Thursday, September 29, 2005

Kena Saman Berambut Panjang

Haha.. Baru saja lepas kena saman sebab berambut 'mencecah kolar'. Pak Guard yang sama pernah beri amaran pada Ideal sebelum ini, tapi Ideal buat dek saja. Bukankah berambut panjang mencecah bahu itu sunnah nabi?

Mungkin ada yang akan kata, nak ikut sunnah, kena juga lihat pada kesesuaiannya. E'eh, bukankah sunnah itu akan sentiasa relevan sepanjang zaman? Nabi sendiri kata, kalau kita berpegang kepada dua perkara yang baginda tinggalkan (Al Quran dan Sunnah), nescaya kita selamat sepanjang zaman. Tapi sedih, masyarakat seolah tak dapat, dan tak mahu menerima kenyataan sunnah berambut panjang, sedangkan setiap inci dari kehidupan nabi itu adalah untuk ikutan sekalian manusia.

Dari segi undang-undang pula, kita boleh lihat pada kes Meor Atiqulrahman. Dalam kes ini, tiga pelajar sekolah yang berkeras kepala mempertahankan sunnah (memakai serban) ke sekolah, telah diberhentikan sekolah oleh pengetua sekolah tersebut. Bapa kepada pelajar-pelajar tersebut kemudiannya membawa kes ini ke mahkamah tinggi, dan telah berjaya dalam kes tersebut. Mahkamah tinggi telah membatalkan keputusan pengetua sekolah tersebut kerana berpendapat, kebebasan memilih untuk berserban ke sekolah adalah sebahagian dari kebebasan beragama.

Pun begitu, defendan dalam kes tersebut kemudiannya telah mencabar keputusan mahkamah tinggi itu di mahkamah rayuan. Dan keputusan mahkamah tinggi telah diketepikan oleh mahkamah rayuan, atas alasan:

"Tindakan guru besar tersebut adalah betul kerana ia berkaitan dengan hal ehwal disiplin pelajar-pelajarnya dan adalah bidang kuasa seorang guru besar atau pengetua untuk menguruskan pentadbiran sekolah mengikut peraturan sedia ada....tindakan itu juga tidak berkaitan dengan undang-undang perlembagaan atau amalan agama sebaliknya lebih kepada hal ehwal pentadbiran sekolah; malah hakim bicara telah melampaui kuasanya ketika membenarkan permohonan oleh responden di Mahkamah Tinggi. Ini adalah perkara mudah mengenai penafsiran peraturan sekolah. Hal berkaitan disiplin perlu dikendalikan oleh pihak sekolah. Kalau semuanya mahu diputuskan oleh mahkamah, lebih baik sahaja kami (bertugas) di sekolah-sekolah.." - Hakim Datuk Gopal Sri Ram.

Nampaknya, kebebasan beragama hanya berkait dengan hal ehwal perkara-perkara wajib sahaja. Contohnya kalau tidak dibernarkan bersolat, atau memakai tudung maka kita ada hak untuk menentang. Perkara-perkara sunat dan sunnah tidak termasuk.

Di UiTM, memang peraturannya tak boleh berambut panjang. Dan ini tidak melanggar hukum syarak.. Jadi dari segi undang-undang, Ideal memang bersalah.

Hmmh... patutkah Ideal potong rambut?? hehe..

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP