berfikir dengan lebih rasional. Dia cepat-cepat mencapai jam loceng yang dikeluarkannya tadi sebelum sembahyang.

Sekarang, tangan kanannya sudah bersedia dengan jam loceng besi sebesar telapak tangan lelaki dewasa, menunggu pintu untuk dibuka sekali lagi.

Pam. Sekali lagi pintu surau ditolak buka oleh lelaki india itu. Mata Nysrah dan mata lelaki itu bertentangan. Nysrah memandang tajam tepat-tepat ke arah anak mata lelaki itu, dikumpulkannya segala kekuatan diri untuk bertindak. Dalam keadaan sebegini, menyesal juga dia tak ambil peluang belajar seni mempertahankan diri yang ada ditawarkan disekolahnya. Tapi apakan daya, sudah hujan baru teringatkan payung..

Lelaki india itu menapak mendekati Nysrah. Sebelah kakinya sekarang sudah melangkah ke dalam surau. Nysrah panik, tapi masih mampu berfikir. Dia mengangkat tangan kanannya yang menggenggam jam loceng besi itu dengan harapan agar lelaki india itu nampak apa yang ada di tangannya. Ternyata taktiknya berjaya. Lelaki itu kelihatan sedikit terpana, dan langkahannya terhenti. Nysrah tarik tangan kanannya separas bahu, dan kemudian ditarik kebelakang, separas telinganya. Lagaknya seolah-olah mahu membaling jam loceng besi itu ke arah lelaki india tersebut. Mata Nysrah juga tidak menunjukkan apa-apa tanda belas, sebaliknya benar-benar terpantul api mengugut dari cahaya matanya. Masuklah, kalau berani! Walaupun mulut terkunci rapat, tapi begitulah matanya memberi amaran kepada lelaki itu.

Lelaki itu terpaku. Nysrah juga terpaku. Lelaki itu mengelip matanya. Nysrah menjerit, "Aku tak mahu!" Serentak dengan itu juga Nysrah menggerakkan tangan kanannya, mengacah seolah-olah mahu mencampak jam loceng itu. Lelaki india itu berpaling, pusing ke belakang dan langsung membuka langkah seribu.

Nysrah tergamam. Semudah itu saja lelaki india itu menyerah. Syukur, dia terselamat. Tapi seluruh tubuhnya masih lagi menggigil, dan jiwanya masih terkedu. Nysrah cepat-cepat menyarung kembali tudungnya, dan memasukkan telekung dan jam locengnya ke dalam tas tangan. Dia kemudian beredar keluar.

Tujuannya kali ini ke stesen minyak yang tidak berapa jauh di sebelah kanan stesen bas. Dia menghayunkan kaki menuju ke sana. Stesen minyak itu memang waktu perkhidmatannya 24 jam. Jadi kalau sudah di sana, sekurang-kurangnya kalau terjadi apa-apa, masih ada orang yang bisa mendengar.

Kebetulan stesen minyak itu juga punya sebuah kamar kecil yang dijadikan surau. Nysrah melangkah masuk ke sana, dan meletakkan beg galas serta tas tangannya. Dia kemudian beredar keluar kembali, melangkah ke pondok telefon stesen minyak itu. Berbekalkan beberapa syiling didalam kocek, Nysrah dail nombor telefon Cikgu Haszreef. Memang di sekolah dia rapat dengan cikgu itu. Harapannya, agar Cikgu Haszreef sudi membantu, menjemputnya pagi itu. Dia sudah tak betah lagi untuk menunggu sampai ke subuh. Trauma!

Lama ditunggunya, tapi hampa. Tiada siapa dihujung talian. Dia sudah tak dapat tahan lagi. Air matanya sudah mulai lebat menghujani pipinya. Dia cuba dail nombor pondok jaga sekolah pula. Ada yang mengangkatnya. Pak Saad, jaga yang berumur sekitar awal lima puluhan itu.

Dengan suara teresak-esak, Nysrah memohon simpati. Dia ceritakan segala yang terjadi. Pak Saad bilang, dia akan hubungi mana-mana warden yang bertugas. Dia suruh Nysrah tunggu, jangan kemana-mana. Nanti warden akan sampai, katanya. Nysrah dengan suara mengharap, memohon sungguh-sungguh, suruh cepat. Kemudian diletaknya kembali ganggang telefon.

Nysrah kembali kedalam surau dan menanti. Dia menangis semahu-mahunya.


************************************************************************

Sehingga cerpen ini selesai, guru yang ditunggu-tunggu masih juga tak kunjung tiba. Terlalu lena dibuai mimpi indah barangkali.Terlalu awal pagi, katanya.



Terima kasih pada Kaksu sebab sudi beri tunjuk ajar, merangkap mentor Ideal dalam penulisan kreatif. Penulisan cerpen ini mengambil masa yang agak lama, sebab waktu pertama kali hampir siap, jalan ceritanya telah ditukar. Ideal rasa isu yang dibawa di peringkat awal cerpen terlalu klise, dan perlu diubah kalau mahu lebih menarik. Lebih-lebih lagi, Kaksu pun sependapat.

Ada beberapa teguran lain yang Kaksu beri. Seperti dalam flash back perlu ada selingan, bagi membuai perasaan pembaca. Tapi Ideal masih kurang pasti tempat yang sesuai untuk diletak selingan itu. InsyaAllah dalam cerpen akan datang akan Ideal garapkan teknik keluar masuk dari masa sebenar ke imbas kembali dan imbas muka.

2 comments:

adra adlina said...

salam...
cerpen ni pernah keluar remaja ke?
saya macam pernah baca.

Embun Melati said...

saspen baca!

waktu kanak-kanak dahulu, saya pernah mengalami situasi seperti ini..orang gila s**s, juga lelaki india..hampir2 tapi saya sempat melarikan diri..

syukurr..

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP