Thursday, July 12, 2007

Ilmu baru

“Kau pandai menulis skrip drama tak?”

Begitulah kurang-lebih mesej pesanan ringkas yang saya terima beberapa ketika dahulu dari seorang teman sekuliah. Budiman Cahaya namanya (nama betul, bukan direka-reka).

Saya duduk berfikir buat beberapa ketika. Menulis skrip? Saya tak pernah lakukan itu. Dan sememangnya saya kurang yakin untuk melakukannya. Selama ini saya menulis cerpen. Dan saya tahu, gaya penulisan cerpen dengan skrip drama amat berbeza. Skrip drama dihidupkan semata-mata oleh diolog. Sedangkan cerpen-cerpen yang saya hasilkan, kebanyakan jalan ceritanya tidak digerakkan oleh ayat-ayat dialog. Sebaliknya saya lebih selesa menggunakan ayat-ayat naratif. Oleh itu, bolehkah saya menulis skrip drama?

Tentu sekali tidak ada salahnya mencuba. Harapan saya cuma satu. Moga-moga dengan menulis drama, saya akan dapat menguasai teknik penulisan dialog yang lebih berkesan, dan kemudian mengaplikasikannya ke dalam penulisan cerpen.

Saya ingat karya-karya yang saya pernah baca antaranya novel Salina yang amat saya kagumi itu begitu banyak digerakkan oleh dialog-dialog watak-wataknya. Begitu juga dengan novel-novel Sidney Sheldon yang selalu sahaja menyebabkan saya menahan nafas kerana ceritanya yang terlalu mendebarkan, pun banyak menggunakan dialog-dialog dalam menggerakkan cerita. John Grisham dengan karya thriller perundangannya pun tidak kurang juga menggunakan dialog sebagai penggerak cerita, walaupun di beberapa bahagian, kelihatan John Grisham lebih selesa menggunakan ayat-ayat naratif.

Maka yakinlah saya bahawa teknik menulis dialog yang berkesan adalah aset yang begitu berharga dalam menulis.

“Skrip drama apa? Drama pentaskah?” Saya membalas kembali mesej pesanan ringkas Budiman Cahaya itu.

“Skrip drama radio untuk disiarkan oleh radio RTM,” balas Budiman Cahaya kembali. “Dulu mak aku selalu hantar skrip drama pada RTM. Tapi semenjak dia sibuk bisnes, dia sudah jarang menulis. Orang RTM pula masih meminta juga dia hantarkan skrip drama. Jadi kalau kau mahu, mak aku boleh tolong hantarkan skrip drama yang kau tulis.”

Maka dengan itu, saya pun langsung ke kutubkhanah mencari-cari kalau-kalau ada buku-buku panduan yang mengajar cara menulis skrip drama radio. Saya jumpa buku bertajuk Panduan Menulis Skrip Drama Radio oleh Khadijah Hashim. Dan setelah selesai membacanya, saya pun mula menghadap laptop, menulis. Itulah cubaan pertama menulis skrip drama radio. Setelah siap, saya serahkan kepada Budiman Cahaya, untuk disemak oleh emaknya yang kemudiannya melakukan serba-sedikit pengeditan, dan kemudian langsung menghantarnya kepada RTM.

Dan hari ini saya menerima panggilan telefon daripada orang RTM. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Auntie Zuraidah kepada saya.

Katanya, intipati cerita saya itu okey. Ada mesej, katanya. Ada kelainan dari skrip-skrip yang lain, tambahnya lagi. Itu sesuatu yang bagus.

Tapi...

Alamak, ada tapinya pula!

“Tapi, masih banyak pembetulan yang perlu dilakukan,” katanya. “Auntie sudah coretkan apa-apa yang harus diperbetulkan, dan nanti auntie akan poskan pada Aidil untuk pembetulan, ya?” Sebelum memutuskan talian, dia sempat lagi mengingatkan, “jangan pula nanti selepas buat pembetulan dibuat, Aidil tak hantar kembali skrip tu pada kami. Pastikan hantar!” suaranya mengingatkan.

Apakah dia pembetulan-pembetulan itu?

1.Watak-wataknya terlalu banyak. Dalam skrip drama radio, seboleh-bolehnya watak tidak boleh lebih dari enam. Sebaik-baiknya lima atau kurang lagi.
2.Kalau boleh, watak Cina ditukar kepada watak Melayu. “Sebab kita nak beri mesej bahawa orang Melayu juga pandai main saham,” kata Auntie Zuraidah.
3.Penggunaan dialog berbahasa Inggeris seboleh mungkin harus dielakkan.
4.Pengakhiran ceritanya harus ditukar sedikit agar dapat memberikan impak yang lebih berkesan.


Begitulah kurang-lebih pembetulan yang perlu saya lakukan.

Apa-apa pun, saya harus berterima kasih kepada Auntie Zuraidah kerana sudi meluangkan masanya yang sengkang itu, untuk menatapi dan membetulkan karya saya yang serba banyak kekurangan. Ini, tentunya dilakukan semata-mata untuk memberi peluang kepada penulis baharu seperti saya yang masih harus banyak belajar. Kalau tidak diberi peluang sebegini, tentu penulis baru amat sukar untuk menembusi tembok penyiaran.

Dan terima kasih juga harus saya panjangkan kepada Budiman Cahaya, teman sekuliah yang membuka ruang, dan mencetuskan galakan agar saya cuba menceburi genre skrip drama radio.

Sesungguhnya ini adalah ilmu baru bagi saya.

3 comments:

nore said...

way to go la aidil...cayalah !!

Ideal said...

Thanks, Nore. Hehe... aku baru nak cuba-cuba.

Mas said...

wah... sudah mula menulis skrip... ;-) perkembangan baru yang menarik, siapa tahu berkembang menjadi penulis skrip filem pula nanti....

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP