Saturday, June 11, 2005

Cerpen: Mencipta Berlian

Tempoh hari, Abang Sulung Ideal ada beri cadangan. Katanya, John Grisham menulis fiksyen undang-undang. Kenapa tak, Ideal tulis fiksyen pergolakan turun naik saham (keluarga kami memang bermain saham, terutama abang yang sulung). Maka dari situ, timbullah idea untuk cerpen Mencipta Berlian ini. Ia mungkin agak berat bagi yang tak biasa dengan istilah saham Amerika, tapi tiada salahnya sesekali membuka minda cuba baca.

Baca cerpen:

Suara DJ radio Era tak henti-henti dengan celotehnya. Bufori model MKIII terus meluncur laju. Aku yang sedang memandu di dalamnya tenang menelusuri lebuh raya persekutuan. Temanku disebelah, Keris Tina, atau aku panggil dengan nama Tina sahaja sesekali ketawa kecil mendengarkan celoteh lucu dari DJ radio. Aku yang memandu pun sesekali turut sama menyeringai.

Tujuanku mahu ke Jalan Petaling, mahu membeli-belah sedikit. Bukannya aku tak mampu berbelanja ke Bintang Walk atau KLCC, cuma ada masa-masanya aku lebih senang ke tempat-tempat manusia bersesak-sesak seperti Jalan Petaling. Aku suka suasana tawar-menawar. Bukan kerana tiada wang, tapi cuma mahukan kelainan.

Pacuanku berlari dengan halaju 140 kilometer sejam, kendati barusan tadi aku melepasi papan peringatan had laju: 90 kilometer sejam. Ah, persetankan saja semuanya itu. Had laju serendah itu hanya sesuai diguna pakai untuk Proton atau Kancil. Mana mungkin mobil sport klasik secanggih ini mematuhinya. Beli mahal-mahal, tapi hanya boleh dipandu sekufu dengan kereta-kereta murahan yang lainnya. Mobilku ini bisa memecut sehingga 160 kilometer sejam, dan masih stabil!

Memandu pada kelajuan setinggi ini, memang ada cabarannya tersendiri. Melihat yang lain-lain keciciran seperti kura-kura, menyuap puas egoku. Tapi dalam masa yang sama, aku juga punya semacam perasaan gementar sedikit. Sesekali bila mahu memotong atau bertukar bahagian dari tengah ke kanan, atau sebaliknya, berderau juga darahku dalam kelajuan sebegini. Apa-apa saja mungkin terjadi. Dan dalam larian sepantas ini, tentu saja kesilapan yang kecil sekalipun, bisa mengundang bala yang besar. Bukankah malang itu sifatnya tidak berbau?

"Abang!" Suara cemas Tina mematikan lamunanku. Berderau darahku- sudahku katakan tadi! "Perlahanlah sikit. Kan depan tu toll. Takkan abang nak rempuh saja."

Kesilapan yang kecil, dalam larian sepantas ini, bisa mengundang bala yang besar. Syukur, Tina ada di sebelah membangunkan aku dari lamunan yang sampai bikin alpa. Memang benar, dalam memandu, banyak perkara yang tak dapat kita dugakan. Terutama perihal kejadian atau kemalangan yang kapan-kapan saja bisa bertandang. Seperti yang aku katakan tadi, malang tidak berbau.

Aku perlahankan panduanku. Deretan kereta panjang amat. Memang adakalanya sukar menjangkakan waktu-waktu sesak lalu lintas. Ghalibnya, kesesakan hanya akan berlaku waktu pagi sebelum masuk kerja, dan waktu petang setelah habis kerja. Tapi sekarang ini baru jam 11 pagi. Untung aku sudah mengisi kredit touch n go. Tak perlulah aku beratur sekali dengan mereka yang membayar tunai.

Kocek seluarku bergegar kecil. Serentak, nada lagu Matsuri ciptaan Kitaro beralun. Dengan susah payah (halangan dari tali pinggang keledar), aku keluarkan telefon bimbit. "Tina, tolong jawabkan." Aku serahkan kepada Tina, sebab sudah terlalu dekat pondok toll di hadapan, untuk aku sentuhkan kartu touch n go.

"Hello, Assalamualaikum." Aku yang disebelah turut pasang telinga cuba menangkap panggilan dari siapa.

Bufori MKIII berjalan perlahan memasuki pondok toll. Aku tekan pedal berhenti. Bufori turut patuh berhenti. Aku turunkan cermin tingkap, keluarkan kartu dan sentuhkan pada sensor. Palang di hadapan terangkat. Aku kemudian menekan kembali pedal minyak. Bufori patuh, memecut laju selari dengan tekananku.

"Bang, Jen Lin." Tina menghulurkan telefon kepadaku. Jen Lin yang telefon? Apa halnya? Jen Lin kenalan aku sewaktu aku menghadiri kursus tentang Saham dan Options Amerika Syarikat tempoh hari. Memang semenjak dari itu, selalu juga kami berhubung bertukar-tukar bincang soal saham.

"Ish.. kan abang tengah memandu ni. Pasanglah hands free dulu." Tina menurut tanpa bantahan. Dia memang gadis yang baik. Jarang sekali dia membantah permintaanku. Dalam enam bulan usia perkenalan kami ini, pernah aku pinta agar dia tukar imejnya. Dari berjeans ketat kepada berbaju kurung. Dia ikut, tanpa bantahan. Aku juga pernah pinta agar dia minta ditukarkan, dari kampus Perlis ke kampus Shah Alam supaya lebih dekat denganku. Dia akur tanpa sebarang bantahan. Memang dia ini gadis idamanku. Calon isteri solehah yang akan patuh pada suami. Aku tersenyum sendirian. Bahagia fana.

"Apa yang abang senyum berseorangan tu?" Tina bertanya pelik, sambil menyumbatkan hands free ke dalam telinga kiriku. Aku menyeringai, semakin melebar senyumku. Tapi soalannya aku biarkan tidak berjawab. Lebih baik dijawab panggilan Jen Lin dahulu.

"Ha, Jen Lin. Apa khabar? Apa celita awak telefon siang-siang buta ni?" Aku berbicara dengan memparodikan pelat Cinanya. Biasanya Jen Lin hanya akan menelefon aku waktu malam untuk berbincang soal turun naik harga niaga saham. Hal ini kerana siang di Amerika Syarikat (waktu saham diniagakan), adalah waktu malam di Malaysia.

Bibit-bibit tuturan Jen Lin di hujung talian meragut jantungku. Jen Lin membawa berita buruk buat jual beli sahamku. Saham AAPL (simbol untuk saham syarikat teknologi Apple) jatuh merudum. Suatu perkara yang sungguh-sungguh di luar jangkaanku. Bukan sahaja jangkaanku, malah juga jangkaan para pakar-pakar analisa saham.

Memangnya malam tadi aku tak punya kesempatan untuk membuka komputer mengikuti perkembangan dagangan saham Amerika. Tapi itu cuma satu malam. Satu malam cuma... dan segalanya sampai jadi tunggang-langgang sebegini. Sedangkan malam sebelumnya, aku sudah untung besar. Sebulan lepas, Apple mencanangkan tentang produk keluaran baru mereka, Tiger. Berdasarkan rekod-rekod sebelumnya, memang Apple senantiasa cemerlang. Setiap kali keluaran baru diumumkan, sahamnya mencanak naik. Sebab itulah sebaik sahaja mendengar tentang pengeluaran Tiger, aku langsung membeli call options untuk saham AAPL dalam jumlah yang besar.

Dulu, beberapa bulan yang sebelumnya, waktu Apple mengumumkan pengeluaran produk G5, aku beli saham AAPL. Tapi dalam jumlah yang kecil, cuma. Dua bulan kemudian aku untung, tapi dalam kadar yang terhad kerana jumlah yang aku laburkan sedikit. Kalau aku laburkan lebih banyak, tentu hasilnya jauh berbeza. Sebab itulah kali ini, aku tak mahu lagi menyesal beli terlalu sedikit. Tapi sekarang... jatuh merudum pula dia.

Malam kelmarin, aku sudah untung besar. Bayangkan saja, waktu aku beli call options itu, saham AAPL diniagakan pada harga 37 dollar. Sedang malam kelmarin, nilai yang diniagakan naik mencanak pada harga 44 dollar. Waktu itu, boleh saja aku menutup jual-beliku. Tapi hati kecilku tak henti-henti melaung-laungkan. Katanya, bikin apa aku menutup jual-beli sebegitu cepat? Tunggulah satu dua hari lagi. Pasti sahamnya akan naik lagi, dan keuntungan akan berlipat ganda besarnya.

Aku mendengar laungan hatiku itu. Tamak? Ya, barangkali ada yang berkata begitu. Tapi tamakku bukan tamak yang membuta tuli. Aku tahu berkira-kira untung rugi sebelum bersifat tamak. Aku tak mahu jadi seperti anjing dengan bayang-bayang. Yang dikejar entah kemana, yang dikendong berciciran. Tamakku berasas. Sebab malam kelmarin (iaitu malam yang sifat tamakku menguasai hati kecil), pakar-pakar analisa semuanya membicarakan tentang betapa saham AAPL begitu cemerlang. Malah ada pihak yang mengeluarkan kenyataan; Berdasarkan pada rekod cemerlang AAPL, sahamnya sepatutnya kini berada pada paras 50 dollar!

"Abang..." Suara lunak Tina menyentakkan aku dari lamunan tragedi itu. Tanganku yang sedang memegang stering kereta dibelainya manja. Dengan senyum mesra, dia memujukku. "Kenapa ni? Ada apa tak kena ke? Tiba-tiba je abang murung. Tadi sebelum Jen Lin telefon, abang ok je Tina tengok."

Aku berpaling sekilas memandang ke mukanya yang manis itu, melemparkan senyuman hambar. Wajah Tina memang cantik. Kulitnya putih melepak, matanya yang bulat, serta hidungnya yang sederhana mancung, tak ubah seperti gadis Arab. Barangkali dia memang ada darah Arab. Katanya, beberapa generasi sebelumnya adalah dagang Arab yang datang berdagang ke Tanah Melayu.

Melihatkan wajah ayu Tina sedikit sebanyak bertindak membelai hatiku nan lara itu. "Erm.. saham, Tina. Saham Apple jatuh. Merudum kata Jen Lin. Katanya malam tadi harga saham ditutup pada harga 35." Aku cuba menerangkan tentang masalah yang sedang membakar laraku.

Tina yang sedang tersenyum manis, membulatkan matanya. Mulutnya membentuk O besar. Terkejut amat. Tina juga memang sedikit-sebanyak faham akan dunia jual-beli saham yang aku lakukan ini. Aku banyak berkongsi dengannya tentang segenap aspek hidupku. Termasuk saham.

"Bukankah abang dah untung besar hari tu? Abang tak tutup lagi jual-beli?" Soal Tina lembut dan manja. Tangannya kini mengurut-urut kepalaku, membelai rambutku yang ikal mayang. Kemudian turun pula ke tengkukku. Oh,memang dia bidadariku..

"Memang hari tu untung besar. Kelmarin. Tapi abang tak tutup lagi. Sebab ikut kata analisa, Apple punya potensi besar untuk meningkat lagi harga sahamnya. Jadi abang fikir mahu tunggu sampai malam ini baru dijual supaya untungnya lebih. Tapi..." Ayatku tak sempat dihabiskan. Dadaku sudah berkeceramuk.

"Habis tu abang mahu bikin bagaimana? Abang masih boleh tunggu kan? Manalah tahu kalau-kalau sahamnya naik kembali, barulah dijual." Tina mengenyitkan sebelah matanya kepadaku, cuba menceriakan keadaan.

"Entahlah Tina... Abang pun tak tahu. Malam ini tarikh tutup untuk ditutup jual-beli saham. Kalau abang tak tutup juga, bererti segala yang abang laburkan melayang terbang. Tapi kalau abang tutup, abang akan tetap rugi, walaupun tidaklah semua sekali jumlah yang dilaburkan itu."

Nampaknya malam ini tak tidur malam lah aku. Aku perlu berjaga sepanjang malam, senantiasa mengikuti perkembangan turun naik saham di hadapan komputerku dengan sambungan internet. Kalau tak naik juga, maka terpaksalah aku menanggung rugi yang teramat besar. Barangkali bisa bikin muflis.

Dahulu sebelum aku bermain saham, aku cukup memandang sinis dengan permainannya. Padaku, saham itu bergantung pada nasib semata-mata. Kalau saham naik, untunglah, tapi kalau saham jatuh, ramai pula yang terjun bangunan. Tapi sehari demi sehari, mendewasakan aku. Di kantor pula, banyak berkenalan dengan rakan-rakan berbangsa Cina. Aku agak kagum, bila memerhatikan gelagat mereka yang bila mendapat surat khabar, langsung dibuka ke laman niaga saham. Aku jadi tertanya-tanya. Laman yang tak pernah terlintas di fikiranku untuk diuliti, tapi mereka tatap dengan penuh ghairah.

Pernah pula aku bertanyakan kepada mereka. Tidakkah mereka takut bermain saham? Kata orang, bermain saham seperti bermain dengan api. Lalu salah seorang rakanku itu menyebut nama seorang tokoh terbilang, Warren Buffet. Katanya Warren Buffet mula membeli saham pada usia semuda 11 tahun! Dan kini, pada usia veteran, dia sudah bernilai 44 billion dollar Amerik Syarikat. Ini sekaligus menjadikan dia orang ke dua terkaya di dunia selepas Bill Gates, pengasas Microsoft itu.

Nama Warren Buffet yang dibangkitkan benar-benar merubah persepsiku pada permainan saham. Kalau saham bergantung semata-mata pada untung nasib, masakan tokoh kedua terkaya di dunia boleh mengumpul asetnya hanya melalui saham semata-mata? Pasti ada seninya dalam saham, yang tidak diketahui ramai. Aku mula mencari-cari. Kenapa tidak? Belum cuba belum tahu.

Tuhan kemudian menemukan jodohku dengan seorang lagi tokoh terbilang. Kishore, salah seorang pelabur saham paling berjaya di rantau asia. Aku terserempak dengan iklan kelasnya yang diberi nama: Kuasai pasaran stok saham Amerika Syarikat. Melihat iklannya, memang menjadikan aku tiba-tiba penuh bersemangat. Aku seolah-olah melihat masa hadapanku sebagai seorang pelabur saham berjaya. Menjadi jutawan berasaskan saham. Mindaku mula diselaputi angan-angan. Tapi melihatkan pada yuran untuk seminar dua hari itu, bikin aku jadi tidak keruan. RM5000- mana ingin dicekaunya duit sebanyak itu?

Kisah kehidupan tokoh motivasi terbilang, Anthony Robbins mengingatkan aku betapa wang tidak seharusnya menjadi halangan. Kalau ada kemahuan, maka di situ ada jalannya. Aku lalu menggadaikan rumah teresku, dan berpindah ke rumah sewa yang jauh lebih murah dari bayaran bulanan rumah lamaku. Dari hasil untung jualan rumah, aku bayar yuran seminar. Banyak yang aku pelajari dari kursus dua hari itu. Teknik-teknik jual-beli saham, seperti call options, put options, credit spread calls dan puts, serta debit spread calls dan puts. Dari situ aku faham, bahawa keuntungan tidak sahaja bisa dicipta waktu saham naik, tapi juga waktu saham merudum. Cuma yang penting perlu ada kesabaran (jangan tamak).

Tamakkah aku? Mungkinkah itu penyebabnya aku sampai kerugian besar?

Setahun sudah, usianya aku bergelumang dengan turun naik saham. Selama ini tak pernah pula aku sampai kerugian sebegini besar. Malah aku bisa berbangga dengan pencapaianku selama ini. Usia baru 25, tapi sudah berkereta sport.

Aku memulangkan kembali paku buah keras kepada mereka yang suatu ketika dahulu takut-takutkan aku dari bermain saham. Pakcik-pakcikku mengambil tamsilan diri mereka sendiri. Katanya, mereka dahulu pun, waktu muda-muda pernah ghairah ingin cepat kaya sepertiku. Mereka dahulu pun pernah bermain saham. Sebulan-dua pertama untung besar. Semangat makin membara untuk terus mencipta kekayaan yang lebih besar. Malang sudah berbau, tapi mereka memilih untuk menutup hidung. Masuk bulan ke tiga, kerugian besar. Segala yang dilaburkan ranap begitu sahaja tanpa sebarang pulangan. Ya, memang benar. Tahun 80an dahulu memang ramai yang kerugian bermain futures untuk komoditi pasaran Amerika Syarikat.

Aku pula waktu itu tidak ingin mengalah. Aku tahu, tamsilan pakcik-pakcikku itu tidak kena pada diriku. Mereka bermain saham membuta tuli, tanpa ilmu. Sedang aku sebelum bermain dengan api, sudah terlebih dahulu periksa untung risikonya. Seperti kata panglima Sun Tzu, sudah terlebih dahulu memahami medan pertempurannya.

Mereka dahulu bermain futures untuk komoditi. Mereka tak tahu bila turun naiknya harga niaga. Memang mudah benarlah mereka terdedah pada risiko. Tapi aku bermain options untuk stok. Aku tahu turun naiknya. Aku periksa perkembangan dari semasa ke semasa dari komputerku menurusi internet. Cuma semalam saja kebetulan aku tak punya waktu.

Setelah setahun, segalanya berkembang dengan baik. Kereta sport, aku tayang dan bangga-banggakan kepada mereka yang dahulu pernah merendah-rendahkan pilihanku untuk bermain saham. Tapi ternyata era kebanggaanku sebentar cuma, dipinjamkan dari Tuhan. AAPL sudah merudum. Aku mungkin muflis. Penentuannya malam ini.

******************************************************************

Bicara Hatiku – Sebuah Monolog

Engkau kata ada gementar waktu memandu
Engkau kata malang itu tidak berbau
Engkau kata kapan-kapan saja kemalangan bisa berlaku.

Tapi apa yang engkau lakukan?

Engkau terus-terusan memandu dengan laju
Engkau langsung tidak mempedulikan rasa itu
Kendatipun sesekali ia sampai bikin berderau darahmu.

Engkau juga mafhum saham itu naik-turunnya tidak menentu
Engkau juga sungguh-sungguh mafhum sama-sama malangnya tidak berbau
Dua-duanya pun begitu….saham dan memandu
Kemalangannya bisa bertandang tanpa sebarang usul terlebih dahulu.

Kerana tanpa memandu, engkau sukar berjalan merata
Kerana dari saham engkau telah merasa kaya
Kerana tanpa saham, sumber kewanganmu tiada
Kerana sesungguhnya engkau percaya risiko itu ada di mana-mana.

Tapi hey, jangan pula kau lupa
Bahawasanya risikonya sudah terlebih dahulu engkau kira-kira.

Eheh! Sudah engkau kira-kira konon. Apa yang engkau kira-kira? Engkau berkira-kira tentang apa yang akan berlaku pada sahamnya? Engkau berkira-kira meramalkan naik atau turunnya? Huh, mana mungkin diramal masa hadapan hanya berdasarkan peristiwa-peristiwa silam yang telah berlaku. Hey, ini masa hadapan yang aku bicarakan! Bukan masa lalu. Bukankah malang itu, sifatnya tidak berbau?

****************************************************************

Jalan Petaling.

Orang ramai lalu-lalang seperti hari-hari biasa. Ramainya sungguh-sungguh. Asap kenderaan dan habuk dari jalan menjadi hiduan sekalian manusia di sini. Hingar-bingar bunyi kenderaan bercampur aduk dengan bunyi peniaga jalanan menjaja jualan serta tawar-menawar menambahkan lagi riuh rendah suasana sekitar.

Lama juga aku berdiri termangu, mengenangkan peristiwa AAPL merudum. Serik? Mana mungkin! Gagal sekali tidak bermaksud gagal selamanya. Kishore sendiri pernah dua kali tewas dengan pasaran. Kata-katanya masih lagi terngiang-ngiang dalam benakku; "I was on the street twice." Tapi Kishore tak pernah mengalah. Malahan terus mencuba... melakar taktik baru. Sekarang? Dalam usia seawal 30, dia sudah bergelar jutawan. Antara pelabur paling disegani di rantau Asia. Sedangkan dahulu, dua kali dia terpaksa berpeleseran di jalanan, lantaran tertewas... persis diriku.

Penat berdiri, aku labuhkan punggung untuk bersila. Mataku memerhati sekeliling. Riuh rendah!

"What? 50 ringgit? This doesn't seems like real leather!" Suara seorang wisata Inggeris mencuri perhatian kedua cupingku, sekaligus menenggelamkan hiruk-pikuk yang lain. Si penjaja cuba meyakinkan barangannya diperbuat dari kulit haiwan asli, walhal si wisata Inggeris amat sukar untuk diyakinkan. Aku berpaling cuba mencari kelibat dari mana datangnya dua suara itu.

Gegendangku kembali menangkap hingar-bingar yang bercampur aduk suaranya. Tidak lagi suara si wisata seorang sahaja.

"Tiga, sepuluh ringgit. Gambar maanyak cantik. Suara, maanyak bagus." Seorang penjaja mempromosikan vedio cakera padatnya dengan penuh bersemangat. Kelibatnya tidak aku lihat, lantaran terlalu ramai khalayak yang mengelilinginya, berminat membeli, barangkali. Aku menghela nafas panjang. Biar pun udaranya tidak bersih, tapi menarik nafas panjang tetap memberi kesan lega kepada perasaan. Tenang sebentar.

Kling! Seorang perempuan lingkungan 40an melewati depanku. Dia menjatuhkan dua keping wang syiling seringgit tepat-tepat di hadapan tempat aku bersila kecapekan.

E'eh, dia fikir aku ini pengemiskah? Aku tidak ada menunjukkan apa-apa tanda meminta derma pun. Aku juga tidak meletakkan topi ala koboi atau apa-apa bekas sebagai tempat tampungan duit. Ini bermaksud aku tidak meminta!

Hey, hey... dahulu, aku seorang yang kaya, tahu! Jangan dipandang miskin orang sepertiku ini. Mahu saja aku meneriakkan kata-kata itu pada si perempuan yang membalingkan syiling itu. Begitu terhina rasa diri ini.

Oh Tuhan, bukankah dahulu, di jalan-jalan inilah aku berjalan merewang dengan Bufori MKIII yang dipinjamkan olehMu kepadaku?

Hanya kerana pakaianku begini comotnya, tidak menjadikan aku seorang peminta. Baju T yang aku pakai berwarna putih, sudah bercorak-corak dengan hitam kotor di sana-sini. Di bahagian perutnya pula ada lubang sebesar dua ibu jari. Celana jeans yang aku pakai pula, memang sana-sini lubangnya. Di bahagian lutut terutamanya. Bahagian bawah (dekat buku lali) sudah koyak rabak berjuntai-juntai benangnya. Mukaku pula, usah diperkatakan lagi comotnya.

Dalam keramaian itu, mataku tiba-tiba menangkap sepotong kelibat yang amat aku kenali. Keris Tina.

Berjalan beriringan dengan seorang pemuda yang menurut pengamatanku barangkali seusia denganku. Mereka berpimpinan tangan. Mataku terus menerus menatap kelibat mereka berdua, tak mahu lepaskan. Ada semacam perasaan hadir. Hati ini bagai hancur lebur digelegakkan pada suhu didih.

Keris Tina menoleh. Mata kami bertentangan. Aku terus menatapnya. Menatap sinar matanya yang suatu ketika dahulu pernah memberi bahagia buat diriku. Aku dapat kesan sedikit sinaran gugup dalam matanya. Dia menoleh ke tempat lain, tak berani bertentangan begitu lama. Tangannya bergerak melingkari pinggang pemuda di sebelahnya itu. Peluk bagai tak terlepaskan. Mereka kemudian melencong ke kiri. Keris Tina ingin mengelak dari diriku, barangkali.

Geram. Aku berjanji, akan aku tebus kembali maruah diriku. Seperti kata Billi P.S Lim dalam bukunya Dare To Fail, batu berlian yang begitu indah tak mungkin sedemikian rupa jadinya, kalau tidak menempuhi tekanan yang begitu tinggi jauh ke dasar bumi. Akan aku pastikan tekanan kegagalan yang aku hadapi ini, hasilnya adalah intan berlian. Akan aku ciptakan berlian dari kegagalan ini.

Turun naik saham akan tetap menjadi turun naik degupan nafas hidupku. Gagal sekali tidak bermaksud gagal selamanya!

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP