Tuesday, November 20, 2007

Percanggahan Sejarah: Bagaimana Membacanya?

Ketika saya membaca novel sejarah Setelah Roboh Kota Melaka (SRKM) tulisan Abdul Latip Talib, ada beberapa persoalan yang menggamit rasa ingin tahu saya. Malah boleh dikatakan juga, saya keliru dengan beberapa fakta yang dikemukakan oleh penulis novel tersebut.

Antaranya tentang siapakah Hang Nadim dan Parameswara.

Biasanya apabila sahaja disebutkan nama Hang Nadim, maka kita kan langsung terbayangkan peristiwa Singapura dilanggar Todak. Namun dalam novel SRKM ini, Pak Latip menggambarkan bahawa Hang Nadim adalah anak kepada Hang Tuah. Benarkah begitu?

Nah, Pak Latip menjawab tentang persoalan tersebut di sini.

Dalam novel SRKM ini juga, Pak Latip telah membawakan dua teori bagaimana Melaka telah dibuka. Teori pertama – iaitu yang biasa kita dengar – ialah Melaka telah dibuka oleh Parameswara setelah dia lari dari Singapura. Parameswara terpaksa lari dari singapura setelah dia dihalau oleh tentera Siam, kerana membunuh Temagi, wakil kerajaan Siam yang memerintah Singapura (Temasik) ketika itu.

Manakala teori kedua yang dibawa oleh Pak Latip dalam novel ini ialah bahawa Raja Iskandar Shah terpaksa lari dari Singapura setelah Sang Rajuna Tapa berlaku belot lalu meminta bantuan Betara Majapahit bagi menyerang Singapura. Raja Iskandar Shah lari ke Kuala Sungai Muar kemudian ke Kota Buruk, dan akhirnya tiba di suatu tempat yang kemudian dinamakan Melaka bersempena pohon Melaka tempat baginda berehat.

Seperti yang kita tahu sebelum ini, Iskandar Shah adalah gelaran yang digunakan oleh Parameswara setelah memeluk Islam. Namun dari dua teori yang disebutkan di atas, masih relevankah untuk kita katakan bahawa Parameswara dan Raja Iskandar Shah itu orang yang sama?

Pak Latip menjawab persoalan itu di sini.

Memang pun, percanggahan fakta dalam sejarah adalah perkara biasa. Misalnya, mungkin yang lebih mesra sedikit dan lebih biasa kita dengar, ialah tentang siapakah penderhaka Melaka? Hang Jebatkah atau Hang Kasturi? Dalam Sejarah Melayu mengatakan yang membelot adalah Hang Kasturi. Sedangkan dalam Hikayat Hang Tuah pula dikatakan yang membelot itu adalah Hang Jebat. Maka dari dua sumber bercanggahan ini, Sasterawan Negara S Othman Kelantan telah mengeluarkan satu teori baharu: iaitu Hang Kasturi dan Hang Jebat adalah orang yang sama.

“Sebelum menderhaka dipanggil Kasturi (kasturi baunya wangi); selepas menderhaka dipanggil Jebat (jebat baunya busuk)”. – Saya petik ini dari komen Mat Jan.

Dan untuk menambahkan lebih-lebih lagi persoalan dalam fikiran saya yang sememangnya sudah keliru ini, adalah tentang sultan-sultan yang memerintah Melaka. Puan Ainon menyatakan, “Dalam Kongres Sebudaya Serumpun 2 hari lalu di DBP, Dr. Arbaiyah dari Jabatan Sejarah Universiti Malaysia menyebutkan bahawa sumber-sumber sejarah daripada rekod-rekod di negara Cina, semua nama-nama Sultan negeri Melaka ada dicatatkan, termasuk nama Parameswara, kecuali nama Sultan Alauddin Riaayat Shah.”

Alahai, bukankah Sultan Alauddin itu adalah sultan yang sangat-sangat kita orang Islam bangga-banggakan kerana dikisahkan baginda sangat adil lagi bijaksana dengan pemerintahan yang mirip pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz…. Tapi kenapa pula tak ada dalam rekod?

6 comments:

Latiptalib said...

Assalamualaikum

Sungguh menarik perbincangan ini. Saya cuba menerangkannya agar hilang keraguan saudara.

Sila baca di blog saya.

Soffian Ali OnLine said...

biasa lah tu..bende kalau dah lama-lama sangat ni, akan banyak kekeliruan yang timbul..ada yang lagi pelik dia cakap hang tuah tu pompuan..hahahaha...

Anonymous said...

Lagi pelik bila ada yang kata hang tuah itu orang cina.

Soffian Ali OnLine said...

tapi betul r jugak yek..coz kalau kite tengok bebetul nama dia HANG TU AH..HANG JEE BAT..HANG LEE KIR.. HANG LER KIEW...HANG KAS TURI..Ada gak cam name2 cine kan??
(bende ni aidil ada gak cerite kat aku)

Ideal said...

Haha... saya pun pernah baca dalam Mastika tentang Hang Tuah perempuan. Tapi artikel tu ditulis terlalu dengan gaya yang terlalu merepak sehingga saya rasa tak yakin langsung akan kebenarannya.

Pemerhati said...

Salam saudara. Jika dibaca buku "Sejarah Umat Islam" karya Allahyarham Profesor Hamka, beliau menggunakan nama "Permaisura" bagi merujuk kepada Parameswara. Ada yang mengatakan bahawa Permaisura itu gelaran bagi Raja (berlawan dengan Permaisuri). Saya berfikiran bahawa kemungkinan besar adalah Parameswara jika dieja di dalam tulisan Jawi tanpa baris, boleh juga disebut Permaisura. Mungkin Hamka merujuk kepada sumber Jawi. Sekadar berkongsikan maklumat tambahan.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP