Friday, September 08, 2006

Kahwin Main-Main

Kalian pernah tidak, waktu kecil-kecil dahulu, waktu masih innocent dahulu, waktu masih naïf dahulu, main kahwin-kahwin? Tentu pernah, bukan.

Itu dulu, waktu kecil-kecil. Tapi ini Ideal nak cerita tentang orang yang sudah besar, sudah dewasa, tapi masih juga nak main kahwin-kahwin. Orangnya tak jauh, dekat saja dengan Ideal.

Ideal katakan dia main kahwin-kahwin, sebab dia kahwin macam tak kahwin saja. Nikahnya ada, tapi walimahnya tiada. Pula tu, mahu sembunyi-sembunyi lagi (teringat pula waktu kecil-kecil dulu, main sorok-sorok). Tak dibenarkan beritahu orang lain.

“SssssSShhh! Diam-diam tau.” Katanya dalam nada berbisik. “Jangan dihebahkan.”

Entah hukum apakah yang dipakainya entah, Ideal pun bingung. Nak kata hukum syarak, bukan. Hukum karma, lagilah bukan. Hukum Newton? Hmmmhh… entahlah. Setahu Ideal, kalau mengikut sunnah, bukankah nabi menyuruh dihebah-hebahkan sesebuah pernikahan itu? Sebab itulah diharuskan majlis walimah. Supaya diberitahu pada masyarakat, bahawa dua mempelai sudah halal bersama. Supaya tidaklah timbul fitnah nanti.

Yang peliknya, disokong pula oleh mak dan ayah kedua-dua pasangan untuk disembunyikan hal perkahwinan mereka. Nak kata kena tangkap basah, sebab itu mahu disorok-sorok, tidak pula. Tak pernah pula Ideal dengar mereka kena tangkap waktu sedang mandi. Tapi itulah… pelik, bukan?

Ideal memang sokong dia kahwin. Sebab pada pandangan Ideal, sudah jatuh wajib, hukumnya untuk dia berkahwin. Ideal bukan kata saja-saja, melainkan sebab Ideal sudah banyak dengar, rakan-rakan melihat kedua-dua pasangan itu pegang sana pegang sini, kucup sana kucup sini, mengalahkan suami-isteri layaknya. Jadi untuk mengelakkan maksiat dari terus merajalela, baiklah kiranya mereka berkahwin. Tapi bukankah lebih elok kalau mengikut aturan yang disarankan nabi? Dihebahkan sehebah-hebahnya supaya tidak timbul fitnah dikemudian hari.

“Tak boleh, tak boleh.” Kata dia, apabila Ideal tanyakan kenapa tak dibuat elok-elok perkahwinan mereka. “Memang rancangnya nak buat, tapi pihak perempuan katanya belum mampu.”

Ideal menggelengkan kepala sahaja. Hmmh, itulah akibatnya kalau tak faham konsep walimah dari persepsi Islam. Islam itu mudah, tak perlulah disusah-susahkan. Buat sahaja sekadar yang termampu. Tak perlulah nak buat macam Siti dan Datuk K. Nanti membazir pula. Dalam Islam, soal yang pokok adalah agar pernikahan itu dihebahkan. Tak perlu besar-besar, yang kecil-kecilan sudah memadai.

Ibu-bapa dia pula punya alasan tersendiri kenapa tak mahu hebah-hebahkan. “Hisssyy, taknaklah hebahkan dulu! Takut nanti apa pula fikir masyarakat. Masih belajar, sudah gatal nak kahwin. Nanti orang fikir, ada sesuatu yang buruk dah jadi, sebab tu tergesa-gesa sangat nak kahwin.”

Sekali lagi Ideal menggelengkan kepala. Kononnya taknak orang mengata itu-ini. Buatnya si perempuan dapat anak, mana nak letak muka?

“Alaa, toksahlah buat anak.” Wah, senangnya cakap! Sedangkan orang yang belum kahwin pun, boleh jadi anak. Inikan pula orang yang sudah nikah, sudah halal hukumnya. Siapa tahu, kerja Tuhan? Nak jawab apa nanti? Nak katakan saja pada semua bahawa roh kudus telah ditiupkan ke dalam rahim si perempuan? Haha!

Jom, sama-sama kita geleng-gelengkan kepala. Huhu… Apa-apa pun, selamat main kahwin-kahwin dan sorok-sorok, ya, pada yang berkenaan. ;-)

P/S: Gambar di atas adalah gambar hiasan semata-mata. Diambil dari weblog Yasmin Ahmad.

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP