Thursday, July 26, 2007

Lacuna

Lacuna berasal dari perkataan latin, lacus yang bererti kolam. Hari ini, dalam istilah perundangan, lacuna membawa erti kelompongan dalam sesebuah perundangan.

Kelompongan atau lacuna inilah yang telah membuatkan mahkamah terpaksa melepaskan kanak-kanak (kini sudah berumur 18 tahun) yang telah dengan begitu kejam membunuh (menikam dan menyelar bertubi-tubi) anak kepada guru tuisyennya. Tidakkah pelik? Mahkamah telah mendapati kanak-kanak itu bersalah, tetapi dalam masa yang sama juga, mahkamah telah melepaskan kanak-kanak itu. Inilah yang dinamakan kebengongan.

Bukan, bukan maksud saya mahkamah yang bengong. Tidak, sama sekali saya tidak bermaksud begitu.

Saya tahu, mahkamah melepaskan kanak-kanak itu kerana sememangnya sudah tiada pilihan lain. Memandangkan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diisytiharkan tidak sah, maka dengan itu, bererti tiada undang-undang yang boleh dirujuk oleh pihak mahkamah bagi menghukum penjenayah kanak-kanak. Maka mahu atau tidak, terpaksalah kanak-kanak itu dilepaskan begitu sahaja.

Inilah kelemahannya, apabila sistem perundangan kita adalah berdasarkan undang-undang buatan manusia. Sememangnya manusia itu tidak pernah sempurna. Jadi tentu sekali undang-undang yang dibuatnya pun akan sentiasa tidak dapat lari dari kelemahan, kelompongan, ketidak-adilan, dan ya... kebengongan.

Ada juga disyorkan supaya mahkamah meminjam undang-undang dari UK bagi menghukum kanak-kanak tersebut. Tetapi hal ini menurut perlembagaan, adalah tidak sah kerana apabila kita meminjam undang-undang UK bagi menghukum kanak-kanak tersebut, bererti kanak-kanak itu telah dihukum oleh undang-undang yang tidak pun wujud lagi di Malaysia ketika jenayah itu dilakukan. Menurut perlembagaan, rakyat adalah dilindungi dari undang-undang jenayah retrospektif.

Pusing ikut mana pun, setakat ini, memang kanak-kanak itu tidak dapat dihukum disebabkan kelemahan undang-undang buatan manusia.

Undang-undang Tuhan ada, tapi mereka tak mahu pakai. Kalau pakai undang-undang Tuhan, tentu tidak akan timbul masalah kelompongan seperti ini, sebab Tuhan itu maha sempurna, jadi undng-undang Dia pun tentunya sempurna juga.

Memang tidak dinafikan adakalanya apabila zaman beredar, timbul perkara-perkara baru, masalah-masalah baru, yang tidak terdapat dalam Al Quran mahu pun sunnah. Tetapi itu tidak menjadi hal, kerana menurut perundangan Islam, seseorang hakim itu dibenarkan berijtihad berdasarkan ilmu yang dimilikinya. Oleh kerana hakim dibenarkan berijtihad, maka tidaklah akan timbul masalah seperti kelompongan dalam perundangan.


Artikel berkaitan:
Bar: Freeing of boy shows failure of criminal justice system
Murdered girl’s mother stunned

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP