Sunday, March 23, 2008

Bahasa Blog

Semalam saya menghadiri majlis diskusi di Dewan Bahasa dan Pustaka, tentang Penulis & Blog: Trend Masa Kini. Diskusi tersebut dipengurusikan oleh penyair Shamsuddin Othman, dengan dua ahli panelnya: blogger Jiwarasa dan penulis Nisah Haron.

Saya tertarik dengan satu perkara, iaitu tentang isu penggunaan bahasa Melayu di blog. Menurut statistik yang dibentangkan oleh Jiwarasa, katanya pada tahun 2007, Bahasa Jepun adalah bahasa nombor satu yang digunakan di blog seluruh dunia, iaitu sebanyak 37%. Ini diikuti dengan bahasa Inggeris (33%), Bahasa Cina (8%), Bahasa Itali (3%), bahasa Farsi (1%) serta penggunaan bahasa lain-lain sebanyak 5%.

Soalnya, di manakah letaknya bahasa Melayu?

Sedangkan, seingat saya bahasa Melayu adalah bahasa ketiga (atau keempat? Saya tak berapa pasti) terbesar jumlah penuturnya di seluruh dunia kerana penuturnya tersebar ke seluruh kepulauan Nusantara.

Ramai orang berfikir bahawa blog adalah perkara suka-suka (dan saya tidak nafikan hal ini – saya sendiri memblog suka-suka), jadi suka hatilah nak tulis macam mana pun; nak tulis basa Inggeris ke; atau lebih hina lagi, nak tulis bahasa rojak campur-campur mencemar bahasa ke…. “Suka hati akulah. Itukan blog aku!”

Tetapi persoalannya, kita harus sedar bahawa blog adalah media yang semakin besar pengaruhnya – lihat sahaja pengaruh luar biasa blog dalam keputusan Pilihanraya Umum ke 12 baru-baru ini. Jadi andai penutur bahasa Melayu sendiri tidak mahu memblog dalam bahasa Melayu, maka nanti dalam pada bahasa-bahasa lain berebut-rebut digunakan di internet, bahasa Melayu akan terus tinggal terpinggir.

Menurut National Geographic News, kira-kira setengah dari 7000 bahasa di dunia dijangkakan akan pupus menjelang akhir abad ini. Mungkinkah bahasa Melayu salah satu darinya?

Yang saya pelik, apabila DEB dimansuhkan oleh pembangkang, ramai yang “memekik-mekik di blog” (meminjam istilah Faisal Tehrani). Kononnya itu hak Melayu yang penuh keramat yang tidak harus disentuh. Tetapi yang peliknya, mereka itu menulis dalam bahasa Inggeris, atau lebih teruk lagi, bahasa campur-campur rojak-rojak yang penuh kehodohan. Jadi, Melayu sangatkan mereka ini sampai nak “memekik-mekik” tentang hak Melayu, kononnya?

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Melayu ditakrifkan sebagai seseorang yang beragama Islam, secara tabiatnya menggunakan bahasa Melayu, dan mengamalkan adat resam Melayu. Andai memblog pun masih janggal menggunakan bahasa Melayu yang tertib, anda tidak layak mengaku Melayu.

6 comments:

cramminus said...

Pedih, pedih... hehehe... Siapa makan cili terasalah pedasnya. Hehehe.. Tapi, yg berkenaan rasa atau tidak kepedasannya itu? hehehe... Tak sabar nak baca pendapat2 yg seterusnya...

Aidil Khalid said...

Salam, Cramminus,

Terima kasih atas komennya. Sebenarnya waktu menulis entri ni, tak ada niat pun nak suakan cili kepada sesiapa. Entri ni ditulis atas rasa risau dengan perkembangan semasa bahasa kebangsaan yang semakin dipinggirkan oleh penutur aslinya sendiri.

=)

Pian said...

aidil farah bengkung hijau..kita berdua bila lagi????????????

Aldric said...

Perang dah mula, Aidil... Ada org terasa ngan komen aku... lol

Aldric @ Cramminus

Aidil Khalid said...

Pian,

Tak apa. Nanti kita berdua langsung melompat ke merah cula empat belas. Wakaka!

Aldric,

No comment. Aku malas nak masuk campur. =)

Nisah Haji Haron said...

Tentunya rasa mual apabila orang yang mendakwa dirinya Melayu tetapi apabila berhujah di blog sangat dangkal dan menggunakan bahasa yang penuh emosi serta kesat tak tentu fasal. Masih mencari orang Melayu yang mengaku bloggers dan boleh berhujah tanpa perlu 'memekik-mekik' untuk menguatkan dakwaan (bukan hujah pun!)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP