Sunday, March 09, 2008

Kisah Kucing, Serigala dan Pilihanraya

Pagi tadi, seusai membaca keputusan pilihanraya di akhbar NST dan kemudian Utusan satu pusingan sambil menonton Selamat Pagi Malaysia, kucing saya yang diberi nama Buni datang mengiau-ngiau menyelit mencelah di kaki. Sambil mengusap-ngusap bulunya yang tebal mengembang itu, fikiran saya bergalau-galau memikirkan tentang keputusan pilihanraya umum yang baharu sahaja keluar.

Haruskah saya bergembira, atau bagaimana?

Malam tadi seorang rakan menghantarkan sms. Pertama, dengan nada gembira, dia menyatakan, “BN kalah teruk. Takbir!” Tetapi beberapa jam kemudian, apabila keputusan di beberapa tempat semakin banyak disiarkan tv, dia mengsms lagi, kali ini dengan nada yang risau pula, “Banyak DAP menang! Jangan Cina kuasai kerajaan, sudah…”

Saya teringatkan Singapura. Akan jadi seperti itukah Melayu di Malaysia nanti? Inikah gelombang rakyat yang dikata-katakan itu?

Saya betul-betul tidak tahu harus bergembira atau bagaimana....

Secara keseluruhan, barisan oposisi menang di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Suatu keputusan yang amat mengujakan! Tetapi dari lima buah negeri itu, DAP mendahului sebagai oposisi yang menguasai jumlah DUN terbanyak di tiga buah negeri, iaitu Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Dan kita semua tahu siapakah dia DAP, dan apakah dia perjuangan DAP.

Kalau PAS ingin memperjuangkan sistem teokrasi (semoga Allah memberkati), maka DAP adalah di hujung arah yang sangat bertentangan, kerana memperjuangkan sistem sekular. Jelas sekali, bahawa sungguh pun mereka bersatu dalam pakatan oposisi, tetapi pakatan mereka itu hanya secara lahirnya sahaja dan bukan pada dasarnya.

Saya memberikan Buni makan, kerana miaunya tak habis-habis. Kemudian, masuk ke kamar untuk menggantikan tidur yang tak cukup tadi malam. Tetapi baru beberapa minit tenggelam dalam mimpi yang bergalau-galau, saya terkejut kembali apabila mendengar suara kucing bercakaran di luar kamar.

Saya bergegas keluar, kerana saya tahu, Buni adalah kucing yang sangat manja, dan tidak reti bergaduh. Buni juga kucing penyendiri yang tidak suka ada kucing lain yang mendekatinya.

Ternyata seekor kucing dari luar, yang entah dari mana datangnya telah memasuki rumah, lalu menyerang Buni. Dalam kekalutan itu, Buni yang tak reti bergaduh telah bercakaran sambil terkencing-kencing (seperti saya katakan, Buni adalah kucing yang tidak reti bergaduh, mungkin lantaran terlalu takut, maka dia sampai terkencing) buat beberapa ketika, sehingga saya keluar meleraikannya. Kucing luar itu saya halau. Habis lantai rumah dengan kencing dan berak Buni yang terberet ketakutan.

Setelah kembali ke kamar untuk menyambung tidur yang terganggu, fikiran saya diganggu lagi, “mungkinkah ini satu petanda?”

Dalam pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya, negeri menjadi sangat aman tenteram sehinggakan bukan sahaja manusia, malah haiwan juga mendapat tempiasnya. Malah dikatakan, ketika pemerintahannya, serigala menjadi baik mendadak. Kambing biri-biri ternakan orang tidak dimakannya. Sebaik sahaja khalifah tersebut meninggal dunia, serigala kembali mengganas, dan kambing biri-biri kembali menjadi mangsa.

Nah, begitu hebat sekali pemerintahan yang mendapat redha Tuhan.

Saya tak pasti sama ada apa yang dikatakan itu memang benar-benar berlaku, ataukah sekadar satu cara – hiperbola – bagi menggambarkan kehebatan dan kebesaran khalifah Umar. Tetapi apa-apa pun, mesejnya jelas, iaitu sesuatu pemerintahan itu, andai ditadbir dengan adil, kesannya akan menjangkau kepada alam dan haiwan. Begitu juga sebaliknya, sesuatu pemerintahan yang zalim atau rosak, kesannya akan turut dirasai apabila berlaku kerosakan kepada alam.

Dan hal ini saya kaitkan dengan peristiwa Buni yang tiba-tiba sahaja bergaduh, pada hari ini – hari pembentukan kerajaan baharu. Rasa risau menggamit-gamit.

Mata terus terkebil-kebil, tak dapat tidur. Lantas saya bangun, nyalakan komputer riba, periksa berita terbaharu di NST online, dan saya mampu tersenyum apabila membaca berita bahawa DAP memberi laluan di Perak, untuk setiausaha PAS negeri tersebut menjadi Menteri Besar, sungguh pun dari jumlah kerusi, DAP mendahului PAS.

Di Selangor, jawatan Menteri Besar diberikan kepada wakil KeADILan, di Kedah kepada wakil PAS, manakala di Pulau Pinang kepada wakil DAP. Dan Kelantan, seperti biasa, masih dikuasai PAS.

Senyum saya meleret. Perkongsian kuasa berjalan dengan harmoni. Tidak berlaku seperti kata sms rakan saya itu, bahawa “Cina menguasai kerajaan.” Ternyata pembahagian kuasa diberikan dengan semangat perkongsian. Perkauman tidak menjadi soal. Nah, sekarang saya tahu, saya sudah boleh bergembira.

Pakatan oposisi semakin akrab (walaupun di tv kelihatannya BN masih cuba menafikan dengan mengatakan seolah-olah kemenangan oposisi adalah kerana masalah dalaman BN, dan bukan kerana kekuatan pembangkang).

Buni datang mengiau-ngiau, di kaki, entah minta makan entah minta minum.


* * *


*Terkini dari Buletin Utama TV3, 8 Malam, 9 Mac 2008: Kenyataan bahawa DAP memberi laluan kepada setiausaha PAS negeri Perak untuk menjadi Menteri Besar adalah hanya khabar angin. Perbincangan masih berjalan antara parti-parti DAP, PAS dan KeADILan dalam menubuhkan kerajaan negeri tersebut.

10 comments:

Aznyda said...

Hi aidil,

Kat kedah pun sama jugak. Most probably DAP jadi Menteri Besar sbb kerusi dia lagi banyak dari PAS dan ADIL.

taktau la ape nak jadi dengan melayu. kita melayu bersorak bila jatuhkan melayu lain tapi cina yang bersorak sbb dah pecah-belahkan kita.

jgn kerana kita, hak istimewa melayu hilang dan uitm bukan hak kita lagi.

Aidil Khalid said...

Salam Aznyda,

Setahu saya di Kedah, PAS menang 16 Kerusi, KeADILan 4, dan DAP 1.

Dan Pesuruhjaya Pas Kedah sudah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besarnya yang baru.

Akinogal said...

See Here

Anonymous said...

Salam,
Jawatan Menteri Besar di Perak itu hanya boleh diberikan kepada seorang Melayu yang beragama Islam seperti yg telah termaktub di dalam perlembagaan negeri Perak. Sebab itu PAS naik menjadi MB di Perak, kerana DAP tidak boleh naik. Bersatulah Melayu, janganlah menang sorak kampung tergadai. Lagi satu, sekiranya status diri adalah sebagai pelajar UiTM yang disubsidi kerajaan, perlulah ada kesedaran diri. Jangan jadi Melayu yang mudah lupa perjuangan anak bangsa.
Salam.

Aidil Khalid said...

Salam saudara/i Anonymous,

Yup, memang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan bahawa MB mesti seorang Melayu. Tetapi undang-undang tubuh tersebut juga ada memberi kuasa kepada sultan untuk mengabaikan peruntukan itu, sekiranya dirasakan perlu. Sama-sama kita nantikan siapkah yang bakal menjadi MB nanti.

Orang Melayu memang patut bersatu. Tetapi bersatu di bawah korupsi, rasuah dan kebongkakan yang melampau, pada pandangan saya adalah sesuatu yang sudah tidak relevan lagi. Saya lebih suka andai orang Melayu bersatu di atas tali Allah, seperti firmanNya dalam surah Ali Imran: 103, "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai."

Tentang status saya sebagai pelajar UiTM yang disubsidi kerajaan, harus diingat bahawa hal tersebut adalah TANGGUNG JAWAB serta KEWAJIPAN pihak kerajaan. Mana-mana kerajaan pun yang memerintah, tidak kiralah BN atau BA, mereka bertanggung jawab untuk memberikan pendidikan kepada rakyatnya. Kuasa kerajaan sendiri didapat dari rakyat, kalau tidak diberi mandat oleh rakyat, masakan mereka berkuasa?

Nazmi Yaakub said...

pepatah arab ada sebut, "manusia amat takutkan pada apa yang dia tak tahu!"

sebab itu, ramai yang jadi takut tak bersebab bila DAP banyak menang. cuma yang kita tak tau, bukan saja DAP banyak menang, Pas dan Keadilan pun banyak menang.

Umno pun banyak menang. Cuma yang banyak kalah MCA dan MIC. So sekarang ni kita sebenarnya takut pada apa?

Kita bagi peluang dulu. Jangan belum tubuh kerajaan negeri, dah nak bantai paghok-paghok.

utk aznyda, tenang-tenang dulu. jangan main tune perkauman. macam lah selama ini Umno dok jaga hak istimewa orang Melayu. tanah2 orang Melayu yg kena rampas dan tukar jadi kolam udang kat Kedah tu apa cerita? rumah2 setinggan yg banyak orang Melayu duduk di sekitar lembah klang ni apa jadi? biasiswa yg sepatutnya diberi kepada pelajar, ditukar kepada pinjaman apa kejadahnya tu? harga minyak naik tapi pm dan tpm boleh naik jet persendirian tu ada ciri2 nak tolong melayu ke?

orang melayu mungkin berpecah-belah. tapi orang melayu dalam umno lah. sebab tu kalah teruk kat kelantan. tapi orang melayu dalam pas dan keadilan bersatu. lebih baik lagi, bersatu dengan orang cina dan orang india dalam keadilan dan dap.

kita ada empat-lima tahun. tengok dulu, barulah bising2 utk tukar balik kerajaan pada barisan nasional. itu pun kalau mahu!

sementara waktu ni, jangan jadi orang yg jahil.

Nazmi Yaakub said...

satu lagi,

uitm tu mmg bukan hak milik melayu lagi. bila dah upgrade ke u, sapa2 rakyat malaysia tak kira bangsa pun boleh masuk, kan?

siapa yg upgrade tu? orang umno yg nak tolong melayu lah! :)

sorry, aidil, melepas marah sikit.

Wan Nor Azriq said...

Korupsi dalam politik bukan benda baru, semenjak zaman kegemilangan umat islam sudah ada. Apatah lagi dalam zaman moden sekarang. Siapa pun yang dipilih kita akan harus menerimanya kerana rakyat sudah membuat keputusan. Setialah kepada pemimpin selagi kesetiaan kita kepada Allah tidak terjejas. Persoalannya, antara semua parti itu, siapa yang akan menjamin masa depan semua bangsa dan agama? Buka mata dan tengoklah realiti. Dan tengoklah dalam 5 tahun ni siapa yang paling benar.
Kuasa setiasa berada di tangan rakyat. Kalau DAP ingin hidupkan manifesto Malaysia Malaysia, kuasa masih di tangan rakyat. Tanggunjawab bangsa dan agama adalah tanggungjawab bersama - tidak kira apa parti pun.

Aidil Khalid said...

Nazmi,

Haha... jangan marah-marah. Simpan marah itu untuk barisan rakyat yang belum pun apa-apa lagi sudah lupa diri nak jadi bengkang bengkok sesama sendiri.


Azriq,

Memang betul korupsi dalam politik sudah lama wujud. Tetapi saya fikir itu tidak harus menjadi alasan untuk menutup mata sahaja apabila ada pemimpin yang korup.

Soffian Ali said...

lah..buni kene pukulke? awat tak ajaq dia seni silat kucing shah alam..kesian dia sampai tercirit-cirit...hehe..kucing ko mmg comel r..
btw, melayu takkan ditindas hanya sebab BN kalah pilihanraya...apa yang jadi sekarang hanyalah luahan hati rakyat yang inginkan kerajaan yang lebih bersih..
betul tak kawan2??

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP