Wednesday, June 14, 2006

Entri Khas Sempena Hari Bapa

AYAH JAHAT
Oleh: AIDIL KHALID


“Abang… ayah orang jahatkah bang?” Soalan itu mendadak sahaja datangnya dari Dennis. Dennis adik bongsuku. Usianya baharu sahaja mencecah 6 tahun, dua hari yang lepas. Tanggal 21 Ogos tarikh lahirnya.

Aku sebetulnya agak kaget mendengarkan kata-kata yang terpacul dari mulut Dennis itu. Selera yang baharu sahaja terbuka menghadap sarapan pagi itu, sirna. “Eh, kenapa pula adik cakap begitu? Tak baik tau.”

“Habis tu, polis tangkap ayah kenapa?” Dennis tidak menjawab, sebaliknya menyoal kembali. Kemudian dia sambung lagi, setelah diam sejeda. “Cikgu Dennis cakap, polis tangkap orang jahat. Ayah kan kena tangkap dengan polis.”

Aku terdiam sejenak mendengarkan patah-patah kata yang diucapkan Dennis itu. Sebetulnya aku sendiri tidak tahu bagaimana harus aku jelaskan kepadanya tentang perkara ini. Aku berkira-kira, mencari apa yang harus aku tuturkan kepadanya.

Sarapan pagi yang terhidang di atas meja masih tidak berjamah. Tidak oleh Dennis, tidak olehku, dan tidak juga oleh Anisah. Masing-masing khali di atas bangku, menghadap makanan tersebut. Menatap kosong pada kentang goreng dan telur dadar yang aku siapkan.

Sememangnya semenjak penangkapan ayah dua hari lalu, pada hari lahir Dennis itu, akulah yang cakna meladeni kerenah Dennis dan Anisah, dua orang adikku itu. Anisah sudah agak besar sedikit, sudah darjah tiga. Jadi dia tidak terlalu banyak kerenah. Yang paling banyak kerenah ialah Dennis.

Emak pula, semenjak ayah ditangkap ini, tempatnya hanya di atas sejadah sahaja yang aku nampak. Kalau tidak berwirid, membaca quran. Kalau tidak membaca quran, bersembahyang pula. Kadang-kadang teresak-esak dalam keadaan sujud menghadap kiblat. Entah bila pula dia makan dan minum, aku sendiri pun tidak tahu.

Aku memandang Dennis. Kemudian aku memandang Anisah pula, sebelum kembali lagi kepada Dennis. Dua-duanya pun masih lagi belum menyentuh apa-apa yang terhidang di atas meja. Aku lihat air milo yang aku bancuh untuk mereka berdua berasap nipis.

“Polis memanglah tangkap orang jahat. Tapi ayah bukan orang jahat tau.” Aku akhirnya bersuara.

“Eh, macam mana pula tu? Dennis tak fahamlah bang.” Dennis menggaru-garu kepalanya yang aku pasti, tidak gatal sebenarnya. “Cikgu Dennis cakap, polis cuma tangkap orang jahat saja. Lepas tu dia cakap lagi, kalau kita orang baik, tak payah takut dengan polis. Sebab polis tangkap orang jahat.” Dennis memandang kepadaku, sambil kedua-dua keningnya dikerutkan. Serius benar lagaknya. Comel pula aku lihat dia begitu!

Anisah pun memandang kepadaku juga. Barangkali turut sama menantikan jawapan dariku.

Aku buat muka selamba sahaja, seolah-olah tidak perasan yang mereka menantikan jawapan dariku. Dengan tangan kanan, aku capai tiga batang kentang goreng yang dipotong panjang-panjang itu (seperti French fries). Kemudian aku menyuapnya ke dalam mulut, lalu mula mengunyahnya.

“Nisah pun rasa macam tu jugalah, bang. Sebab semalam Nisah tengok cerita polis. Nisah tengok polis tangkap orang jahat. Orang baik tak kena tangkap pun.” Anisah pula bersuara apabila dilihatnya aku diam sahaja. Aku tahu, yang dimaksudkan cerita polis itu adalah siri drama Gerak Khas arahan Yusoff Haslam.

“Oh, ya?” Aku menjawab acuh tak acuh sahaja. Sebetulnya mindaku masih ligat memikirkan jawapan yang terbaik buat mereka yang baharu berusia enam dan sembilan tahun itu. “Itu cerita yang semalam, memanglah begitu. Tapi cerita yang minggu lepas punya, Anisah ingat lagi tak?” Tanganku mencapai lagi empat batang kentang goreng, lalu menyuapnya ke mulut. Sewaktu aku mengunyahnya, mata Dennis dan Anisah tertumpu kepadaku. Mereka masih juga tidak menyentuh makanan. Mereka menanti untuk aku meneruskan kata-kata.

Setelah keempat-empat batang kentang itu habis aku telan, barulah aku menyambung lagi. “Cerita yang minggu lepas, ingat lagi tak? Kan mula-mula orang yang baik tu kena tangkap sebab polis nak soal siasat dia. Lepas tu, baru polis lepaskan balik dia.”

“A’ah, a’ah. Dennis ingat. Dennis ingat lagi.” Dennis bersuara bersemangat. Suka benar dia akan siri drama Gerak Khas itu. Aku lihat matanya bersinar-sinar. “A’ah, orang baik tu mula-mula kena tangkap kan? Sebab polis ingatkan dia yang bunuh orang tu kan?” Dennis menceritakan kembali apa yang diingatnya dari cerita itu, sambil kepalanya diangguk-anggukkan penuh semangat. “Tapi akhir sekali baru polis dapat tangkap orang yang jahat tu.” Aku tersenyum sahaja mendengarnya.

“Oo, sekarang baru Nisah faham. Maknanya, ayah tak jahat. Tapi polis yang ingat ayah jahat, ya abang?” Aku sekadar mengangguk mendengar kata-kata Anisah itu. Sungguh pun begitu, aku sendiri tidak pasti apakah maksud anggukkanku itu.

“Nanti bila dah dapat orang yang sebenarnya jahat, polis akan lepaskan ayah balik ya?” Nisah menyambung lagi, cuba mendapatkan kepastian. Dia benar-benar tak rela ayahnya diambil polis. Dia mahu kepastian dariku, yang ayah akan dilepaskan.

Namun, aku sedar yang aku tidak akan dapat memberikan kepastian itu. Lantas aku memilih untuk menjawab pertanyaan Anisah itu dengan senyuman sahaja. Kemudian aku bersuara kepada kedua-dua mereka, Dennis dan Anisah. “Sudahlah. Makan cepat. Tentang ayah, kita doa saja kepada Allah. Mudahan-mudahan Allah pelihara ayah. Mudah-mudahan ayah dilepaskan cepat. Sekarang ni, makan dulu. Nanti kentang tu lemau dah tak sedap.”

“Doa macam emak ya bang?” Dennis menyoal.

“Ya.” Pendek sahutku. Kemudian aku mengarahkan mereka segera makan.

Dennis dan Anisah lantas mencapai kentang goreng. Aku memerhatikan mereka berdua. Dennis meletakkan kentang goreng yang dicapainya itu ke dalam pinggannya. Kemudian dicapainya pula sudu pada mangkuk telur dadar, lalu mencekup telur dadarnya, kemudian meletakkan dalam pinggannya. Tiga cekup semuanya. Setelah itu dia tidak langsung makan, sebaliknya menghirup dahulu air milonya yang asap tipisnya sudah semakin tidak kelihatan. Dia menghirupnya perlahan-lahan, mengeluarkan bunyi syrrrp.

Anisah pula mencapai kentang goreng sahaja. Kemudian langsung mengunyahnya. Dua tiga batang, kemudian dicapainya lagi yang baru, lalu dikunyahnya lagi. Setelah itu, dipandangnya wajahku. Kunyahannya menjadi semakin perlahan, kemudian dia bersuara. “Abang rasa berapa lama lagi baru polis dapat tangkap orang yang sebenarnya jahat tu?”

Mata Anisah tepat kepadaku. Bahunya tegak, kepalanya ditelengkan sedikit. Seperti orang dewasa pula, lagaknya. Dennis juga memandang kepadaku. Diam sejeda.

Ah, bagaimanakah harus aku katakan kepada mereka?

Ayah mereka – ayah kami, ditahan. Dan sukar untuk aku duga berapa lama akan dia ditahan. Mugkin enam bulan. Mungkin juga sampai menjangkau dua tahun. Patutkah aku beri tahu kepada mereka bahawa ayah mereka sebenarnya ditahan kerana disyakki membahayakan keselamatan negara? Mampukah mereka menghadaminya?

Ayah yang begitu mesra dengan mereka, tiba-tiba sahaja menjadi seorang manusia yang mengancam keselamatan negara? Begitukah yang harus aku jelaskan kepada Dennis dan Anisah? Oh, tidak, tidak sekali-kali. Itu mengkhianati perjuangan ayah, namanya. Biarlah aku menerangkan hal yang sebenarnya kepada mereka. Biar pun mereka mungkin tak faham buat masa ini, tetapi suatu hari nanti mereka tetap akan faham juga keadaan yang sebenarnya. Aku yakin.

Bukankah mereka inilah yang akan menjadi penyambung perjuangan ayah suatu hari nanti? Kalau ayah gugur, generasi yang baharu akan terus menyuburkan perjuangan ayah. Dan aku… aku punya tanggung-jawab untuk menanam semangat itu ke dalam sukma adik-adikku. Semoga mereka rela berkorban seperti ayah mereka juga. Demi melihat kebangkitan agama yang dianuti. Demi menegakkan syiar Islam, seperti yang telah dijanjikan oleh nabi, yang akan berlaku pada akhir zaman.

Mereka juga harus difahamkan bahawa perjuangan ayah mereka itu sebenarnya begitu berlemah lembut. Begitu berhikmah. Ayah tidak pernah menyuruh anak-anaknya untuk menentang pihak berkuasa. Ayah tidak pernah mengajar anak-anaknya untuk menyalahi undang-undang. Ayah malah selalu mendidik kami anak-anaknya agar berpegang kepada slogan: “Kami dengar dan kami patuh.”

Malah pada saat ayah sudah dapat mengesan bahawa dirinya akan ditahan, dia telah memberikan pesanan yang cukup bermakna kepadaku, agar disampaikan kepada adik-adikku. Ayah telah meminta agar aku dan adik-adikku bertenang. Jangan sekali-kali bertindak di luar kawal. Jangan sekali-kali bertindak dengan emosi. Ayah menyeru agar aku dan adik-adikku meneruskan sahaja segala apa yang telah diajar dan dididiknya kepada kami. “Biar dunia nampak keindahan Islam,” katanya. “Walaupun ayah terpaksa korbankan diri ayah.”

Jadi biarlah aku menerangkan hal yang sebenarnya kepada Dennis dan Anisah. Aku tidak seharusnya menyembunyikan. Mereka punya hak untuk tahu.

Aku akhirnya bersuara setelah lama diam, menjelaskan kepada Dennis dan Anisah. “Ayah mungkin kena tangkap agak lama,” bicaraku.

Diam. Tidak ada yang menyahut. Masing-masing, Dennis dan Anisah, hanya mengunyah makanan di dalam mulut mereka.

Kemudian baru Anisah membuka mulut bersuara. “Kenapa pula macam tu?”

"Nanti kalau polis tahu yang dia orang tersilap, polis lepaskanlah ayah, kan abang?” Dennis menyambut pantas.

“Tidak. Tidak begitu sayang.” Aku bersuara lembut. “Sebenarnya polis tak tersilap tangkap. Memang mereka nak tangkap ayah pun.” Aku diam, memandang Dennis dan Anisah, cuba membaca penerimaan mereka. Kedua-dua Dennis dan Anisah menggaru-garu kepala mereka, yang tentu sekali sebenarnya tidaklah gatal. “Segala-galanya sudah dijadualkan Allah. Allah yang dah tentukan semuanya ni akan terjadi. Allah yang dah tentukan yang ayah akan kena tangkap. Jadi kita harus redha.” Aku diam, sebelum menyambung lagi. “Tapi percayalah, ayah kita bukan kena tangkap sebab dia orang jahat.”

“Habis tu kenapa bang?” Dennis menyoal. Tangannya masih lagi dikepalanya, sungguh pun sudah tidak lagi digaru.

“Ayah orang perjuangan. Dia kena tangkap kerana perjuangannya.”

“Oo.. Jadi kalau begitu, berjuang tu salah ya bang?”

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP