Saturday, February 09, 2008

Novel: Sitti Nurbaya, Kasih Tak Sampai

Salah seorang rakan sekuliah saya, Nurfadzilla Nadia bt Jaafar, membaca tulisan saya di blog ini tentang novel Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Dia kemudiannya telah menyarankan kepada saya supaya membaca novel Sitti Nurbaya: Kasih Tak Sampai kerana katanya novel ini juga mengangkat (atau mungkin lebih tepat lagi jika dikatakan mengkritik) adat minangkabau sebagai latar ceritanya. Lalu dia telah bermurah hati meminjamkan kepada saya novel karangan Marah Rusli ini. =)

Setelah selesai membacanya, saya bersetuju dengan pandangan Nurfadzilla Nadia bahawa sememangnya novel ini ada mirip-mirip Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka – bukan melalui jalan ceritanya, tetapi melalui mood ceritanya yang melankolik. Pun begitu, harus diingat bahawa novel Sitti Nurbaya ini terbit lebih dahulu lagi dari Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, iaitu pada tahun 1922.

Kisahnya tentang kisah cinta. Cinta yang tidak kesampaian – seperti yang tertera dari tajuknya. Samsulbahari mencintai Sitti Nurbaya, begitu juga sebaliknya. Pun begitu, Sitti Nurbaya terpaksa berkahwin dengan seorang lain, kerana tipu daya Datuk Meringgih. Datuk Meringgih digambarkan sebagai seorang tua berhati busuk, yang sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mencapai keinginannya.

Itu adalah ceritanya secara kasar. Tetapi di banyak bahagian, Marah Rusli telah menyelitkan kritikan-kritikannya terhadap adat Minangkabau dengan cara yang pada pandangan saya adalah kurang halus. Pengarang cenderung menggunakan gaya ‘berkhutbah’. Misalnya, dengan panjang lebar dari halaman 191 hingga 200 (saya merujuk kepada cetakan ke 39 terbitan Balai Pustaka) Marah Rusli selaku pengarang telah memasukkan suaranya melalui dialog oleh Ahmad Maulana yang tidak senang akan adat beristeri banyak di kalangan masyarakat Minang. Dan khutbahnya tentang keburukan beristeri banyak ini terlalu panjang, sehingga adakalanya saya merasa agak bosan. Lebih-lebih lagi adakalanya kritikannya disampaikan dengan cara yang agak lancang. Lihatlah sahaja bagaimana Marah Rusli menggambarkan di halaman 22 bahawa beristeri banyak itu adalah hanya untuk haiwan, bukan untuk manusia:

“Pada pikiranku, hanya hewan yang banyak bininya, manusia tidak.”


Saya katakan lancang, kerana Marah Rusli itu adalah seorang Islam. Dan selaku seorang Islam, dia tentu tahu bahawa nabi Muhammad saw mengamalkan poligami. Jadi jika hanya haiwan yang berbini banyak, adakah junjungan besar kita itu haiwan? Astaghfirullahalazim!!!

Saya mengerti bahawa apa yang ingin disampaikan oleh pengarang adalah bahawa poligami itu banyak tanggung jawabnya, dan andai tanggung jawab itu tidak dipikul dengan baik, maka poligami akan lebih banyak buruk dari baiknya. Saya setuju dengan hal ini. Tetapi yang tidak saya setujui adalah cara lancang pengarang mengkritik! Bagaimana tidak lancang kalau sudah menghina nabi – sungguh pun dengan cara yang tidak langsung!

Secara peribadi, novel ini tidak cocok dengan jiwa saya. Bukan kerana ceritanya cerita cinta, tetapi kerana cintanya yang melankolik. Teramat melankolik. Lihatlah sahaja bagaimana Samsulbahari ingin membunuh dirinya hanya semata-mata kerana cintanya tidak kesampaian. Alahai, melankoliknya! Alahai, lemahnya jiwa seorang lelaki kalau begitu!

Pun begitu, ini hanyalah pendapat peribadi saya. Kerana apabila saya googlekan tajuk novel ini, ternyata ramai juga yang meminatinya. Lihat sahaja di laman ini. Ramai yang memberikan empat bintang dan lima bintang untuk novel ini. Tetapi tidak kurang juga yang memberikan hanya satu bintang!

3 comments:

Nazmi Yaakub said...

sdr,

Sitti Nurbaya harus dibaca dalam konteks zamannya. Itu cinta orang dulu pada zaman penuh perih.

Selamat berkenalan. Saya di kawat.blogspot.com

Aidil Khalid said...

Saudara Nazmi Yaakub,

Ya, saya kira itu silap saya ketika membaca buku ini - tidak membacanya dalam konteks zamannya - lantas saya tidak berjaya menikmati ceritanya.

Selamat berkenalan juga. =)

birungu said...

aidil mahu tahu sesuatu, saya kelintar kedai buku bertahun lamanya mencari siti nurbaya tetapi tak terjumpa..
ketika sakit kepala berhadapan exam, saya dengar buku itu ada di pesta buku..
alangkah sedih..
saya ingin benar membuat perbandingan antara siti nurbaya, tenggelamnya kapal, dan juga ayat-ayat cinta

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP