Thursday, February 01, 2007

Fanatisme dalam Aliran Seni Beladiri

Dalam saya menceburkan diri dalam aliran seni beladiri, saya berjumpa dengan pelbagai ragam orang.

Antaranya, termasuklah dari kalangan pengamal seni beladiri yang fanatik. Bagi mereka, hanya aliran yang mereka pelajarilah yang paling baik. Dan hanya guru merekalah yang paling hebat. Yang lain tidak hebat. Yang lain kurang baik.

Mereka ini biasanya terdiri dari kalangan orang-orang yang baru mula hendak mengenali apa itu beladiri. Kalau dia orang silat misalnya, dia baru hendak belajar kuda-kuda. Kalau dia belajar taekwondo, dia baru hendak belajar angkat kaki. Kalau dia belajar karate pula, dia baru hendak belajar menggenggam penumbuk. Sebab dia baru belajar, jadi mindanya masih tertutup. Jadi kita boleh maafkan kalau dia fanatik. Kita hanya boleh berharap, apabila pengalamannya bertambah, fanatisme dalam dirinya akan hilang.

Tapi ada juga orang-orang lama seni beladiri, adakalanya sudah bertahun-tahun belajar, tapi masih juga fanatik. Masih juga mengatakan seninyalah yang paling hebat, yang paling ganas, yang paling berkesan.

Mereka ini biasanya terdiri dari kalangan orang-orang yang hanya belajar satu aliran beladiri sahaja. Mereka tidak pernah, dan tidak mahu belajar beladiri dari aliran lain. Bagi mereka, seni yang mereka pelajari sudah cukup sempurna, jadi buat apa hendak belajar yang lain?

Apabila mereka berfikiran begini, sebab itulah mereka jadi fanatik. Minda mereka tertutup. Mereka tidak pernah terdedah dengan seni-seni dari aliran yang lain. Mereka tidak pernah berpengalaman merasai berlatih aliran lain. Kata orang, belum rasa, belum tahu. Maka tidak hairanlah walaupun sudah bertahun berlatih, tapi masih cetek pemikiran mereka.

Sedangkan, mereka tidak sedar, bahawa setiap beladiri itu ada kelebihannya, serta ada kekurangannya. Kalau mereka tidak pernah berpengalaman merasai sendiri berlatih aliran lain, bagaimana mereka mahu membandingkan aliran yang dipelajarinya itu dengan aliran yang lain? Bagaimana mereka boleh yakin sangat-sangat bahawa aliran mereka itu lebih baik dari aliran-aliran lain?

Dan adalah tidak logik apabila seseorang itu mengatakan bahawa alirannya adalah yang paling sempurna. Kerana sesungguhnya yang maha sempurna hanyalah Tuhan sekalian alam.

1 comment:

Anonymous said...

terasa saya.. hehe

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP