Thursday, May 15, 2008

Seminar Pemikiran Pak Samad

Saya hanya sempat ke Seminar Pemikiran Sasterawan Negara A. Samad Said anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari ketiga – iaitu hari terakhir seminar – kerana sebelumnya saya mengikuti program bersama pelajar-pelajar dari Prince of Songkhla University, Thailand, anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) di Semenyih (untuk laporan aktiviti di Semenyih, boleh ke blog Kak Hanie Salwah di sini).

Ternyata dalam seminar tersebut, karya-karya Pak Samad telah begitu teruk dikritik, malah kelayakan Pak Samad diberi gelaran Sasterawan Negara telah dipersoal oleh beberapa hadirin yang memberikan pendapat dalam sesi diskusi dan soal jawab.

Menurut Professor Rahman Shaari – yang merupakan salah seorang pembentang kertas kerja sesi pagi – terdapat dua jenis penulis. Pertama adalah penulis yang memilih untuk mengambil sikap tidak menyebelah kepada mana-mana pihak. Kalau pun dia mengkritik, dia akan mengkritik secara halus, sehinggakan tidak ketara di pihak manakah dia. Penulis jenis ini dipanggil sebagai penulis reactionale. Kedua, adalah jenis penulis yang lantang, yang secara terang-terangan lagi berani menunjukkan tentangan terhadap establishment. Mereka ini dipanggil penulis revolutionaire. Pak Samad, menurut Professor Rahman Shaari, adalah dari kelompopk reactionale, kerana begitu sukar menanggapi pendirian Pak Samad melalui karya-karyanya.

Seorang lagi pembentang kertas kerja sesi pagi, YB Shafie Abu Bakar, mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan pendirian reactionale Pak Samad. Hal ini kerana, menurutnya, penulis yang tidak menyebelah adalah penulis yang tidak punya pendirian. Ya, Pak Samad ialah penulis yang tidak punya pendirian! Begitulah bunyinya.

Kemudian suasana mulai panas apabila dalam sesi soal jawab serta perbicangan dari hadirin, Encik Fauzi telah bangun memberikan pendapatnya. Beliau telah dengan begitu berani mendakwa bahawa Pak Samad sebenarnya adalah seorang pesakit yang menderita trauma akibat pengalaman lampaunya yang sukar dilupakan – pengalaman dari zaman Jepun. Sebab itu, menurutnya, akibat dari ‘penyakitnya’ itulah, Pak Samad menjadi seorang pengarang yang berada dalam dunianya sendiri. Dan kerana itu jugalah karyanya ditulis dengan begitu rinci sekali.

Sesi menjadi terus hangat lagi apabila Professor Rahman Shaari menjawab pertanyaan dari salah seorang hadirin: Apakah terdapat pemikiran dalam karya-karya Pak Samad? Dengan secara berseloroh – tetapi dari pandangan saya kelihatan agak sedikit sinis – Prof Rahman Shaari menjawab, “Ada lah… sikit-sikit.” Kemudian dengan sedikit serius, beliau menjustifikasikan jawapanya itu dengan menegaskan bahawa sememangnya tidak terdapat banyak pemikiran di dalam karya-karya Pak Samad. Hal ini disebabkan oleh stail penulisan Pak Samad yang terlalu rinci dalam melukiskan keadaan dan kisah di dalam karyanya, sehinggakan ruang untuk memasukkan pemikiran jadi sempit – lalu hanya sedikit sahaja yang dapat dimasukkan. Beliau memberi contoh dalam novel Daerah Zeni, yang mana menurutnya, hanya untuk menceritakan seekor katak yang ingin melompat, Pak Samad telah memakan sehingga ke beberapa halaman.

Menurut Professor Rahman Shaari lagi, Pak Samad adalah seorang penulis yang ingin memperkatakan tentang terlalu banyak perkara sehingga yang penting-penting menjadi sedikit.

Sebagai respon kepada kenyataan Professor Rahman Shaari itu, seorang lagi hadirin telah bangun bagi menyatakan pendapatnya. Saudara A. Halim Ali mempersoalkan tentang gelaran Sasterawan Negara yang dianugerahkan kepada Pak Samad. Katanya, dari pembentangan-pembentangan kertas kerja oleh para pembentang, kelihatannya karya-karya Pak Samad tidaklah sekuat mana. Jadi, soalnya, layakkah anugerah tertinggi sastera itu dianugerahkan kepada beliau?

Kekuatan karya-karya Pak Samad terus dipertikaikan lagi apabila seorang lagi hadirin – Mohd Affandi Hassan – bangun memberikan pandangan. Beliau yang terkenal dengan teori Persuratan Baharunya itu telah mengeluarkan satu lagi teori baharu ketika memberi pandangannya dengan mengatakan bahawa terdapat perbezaan antara gelaran penyair dengan gelaran penyajak. Beliau menegaskan bahawa untuk layak digelar penyair, seseorang itu harus membawa pemikiran serta gagasan yang teguh di dalam karya-karyanya. Sekiranya tidak, seseorang itu hanya layak digelar penyajak. Pak Samad, menurut Mohd Affandi Hassan, hanya layak digelar sebagai seorang penyajak, bukannya penyair kerana di dalam karya-karyanya tidak ditemui gagasan yang kukuh.

Ketika peringkat ini, hati saya sudah memberontak-berontak mendengarkan kritikan-kritikan yang begitu bertalu-talu terhadap Pak Samad itu. Secara diam-diam saya berpendirian bahawa kritikan mereka itu tidak holistik sifatnya. Memang, barangkali karya Pak Samad tidak memasukkan pemikiran-pemikiran dalam erti kata falsafah yang besar-besar. Tetapi dari sudut yang lain pula, karya-karya Pak Samad merakamkan suasana serta sosiobudaya zaman tersebut dengan sedekat-dekatnya. Kerana itu, sesuatu karya sastera itu tidak boleh terus dikatakan lemah andai pemikiran yang dimasukkan oleh pengarang hanya sedikit, kerana masih terdapat aspek-aspek lain yang harus diambil kira. Richard Guess, misalnya, berpendapat bahawa sastera itu adalah gerbang kepada memahami budaya dan pemikiran dalam sesebuah masyarakat. Menurut beliau lagi, bagi tujuan mengkaji sosiobudaya sesebuah masyarakat, mengkaji karya sastera lebih berguna dari mengkaji tulisan-tulisan ilmiah mengenai masyarakat tersebut.

Barangkali novel Salina sesuai dijadikan contoh. Karya Pak Samad yang ini, menurut A.Teew (orientalis, penyelidik masyarakat timur), telah memberikan kepadanya kefahaman tentang masyarakat Melayu ketika zaman selepas perang dunia ke dua. Ini, bagi saya, adalah kejayaan karya Pak Samad – sungguh pun barangkali seperti kata Prof Rahman Shaari pemikirannya hanya "sikit-sikit", tetapi rakamannya yang begitu dekat mengenai masyarakat Melayu Singapura dalam tahun 50an adalah suatu aspek yang telah mengimbangi kekurangan tersebut. Kerana itu saya berpendapat, mereka yang mengkritik mempersoalkan kelayakan Pak Samad memegang gelar Sasterawan Negara atas dasar tiada pemikiran di dalam karya-karyanya, telah melakukan kritikan tersebut dalam keadaan alpa akan kepentingan aspek-aspek lain dalam karya sastera.

Pun begitu, pemberontakan dalam hati saya secara diam-diam itu ternyata kemudiannya telah terjawab kemudiannya ketika masuk sesi pembentangan kertas kerja sebelah petang. Dalam sesi diskusi dan soal jawab dari hadirin, saudara A. Halim Ali telah sekali lagi bangun bagi memberikan pandangannya. Menurutnya, Pak Samad tidak harus dipandang sebagai perakam zamannya. Malah beliau mengatakan Pak Samad telah gagal merakamkan zamannya. Ini dijustifikasikan dengan menyatakan bahawa dalam karya-karya Pak Samad yang banyak, aspek ketegangan agama tidak ditonjolkan sama-sekali – sedangkan dalam era tahun 40an, ketegangan agama telah mencapai kemuncaknya dalam masyarakat, akibat dari tragedi Natrah di Singapura. Isu ini langsung tidak dirakamkan oleh Pak Samad. Oleh itu, katanya, Pak Samad tidak mewakili zamannya, sebaliknya hanya mewakili dirinya sendiri sahaja. Pak Samad juga digambarkan sebagai seorang penulis yang mabuk dengan kata-kata, tetapi tidak punya hala tuju.

Secara keseluruhan, saya dapat melihat suatu perbezaan yang begitu ketara antara para hadirin yang terdiri dari kaum muda, berbanding dengan para hadirin yang terdiri dari kaum tua. Mereka yang mengkritik Pak Samad serta mempersoalkan kelayakan Pak Samad memegang gelaran Sasterawan Negara rata-ratanya (tetapi bukan semuanya) adalah dari kaum tua. Sedangkan kaum muda, rata-ratanya cenderung berpihak kepada Pak Samad. Ini dapat dilihat dari kata-kata penyair Shamsuddin Othman – yang juga merupakan salah seorang pembentang kertas kerja sesi petang – bahawa hati beliau sungguh sayu apabila mendengar ada pihak yang mempersoalkan kelayakan Pak Samad.

Apa-apa pun, bagi saya, lantak pi lah, depa nak persoalkan ke apa ke. Yang pastinya, Pak Samad sendiri pun memang sudah tidak mahu lagi memakai gelaran Sasterawan Negara tersebut. Beliau lebih selesa memegang gelar Sasterawan Rakyat – gelaran yang dinobatkan oleh rakyat sendiri, bukan oleh pihak berkuasa yang hanya tahu mengurniakan gelaran, tetapi tidak pula tahu menghargai gelaran tersebut.



Baca juga ulasan mengenai seminar ini di blog Azriq, di sini.

6 comments:

saat omar said...

saya pun berpendapat komen2 terhadap A Samad Said itu tidak bernas dan tidak adil...Seorang penulis tak mampu merakam segala-galanya dalam satu karya beliau. Hanya kerana Samad Said tak merakam tg politik di singapura pada tahun 40 an maka boleh dianggap karya dia tidak berisi? itu pendapat yang tak adil buat penulis...
mana2 penulis pun tak mampu nak merakam atau 'mengutip segala-galanya' segala-galanya dalam karya beliau. Bila penulis dah skopkan kajiannya, maka itulah yang dia fokuskan untuk perkembangan wataknya dan sebagainya.

hani salwah yaakup said...

Berpuas hati dengan pendapat Shamsudin Othman & Peniaga dari UM yang akhirnya menegakkan diri Sasterawan Rakyat kita. Ada juga yang hendak menegakkan keadilan yang hampir condong ke sebelah pihak sahaja!

Tasik Hijau said...

aidil, apa pun, aku setuju dengan pendirian kau...

saat omar said...

A. Samad Said memang layak untuk diangkat menjadi sasterawan negara...kalau kita baca hanya satu sahaja perenggan dari tulisannya pun kita dah tahu yang tulisan dia itu adalah lebih baik dari mana-mana tulisan penulis yang lain di negara ini.

Aidil Khalid said...

Abang Saat,

Memang benar. Membaca tulisan Pak Samad, satu ayat pun sudah cukup indah dirasakan. Seolah-olah setiap perkataan dan setiap baris ayat membawa makna yang tersendiri.


Kak Hani,

Yup. Nasib baik ada dua 'hero' tu kan. hehe.


Tasik Hijau (Hazwan),

Apa-apa pun, aku banyak belajar dari kritikan-kritikan terhadap Pak Samad tu. Bahawa sebesar mana pun seseorang penulis itu, dia tidak akan dapat lari dari kelemahan.

Soffian Ali said...

suroh pengkritik A.Samad Said tulis sebuah novel sehebat Salina. Mungkin sampai mati pun diorang tak mampu nak buat.
Salina mampu membuat aku ketawa,menangis dan berfikir.
bukan semua penulis boleh buat camtu..

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP