Wednesday, June 18, 2008

Iklan NSTP

Apabila tiba soal pemartaban bahasa Melayu, saya dengan mak saya selalu sahaja tidak dapat bersependapat.

Ketika itu kami sama-sama sedang menonton Bulletin Utama di tv3. Kemudian terpapar iklan NSTP yang kurang lebih begini:

Di dalam bas, seorang pelajar sekolah yang digambarkan kononnya sangat baik, sedang membaca suratkhabar berbahasa Inggeris. Kemudian sekumpulan samseng, yang duduk di bahagian belakang bas, mengajuk-ajuk, mengejek-ejek pelajar tersebut, kerana membaca dalam bahasa Inggeris. Bas berhenti, seorang pelancung Mat Saleh masuk. Pelancong itu ke belakang, menanyakan sekumpulan pelajar samseng itu tadi tentang bagaimana hendak ke National Monument. Pelajar samseng itu terkalut-kalut, malu sendiri, kerana ternyata mereka tidak dapat berbahasa Inggeris dengan fasih. Lalu pelajar yang sedang membaca surat khabar berbahasa Inggeris itu pun lantas menjadi penyelamat. Di akhirnya dipaparkan pesanan, "Read NST, English is important."

Saya katakan kepada mak, iklan ini adalah iklan yang paling bodoh yang pernah saya tonton.

Kenapa? tanya mak saya.

Saya katakan, saya tidak menafikan bahawa memang sangat penting menguasai bahasa kedua, malah kalau boleh, bahasa ketiga, keempat dan seterusnya. Bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Inggeris, bahasa Korea dan seterusnya. Tetapi, kata saya kepada mak, cara pemaparan iklan itu sangat bodoh dan tidak realistik.

Bagaimana kalau pelancong yang masuk ke dalam bas itu, adalah pelancong dari Korea, atau dari Perancis? Lalu kemudian pelancong itu menanyakan dalam bahasa tersebut. Adakah di akhir iklan itu nanti akan masih dikatakan, “Read NST, French is important”, atau, “Read NST, Korean is important.”

Alahai, bodohnya! Bodohnya! Bodohnya!

Emak saya mengerutkan dahi.

Kemudian alasan kedua yang saya nyatakan: iklan itu sebenarnya sangat kurang ajar. Tersangat biadab, malah. Sekali lagi, saya tekankan kepada mak, bahawa saya tidak nafikan kepentingan belajar bahasa kedua. Belajarlah bahasa Arab, memang bahasa Arab penting. Belajarlah bahasa Inggeris, bahasa Inggeris juga penting. Belajarlah bahasa Portugis, memang menguasai lebih bahasa sentiasa merupakan satu kelebihan. Tetapi kenapa, dalam pada iklan tersebut ingin menggambarkan pentingnya belajar bahasa Inggeris, orang-orang yang berbicara di dalam bahasa Melayu harus digambarkan sebagai samseng, sebagai jahat, sebagai antagonis? Dalam erti kata lain, iklan tersebut, dalam pada ingin menekankan peri pentingnya bahasa Inggeris (dan ini tentunya tidak salah), telah secara sengaja, secara sedar, tetapi biadab dan kurang ajar, menggambarkan bahawa bahasa Melayu itu tidak penting (dan ini bagi saya adalah satu jenayah)!

Alahailah, nasib bahasa Melayu. Hanya tinggal gah di dalam perlembagaan sahajalah ia, tetapi dari segi realitinya, memang sudah lama dipijak-pijak, diinjak-injak. Saya pernah terbaca entah di mana, dan oleh siapa, saya lupa, tetapi kira-kira beginilah kata-katanya:

Bahasa Melayu ini adalah bahasa paling pelik di seluruh dunia. Ia dimartabatkan sedemikian tinggi hingga kedudukannya diletakkan sedemikian mulia di dalam perlembagaan negara, tetapi dalam masa yang sama, sehari-hari kita melihat bahasa ini diinjak malah diperlekehkan oleh para penuturnya sendiri. (Maaf kerana tidak dapat petik dan beri kredit dengan sempurna)

Emak saya mula mengangguk-angguk perlahan.

8 comments:

Mohd. Fahmi said...

salam. sepatutnya penutur bahasa melayu digambarkan lebih bersopan. tentang pelancong pula, saya setuju. kalau pelancong arab, tentulah bahasa arab lebih penting.

hazwan said...

haha,
akupun agak meluat dengan iklan tu...
terasa lain lah cara mesej yg hendak disampaikan...
huhu
nway, bila ko nak send contoh yg ko ckp nk bg tu, aku menunggu je ni...
hehe

nasriahabdulsalam said...

salam aidil,
akak menyokong penuh alasan anda yang ke-2 tu!

saat omar said...

tapi iklan euro Celcom yang APA KITA SANGGUP LAKUKAN UNTUK BOLA SEPAK? tu lagilah melampau..nampak radikal sangat.

Anonymous said...

Kaksu juga bersependapat, dan melihat pada dialog terakhir tu, "... mudah (senang?) dapat kerja?" lagilah terasa, siapalah penulis kopi untuk iklan ni? Melayukah dia, sanggup menghina bahasa dan peradaban Melayu. Pak Menteri manalah yang luluskan penyiaran iklan ni kan?

Hairan lah iklan begitu, masih aja diteruskan... dan tidak pula mendapat bantahan daripada mana-mana anak-beranak pertubuhan bahasa Melayu di negara ini, yang dakwa sayang akan bahasanya.

Wan Nor Azriq said...

hakikatnya dari dulu hingga sekarang bangsa Malaysia masih belum menyelesaikan dilema bahasa yang terikat pada leher mereka.Adakah kita patut tunduk pada tekanan globalisasi atau setia memeluk identiti bangsa sendiri dan diterajang komuniti global ke gaung kesepian?

Pihak NST nampaknya memilih yang pertama sehingga sanggup memijak bahasa bangsa mereka sendiri.

Bagaimana dengan para politikus kita? Mereka adalah punca utama berlakunya dilema ini.Sepatutnya kedudukan bahasa Melayu dipertahankan, tetapi dasar bahasa yang sentiasa berubah-ubah telah mewujudkan suasana dilema dalam masyarakat kita.

Penguasaan bahasa kedua tetap penting kerana kita tak mahu jadi macam orang jepun atau korea yang jadi macam babun keluar hutan bila pergi ke negara asing.Kita hormatilah bahasa orang lain sama seperti kita harap orang asing cakap bahasa melayu di negara kita.

Aidil Khalid said...

Mohd. Fahmi,

Saya rasa masalah dengan masyarakat Malaysia ialah kita lebih memetingkan bahasa Inggeris daripada penguasaan ilmu itu sendiri.


Hazwan,

Sudah dihantar. ;-)


Kak Nasriah Abd Salam,

Alasan kedua saja? Hmmh.. kiranya alsan pertama itu harus diperbaiki lagilah. hehe...


Abg Saat Omar,

Yup. Hiperbolalah kiranya kan.


Kaksu,

Pak Menteri kita tidur kot. Tak pun diorang sibuk. Mana sempat nak tengok iklan di tv.


Azriq,
Setuju! Tapi apa pun, tak boleh salahkan politikus saja. Kita selaku individu pun harus bertindak melakukan perubahan, biarpun kesannya sangat kecil mungkin.

Anonymous said...

Aidid,
Kak ruby lebih suka dengan bangsa Jerman, bagaimana mereka mendaulatkan bahasa mereka tanpa bermegah2 dengan bahasa Inggeris. Sekalipun kita berurusan dengan seorang lawyer atau doktor, jangan anggap kita sudah 'terselamat' untuk menuturkan bahasa Inggeris di sana kerana mereka ini masih lagi sayang bahasa Deutsche. Dan sehingga akhirnya kita pula terpaksa pakai isyarat tangan. Huh!, memang sungguh azab sesiapa yang tak punyai asas bahasa Jerman jika tiba di sana (pengajaran buat diri sendiri).

Tapi sayangnya bila pulang ke Malaysia, (suka rujuk kpd bangsa Melayu yg lebih memahami BM berbanding cina & india) sudah meminggirkan jauh bahasa sendiri. Kesedihan yang tak tahu nak ungkap.

Dan di Jerman hampir 95% drpd 40+ saluran, siaran TV nya dialihbahasa ke dlm bahasa Deutsche kecuali saluran negara Perancis atau Turki.

-kak ruby-

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP