Sunday, June 29, 2008

Cerpen Kereta Punya Angkara: Proses Kreatif Yang Istimewa

Sewaktu saya membaca buat pertama kalinya cerpen Pak Samad yang bertajuk Pagi daripada buku kumpulan cerpen Hati Muda Bulan Muda, saya terpesona sungguh-sungguh dengan satu perkara: iaitu bagaimana sebuah cerpen yang ditulis senyap-senyap oleh seorang penulis yang memerap menyendiri dalam kamar, lalu dibaca pula secara senyap-senyap oleh seorang pembaca yang juga barangkali memerap menyendiri dalam bilik; tetapi boleh mempunyai kesan yang luar biasa bising dan riuh rendah dalam fikiran pembaca. Bagi saya ini adalah suatu keluar-biasaan, suatu keajaiban, suatu keindahan estetika yang sukar dimengerti. Maka semenjak menemui keajaiban dalam cerpen Pagi, diam-diam saya menyimpan hasrat untuk menghasilkan sebuah karya yang sama mempunyai kesan ‘bunyi’ yang luar biasa seperti itu.

Hal ini menjadi kenyataan apabila beberapa tahun yang lalu, saya tidur lewat petang, dan kemudian apbila terbangun, seperti kebiasaannya kalau tidur selepas asar, pasti tubuh akan terasa letih lesu dan pening-pening lalat. Dalam keadaan pusing dan rengsa itu (dan terpinga-pinga kerana masih dikuasai kantuk), entah bagaimana, dalam minda saya, seperti terdengar-dengar suasana riuh rendah di tingkat bawah rumah, di ruang tamu. Sedangkan, waktu itu, saya tahu, tidak ada sesipa pun di situ.

Saya mendengar suara emak, suara abang, suara adik, suara ayah, juga suara saya, yang semuanya bersatu, bercampur baur, menjadi begitu bising, seperti ada pesta-pestaan atau lebih tepat lagi, pertelingkahan. Lalu dari suara-suara yang kedengaran dalam minda saya itu, saya cuba membayangkan suasananya dalam fikiran – secara visual.

Sejurus kemudian saya bingkas bangun, lalu langsung mencapai komputer riba. Mengetik perkataan demi perkataan, ayat demi ayat, paragraf demi paragraf. Maka terhasillah cerpen Kereta Punya Angkara. Tidak lama waktu yang saya perlukan. Tak sampai sejam pun, sebelum draf awalnya siap – barangkali kerana ‘rasa’ yang terlalu kuat dari dalam diri, membantu penghasilannya menjadi sangat lancar. Kemudian masuk waktu maghrib, saya bersiap-siap untuk solat. Usai solat, saya duduk kembali menghadap komputer, membetulkan sana-sini, mengedit mana yang perlu serta cuba menyesuaikan cerita itu dengan isu-isu semasa.

Cerpen Kereta Punya Angkara ini sebetulnya adalah antara karya saya yang paling saya suka, yang saya rasakan paling puas ketika menulis dan menghasilkannya. Kepuasannya sungguh luar biasa. Tetapi ironisnya, cerpen ini adalah yang paling sukar hendak menembusi tembok penyiaran. Ke sana sini saya kirimkan, tidak pernah lekat. Lalu saya hantar surat penarikan balik, kemudian mengirim pula ke media yang lain, tetapi masih juga tidak disiarkan editor. Barangkali kerana kepanjangannya, yang jauh melebihi ruang yang diperuntukkan oleh kebanyakan media, makanya ianya diketepikan oleh kebanyakan editor.

Dalam kebuntuan bagi mendapatkan karya ini tersiar, akhirnya saya memutuskan untuk menghantar cerpen ini untuk dibengkelkan dalam bengkel Cerpen Penulis Muda DBP kelolaan Puan Zaharah Nawawi. Alhamdulillah, dalam bengkel tersebut, cerpen ini mendapat komen yang memberangsangkan dari para peserta, juga dari Puan Zaharah sendiri. Cuma, seperti yang telah saya jangkakan, Puan Zaharah menekankan bahawa cerpen ini terlalu panjang, dan harus dipendekkan kalau mahu melihatnya tersiar. Puan Zaharah turut mencadangkan beberapa pembaikan di sana-sini. Juga salah seorang peserta bengkel, Abang Saat Omar, mencadangkan agar pengakhirannya diubah supaya dapat memberi kesan yang lebih.

Saya bungkam ketika itu. Bagaimana mahu memendekkan sebuah cerpen yang panjangnya 14 halaman, menjadi 8 halaman? Enam halaman harus dibuang – bukan sedikit! Saya rasa hampir-hampir mustahil. Setelah berusaha dan berusaha, mencari dan mencari di sana sini mana yang boleh dibuang, saya hanya berjaya mencantasnya sehingga menjadi 12 halaman sahaja. Masih terlalu panjang, sebenarnya. Aduh, bagaimana ni?

Akhirnya saya putuskan sahaja untuk menghantarnya ke editor Dewan Sastera dalam keadaan jumlah halaman manuskrip itu masih lagi 12. Terserahlah kepada editornya sama ada hendak menyiarkannya atau tidak, atau hendak memotong mencantasnya menjadi lebih pendek terlebih dahulu sebelum disiarkan. Saya sudah terlalu buntu tak tahu bagaimana harus memendekkannya lagi.

Dan alhamdulillah, bulan ini, cerpen ini disiarkan di sisipan Tunas Cipta, Dewan Sastera, Julai 2008.

Mungkin, setelah membacanya, ada yang akan mengatakan, “ah, cerpen ini biasa-biasa saja.” Tetapi tidak buat saya – yang merasai sendiri sebuah ‘rasa’ yang luar biasa ketika menghasilkannya, yang mendengar dengan begitu jelas suara riuh rendah di bahagian bawah rumah ketika sebenarnya tidak ada siapa-siapa di situ, serta ketika menaipnya di dalam komputer riba seperti ada bisikan-bisikan halus di telinga yang membisikkan apa-apa yang harus saya taip – maka tidak hairanlah kalau cerpen ini mendapat tempat istimewa di hati.

Terima kasih tidak terhingga harus saya panjangkan kepada editor Dewan Sastera yang menyiarkan cerpen yang cukup bermakna ini!

* * * * *

Tahniah juga kepada rakan MPR 07, Mohd Ghazali Mohd Ros, yang puisinya turut tersiar, di ruangan sajak Tunas Cipta.

12 comments:

hani salwah yaakup said...

tahniah Aidil!

saat omar said...

cerpen kereta tu menarik kerana sistem kelas dalam institusi keluarga ditunjukkan dalam satu metafora dan perlambangan yang sederhana dan unsur-unsur yang 'biasa' (kereta dan parking kereta)...Banyak metafora dalam cerpen itu.

Jamilah said...

Tahniah, tak sabar nak membacanya...

Aidil Khalid said...

Kak Hani,

Terima kasih. =)


Abg Saat,

Sebenarnya waktu menulis cerpen tu, saya berniat nak tulis dengan gaya satira. Tapi apabila saya berikan pada kawan untuk dibaca, dia kata tak nampak langsung satiranya. Hehe. Maka tinggallah ia sebagai sebuah metafora.


Jamilah,

Terima kasih. Saya pun tak sabar nak menatapnya. Susah betul nak dapatkan majalah Dewan Sastera. Haih! Dawama ni memang betul tak buat kerja! Saya cuma tahu ianya tersiar, kerana Hafizul yang sms beritahu.

NoRE said...

aidil,

selamat hari jadi (lewat sehari nak ucap).

teruslah berkarya.

buku kau nanti.inshaAllah aku beli.tapi kau kene sign la nanti.haha

Aidil Khalid said...

Nore,

Terima kasih atas ucapan. Dan terima kasih jugak atas sokongan.

Haha... boleh, aje... nak sign. =)

Wan Nor Azriq said...

Tahniah aidil,

Lama tul baru keluar yerr cerpen ini :)

Aidil Khalid said...

Azriq,

Terima kasih atas ucapan.

Anonymous said...

Tahniah. Mantap sekali.
(Fahd Razy)

saat omar said...

..dan keluar ke dewan Sastera Julai? pi cari kat kedai semua cakap belum keluar...

ina marjana ulfah said...

salam aidil, tahniah!!! Kak ina sdg asyik dgn Bila Nysrah Kata Tak Mahu. Tunggu 13 Julai ini ya.

Aidil Khalid said...

Fahd Razy,

Wah! Bila johan puisi HSKU sudah bersuara... hehe. Apa-apa pun, terima kasih. ;-)


Abg Saat Omar,

Memang Dewan Sastera ni biasanya lambat banyak keluarnya berbanding majalah-majalah lain. Di Shah Alam, cuma satu kedai yang di PKNS saja yang saya tengok dah menjual majalah ni. Kedai lain masih belum lagi.


Kak Ina,

Alahai, saya semakin berdebar-debar menantikan kelahiran 'anak sulung' saya tu. Hehe.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP