Monday, September 10, 2007

Sekular

Cerpen: ENGEL V VITALE
Oleh AIDIL KHALID
Majalah I, Mei 2007

(Ini merupakan versi asal, sebelum sentuhan editor)

Negara ini sudah lama makmur. Seingat saya, sudah beratus tahun. Ya, setelah tamatnya perang sipil tahun 1865. Tapi hari ini, keharmonian yang telah sekian lama berdenyut dengan tenang itu, tiba-tiba sahaja menjadi kencang denyutannya. Tercungap-cungap, malah. Sesungguhnya hiruk-pikuk telah melanda!

Manakan tidak, kalau di luar sana dengan berlatarkan bangunan Capitol itu, ramai sekali manusia yang berkumpul. Mereka semua sedang mendidih marah, berarak penuh emosi menunjuk perasaan ke arah bangunan Mahkamah Agung yang megah berdiri dengan seni bina klasik Greek, bersalutkan marmar Vermont seluruhnya itu. Panas mentari yang terpacak tegak di atas kepala setiap penunjuk perasaan, menghangatkan lagi suasana pada tengah hari itu. Dengan suara lantang, sekali-sekala terdengar mereka bertempik gempita sekali. “Hapuskan Earl Warren. Singkirkan hakim durjana itu!” Begitu juga dengan kain rentang-kain rentang yang dikibarkan oleh para penunjuk perasaan. Kelihatan jelas terbaca pada salah satu kain rentang tersebut, “Rakyat negara ini punya agama. Kami bukan komunis tak bertuhan!” Pada kain rentang yang lain pula, tertulis, “Hapuskan rejim syaitan Earl Warren yang menidakkan agama!” Masing-masing kain rentang memaparkan mesej yang sama. Iaitu untuk menyingkirkan ketua hakim negara kami.

Sesungguhnya pohon tidak akan tumbang, andai tiada taufan yang melanda. Begitu juga rakyat tidak akan memberontak andai Ketua Hakim Earl Warren tidak membuat keputusan yang melanggar tatasusila sosial rakyat. Bayangkan saja, rakyat mana yang tidak akan naik hangin, andai upacara berdoa diharamkan sama sekali? Negara jenis apakah ini, andai upacara keagamaan seperti itu diharamkan terus dari dipraktiskan di sekolah-sekolah awam?

Sekolah-sekolah awam, tempat terdidiknya anak bangsa kami yang menjadi tunggak harapan sebagai pemimpin di masa hadapan, sudah diisytiharkan zon tanpa agama. Majlis-majlis keagamaan tidak boleh diadakan sama-sekali. Upacara membaca doa setiap sebelum kelas pun, tidak boleh juga. Itulah keputusan yang dibacakan oleh ketua hakim negara kami, Earl Warren.

Setahu saya, hanya negara komunis sahaja yang tidak membenarkan sebarang hal keagamaan dari ditonjolkan. Kata mereka, agama itu candu kepada masyarakat. Sekali terkena, sukar terlepas. Oleh itu masyarakat perlu dijauhkan terus dari agama, supaya mereka dapat hidup dengan aman.

Itu negara komunis. Tapi negara kami bukan negara komunis. Rakyat di sini punya kepercayaan. Kalau tak percaya, lihatlah pada helai-helai dollar dan syiling kami. Bukankah kata-kata “In God We Trust” tercetak jelas? Begitu juga dengan upacara mengangkat sumpah sebagai presiden negara. Bukankah kitab suci digunakan? Jadi kenapa Ketua Hakim Earl Warren sampai hati membuat keputusan yang mengenepikan keagamaan sama sekali? Apakah dia seorang pendokong idealogi komunis? Saya benar-benar musykil.

Setahu saya, dari yang saya baca di akhbar-akhbar setiap hari, negara kami sekarang sedang berperang saraf dengan negara-negara blok komunis. Kami berlumba dalam segala aspek. Dari segi kelengkapan ketenteraan, kemajuan sains dan teknologi, dan bermacam-macam lagi hal. Masing-masing ingin membuktikan kelebihan masing-masing. Malah baru-baru ini, seisi rakyat negara kami gempar mendengarkan tentang perletakan peluru berpandu berbahaya di Cuba, oleh negara Soviet tersebut. Nasib baiklah presiden negara kami, John F Kennedy berjaya menyelesaikan konflik tersebut secara aman dengan perdana menteri Nikita Krushchev. Manakan kami tidak risau, apatah tempat peluru berpandu itu hanyalah kira-kira 90 batu sahaja dari provinsi Florida. Kalau meletup, aduhai, alamatnya pasti seisi Florida menjadi abu!

Begitu juga halnya dengan penunjukkan dalam memberi sokongan. Negara kami secara terang-terangan memberikan bantuan kepada negara-negara yang ditekan oleh kedatangan ideologi komunis. Presiden negara kami baharu sahaja meluluskan penghantaran perwira-perwira negara kami ke Vietnam selatan, bagi membantu mereka memerangi pengaruh komunis.

Jadi apakah yang sebenarnya berlegar dalam kepala hotak Earl Warren saat dia memberikan keputusan mengharamkan upacara berdoa setiap sebelum memulakan kelas di sekolah-sekolah awam itu? Apakah dia juga telah terpengaruh dengan ideologi komunis yang tidak bertuhan? Ataukah pengaruh komunis sebenarnya sedang meresap masuk ke akar umbi negara kami dalam diam-diam tanpa kami rakyat-rakyatnya sedari?

Begini ceritanya. Di New York, sebuah sekolah telah memperkenalkan upacara pembacaan doa setiap kali sebelum bermulanya sesi kelas. “Upacara pembacaan doa ini,” kata pengetua sekolah tersebut, “adalah sebagai satu cara bagi pihak sekolah mendidik serta menyemai jati diri dan sahsiah moral yang terpuji terhadap para pelajar.”

Namun demikian, ternyata niat baik pihak sekolah ini tidak mendapat persetujuan segolongan ibu bapa. Menurut mereka, memperkenalkan amalan pembacaan doa seperti itu melanggar prinsip kebebasan beragama. Mereka tidak mahu anak-anak yang telah mereka didik sedari kecil sebagai pemikir-pemikir bebas (free thinker), disogokkan dengan amalan keagamaan seperti itu di sekolah-sekolah. “Sekolah,” menurut Encik Engel, salah seorang dari ibu-bapa yang menentang, “tidak seharusnya menjadi tempat anak-anak kita disogokkan dengan fahaman-fahaman keagamaan. Lebih-lebih lagi di sekolah yang dibiayai oleh pihak kerajaan, yang para pelajarnya terdiri dari pelbagai latar belakang kepercayaan dalam beragama.”

Dan ternyata, Mahkamah Agung telah bersependapat dengan pihak ibu-bapa yang menentang keputusan sekolah tersebut dalam memperkenalkan upacara pembacaan doa kepada para pelajar.

Keputusan Mahkamah Agung tersebut mempunyai implikasi yang sangat besar ke atas doktrin kebebasan beragama di negara kami. Mengharamkan upacara berdoa di sekolah-sekolah secara tidak langsung bermaksud, selepas ini, sebarang upacara keagamaan tidak boleh lagi dilakukan secara rasmi di tempat-tempat yang dibiayai oleh kerjaan. Sekolah, universiti, pejabat-pejabat kerajaan, dan sebarang tempat-tempat awam.

Ya, ya, saya tahu, memanglah negara kami ini adalah sebuah negara sekular yang memisahkan agama dari kenegaraan. Rakyat negara kami telah serik dengan apa yang melanda nenek moyang kami beratus tahun yang lalu, apabila tembok pemisah antara agama dan negara tidak tertegak. Akibatnya, ramai sekali yang tertindas apabila gereja punya kuasa politik. Yang paling kasihan tentunya yang tidak punya kepercayaan yang sehaluan dengan kehendak gereja. Mereka dipaksa mempercayai, dan kalau tidak, alahai, bercerailah kepala dengan badan. Bukan sedikit yang menjadi korban akibat menganut agama yang tidak direstui pihak gereja. Makanya sebab itulah di dalam perlembagaan negara kami yang diratifikasi kira-kira 200 tahun yang lalu, telah termaktub dengan jelas doktrin pemisah antara agama dan negara. Bagi melindungi rakyat dari cengkaman kuku besi pihak gereja.

“Tugas pihak kehakiman adalah untuk menterjemah undang-undang bertulis ke dalam bentuk praktikalnya sahaja.” Begitu kata Earl Warren sewaktu merumuskan pengadilannya. “Dalam hal ini,” katanya lagi, “kami para hakim hanya menterjemahkan klausa Pindaan Pertama yang termaktub dalam perlembagaan negara.” Itulah yang sering diulang-ulangnya di dalam media, setiap kali menjawab cemuhan-cemuhan masyarakat ke atas keputusan kehakiman yang telah dibuatnya.

Ya, ya… Memang Pindaan Pertama dalam perlembagaan negara kami ada memperuntukkan bahawa pihak kerajaan tidak boleh sama-sekali bertindak dalam menunjukkan sokongan ke atas mana-mana agama. Dan sesungguhnya itulah yang menjadi hujah utama Encik Engel selaku wakil pihak ibu bapa yang tidak bersetuju dengan dasar keagamaan yang diperkenalkan oleh pihak sekolah, di dalam kes yang penuh kontroversi ini.

Kata Encik Engel selaku plaintif, “upacara sebegitu telah melanggar klausa Pindaan Pertama yang termaktub dalam perlembagaan negara.” Saya masih ingat suara tegas peguamcara yang mewakili Encik Engel, kerana saya sendiri menyaksikan perbicaraan kes penuh hangat antara Engel melawan Vitale itu dari galeri awam kamar perbicaraan Mahkamah Agung. “Memperkenalkan upacara membaca doa di sekolah-sekolah setiap kali sebelum memulakan kelas, secara terang-terang menunjukkan sokongan kerajaan kepada pihak yang beragama. Bagaimana kalau pelajar tersebut menganut agama lain, atau tidak menganut mana-mana agama seperti yang berlaku kepada anak kandung Encik Engel? Bukankah itu tidak adil bagi mereka?” Begitu hujahnya.

Mendengarkan itu, pihak sekolah pula, selaku pihak defendan, tidak mahu kalah. Apabila tiba gilirannya untuk membentangkan hujah balas, langsung dengan lantang peguambelanya bersuara. “Ya, Yang Arif. Mungkin benar kata peguam di pihak Encik Engel, bahawa memperkenalkan upacara pembacaan doa boleh jadi menunjukkan sokongan kerajaan kepada satu-satu pihak ke atas pihak yang lain. Namun demikian, dia barangkali terlupa untuk meneliti setiap baris dan bait kata dalam doa yang diperkenalkan itu. Apakah ia ofensif ke atas mana-mana agama atau pun tidak?” Seluruh ruang kamar perbicaraan itu sepi. Sembilan orang hakim di hadapan masing-masing khali. Ketua hakim yang duduk di tengah-tengah sekali, Earl Warren, kelihatan tekun mencatatkan sesuatu. Sesekali kepalanya didongakkan sedikit, mengerling peguambela yang sedang berhujah.

“Benarkan saya membaca bait-bait doa tersebut, dari awal sehingga akhir, Yang Ariff.” Peguambela berhenti sebentar, sebelum menyambung, setelah mendapat anggukkan dari ketua hakim, Earl Warren.

“Wahai Tuhan yang Maha Berkuasa, Kami akui kebergantungan kami kepadamu. Seyogia kami memohon agar Engkau limpahkanlah rahmatmu kepada kami, ibu bapa kami, guru-guru kami, dan negara kami yang tercinta ini.”

Kamar perbicaraan terus sepi. Para hadirin yang duduk di galeri awam masing-masing seolah-olah ternanti-nanti akan kata-kata seterusnya yang akan dikeluarkan oleh peguambela.

“Saya tidak nampak bagaimana bait doa yang sebegitu rupa disusun kata-katanya, boleh melambangkan sokongan kepada mana-mana agama.” Peguambela diam sejeda sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, dengan raut yang benar-benar serius. Dan dengan dahi yang dikerutkan, dia lalu menyambung lagi. “Dalam doa tersebut hanya menyebut kata ‘Tuhan’, tanpa merujuk apakah itu Tuhan Kristian, Tuhan Katolik, Protestan, Jehovah, Islam, Yahudi, atau apa sahaja agama yang wujud. Oleh hal yang demikian, Yang Ariff, saya dengan tegas berpendapat, bahawa setelah meneliti bait-bait doa tersebut, maka terbuktilah bahawa doa tersebut tidak menunjukkan sebarang sokongan kepada mana-mana agama. Dan dengan itu, memperkenalkan bacaan doa tersebut di sekolah-sekolah awam tidaklah melanggar klausa Pindaan Pertama yang termaktub dalam perlembagaan negara.”

Waktu itu, saya sangka tentu pihak sekolah, iaitu yang memperkenalkan upacara pembacaan doa itu, akan menang. Hujah yang diberikannya memang munasabah. Doa tersebut hanya menyebut kata Tuhan secara umum tanpa sebarang spesifikasi, jadi ia tentu sekali tidak melebihkan satu-satu agama dari agama yang lain. Saya benar-benar yakin ketika itu kemenangan akan berpihak kepada pihak sekolah. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan bahawa pihak Encik Engel selaku plaintif yang menentang pihak sekolah, sudah dua kali tewas.

Pertama, mereka tewas di Mahkamah Wilayah. Kemudian kes itu mereka rayu pula ke Mahkamah Rayuan Wilayah. Ternyata sekali lagi mereka tewas. Masih juga tidak berpuas hati, mereka rayu lagi kes itu ke Mahkamah Agung.

Di Mahkamah Agung ini, sungguh tidak saya sangka, kemenangan dipihakkan pula kepada pihak Encik Engel. Ternyata para hakim di Mahkamah Agung menolak hujah yang dikemukakan oleh pihak sekolah tadi. Mahkamah berpendapat bahawa sungguh pun doa tersebut tidak ofensif kepada mana-mana agama, namun ia ofensif terhadap orang-orang yang tidak punya apa-apa agama. Ia ofensif terhadap golongan free thinkers!

Setelah keputusan itu diputuskan, ruang kamar perbicaraan tiba-tiba sahaja jadi hingar-bingar. Golongan yang sedikit (para penyokong Encik Engel) bersorak gembira sekali. Sedangkan golongan yang risau akan hakisan nilai-nilai agama pula (golongan yang banyak), membentak marah. Dari luar kamar perbicaraan pula (orang ramai yang tidak sempat mendapat tempat di galeri awam terpaksa menantikan keputusan dari luar kamar sahaja), sebaik sahaja mendapat tahu tentang keputusan itu, menjerit-jerit emosional. Kedengaran dari golongan yang berpihak kepada pihak sekolah yang diputuskan kalah itu, laungan histeris kata-kata tidak puas hati. “Negara ini bukan negara komunis yang tidak bertuhan!” Seru salah satu dari suara orang ramai tersebut.

Para penyokong Encik Engel pula, sepertinya begitu terharu sekali dengan apa yang diputuskan. “Sungguh, akhirnya kebenaran datang jua. Hak asasi kita tertegak jua!” Begitu kata salah seorang dari para penyokong keputusan mahkamah itu. Setelah dua kali tewas, akhirnya kemenangan berpihak juga kepada mereka.

* * * * *

“Titan-like stretches its hundred hands upon mountain and meadow,
Seizing the rocks and the rivers, and piling huge shadows together.”


Tiba-tiba kedengaran dari hangar-bingar orang-ramai di luar kamar perbicaraan itu, suara seseorang yang sayup-sayup, serak-serak basah mendeklamasikan puisi Longfellow, Evangeline. Orang ramai yang pada awalnya ribut sekali, tiba-tiba menjadi senyap. Mereka terpempan. Mereka terpinga-pinga. Sungguh, mereka terpana! Apa gilanya orang itu melaungkan puisi Longfellow pada saat-saat sebegini?

Dan setelah sejenak, barulah mereka mulai sedar. Bukankah puisi tersebut ditulis Longfellow bagi menceritaka derita kaum tani yang terpaksa meninggalkan kampung halaman sendiri, lantaran tidak tertegaknya tembok pemisah antara agama dan negara? Ya, ya, baik sekali puisi itu dideklamasikan pada waktu-waktu kemenangan sebegini, fikir para penyokong Encik Engel. Lalu dari seorang, suaranya bertambah menjadi dua, kemudian tiga, dan seterusnya menjadi semakin ramai. Ramai-ramai golongan tanpa agama mendeklamasikan bersama-sama;

Titan-like stretches its hundred hands upon mountain and meadow,
Seizing the rocks and the rivers, and piling huge shadows together.
Broader and ever broader it gleamed on the roofs of the village,
Gleamed on the sky and the sea, and the ships that lay in the roadstead.
Columns of shining smoke uprose, and flashes of flame were
Thrust through their folds and withdrawn, like the quivering hands of a martyr.
Then as the wind seized the gleeds and the burning thatch, and, uplifting,
Whirled them aloft through the air, at once from a hundred housetops
Started the sheeted smoke with flashes of flame intermingled.
These things beheld in dismay the crowd on the shore and on shipboard.
Speechless at first they stood, then cried aloud in their anguish,
“We shall behold no more our homes in the village of Grand-Pre!”
Loud on a sudden the cocks began to crow in the farmyards,
Thinking the day had dawned; and anon the lowing of cattle
Came on the evening breeze, by the barking of dogs interrupted.


Kononnya andai mereka kalah, samalah seolah-olah dipaksakan agama kepada mereka – seperti kaum tani di dalam puisi tersebut. Manakan tidak! Kalau sudah anak-anak yang tidak beragama itu dipaksakan mengikuti upacara keagamaan setiap kali sebelum bermulanya sesi kelas. Mereka terharu mereka menang. Jadi anak-anak mereka tidak perlu lagi dipaksakan amalan keagamaan. Dengan serak suara mereka, berlatarkan hiruk pikuk golongan yang tidak berpuas hati (para penyokong pihak sekolah), berkumandanglah bait-bait puisi tersebut.

Golongan para penyokong pihak sekolah terpaksa mengetap geram melihat perilaku golongan-golongan manusia tidak beragama itu. Darah mereka mendidih naik apabila mendengarkan bait-bait puisi Longfellow itu dideklamasikan ramai-ramai. Bagi mereka tiada perkaitan langsung antara persoalan penindasan agama yang terdapat di dalam puisi tersebut dengan keputusan yang diputuskan mahkamah. Malah bagi mereka, golongan beragamalah yang sebenarnya tertindas dalam hal ini. Kerana upacara keagamaan sudah diharamkan dari dipraktiskan di sekolah-sekolah awam. Hak keagamaan mereka sudah tercalar!

Ego mereka tercabar melihat golongan yang menyokong keputusan mahkamah itu berpelukan bahu ke bahu berbaris-baris sambil mendeklamasikan sajak tersebut. Mereka merasa terancam dengan sikap golongan tersebut. Apabila melihat mimik muka golongan penyokong keputusan mahkamah itu, mereka merasa seolah-olah mereka dihina, diejek, malah diinjak-injak agama dan maruah mereka.

“Dasar komunis tak beragama!” Tiba-tiba dalam keriuhan tersebut, kedengaran satu suara yang begitu lantang. Para penyokong Encik Engel dituduhnya komunis. Komunis musuh negara.

“Komunis tak beragama!” Kedengaran suara lain menyahutnya. Dan dengan sahutan itu, bertambah-tambah lagi sahut-menyahut, berselang-seli dengan suara deklamasi pusi Longfellow. “Komunis tak beragama! Komunis tak beragama! Pengkhianat negara!” Ramai-ramai golongan yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah meneriak sungguh-sungguh melepaskan geram di hati.

Kelompok yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah semakin mendekati baris-baris pelukan bahu ke bahu golongan penyokong Encik Engel. Bait-bait puisi Longfellow masih terus dideklamasikan beramai-ramai oleh para penyokong Encik Engel. Kali ini semakin bersemangat suara mereka, sepertinya mahu melawan teriakan-teriakan kelompok di hadapan mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.

Tiba-tiba serangan agresif berlaku. Tidak diketahui kelompok mana yang memulakannya. Dalam keadaan yang hiruk pikuk itu, masing-masing kelompok menyerang antara satu sama lain. Tumbukan bertubi-tubi, serta sepak terajang melayang-layang. Pihak polis berkejar sana-sini seperti mati kutu tak tahu bagaimana hendak meleraikan.

* * * * *

Esoknya, terpampang di dada-dada akhbar – Bahana Doa: Engel Melawan Vitale

Akhbar juga memetik kata-kata seorang pengamal undang-undang senior yang memberikan komentarnya berkaitan hal tersebut. “Pihak kehakiman tidak harus dipersalahkan. Mereka hanya menterjemahkan klausa yang termaktub di dalam perlembagaan negara. Persoalannya di sini, adakah doktrin pemisah agama dan negara yang termaktub dalam perlembagaan negara kita itu sebenarnya relevan dalam masyarakat kita yang berbilang agama ini?”

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP