Saturday, March 03, 2007

Perniagaan Internet? Bohong!

Sebelum ini, saya agak prejudis terhadap perniagaan menerusi internet. Banyak buku-buku di pasaran, antara yang terkenal contohnya, buku Irfan Khairi, saya tidak pernah tergerak hati pun untuk membeleknya kalau ke kedai-kedai buku. Bagi saya, jadi kaya menerusi internet itu selalunya indah khabar dari rupa.

Tetapi ada dua perkara yang menggerakkan saya menghadiri seminar keusahawanan internet hari ini. Pertama: Penceramahnya lebih muda dari saya. Kedua: Seminarnya di UiTM ini adalah percuma! Jadi saya tidak mahu lepaskan peluang sebegini. Khabarnya kalau penceramah yang sama buat di tempat-tempat lain, harganya sekitar RM400-500 seorang.

Pencermahnya, Wan Mohd Syazwan Wan Sukri baru berumur 22 tahun. Merupakan penulis buku terlaris, Rahsia Buat Duit Dengan Internet. Masih belajar di UTP. Dalam masa yang sama juga merupakan Pengarah Pengurusan Syarikat SaifulSham Consultants.

Ternyata seminarnya hari ini telah merubah persepsi saya terhadap perniagaan menerusi internet. Saya paling tertarik pada cerita bagaimana Wan Mohd Syazwan boleh mula-mula ‘terjebak’ dalam perniagaan inernet ini. Saya katakan ‘terjebak’ kerana ternyata segalanya berlaku secara kebetulan sahaja!

Ketika tahun 2002, dia bercuti sementara menanti keputusan SPM. Tidak ada apa yang hendak dibuat, maka dia menghabiskan masanya seharian suntuk melayari internet. Muat turun lagu-lagu, muat turun filem-filem terbaru dan macam-macam lagi. Waktu itu dia tidak menggunakan jalur lebar lagi. Jadi bil internetnya naik mendadak. Dan reaksi ayahnya… cuba kalian bayangkan sendiri!

Biasanya seorang ayah akan marah, dan kalau ibu pula, tentu akan membebel tentang bil yang berjela-jela. Namun ayah Wan Mohd Syazwan tidak begitu. Dia malah memberikan semangat. Dia tahu anaknya minat pada internet. Maka katanya, “kenapa kamu menghabiskan masa kamu dengan benda-benda tidak berfaedah dalam internet? Kenapa kamu tak cuba buat duit melaluinya? Ayah ada dengar kawan ayah peroleh RM5000 sebulan menerusi internet.”

Bertolak dari situ, Wan Mohd Syazwan pun mulai mencari. Dia cari dari internet, dia geledah kedai-kedai buku yang ada informasi mengenai perniagaan internet. Dia belajar, belajar, dan terus mencari.

Dan akhirnya, dia dapat sedikit sebanyak maklumat mengenainya. Dipendekkan cerita, dia pun mulailah cuba menjual di dalam internet. Waktu itu, dia layari ebay.com, sebuah laman lelong barangan di Amerika Syarikat. Ada seorang dalam laman itu yang mahu menjual PDA terpakainya. Wan Mohd Syazwan hubungi orang itu melalui emel meminta izin untuk mencarikan dia pembeli dari Malaysia. Setelah mendapat izin, dia iklankan PDA tersebut di dalam laman lelong.com.my, sebuah laman lelong tempatan. Dia mendapat pembeli yang sudi membeli dengan harga yang lebih tinggi dari harga yang dijual oleh pemilik asal PDA itu tadi. Itulah penjualan pertamanya di internet.

Dan dari situ, dia mulai percaya bahawa perniagaan melalui internet adalah suatu perniagaan yang punya potensi. Sehingga ke hari ini, dia sudah punya lebih dari 10 laman e.dagang. Dan sedang secara stabil meningkatkan lagi kekayaannya.

Secara keseluruhannya, kursusnya menarik. Dan yang paling menarik, saya mendapat oleh-oleh dari seminar tersebut. Selaku orang pertama yang menanyakan soalan, saya dihadiahkan bukunya, Rahsia Buat Duit Dengan Internet. Sudahlah seminarnya percuma, dapat pula buku…Sudah rezeki!

Tapi saya masih belum baca lagi bukunya. Baru belek-belek saja. Setakat yang saya belek-belek itu, isinya lebih kurang sama saja dengan apa yang diseminarkan tadi. Cuma penerangan dalam bukunya ini lebih rinci lagi.

6 comments:

pakdi said...

zaman sekarang, untuk sebahagian besar jenis perniagaan, paling tidak internet mesti digunakan juga untuk marketing :)

Mas said...

ini contoh perniagaan internet yg betul.tentunya berbeza dgn pelbagai internet biz yg begitu byk sekarang yang kadang2 meragukan dan ada juga yang menipu...

ina said...

salam...nape xletak tagboard?? lame ye xdengar khabar berita...harap awk sihatlah hendaknya..

Dik Mal said...

dan sekarang.internet intrepreneur tumbuh bak cendawan:)

keep up your good work:)

http://norakmal.blogspot.com

Anonymous said...

Wah, puas kak cuba mengingati wajahmu seperti di atas. setelah kak perah otak baru teringat kita pernah berbual di bengkel, bukan?

InsyaAllah nanti bila kak rajin, kak link blog u di blog kak ya :)

~zalisa maz~

Ideal said...

Ya, ya... ;-)
dan masa tu tak sempat tanya pun nama kak.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP