Monday, June 19, 2006

Bila Mak Mula Bersuara...

Waktu itu sahaya sedang di dalam komuter ke Sentul sambil mengulang baca novel Tangisan Bangsaku karya Arifin Ngah. Emak sahaya duduk di sebelah tatkala dia tiba-tiba bersuara: “Angah, why I don't see you read English books?"

Sahaya tergamam sejeda sambil berkira-kira akan jawapan sebaiknya. Sebetulnya memang sedari dulu lagi sahaya sudah menjangkakan soalan ini pasti lambat laun akan ditanyakan juga kepada sahaya. Kalau tidak oleh emak, oleh ayah sahaya. Hanya masa yang akan menentukan. Dan hari itu – waktu di dalam komuter itu – waktu sahaya sedang mengulang baca novel karangan Arifin Ngah itu – emak sahaya akhirnya bersuara.

Sahaya kemudian mengangkat muka dari buku tersebut, lalu memandang emak sahaya sambil bersuara menjawab, “I do read English books, mak. But only limited to non fictions such as biographies and self motivation books.”

You should read English novels, you know.” Cekatan sahaja Emak sahaya menjawab sejurus mendengar penerangan sahaya itu.

why??” Sahaya lantas menyoal emak sahaya. Tapi sebelum sempat dijawab, sahaya sudah menyambung lagi, “I think you should instead tell those who reads ONLY English books to start reading Malay books.” Sahaya cuba menyucuk jarum kali ini. Jarum apa ya? Ya…Jarum apa lagi kalau bukan jarum yang selalu sahaja disuarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka – Jarum untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Dialog antara Emak sahaya dengan sahaya itu secara jelas-jelas, terang lagi nyata ditambah lagi dengan suluhan lampu sorot, menunjukkan betapa di kalangan rakyat masih ada yang terlalu mengagung-agungkan bahasa penjajah.

Sahaya sebetulnya bukanlah anti kepada apa-apa bahasa. Malah sahaya akur akan kepentingan bahasa kedua, ketiga, keempat, dan seterusnya. Tapi yang sahaya rasa tidak senang ialah apabila ada orang yang mempunyai pemikiran bahawa membaca bahan-bahan bacaan berbahasa Melayu tidak banyak faedahnya. Mereka merasakan hanya bacaan berbahasa Inggeris sahaja yang bermutu. Bacaan bukan berbahasa Inggeris mutunya agak rendah sedikit.

Sahaya bukannya tidak membaca langsung buku-buku berbahasa Inggeris. Malah seperti yang sahaya telah nyatakan tadi, sahaya membaca buku-buku berbahasa Inggeris untuk genre biografi atau motivasi. Hanyasanya sahaya tidak membaca novel berbahasa Inggeris. Itu sahaja.

Pun begitu sahaya tidak membaca novel berbahasa Inggeris bukannya tidak bersebab, melainkan tentu sekali ada sebabnya. Pertama, kerana sahaya merasakan novel itu – bukankah menceritakan kehidupan? Dan tentu sekali kehidupan yang berlatarkan masyarakat tempatan lebih dekat dengan jiwa sahaya. Sebab itulah sahaya lebih gemar novel-novel tempatan berbanding novel-novel luar. Rasa lebih dekat dengan jiwa, lebih mudah dihayati. Yang keduanya, kerana sahaya merasakan tidak cukup masa untuk membaca novel-novel luar. Kerana sahaya merasakan masih terlalu banyak karya-karya penulis tempatan yang molek-molek mutunya, yang belum sahaya sempat baca lagi. Dari sahaya menghabiskan masa membaca novel-novel luar, bukankah lebih baik sahaya berkenal-kenalan dengan karya-karya Munsyi Abdullah, Zaaba, Hamka, ataupun A Samad Said, Keris Mas, dan Abdullah Hussein? Tak lupa juga karya-karya hikayat yang tidak diketahui siapa penulisnya seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Deman dan bermacam-macam lagi hikayat. Terlalu banyak yang perlu sahaya baca, jadi sahaya tak mahu buang masa membaca karya-karya luar sebelum sahaya sempat berkenal mesra dengan karya tempatan terlebih dahulu. Sahaya menyisip kemas kata-kata Pak Samad Said di dalam hati sahaya, “seorang manusia Melayu itu tidak lengkap sekiranya tidak membaca Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan karya-karya Munsyi Abdullah.”

You should read English books. Don’t read Malay books, your Malay is already good.” Sahaya masih ingat, dahulu sahaya sering disogokkan dengan kata-kata seperti ini. Sogokkan seperti ini malah datangnya dari para guru di sekolah.

Ya, dahulu memang sahaya banyak baca buku berbahasa Inggeris, terutama sekali novel-novel R.L Stine dan Christopher Pike. Sekali-sekala sahaya baca pula karya Sidney Sheldon milik adik perempuan sahaya dan sahaya akui, memang sedap ceritanya. Dan sememangnya sahaya berterima-kasih ke atas saranan guru-guru sahaya itu kerana dari saranan itulah sahaya dapat mempertingkatkan kemahiran Bahasa Inggeris sahaya. Hanysanya sahaya rasa saranan itu agak cacat, kerana saranan yang lebih elok sepatutnya berbunyi seperti ini: “You should not just limit your reading to Malay materials, but try reading English books as well, as it will certainly improve your English proficiency. Read both Malay and English materials.” Bukankah lebih molek kalau saranannya berbunyi seperti itu? Kenapa perlu korbankan bahasa sendiri, hanya untuk dapatkan bahasa si penjajah laknat?

Your Malay is already good. Read English so you can improve your English.”

Well, that’s the problem with most Malays. They think they have already mastered the language, whereas it is actually far from true.” Begitu jawapan sahaya tatkala mendengar kata-kata itu.

Sahaya lantas menyarankan emak sahaya agar membaca novel Melayu, untuk lihat sejauh manakah dia sebenarnya bahasa Melayu. Untuk melihat kekuatan perbendaharaan katanya. Secara bersahaja emak sahaya lantas menyahut, “Well, than, give me a Malay book and let’s see..”

Sahaya pada awalnya berkira-kira untuk memberikan novel Warna Sukma Usia Muda karya Arena Wati. Tapi memandangkan sahaya masih belum selesai membaca novel tersebut, jadi sahaya bercadang memberikan novel 1515 karya Faisal Tehrani sahaja. Lihat dahulu bagaimana responnya dari emak sahaya. Lagi pun, bukankah Faisal Tehrani memang terkenal suka menggunakan bahasa-bahasa bombastik dalam karyanya?

Sepanjang-panjang perjalanan dalam komuter itu seterusnya, dalam fikiran sahaya hanya terisi dengan ingatan-ingatan kisah dari novel Salina karangan Pak Samad Said sahaja. Dan yang paling terbayang kuat ialah dialog antara watak Hilmy dan Nahidah dalam bab ke 22:


“Idah selalu baca karangan sapa?”

“Karangan sapa saja, asal bukunya ditulis dalam bahasa Melayu dan asal saja bukunya dapat dipinjam.”

“Cuba sebutkan nama-nama penulisnya.”

“Tak ingatlah. Yang ingat nama buku-bukunya saja.”

“A, itu pun boleh. Cuba sebutkan.”

“E…e… Korban Kinabalu, Inspektor Saruan, Dayangku Fatimah, Korban Kesuciannya, kembali dari medan Perang, Cinta Gadis Rimba dan entah buku-buku apa lagi – namanya dah lupa.

“Baguskah buku-buku tu?”

“E, baguslah. Idah kalau sedang baca-baca pantang benar kalau kena suruh. Naik marah rasanya.”

Hilmy ketawa geli hati. Nahidah turut ketawa sama.

“Saya di sekolah pun kena baca buku ceita juga. Tapi kami semua kena baca buku Inggeris. Bukunya banyak. Kami pilih sajalah. Kata cikgu kami, buku Inggeris tinggi mutunya. Kami bacalah; kami baca buku-buku karangan Charles Dickens, Jane Austen, Mark Twain, Joseph Conrad dan banyak lagi,” kata Hilmy menerangkan.

“Ho, macam Hilmy bolehlah baca buku Inggeris, Hilmy tahu bahasanya. Macam kita ni baca buku-buku melayu sajalah. Lagi pula apa gunanya kita tau tentang orang lain, kalau kita tak tau tentang diri kita sendiri,” kata Nahidah.

“Kata cikgu kami buku-buku Inggerislah yang tinggi mutunya di dalam dunia ini. Sebab itulah kami baca buku-buku tu – kami baca semua buku-buku Inggeris yang tinggi mutunya,” kata Hilmy menerangkan lagi.

“Yalah. Tapi takkanlah benar buku-buku Inggeris saja yang tinggi mutunya. Lagi pula kalau tinggi pun mutu buku-buku Inggeris tu, takkanlah awak orang Melayu tu tak mau baca-baca buku Melayu pulak. Kalau benar buku-buku orang Melayu tak bermutu, bacalah saja keran isinya, periksalah apa yang terkandung di dalam hati dan fikiran penulis-penulis Melayu, periksalah apa yang ditulis oleh penulis-penulis Melayu tentang orang sebangsanya. Kata orang sekarang ni zaman bangsa kita belajar kenal dirinya sendiri, zaman kita mulai sedar. Hah, kalau dah gitu bila lagi endak sedar kalau buku bangsa sendiri pun tak endak baca? Endak tunggu sampai bangsa Melayu tenggelam terus baru endak dibaca sejarah kejatuhannya itu?” kata Nahidah menunjukkan bahawa dia sebenarnya bukanlah duduk dan berfikir tentang apa-apa yang berlaku di bawah atap rumahnya sahaja seperti yang disangkakan oleh Hilmy pada beberapa waktu lalu.

“Ya, tapi sekarang ni saya belum ada kesempatan lagilah,” kata Hilmy.

“Kalau endak tunggukan kesempatan, pendeknya sampai mati pun tak akan cuba membaca buku-buku Melayulah. Hilmy belajar orang putih, baca buku orang putih banyak-banyak; kenallah orang lain banyak-banyak. Nanti kalau orang tanya Hilmy tentang penulis-penulis Melayu, Hilmy kata tak ada sajalah ya? Kata sajalah buku-buku Melayu tak ada mutunya, atau katakan sajalah orang-orang Melayu ni malas endak tulis cerita. Atau sesekali nanti bila ada orang tanya, awak kenal Tun Seri Lanang tak? Hah, gelengkan kepala tu – bilang tak tau. Atau katakaa sajalah Tun Seri Lanang tak ada dalam masyarakat Melayu, ya? Dan kalau orang tanya pulak, awak kenal Harun Aminurrashid? Entah. Kenal Abdullah Sidik? Entah. Kenal Keris Mas? Kenal Tongkat Warrant? Entah. Kenal Hamzah? Entah. Kenal Jymy Asmara? Entah. Ai, main entah sajalah. Dan kalau orang tanya awak orang apa? Melayu! Habis tak tau nama pengarang-pengarang Melayu? Hendak geleng-geleng kepala saja? Nak taruh muka di mana?” kata Nahidah memanjang-manjang, terlupakan sama sekali soal utama yang diperkaakan mereka, soal surat.



Sekali lagi, sahaya tegaskan, sahaya bukan anti kepada bahasa Inggeris. Malah sahaya juga gemar membaca buku-buku berbahasa Inggeris. Sahaya bukan ekstremis bahasa, tetapi sekadar tidak selesa apabila ditentukan bahan bacaan oleh orang lain. Setiap orang punya citarasa tersendiri dalam memilih bahan bacaan, bukan?


Senarai Bacaan

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP