Saturday, July 21, 2007

Aku Taknak Islam. Jangan Paksa Aku. - Ah Chong

Ah Chong seorang free thinker. Tidak ada agama. Dia yakin akan konsep evolusi yang diperkenalkan oleh Darwin. Bahawa manusia tidak dicipta. Malah bumi ini juga tidak dicipta. Segalanya berlaku dengan sendiri secara kebetulan. Oleh itu dia yakin, Tuhan itu memang tidak wujud.

Namun dalam kehidupan hariannya, dia masih juga mengamalkan beberapa prinsip keagamaan, yang dicedoknya dari beberapa agama yang dirasakannya sesuai dan baik untuk dirinya.

Misalnya, Ah Chong selalu berpuasa apabila tiba bulan ramadhan. Kerana menurutnya, para ahli perubatan sendiri sudah mengesahkan bahawa berpuasa itu baik untuk kesihatan. Perut memerlukan waktu berehat, setelah setahun bekerja keras. Dan puasa, adalah cara yang baik untuk merehatkan perut.

Ah Chong juga menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Kerana menurutnya, amalan sembahyang lima kali sehari itu baik, kerana akan mendidiknya menjadi lebih peka terhadap waktu dan menjadikannya lebih berdisiplin.

Selain itu, Ah Chong juga mengamalkan prinsip-prinsip dari agama lain. Misalnya, Ah Chong tidak makan daging lembu, seperti amalan orang Hindu. Kerana menurutnya, lembu itu banyak memberi faedah kepada manusia seperti memberi susu, dan dulu-dulu, membantu membajak sawah. Jadi tidak baik kalau dia membunuh haiwan yang banyak berjasa seperti itu.

Tiba-tiba satu hari datanglah seorang pemimpin masyarakat di tempat Ah Chong tinggal. Pemimpin tersebut bernama Datuk Hashim. “Ah Chong, kamu sudah masuk Islam,” kata Datuk Hashim kepada Ah Chong.

“Eh, kenapa pula Datuk cakap macam tu? Saya bukan Islamlah. Saya tak ada apa-apa agama,” balas Ah Chong kembali, agak terkejut dengan kenyataan Datuk Hashim itu.

“Kamu sudah Islam. Sebab kamu sembahyang. Kamu puasa, macam orang Islam juga.”

Ah Chong garu kepala. “Eh, tapi Datuk, saya dengar, bukankah sebelum seseorang itu jadi Islam, dia kena mengucap dahulu? Mengucap dua kalimah syahadah itu?”

“Tak perlu. Kamu sudah sembahyang. Kamu sudah puasa. Kamu sudah ikut sikit-sikit macam orang Islam pun sudah cukup. Saya iktiraf kamu sebagai seorang Islam,” jawab Datuk Hashim.

“Tapi saya tak mahu jadi Islam,” kata Ah Chong.

“Tak boleh, kamu tetap Islam juga!” tegas Datuk Hashim.

Ah Chong sedih kerana dikatakan sebagai seorang Islam oleh Datuk Hashim. Soalnya, dia memang tidak mahu jadi Islam. Kerana dia tahu, untuk menjadi seorang Islam, ada banyak pantang-larang yang perlu dia patuhi. Sebab itu dia lebih selesa sebagai seorang free thinker yang mencedok serba sedikit apa-apa yang baik dari mana-mana agama yang disukainya.

Lalu Ah Chong dengan serba kesedihan hati, pergi mengadu kepada seorang ustaz. Orang memanggil ustaz tersebut Pak Aji Sani, atau pendeknya, Ustaz Pas sahaja.

Setelah mendengar pengaduan Ah Chong itu, Ustaz Pas pun bersuara kepadanya, “Kamu jangan risau. Untuk menjadi seorang islam, kamu perlu mengucap dua kalimah syahadah. Iaitu kamu perlu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruhnya.” Ustaz Pas berhenti sebentar, sebelum menyambung lagi, “Bersaksi di sini bermaksud kamu mengiktiraf segala yang datang dari Allah itu adalah yang tertinggi. Undang-undang Tuhan itu tertinggi, arahannya juga tertinggi, dan sekiranya ada apa-apa arahan lain yang bercanggah dengan arahan Tuhan, maka dengan sendirinya arahan yang lain itu akan terbatal kerana tidak selari dengan arahan Tuhan.” Syarah Ustaz Pas dengan agak panjang lebar. “Sekadar mencedok serba sedikit amalan Islam ke dalam hidup kamu, seperti sembahyang dan puasa sahaja, tidak memadai untuk menjadikan kamu seorang Islam, selagi kamu tidak bersaksi seperti yang saya katakan tadi.”

Ah Chong berasa berpuas hati dengan kenyataan Ustaz Pas tersebut. Dia mengucapkan terima kasih, lalu dia pun balik, dan kembali menemui Datuk Hashim untuk menyatakan apa yang didengarnya dari Ustaz Pas tadi.

Tapi ternyata Datuk Hashim naik berang demi mendengarkan kenyataan yang keluar dari mulut Ah Chong itu. Datuk Hashim juga memberi amaran kepada Ah Chong supaya berhenti mengeluarkan kenyataan bahawa dia adalah seorang yang bukan Islam.


Baca: Datuk Seri Hishamuddin Beri Amaran Kepada MCA, Minta Berhenti Kenyataan Malaysia Negara Sekular.

2 comments:

lukluk said...

Saya hanya sesekali ke sini tapi tulisan-tulisan saudara sentiasa mengingatkan saya untuk datang kembali. Satu analogi gaya satira yang menarik!

Ideal said...

lukluk,

Terima kasih kerana sudi bertandang. Datang-datanglah lagi, ya.... ;-)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP