Friday, August 31, 2007

Surat Terbuka Kepada British

TUAN-TUAN British yang hamba sanjungi dan muliakan;

Hamba menulis surat ini dengan satu harapan yang menggunung. Hamba mohon, janganlah kiranya dihampakan. Lagi pula, permintaan hamba ini rasa hamba tidaklah terlalu berat. Ringan… ringan sekali. Malah tuan-tuan yang mulia memang pernah melakukannya suatu ketika dahulu. Jadi rasanya tidak ada salahnya kalau diulangi sekali lagi.

Adapun permintaan hamba itu cuma satu; iaitu supaya tuan-tuan British sekalian datanglah kembali ke negeri hamba yang kini namanya Malaysia. Datanglah kembali ke mari, dan jajahlah kembali negeri ini. Hamba memohon ini sungguh-sungguh. Bukan main-main.

Hari ini genaplah lima puluh tahun tuan-tuan yang mulia sekalian pergi meninggalkan negeri hamba. Tapi tuan-tuan tahu tidak, semenjak tuan-tuan meninggalkan negeri ini, banyak perkara jadi kucar-kacir! Sesungguhnya orang-orang negeri ini tidak mampu memerintah sendiri tanpa tuan-tuan.

Hamba dengar dari orang tua-tua negeri hamba, ketika tuan-tuan memerintah negeri ini dahulu, orang-orangnya melarat. Benarkah begitu? Kata orang tua-tua negeri hamba lagi, tuan-tuan yang mulia meratah hasil bumi negeri ini. Getahnya, bijih timahnya… semuanya tuan-tuan tarah dan bawa balik ke negeri tuan-tuan. Dan rakyat jelata menganga sahaja, tidak dapat barang sesen pun, sungguh pun yang diambil itu adalah hasil bumi sendiri. Benarkah begitu?

Alahai, sedihnya kalau begitu. Tapi hamba tidak marah. Sungguh, hamba memang tidak marah. Sebabnya, selepas tuan-tuan pergi meninggalkan negeri ini, sungguh pun sudah lima puluh tahun orang-orang negeri hamba memerintah sendiri, tetapi perkara yang sama masih lagi berlaku. Lihatlah sahaja bagaimana wang 74 juta lesap begitu sahaja. Itu wang rakyat. Dan rakyat juga yang menganga tidak tahu ke mana perginya wang sebanyak itu. Ah, bukankah sama sahaja seperti ketika tuan-tuan memerintah negeri ini dahulu?

Tuan-tuan British yang hamba sanjungi sekalian,

Hamba pohon benar-benar. Datanglah dan jajahlah kembali negeri hamba ini. Sesungguhnya tanpa tuan-tuan, negeri hamba ini tidak mampu berdiri dengan megah. Malah bangunan-bangunannya pun layu kuyu sahaja. Lihatlah bagaimana bangunan mahkamah yang baru siap dibina itu, sudah beberapa kali bocor. Itu belum dikira lagi dengan atapnya yang jatuh. Begitu juga dengan bangunan parlimen. Sedangkan bangunan-bangunan yang tuan-tuan bina, seperti bangunan Sultan Abdul Samad misalnya, sungguh pun sudah begitu tua usianya, tidak pula bermasalah seperti itu. Tidak pula jatuh atapnya. Tidak pula bocor sehingga banjir dalamnya.

Tuan-tuan British yang mulia,

Hamba menjemput tuan-tuan kembali menjajah negeri hamba kerana hamba pernah pergi ke negeri tuan-tuan. Dan hamba lihat, negeri tuan-tuan begitu makmur.

Di negeri tuan-tuan, para penjawat-penjawat awamnya sungguh berbudi bahasa. Tidak seperti di negeri hamba ini. Kalau tuan-tuan hendak tahu, di negeri ini, para penjawat awamnya selalu sahaja mahu menyukarkan perkara yang mudah. Perkara yang boleh selesai dalam seminit mahu dipanjangkannya jadi sejam. Sehari jadi seminggu. Seminggu jadi sebulan. Sebulan jadi setahun. Mereka ini begitu taksub dengan kerenah birokrasi. Seolah-olah, ada semacam kebanggaan serta kegembiraan saat melihat orang lain bersusah payah, untuk sesuatu yang seharusnya mudah.

Bukan itu sahaja, tuan-tuan British yang dimuliakan sekalian. Para penjawat awam di sini juga begitu kasar dan tidak ada budi bahasanya. Mereka melayan rakyat jelata seolah-olah kami para rakyat sedang menggemis daripada mereka. Hamba sendiri pernah melihat bagaimana seorang pakcik tua meminta tunjuk ajar tentang proses yang perlu dilakukannya untuk membayar saman trafiknya di sebuah balai polis. Tetapi tuan-tuan tahukah bagaimana pakcik itu dilayan? Si polis yang diajukan soalan itu tidak memandang pun pakcik yang bertanya. Matanya asyik ke arah skrin komputernya sahaja. Pula tu, apabila menjawab, suaranya menengking-nengking pula kepada si pakcik tua. Seolah-olah dia ingin memberitahu bahawa pakcik tua itu bodoh kerana tidak faham-faham dan hanya menyusahkan tugasnya sahaja.

Alahai, lihatlah tuan-tuan British sekalian. Orang-orang hamba memang tidak mampu berdiri tanpa tuan-tuan. Sebab itu, datanglah kembali ke negeri hamba, dan jajahlah kembali kami supaya para penjawat awam kami boleh belajar bagaimana bersikap seperti para penjawat awam di negeri tuan-tuan.

Sebenarnya banyak lagi yang hamba hendak adukan kepada tuan-tuan. Tapi takut pula hamba nanti tuan-tuan jemu membacanya. Jadi biarlah hamba pendekkan sahaja. Tetapi sebelum hamba mengakhirkan surat terbuka hamba ini, ingin hamba nyatakan di sini, bahawa sesungguhnya bukanlah hamba seorang sahaja yang begitu mendambakan kedatangan tuan-tuan yang mulia agar kembali menjajah negeri ini. Sebenarnya masih ramai rakyat, terutamanya anak-anak muda, yang begitu tak sabar-sabar hendak menerima tuan-tuan kembali menjadi tuan di negeri kami.

Hamba katakan orang-orang muda, kerana kalau tuan-tuan datang ke negeri hamba, tentu tuan-tuan akan perasan. Orang-orang muda negeri ini sudah tidak mahu jadi orang-orang timur lagi. Yang Melayunya sudah tidak mahu jadi Melayu lagi. Cakapnya pun sudah asyik berbahasa Inggeris sahaja. Sedangkan bahasa Inggerisnya, kalau tuan-tuan dengar, tuan-tuan yang British itu pun tidak akan faham sebab bahasanya terlalu hampeh dengan herot mulut yang dibuat-buat. Rambutnya yang hitam pula, sudah habis dicalit-calitkan dengan entah apa supaya jadi seperti rambut tuan-tuan yang blonde. Tapi kalau tuan-tuan hendak tahu, hamba selalu geli perut tergelak melihat rambut orang-orang negeri hamba yang diwarnakan perang itu. Sebab perangnya tidak menjadi sama-sekali. Jangankan hendak jadi blonde seperti rambut tuan-tuan, malah jadi perang berkarat pula! Seperti besi buruk!

Selain itu, tuan-tuan juga harus tahu bahawa para pemimpin negeri hamba juga rasanya tentu sekali akan menyokong andai tuan-tuan datang kembali menjajah negeri ini. Hamba katakan begitu kerana dari polisi-polisi yang diperkenalkan oleh para pemimpin negeri hamba, memang nampak benar mereka mendambakan kedatangan tuan-tuan. Lihatlah sahaja bagaimana sekarang ini di sekolah-sekolah, matematik dan sainsnya sudah diajar menggunakan bahasa tuan-tuan yang mulia. Kata mereka, bahasa ibunda negeri hamba ini tidak dapat membawa kemajuan. Ah, mungkin mereka fikir mereka lebih bijak dari Ibnu Khaldun. Sebab Ibnu Khaldun pun pernah berkata bahawa salah satu syarat untuk sesuatu bangsa itu maju, adalah pendidikannya diajar mengunakan bahasa ibunda rakyat jelata.

Memanglah mereka tidak akan dengar kata Ibnu Khaldun. Sebab Ibnu Khaldun itu bukan dari negeri tuan-tuan yang mulia dan tinggi tarafnya itu. Lainlah pula halnya kalau sekiranya Lord Devlin atau Lord Denning atau siapa-siapa yang bergelar Sir yang memberikan pandangan. Barangkali baru mereka akan dengar. Sebab mereka itu dari negeri tuan-tuan yang maju dan berperadaban canggih.

Bicara tentang Lord Devlin dan Lord Denning, hamba teringat pula dengan undang-undang di negeri hamba. Sungguh pun sudah lima puluh tahun tuan-tuan pergi meninggalkan negeri hamba, tetapi pemimpin-pemimpin negeri hamba masih tidak mahu kembali ke undang-undang asal negeri ini – undang-undang yang berdasarkan adat dan syariat Islam. Mereka masih tetap berbangga dengan sistem perundangan yang diperkenalkan oleh tuan-tuan dahulu. Bukankah itu sudah cukup membuktikan bahawa andai tuan-tuan datang kembali menjajah negeri ini, mereka tentu sekali tidak akan menentang, malah akan berlapang dada pula menerima kehadiran tuan-tuan? Lalu apa lagi yang tuan-tuan tunggu-tunggukan? Ayuh, datang dan jajahlah negeri hamba ini!

Ah, terlalu banyak yang ingin hamba katakan. Tetapi buat kali ini, biarlah sampai di sini dahulu.

Akhir kata, hamba mengharap benar-benar, tuan-tuan datanglah kembali ke negeri hamba ini. Jajahlah kembali. Kalau tuan-tuan hendakkan minyak di negeri hamba, ambillah. Kalau tuan-tuan hendakkan getah di negeri hamba, ambillah. Kalau tuan-tuan hendak kelapa sawit di negeri hamba, ambillah. Kalau tuan-tuan hendak bijih timah di negeri hamba, ambillah. Yang penting, tuan-tuan mesti jajah negeri hamba kembali. Sebab negeri hamba tidak mampu maju tanpa tuan-tuan.


Yang Benar,
Pacal Yang Hina-dina.
* * * * *

P/S: Mungkin apa yang hendak saya katakan ini klise, tetapi seperti kata Faisal Tehrani, tak ada salahnya klise, maka saya akan tetap katakan untuk renungan kita bersama:

"Benar, orang kita sudah memerintah negeri sendiri. Tapi benarkan kita sudah merdeka?"

3 comments:

Latiptalib said...

Assalamualaikum

Saya nak hadiahkan novel sejarah SETELAH ROBOH KOTA MELAKA kepada saudara.

Sila berikan alamat bagi memudahkan kiriman.

Ideal said...

Wah, terima kasih, Pak Latip. Terima kasih banyak-banyak. ;-)

Alamat sudah saya titipkan pada ruangan komen blog Pak Latip.

Emre Belozoglu said...

Bacul kita, khianat kita, cakap pasal rasuah, tapi kita ambil lagi banyak - Anwar Ibrahim, 2007.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP