Saturday, January 27, 2007

Athies: Yang Mengesankan

Saya baru sahaja selesai membaca buat kali pertamanya, novel Atheis, karya Achdiat K. Mihardja. Novel ini saya pinjam dari teman sekuliah, Abi Mursyidin.

Sungguh, novel ini begitu mempesonakan. Saya telah terlekat dengannya, sedari muka surat pertamanya lagi.

Ceritanya berlatarkan zaman penjajahan Belanda-Jepun, ketika ideologi-ideologi Sosialisme dan Marxisme sedang menular di Indonesia. Tentang Hassan yang begitu rajin mengamalkan ilmu tarekat. Namun demikian, dia mengamalkannya secara melulu buta tanpa ilmu. Hassan yang beramal atas dasar taklid terhadap mursyidnya itu kemudiannya telah terpesona dengan golongan atheis yang sering mengemukakan hujah-hujah logika mengapa mereka menolak prinsip ketuhanan. Dan ternyata disebabkan tertarik dengan gaya pemikiran logika itu, Hassan telah bertukar pendiriannya menjadi seorang atheis. (Dan tentunya, salah satu dari asbab utamanya dia bertukar menjadi atheis juga adalah kerana dia tertarik kepada Kartini, seorang jelita yang berpendirian atheis.)

Gaya pengarang menggambarkan wataknya, begitu megesankan, sehingga pada peringkat awalnya, saya sangkakan pengarangnya sendiri, Achdiat K. Mihardja, adalah seorang pemikir bebas (free thinker) ketika dia menulis cerita ini. Kerana dari dialog watak-wataknya, jelas menunjukkan sokongan yang memberat kepada golongan atheis, selain terdapat banyak dialog-dialog yang memperolok-olokkan prinsip-prinsip ketuhanan dan orang-orang tarekat.

Tapi ternyata, apabila sampai ke penghabisannya, sangkaan saya itu meleset. Pengarangnya cukup bijak mengalihkan sokongan keseluruhan novelnya ini, yang pada awalnya berpihak kepada golongan atheis, kemudiannya ke arah menghentam pihak atheis pula. Dan sebagai pembaca, saya tidak pula terasa jemu oleh sogokkan falsafah-falsafah ketuhanan dan anti ketuhanan yang dikemukakan, kerana ternyata setiap falsafah yang dikemukakan itu disulami dengan jalan cerita yang menarik, adakalanya mendebarkan, serta sekali-sekala membuai perasaan.

Sungguh pun mengambil gerak jalan cerita yang agak lambat (kerana terdapat banyak dialog tentang falsafah ketuhanan dan anti ketuhanan), tetapi novel ini tetap menarik untuk dibaca. Mungkin salah-satunya, disebabkan latar zaman yang diambil ketika zaman Belanda - Jepun. Dan saya pula sememangnya begitu gemar dengan cerita-cerita yang berlatar zamankan era kolonial.

Tapi sayang. Novel-novel Indonesia seperti ini begitu sukar di dapatkan di Malaysia sekarang ini. Selalu juga saya mencari-cari kalau ke kedai-kedai buku. Ada sesiapa yang tahu, di mana boleh kita dapatkan karya-karya besar Indonesia, seperti karya-karya Achdiat atau Pramoedya Ananta Toer?

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP