Wednesday, December 06, 2006

Aurad Muhammadiah Dari Kaca Mata Shahnon

Dalam pada Ustaz Asaari dengan rangkaian perniagaan Rufaqa’nya dikritik hebat, saya ketemu dengan buku autobiografi Shahnon Ahmad, Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi, ketika membelek-belek di kedai buku UiTM Pulau Pinang baru-baru ini. (Ke sana sempena sukan KARisMA)

Dalam pada Aurad Muhammadiah pegangan orang-orang Al-Arqam dahulu dihentam serta difatwakan sesat oleh kerajaan-kerajaan negeri, saya teruja membaca tentang penglibatan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad secara langsung dan secara dekat dengan jemaah Al Arqam bermula tahun 1980, sehingga tarikh pengharamannya pada tahun 1994. Ya, Sasterawan Negara kita yang seorang ini, suatu ketika dahulu adalah ahli Al-Arqam yang diharamkan itu.

Dalam buku autobiografinya ini, Shahnon mengulas secara agak panjang lebar tentang penglibatannya dalam jemaah tersebut, dalam satu bab yang khusus. Dan ternyata, Shahnon cukup kagum dengan corak perjuangannya Ustaz Asaari dalam memimpin jemaah Al-Arqam bagi menghidupkan Islam secara syumul dalam segenap aspek kehidupan. Ekonominya, pertaniannya, pendidikannya, kebudayaannya, semuanya menurut Shahnon, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. (Shahnon Ahmad 2006: 76-77)

Lebih menarik lagi, menurut Shahnon, isi ucapannya sempena penganugerahan Sasterawan Negara yang kedua pada 1982 juga, diinspirasikan dari Ustaz Asaari. (Waktu itu dia masih aktif dalam Al-Arqam) (Shahnon Ahmad 2006: 87)

Selepas Al-Arqam diharamkan, ramai yang menyifatkan karya Shahnon, novel Tok Guru dan Ummi & Abang Syeikhul sebagai kritikan pedas terhadap amalan poligami dalam Al-Arqam. Ada yang beranggapan Shahnon kecewa dengan Al-Arqam. (Ann Wan Seng 2005: 205) Namun demikian, ternyata dalam buku autobiografinya yang saya baca ini, Shahnon menjelaskan bahawa kedua-dua novelnya itu bukanlah bermakana dia tidak bersetuju dengan poligami amalan Al-Arqam. Tetapi sebenarnya segala “ungkapan olok-olokan, sindiran-sindiran, kata-kata yang bersifat figuratif, simbolik dan kiasan-kiasan yang penuh sinikal” adalah sebagai caranya dalam memaniskan poligami itu. Hanyasanya khalayak tersalah mentafsirnya. (Shahnon Ahmad 2006: 84)

Shahnon juga, dalam autobiografinya ini, sepertinya terkilan apabila jemaah Al-Arqam diharamkan. Katanya, “Sayang! Al-Arqam dipermasalahkan dan sistem pendidikannya pun tergendala. Ulama-ulama yang tulin tidak dapat dilahirkan.” (Shahnon Ahmad 2006:80)

Shahnon walaubagaimanapun, akhirnya meninggalkan Al-Arqam seperti katanya, “Sekarang jemaah al-Arqam telah diharamkan oleh pemerintah dan sebagai seorang yang patuh kepada undang-undang, aku tidak lagi bersama Al-Arqam.”

Yang paling menjentik rasa, adalah perenggan terakhir Shahnon dalam bab penglibatan Al-Arqamnya. Menurutnya;

“Masyarakat masih belum mengenal Al-Arqam dalam maknanya yang sebenar; malah sebaliknya masyarakat merasa jijik terhadap jemaah ini, sering dicemuh dan dipinggirkan malah diludahi dan dimuntahi. Semuanya berpunca dari kejahilan dan juga dari sifat hasad dengki yang sememangnya tertanam dalam peradaban kita. Dan dalam era kejahilan dan penuh dengan perasaan hasad dengki inilah pula Al-Arqam tergopoh-gapah dan tergesa-gesa hendak memperkenalkan juzu’ Ilmu Tasawwuf melalui Tariqat Aurad Muhammadiah kepada masyarakat sedangkan anggota Al-Arqam sendiri pun masih tidak boleh menerima tariqat itu. Aspek tariqat dalam amalan cara hidup Islam masih jauh terpendam, masih kurang diyakini: malah masih banyak yang mempertikaikannya…” (Shahnon Ahmad 2006: 88)

Wallahua’lam…

******************************************************

Ann Wan Seng. 2005. Rahsia Arqam. Pahang: PTS Millenia

Shahnon Ahmad. 2006. Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi.
       Pulau Pinang: Pustaka Shahnonahmad

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP