Thursday, February 14, 2008

Saya Sokong Parti Itu....

Parlimen sudah dibubarkan. Tarikh pilihanraya pun sudah diumumkan – 8 Mac ini.

Seorang rakan bertanya kepada saya, "Engkau sokong parti mana?”

Saya jawab, “Mana boleh beri tahu. Undi kan, rahsia.”

“Alah, takkan dengan aku pun nak berahsia-rahsia...,” kata rakan saya kembali.

Lalu setelah berkira-kira buat beberapa ketika, saya akhirnya beri tahu bahawa saya sebagai seorang Melayu, tentulah menyokong parti yang memperjuangkan orang-orang Melayu. Yang menggunakan senjata Melayu sebagai lambang panji-panjinya.

Seperti semangat Hang Tuah, kata saya, “Takkan Melayu Hilang di Dunia.”

Mendengar jawapan saya itu, dia kelihatan agak kurang senang. “Haaa… itulah engkau! Patriotik sangat dengan bangsa. Bagi aku, lebih elok kalau kita sokong parti yang memperjuangkan ISLAM. Kan itu lebih afdhal. Tak pun, kita sokong parti yang memperjuangkan sistem yang ADIL lagi saksama. Barulah afdhal.”

Wah, pandai pulak dia menggunakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab itu. Afdhal. Disebutnya dengan penuh pekat, sehingga menjadi afdol. Afdol! Afdol!

Saya kemudian jawab kembali, “Tapi kalau kau periksa Perlembagaan Malaysia, dinyatakan di situ bahawa Melayu itu Islam. Bererti, secara tak langsung juga, parti yang memperjuangkan Melayu adalah juga parti yang memperjuangkan Islam. Dan Islam itu, bukankah adil?”

Rakan saya itu kelihatan kurang senang. Oleh itu, saya terus menyambung lagi.

“Aku akan sokong parti yang bernaung di bawah nama Melayu. Yang menjulang keris sebagai panji-panji. Aku akan menyokong parti itu – yang telah mencemar, merosak dan mengkorupkan sistem kehakiman negara kita. Aku akan menyokong parti itu – yang telah menaikkan harga minyak dan tol berkali-kali dalam setahun lalu kemudian mengaku pandai ekonomi. Aku akan menyokong parti itu – yang bertanggung-jawab menghina Bahasa Melayu apabila pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu dimansuhkan lalu digantikan dengan Bahasa Inggeris. Aku juga akan menyokong parti itu – yang telah mengubah istilah Bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia – lalu secara tidak langsung telah menginjak menghina Perlembagaan Persekutuan kerana terang-terangan penukaran istilah itu adalah tidak sah di sisi undang-undang. Aku jugak akan… aku jugak akan… aku jugak akan….”

Saya terus membebel-bebel lagi. Dan bebelan saya itu saya sudahi dengan jeritan “Takkan Melayu Hilang Di Dunia!” sambil menghunus keris dan menjulangnya tinggi-tinggi.

5 comments:

anis sarah said...

ya, teruslah menyokong. sokong dan sokong hingga mereka tak berdaya disokong lagi [muahahaha...-evil laugh]

Soffian Ali said...

betul tu aidil,jangan disokong parti yang hanya tahu bercakap bohong pabila mereka ingin menarik undi..

anis sarah said...

salam, aidil, boleh minta emel abg saifullizan? TQ

Anonymous said...

sebenarnya bukan pembubaran parlimen

tetapi pembubaran dewan rakyat

check buku teks tingkatan 3

Aidil Khalid said...

Anonymous,

Terima kasih atas komennya.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 55 (4) memperuntukkan bahawa yang dibubarkan adalah parlimen.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP