Wednesday, July 25, 2007

A Very-Very Slow Reader

Sebelum saya membaca biografi A Samad Said yang ditulisnya sendiri bertajuk Dari Salina Ke Langit Petang, saya selalu merasakan bahawa kadar pembacaan saya yang begitu lembab, adalah satu kelemahan.

Kalau biasanya buku yang berketebalan 200-300 muka boleh dihabiskan orang dalam masa kurang-lebih tiga atau empat jam, saya perlu mengambl masa sekurang-kurangnya dua hari sebelum mampu mengkhatamkannya.

Saya pernah bertanya kepada seorang kawan yang begitu pantas membaca. Buku setebal 600 muka dihabiskannya dalam masa satu malam sahaja. Jawabnya, “aku baca sekali lalu. Sebab itu cepat. Lepas tu, biasanya aku akan ulang-ulang membacanya banyak kali.”

Nah, dari situ saya dapat melihat perbezaan antara saya dengan dia. Saya membaca dengan begitu lembab seperti kura-kura, namun setelah selesai membacanya, saya tidak akan mengulang bacanya – tidak sekurang-kurangnya buat beberapa tahun – kerana dalam sekali baca itu sebenarnya sudah beberapa kali saya mengulangnya. Ini kerana sewaktu membaca, di banyak bahagian, saya akan mengulang-ulang beberapa ayat dan perenggan beberapa kali sebelum meneruskan ke perenggan yang berikutnya.

Natijahnya, untuk menghabiskan sekurang-kurangnya sebuah buku seminggu, saya perlu menghabiskan banyak masa, ‘berkurung.’ Alangkah jimatnya masa saya sekiranya dapat membaca dengan kadar yang cepat seperti orang lain.

Namun setelah membaca gaya pembacaan Sasterawan Negara A. Samad Said, ternyata pembacaan yang lambat tidak semestinya suatu kelemahan. Malah boleh juga jadi suatu kelebihan. Pak Samad Said mengatakan;

“Memang sejak dulu lagi cara pembacaan saya amat lambat. Saya tidak membiarkan naluri ingin tahu yang melonjak-lonjak mengganggu kenikmatan saya ‘melihat’ atau ‘merasa’ sesuatu pemandangan atau beberapa potongan dialog. Saya sedia mengulangi membaca pelukisan sesuatu tempat itu berulang kali, membiarkan perjalanan cerita tersekat atau terbeku beberapa ketika. Saya mengambil masa yang cepat untuk membaca tiga suku bahagian novel Jaws, tapi hingga sekarang – hampir setahun belum lagi menyelesaikannya kesudahan kisah Jaws itu.”

Pak Samad menyambung lagi,

“Satu lagi kecenderungan saya sewaktu membaca ialah menyalin semula bahagian-bahagian yang menarik hati saya, khususnya bahagian pelukisan atau pewarnaan tempat, watak dan keadaan… apabila saya menyalin semula bahagian-bahagian yang menarik daripada buku itu, saya lebih ingin mengingatkan pemandangan-pemandangan, watak-watak dan sesuatu keadaan atau iklim dalam sesebuah novel.”

Dan menurut Pak Samad, kecenderungannya yang begitu teliti dalam membaca sehingga proses membacanya menjadi lambat ternyata telah membentuk peribadinya sebagai seorang sasterawan yang begitu teliti dalam melukiskan cerita:

“Kecenderungan ini, akhirnya – rupa-rupanya – membentuk saya menjadi seorang yang ‘terlalu detail’, kata sesetengah pengkritik; terlalu melukiskan benda-benda kecil sedekat-dekatnya.”


Namun demikian, adakah itu bermaksud untuk menjadi seorang sasterawan, atau penulis, seseorang itu semestinya menjadi seorang pembaca yang lambat? Tentunya tidak. Bagi saya, kadar pembacaan adalah bergantung kepada masing-masing peribadi. Baca lambat, atau baca cepat, itu bukan persoalannya. Yang lebih penting adalah bagaimana kita memanfaatkan gaya pembacaan itu, agar menyebelahi kita – tidak kiralah pembacaan lambat atau cepat.

William Shakespeare misalnya, mempunyai gaya pembacaan yang sama sekali bercanggah dengan gaya Pak Samad. William Shakespeare membaca dengan kadar yang sangat cepat. Misalnya, andai dia membaca sesebuah kisah sejarah, dia akan membacanya sekali lalu sahaja. Dia tidak ambil pusing soal fakta sejarahnya atau yang lain-lain. Yang dia utamakan adalah watak-watak dalam kisah tersebut.

Dan setelah habis membacanya sekali lalu, dia akan mencapai pen dan kertas, lalu menghidupkan kembali watak-watak yang dibacanya tadi oleh imaginasinya sendiri.

Peter Ackroyd menulis dalam Shakespeare: The Biography;

This suggests one method by which he worked. He took up a copy of the Fasti, read it quickly, and then put it down without further reference to it. He needed only the raw materials to excite his imagination… The history is not, however, what interests the poet. Shakespeare is concerned with the play of feeling between the two protagonists, as Taruin prepares himself to rape the lad and then, after the deed, slinks it away…

Nah, akhirnya, baca lambat atau tidak… dua-duanya pun boleh manjadi kelebihan, boleh juga jadi kelemahan. Terserah bagaimana kita mencernakannya!

2 comments:

Mas said...

aidil, nampaknya kita mempunyai gaya pembacaan yang sama. saya juga mengambil masa yang lama untuk menghabiskan sesebuah buku kerana suka membaca berulang-ulang mana ayat tau perenggan yang menarik atau memberi kesan.... biasanya untuk lebih merasai kekesanan itu dalam hati....

najibah said...

Menarik!

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP