Monday, February 19, 2007

Jawi Saya Sudah Berkarat!

Masa umur saya baru 8 - 9 tahun, saya begitu lancar baca tulisan jawi. Waktu tu saya sekolah di Sekolah Rendah Islam Qurratul Ain. Subjek-subjek agama semuanya diajar dalam medium tulisan jawi. Pengajaran di dalam kelas sekolah rendah, biasanya cikgu akan suruh murid bacakan teks kuat-kuat ke seluruh kelas. Saya waktu itu, boleh baca dengan selamba, sama lancar macam saya baca tulisan rumi.

Tapi masa berlalu, saya meningkat ke sekolah menengah, kemudian ke kolej, dan seterusnya ke unversiti. Bertahun-tahun sudah tak sentuh tulisan jawi. Kalau baca pun, al-quran. Tapi tulisan quran dengan jawi tak sama. Quran lebih mudah dibaca sebab ada penanda barisnya.

Dan hari ini, setelah bertahun-tahun meninggalkan tulisan warisan alam Melayu itu, saya merangkak-rangkak ketika cuba membaca naskhah Utusan Melayu Mingguan. Saya rasa macam budak-budak tadika pula. Nak habiskan satu perenggan pun sampai seminit dua. Sekali sekala terpaksa mengeja untuk dapatkan sebutannya, sebab tak biasa.

Saya marah. Marah dengan diri saya. Sebab mengabaikan tulisan yang menjadi identiti alam Melayu suatu ketika dahulu. Saya tulis dan baca menggunakan tulisan rumi, ya, itu tidak salah. Tapi apabila kerana tulisan rumi saya meninggalkan terus tulisan warisan kebanggaan rumpun Melayu itu, maka saya rasa itu tidak wajar. Saya bantah diri saya sendiri!

Tulisan jawi terlalu banyak jasanya kepada alam Melayu untuk saya tinggalkan begitu sahaja.

Tulisan yang terhasil dari pengaruh kedatangan Arab dan Islam ke alam Melayu ini telah mengangkat keintelektualan orang-orang Melayu. Dengan hadirnya Islam yang seterusnya membawa kepada lahirnya tulisan jawi, maka bahasa Melayu mulai dipergunakan untuk membahaskan soal-soal yang ilmiah. Seperti karya- karya Hamzah Fansuri yang banyak membincangkan soal-soal metafizika dan ilmu mistisisme secara mendalam, contohnya. Malah karya agungnya, Bustanussalatin, telah menjadi kajian sarjana-sarjana, baik dari barat mahu pun timur.

Itu kesan kedatangan Islam dan pengenalan tulisan Jawi ke alam Melayu. Bandingkanlah pula dengan ketika kedatangan penjajah Barat, dan pengenalan tulisan rumi. Tidak seperti tulisan Jawi yang telah mengangkat martabat ilmu dalam Bahasa Melayu, tulisan rumi malah telah menjadikan Bahasa Melayu semakin ‘merendah diri’ berbanding bahasa-bahasa lain. Bahasa Melayu setelah kedatangan penjajah dengan tulisan ruminya, sudah tidak lagi berfungsi sebagai bahasa ilmu pengetahuan. Sampaikan sekarang ini, pembelajaran sains dan matematik pun terpaksa dalam Bahasa Inggeris. Di universiti-universiti tempatan, termasuk UiTM yang keseluruhannya Melayu, pembelajarannya pun terpaksa di buat dalam Bahasa Inggeris.

Tapi apa nak buat? Jawi sudah lama dikuburkan. Ketika Khir Johari menjadi menteri pelajaran, tulisan jawi dikeluarkan dari kurikulum sekolah tanpa rasa berdosa. Tapi saya tidak boleh buat apa-apa dengan itu. Benda sudah jadi. Namun sebagai individu, masih ada yang saya boleh lakukan. Saya berazam selepas ini, untuk jadikan rutin setiap minggu, membaca dari kulit ke kulit naskhah Utusan Melayu setiap hari isnin itu. Nak polish balik bacaan Jawi saya yang sudah berkarat!

2 comments:

pian (harimau sungai) said...

apa nak buat? dah pak menteri yang berbangsa melayu, cakap melayu dan muke melayu pun dah tak mau cakap melayu inikan pula tulisan jawi...
sedih remaja sekarang pun dah kurang minat pasal jawi..
dulu kat sekolah ramai rakan-rakan berebut nak masuk pertandingan khat.. tapi sekarang bile buat pertandingan sorang dua je yang daftar..penganjur pun buat endah-tak endah je..
entah lah, patutnye jawi perlu hidup, sehidup senafas orang melayu..
tapi kesian orang melayu makin lama makin lupe nafas sendiri...
kalau lupe bernafas paham-paham aje lah...

ingat lagi pian pada mendiang Ah Keng,jiran sebelah rumah nenek di kampung yang terlalu fasih cakap melayu dan pakar dalam tulisan jawi..
kalau Ah Keng hidup lagi, malu kite orang melayu sekarang..

Anonymous said...

dulu ekolah rendah kat sek 2 tu ke

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP