Saturday, May 13, 2006

Pemuda Dari Timur

Al-Arqam sudah jadi sejarah. Sudah mati terkubur.

Membaca karya Abu Hassan Morad, novel Pemuda Dari Timur, mengimbau kembali sejarah tersebut. Novel yang berupa satira ini memparodikan situasi perang dingin antara Al-Arqam dengan Pusat Islam suatu ketika dahulu.

Ketemu novel ini di loteng rumah, waktu Ideal membelek-belek rak-rak buku-buku abang sulung Ideal.

Ideal mula mengenali penulis novel ini, Abu Hassan Morad, waktu ketemu di Mesir. Abu Hassan ke Kaherah untuk membuat penggambaran RTM menjejaki kesan-kesan sejarah Islam di Mesir. Ideal pula kebetulan berada di Kaherah mengikut ayah yang bertugas dengan MAS. Atas saranan kenalan ayah, Ideal bersama-sama dengan adik Ideal ikut serta ekspedisi penggambaran Abu Hassan ke gunung Jabal Musa.

Dari situ, Abu Hassan ada menghadiahkan novelnya yang menang Anugerah Sastera Utusan Melayu – Public Bank, Julia. Itulah novel pertamanya yang Ideal baca.

Tajuk novel ini – Pemuda Dari Timur, mengingatkan Ideal tentang intipati perjuangan Al-Arqam dahulu. Tentang keyakinan ahli-ahlinya kepada sebuah hadis nabi yang menceritakan akan kebangkitan Islam di akhir zaman bermula dari sebelah timur (Malaysia?), yang dipimpin oleh pemuda Bani Tamim.

“Dan daripada keturunannya (menunjukkan kepada Ali bin Abi Talib), muncul seorang lelaki yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan. Jika kamu semua melihat yng demikian, berbaiatlah kepada pemuda dari Bani Tamim itu yang datang dari arah Timur. Dialah pemilik Panji-panji Al-Mahdi.”
(At-Tabrani, Abu Nuaim, Al-Khatib & Al-Kidji)


Seperti yang tercermin pada tajuknya, keseluruhan mesej novel ini sememangnya menumpu kepada satu titik asas, iaitu tentang perjuangan Al-Arqam serta kepercayaan dan keyakinan ahli-ahlinya bahawa Ustaz Ashaari yang mereka panggil Abuya itulah pemuda Bani Tamim yang dijanjikan nabi itu.


Melalui corong kreatifnya, Abu Hassan menciptakan watak-watak Joseph dan Sophia (agen perisik utusan Kristien yang ditugaskan menghalang kebangkitan Islam di Malaysia disamping menyuntik aliran sekularisme). Juga watak Prof. Amit, pengarah Akademi Islam yang menjadi antagonis kepada jemaah Darul Taqwa (sesiapa yang membacanya, tentu akan terus faham bahawa yang dimaksudkan Akademi Islam itu adalah Pusat Islam, sedangkan Darul Taqwa itu adalah Al-Arqam – Darul Arqam).

Juga, watak Abuya Musa (sesiapa saja yang baca akan terus juga faham bahawa inilah watak yang digambarkan sebagai Ustaz Ashaari).

Kisahnya novel ini mudah.

Tentang Akademi Islam yang sudah terpengaruh akan aliran sekularisme. Joseph memainkan peranannya dengan berpura-pura menjadi ilmuwan Islam, menyampaikan diayahnya apabila dipanggil berkhidmat untuk Akademi Islam.

Sebagai agen perisikan, gerak langkah Joseph dicatur dan dirancang dengan begitu rapi. Ironinya, sungguh pun dia yakin dengan kebenaran Jesus, perancangan yang dicatur semuanya berlandaskan petunjuk-petunjuk dari hadis-hadis nabi. Tidak pula pada petujuk-petunjuk dari Bible yang dianggapnya holy itu.. Dia mengkaji hadis untuk menggagalkan apa yang telah diramalkan dalam hadis itu.

Kemudian kisahnya bertambah menarik apabila dalam mengkaji hadis, juga dalam merisik kumpulan Darul Taqwa, Joseph akhirnya mula goyah pegangan kepada Jesus.

Kemelut konflik novel ini mencapai kemuncaknya apabila rakyat Malaysia semuanya mogok, beramai-ramai keluar berkumpul di dataran Merdeka. Mereka dikatakan mogok kerana tidak puas hati dengan kepimpinan negara serta masalah politik, ekonomi, dan sosial yang melanda. Akhirnya tidak ada jalan lain selain terpaksa juga dipanggil Abuya Musa pulang ke Malaysia, bagi menerajui kepimpinan negara.

Sebagai pembaca, Ideal dapat mengesan nada novel ini sedikit terlalu bias. Penulis terlalu menunjuk-nunjuk biasnya menyokong Al-Arqam. Ya, sememangnya setiap penulis tentu sekali akan ada biasnya sebagai menunjukkan pegangan dan pendirian penulis. Namun demikian, nada bias yang ditunjukkan dalam novel ini agak keterlaluan, malah sampai pada tahap yang menjadikan ceritanya tidak munasabah. Hal ini dapat dilihat apabila penulisnya cuba menggambarkan betapa rakyat ketika itu begitu memberikan sokongan padu kepada perjuangan Darul Taqwa. Betapa rakyat ketika itu begitu ternanti-nanti akan kepulangan Abuya Musa. Betapa mereka inginkan Abuya Musa menerajui kepimpinan negara.

Sedangkan realitinya yang berlaku, sangatlah berlainan. Rakyat waktu itu sebenarnya malah prejudis pada perjuangan Al-Arqam. Mereka terpengaruh mentah-mentah akan segala kenyataan oleh Pusat Islam. Malahan, ada yang sampai fobia melihat orang berjubah-berserban, berselubung seluruh badan.

Ideal masih sungguh-sungguh ingat lagi saat itu. Waktu tahun 1990an itu, Ideal masih dalam sekolah rendah. Begitu Al-Arqam dicemuh dan diperlekehkan perjuangannya oleh masyarakat. Sungguh berlainan sekali dari apa yang digambarkan dalam novel Pemuda Dari Timur itu!

Sesuatu yang menarik juga, novel ini diterbitkan pada tahun 1994, iaitu waktu kemuncaknya krisis Al-Arqam dengan kerajaan. Pada tahun inilah Ustaz Ashaari ditahan di bawah ISA, juga, pada tahun ini jugalah peristiwa pengakuan sesat oleh Ustaz Ashaari disiarkan ke seantero negara*.

Novel Pemuda Dari Timur ini banyak menyelitkan minda-minda serta pemikiran Ustaz Ashaari. Kalau dikaji minda serta pemikiran yang terkandung dalam novel ini pula, kita akan menemui sesuatu yang menakjubkan.

Dalam novel ini ada menyatakan tentang hikmah mengapa Islam terus ditekan di Bosnia, Palestin dan negara lain seluruh dunia. Menurut novel ini (yang Ideal pasti merupakan minda Ustaz Ashaari, dan cuma dicernakn oleh Abu Hassan ke dalam novelnya), Islam terus ditekan itu adalah “Jadual Allah.”

“Barat disibukkan dengan Bosnia, Somalia dan Palestin, tetapi pada masa yang sama Allah permudahkan urusan perjuangan di sebelah Timur” (untuk kebangkitan Islam). Itulah hikmahnya.

Dari situ cuba pula kita teliti akan hikmah pengharaman Al-Arqam. Arqam diharamkan pada tahun 1994. Pemimpinnya disumbat dalam ISA, projek-projeknya dibatalkan, asset-asetnya dirampas, perkampungannya digeledah. Kemudian pada tahun 2001, berlakuya peristiwa serangan WTC, diikuti dengan pengisytiharan perang menentang pengganas oleh Amerika Syarikat. Mana-mana kumpulan yang menonjol Islamnya, dicap pengganas. Indonesia jadi sasaran dengan Jemaah Islamiahnya.

Tapi Malaysia terselamat.

Cuba bayangkan kalau Al-Arqam tidak diharamkan. Cuba bayangkan kalau Al-Arqam terus bergerak aktif seperti dulu-dulu. Dengan imej berjubah berserban, berselubung seluruh badannya itu.

Cuba bayangkan… Tentu sudah lama Malaysia jadi sasaran… Tak begitu?

Tapi sudah “Jadual Allah”, Malaysia diselamatkan. Malaysia disimpan..

Maka dari situ kita melihat hikmahnya pengharaman Al-Arqam.

Apa-apa pun, Al Arqam kini sudah menjadi sejarah. Sudah mati berkubur. Namun demikian, perjuangannya masih terus subur, melalui rangkaian perniagaan Rufaqa’ Corporation.

*****************************************************************

* Telah diperakui bahawa pengakuan sesat oleh Ustaz Ashaari pada tahun 1994 di Masjid Negara, yang disiarkan ke seluruh negara itu adalah muslihat perjuangannya semata-mata. Untuk melepaskan diri dari ditorture pihak berkuasa. Perincian tentang muslihat Ustaz Ashaari dalam pengakuan sesat ini ada diceritakan dalam buku Tersungkur di Pintu 'Syurga', karangan Zabidi Mohamed.

Ustaz Ashaari masih berpegang teguh kepada kepercayaan dan prinsip perjuangannya.

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP