Friday, September 07, 2007

Buah Tangan dari Pak Latip

Ini dia seorang lagi penulis yang sangat prolifik menghasilkan karya, selain Faisal Tehrani. Tahun ini sahaja, sudah begitu banyak karyanya yang terbit; kebanyakannya novel-novel Islam. Antaranya termasuklah novel Salehudin Ayubi, Ikramah Abu Jahal, Khalid Walid, dan Tariq Ziyad.

Dan terbaharu, dua buah lagi karyanya terbit, kedua-duanya novel sejarah. Setelah Roboh Kota Melaka dan Si Bongkok Tanjung Puteri.

Hari ini saya menerima dua novel tersebut, yang dihadiahkannya. Benar-benar teruja menerima buah tangan dari penulisnya sendiri, siap dengan tandatangannya sekali.

Terima kasih, Pak Latip! Semoga Pak Latip akan terus dikurniakan ilham yang tidak susust-susut oleh Allah swt, insyaAllah.

Saya masih belum lagi mula membaca kedua-dua novel tersebut (mungkin hanya akan dapat membacanya selepas minggu hadapan memandangkan ada dua test yang lebih memerlukan perhatian), tapi dari sekali imbas saya menyelak-nyelak, saya kira Pak Latip masih mengekalkan gaya penulisannya yang terdahulu (saya merujuk pada dua novelnya yang sudah saya baca: Salahudin Penakluk Jurusalem dan Ikramah Penentang Jadi Pembela).

Gaya penulisannya mudah difahami. Saya senang dengan caranya, kerana boleh dibaca santai-santai – sambil-sambil menunggu bas, atau sebagainya. Sangat berlainan dari gaya Faisal Tehrani, yang adakalanya memerlukan konsentrasi yang tinggi (saya merujuk pada novel sejarah Faisal, 1515) sehingga perlu memerap dalam bilik untuk membacanya.

Pak Latip lebih cenderung menggunakan dialog sebagai penggerak cerita. Ini tentunya adalah identiti penulis-penulis PTS yang mengikut teori penulisan aliran Surah Yusuf yang diperkenalkan oleh Puan Ainon Mohammad.

Dengan gaya penulisan yang sedemikian, sungguh pun isunya serius, namun novel-novel Pak Latip sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat. Dari kanak-kanak sekolah rendah, hinggalah ke professor di universiti – semuanya akan mendapat faedah daripadanya.

* * * * *

Setelah Roboh Kota Melaka

Membawa pembaca ke abad ke-15. Ketika itu Kesultanan Melayu Melaka yang berkuasa selama 110 tahun di ambang kejatuhan akibat perpecahan dari dalam. Apabila pemerintah berlaku zalim dan para pembesar berebut kuasa, adu domba dan fitnah tersebar bagaikan api yang membakar ketuanan Melayu. Akhirnya, pada tahun 1511, Kesultanan Melayu Melaka dilenyapkan oleh Portugis.

(Sinopsis belakang buku)

* * * * *

Si Bongkok Tanjung Puteri

Mengisahkan perjuangan Si Bongkok menentang Inggeris dan mereka yang menjadi tali barut Inggeris. Kisah ini berlatarbelakangkan sejarah negeri Johor, yang suatu ketika dahulu dilanda pergolakan politik. Pada masa itu berlaku perebutan kuasa antara Sultan Ali dan Temenggung Abdul Rahman. Inggeris mengambil kesempatan dan cuba bertapak di Johor. Si Bongkok sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah airnya. Namanya menjadi sebutan di kalangan rakyat negeri. Namun, sekuat mana pun semangatnya menentang penjajah, dia tetap dianggap penderhaka.

(Sinopsis belakang buku)

* * * * *

Sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita ramai-ramai membaca buku-buku ini. Beginilah cara menunjukkan patriotik, bukannya dengan berpesta, berkonsert tidak tentu arah sana-sini.

Tidak begitu?

2 comments:

Latiptalib said...

Baru saya tahu saudara bakal seorang peguam. Semoga mendapat kejayaan yang cemerlamng. Amin.

Ideal said...

Pak Latip,

Ya, saya bakal seorang peguam yang ingin menjadi penulis prolifik seperti Pak Latp! hehe... ;-)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP