Friday, November 09, 2007

Buku Mahal, Buku Murah

Sudah lama saya nak tulis entri ini, tapi tertangguh kerana peperiksaan akhir. Harapan saya supaya entri ini dapat memberikan kesedaran kepada kita semua agar menjadi pembeli yang bijak yang tidak semudahnya boleh diperkotak-katikkan oleh peniaga apalagi diperbodoh-bodohkan.

Beberapa bulan yang lalu saya telah membeli sebuah buku bertajuk Shakespeare: The Biography tulisan Peter Ackroyd. Saya teruja dengan harganya yang murah. Bayangkan, tebalnya 500 muka lebih, dengan kulit tebal lagi, dan harganya cuma RM22!

Pelik bin Terkejut wal Ajibah, sehinggakan mulut saya tanpa kawalan otak telah bertanya kepada kakak kaunter tersebut, “kenapa murah sangat ni kak?” Sangka saya, barangkali ini edisi rejected.

Canggung dengan pertanyaan saya itu, kakak itu mengerutkan dahinya. “Memang harganya macam tu,” pendek sahaja jawabnya, barangkali malas maladeni soalan ‘bodoh’ saya itu. Lagi pula barisan orang yang menunggu giliran agak ramai.

Saya meninggalkan kedai The Big Book Shop itu dengan persoalan ‘bodoh’ itu terus berlegar di fikiran, sungguh pun hati saya sebenarnya gembira sebab dapat beli buku dengan harga murah. Dan ternyata, setelah menyemaknya, ia bukan edisi rejected.

Beberapa bulan kemudian, saya jalan-jalan di MPH Mid Valley Mega-mall. Belek punya belek, saya terjumpa buku yang saya beli tempoh hari. Tajuknya sama, penulisnya sama, edisinya sama, jumlah mukasuratnya sama, cuma yang lainnya, kulitnya tidak keras. Kulitnya yang ini lembut. Dan, ya, lagi satu, yang bezanya, adalah harganya.

Macam langit dengan bumi! Harga di MPH itu, RM68!

Bayangkan, buku yang sama, tapi harganya sampai begitu sekali bezanya. Bagi siapa yang tak berapa pandai sangat matematik sebab sudah terlalu biasa dengan subjek Law yang tidak perlu kira-kira, biar saya tolong kirakan (saya pun sebenarnya pakai kalkulator juga): 68-22 = 46. Beza 46 ringgit!

Dan perlu diingat, yang dijual di MPH ini adalah versi kulit lembut. Tidakkah pelik, edisi kulit keras lebih murah 46 ringgit berbanding edisi kulit lembut?

Nasihat saya buat siapa-siapa yang mahu membeli apa-apa buku, pergilah dulu ke The Big Book Shop sebelum ke mana-mana rangkaian kedai-kedai buku terkemuka yang lain. Bukannya saya anti dengan mana-mana kedai buku. Cuma, bagi saya, biarlah kita mendapat nilai yang maksimum dari duit yang dikeluarkan itu.

Selalu kita dengar tentang harga buku yang mahal, peniaga akan memberikan alasan klise seperti ini: “Walau pun mahal, tapi berbaloi, sebab ilmu itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.” Kita juga selalu mendengar alasan-alasan cekik darah seperti ini, “Jangan sayangkan sangat duit kamu tu. Demi ilmu, beli sahajalah.”

Ya, tidak dinafikan ada benarnya kata-kata itu. Tapi kalau boleh dapat buku yang sama dengan harga yang lebih baik, kenapa pilih yang mahal?

Memang di The Big Book Shop saya perhatikan, tidak begitu banyak pilihan berbanding kedai-kedai buku besar yang lain. Tapi buku-buku yang ada di situ (kebanyakannya dalam genre biografi) memang murah-murah semuanya!

* * *

Masih lagi tentang buku dan harga.

Saya sangat merasa rugi ketika membeli sebuah sebuah buku teks yang disarankan oleh pensyarah saya – malah penulisnya pun adalah pensyarah itu sendiri. Bukunya nipis sahaja. Seratus muka lebih. Tapi harganya, Ya Rabb! RM80! (tajuknya saya rahsiakan sebab melibatkan pensyarah. Lebih-lebih lagi dia itu pensyarah undang-undang – takut pula kalau nanti kena saman libel! Huhu.)

Saya tidak kisah kalau memang itu harganya. Lebih-lebih lagi memikirkan itu untuk ilmu. Namun saya terkilan dan sungguh-sungguh rasa tidak berbaloi apabila saya mulai menelaah buku tersebut, saya dapati buku itu tidak dibaca-proof dengan baik – terdapat agak banyak kesalahan tatabahasa di sana-sini, juga kesalahan typo. Sepatutnya dengan harga yang sebegitu mahal, pembaca berhak diberikan yang terbaik.

6 comments:

Wan Nor Azriq said...

Kedai itu memang murah walaupun tak banyak pilihan. Bagi mereka yang berminat dengan buku-buku sastera, dan tidak kisah memiliki buku second-hand, boleh pergi ke Payless Bookstore. :)

Soffian Ali OnLine said...

kedai cetak rompak kot tu..hehehe...sori aidil..

NoRE said...

couldn't agree more..buku skrg..mahal2 sgt..=(,aku dh alma x beli buku,kalau nak membaca..pinjam kat library je la..nasib baik library kat sini buku2nye bagus2 juga =)

Hasri Omar said...

big bookshop ni kat mana ??

HASRIOMARONLINE

Arcane said...

Saudara , sy ingin meminta permission dari saudara untuk memuatkan post mengenai komander Kesatria saudara itu di blog sy yg bertajuk Komander-komander Kesatria Yang Kurang Ajar, bolehkah?

Ideal said...

Nore,

Yup. Nanti ramai-ramai rakyat Malaysia boikot taknak beli buku, baru depa tau! huhu...


Hasri,

Kedai The Big Book Shop yang aku pergi hari tu kat Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Tapi kat KL pun ada jugak, kat The Mall Shopping Complex, Jalan Putra.

Kalau ko nak pergi, bagi tau aku. Aku ada membership kad. Dapat diskaun. Tapi expire hujung tahun ni la.


Arcane,
Silakan.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP