Monday, June 09, 2008

Opocot Mak Engkau! (Minyak)

Sudah terlalu banyak yang diperkatakan tentang isu kenaikan harga minyak ini. Kenaikannya begitu mendadak. Namun saya percaya, sungguh pun pernah ada janji dari pihak-pihak tertentu bahawa harga minyak tidak akan naik selepas pilihan raya, tetapi jauh di suatu sudut hati rakyat, mereka sebenarnya sudah lama tahu, bahawa tidak dapat tidak, harganya tetap akan naik juga (sekurang-kurangnya selagi kerajaan UMNO-BN terus memerintah). Sebab itulah saya tak begitu terkejut. Dan sebab itu juga, barangkali, belum ada didengar lagi berita tentang siapa-siapa yang mati lemah jantung dek mendengar berita kenaikan mendadak ini.

Tentu sekali, kesannya sangat besar. Harga barangan akan mencanak naik. Kadar inflasi meningkat. Kos sara hidup melambung. Pendek kata, semuanya menaiklah! Cuma satu-satunya yang barangkali merudum, ialah taraf hidup rakyat.

Saya tak mahu cakap tentang kesan secara macro, sebab saya bukan pakar ekonomi, dan kalau saya bercakap juga, tentu nanti akan nampak benar bodohnya saya ini. Jadi kalau masih hendak tahu, bacalah sahaja tulisan Dr Mahatahir di sini (saya percaya ramai yang dah baca), yang menceritakan segala-gala kesilapan kerajaan mentadbir ekonomi – sejak dari keputusan mengapungkan mata wang ringgit, hinggalah ke kenaikan harga minyak, dan kesannya secara keseluruhan – semuanya disentuh.

Saya cuma hendak bercakap kesannya secara micro. Tentang saya. Dan kehidupan saya. Sebab ini blog saya. Jadi saya pun tulis tentang sayalah. Tak gitu?

Saya naik kereta Proton Saga. Saya bukan jenis yang banyak berjalan. Biasanya hanya pergi balik rumah-kampus, itu sahaja. Sesekali baru berjalan jauh. Jadi penggunaan minyak saya memang tidak begitu banyak. Biasanya, sekali isi, saya akan isi sampai penuh tangki – RM70 – dan biasanya, akan bertahan untuk dua minggu. Jadi kira-kira sebulan, saya berbelanja RM140 untuk minyak.

Tetapi dengan kenaikan harga 40% ini, bererti selepas ini perbelanjaan untuk minyak kereta saya akan meningkat menjadi RM200 – pertambahan sebanyak RM60.

Akhir-akhir ini, biasanya wang untuk minyak kereta, saya tak sentuh wang pinjaman PTPTN, sebaliknya saya gunakan wang honorarium penulisan. Lebih kurang, kalau satu cerpen yang tersiar di media tertentu, boleh menampung dua bulan duit minyak. Tapi sekarang, nampaknya hanya boleh untuk satu bulan sahaja. Cuma masalahnya, karya saya bukan setiap bulan tersiar. Dan itu belum lagi dikira dengan karya yang tersiar, tapi penerbit tidak membayar! Jadi nampaknya selepas ini saya perlu paksa diri untuk jadi lebih prolifik, andai masih mahu terus menggunakan kereta dalam kadar perjalanan yang sama. Atau barangkali juga saya harus kembali menulis skrip drama radio, kerana bayarannya lebih lumayan. Atau mungkin juga saya harus jadi penulis yang mata duitan (mungkin). Entahlah….

Pihak kerajaan menggesa rakyat ubah cara hidup. Tapi bagi saya, kerajaan tak perlu gesa pun tak apa. Sebab dengan keputusan ‘bijak’ kerajaan ini, rakyat memang TERPAKSA berubah. Ia bukan lagi satu pilihan.

Dalam satu debat UMNO-Keadilan di Dewan MBSA Shah Alam anjuran Shah Alam Free Speech, wakil dari UMNO, YB Razali Hj Ibrahim (ahli parlimen Muar), ada mengatakan bahawa rakyat tidak sepatutnya asyik-asyik hendak berkeluh kesah sahaja tentang isu minyak ini. Katanya, rakyat yang baik (proaktif) seharusnya mencari alternatif – contohnya mencari sumber-sumber lain bagi menggantikan minyak – bukannya sekadar bising-bising berdemonstrasi.

Tapi saya suka dengan bidasan yang diberikan oleh Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff terhadap pernyataan YB Razali itu. Kata Ketua Program Sains Politik UKM ini, tanggung-jawab mencari alternatif bukanlah tanggung jawab rakyat, jadi kerajaan usahlah hendak mengalihkan beban pula. Rakyat sudah undi dalam pilihan raya, dan memberi mandat kepada kerajaan – dan (kalau kerajaan masih hendak menaikkan harga minyak) menjadi tanggung jawab kerajaanlah bagi mencari sumber alternatif yang dapat meringankan beban rakyat.

Ada yang mengatakan isu kenaikan harga minyak ini memang tidak akan dapat dibendung, memandangkan ianya isu global – memang harga minyak global sudah terlalu tinggi. Tapi soalnya, Malaysia adalah pengeluar minyak; jadi sepatutnya apabila harga minyak global meningkat, Malaysia selaku pengeluarnya akan mendapat keuntungan yang besar, bukannya rugi.

Rasa saya, selagi Petronas terus diletakkan di bawah kuasa mutlak seorang Perdana Menteri, dan selagi kerajaan tidak mampu menerangkan secara jelas kepada rakyat mengapa keuntungan dari Petronas tidak boleh menampung subsidi, selagi itulah rakyat tidak akan dapat menerima kenaikan harga minyak ini dengan hati terbuka, biar betapa munasabah sekalipun alasan-alasan lain yang diberikan.

10 comments:

Razaleigh Rahman said...

Salam saudara,
saudara adalah seorang pelajar dan harus berhemat di dalam perbelanjaan.Saya bukan hendak mendidik tapi semasa dalam keadaan gawat begini kita harus cepat sesuaikan diri dgn keadaan. kegagalan sesuatu bangsa untuk sesuaikan diri boleh menyebabkan bangsa itu boleh lupus dlm dunia mendatang. Sejarah peradaban manusia banyak yg boleh kita jadikan teladan. Dunia ini adalah tempat kita menguji kekuatan iman dan ketabahan hati kita.To live is to struggle.Only in dying we could rest in peace with condition that Allah the almighty will accept all of our good deeds and put us in his paradise.
Semasa saya kuliah dulu pd '89 hingga '93, saya hanya menggunakan bas mini dan kadang2 bila tidak cukup belanja hanya berjalan kaki saja. Saya kuliah di waktu malam dan bekerja di siang hari utk menampung diri saya.Tapi saya yakin kpd Allah. Dia akan mengurniakan kita kesenangan dgn syarat kita harus tabah dan sabar.Sehingga saya sudah mendapat kelulusan professional di bidang perakaunan, saya masih lagi bekerja sbg kerani akaun.Akhirnya setelah menunggu lebih 2 tahun,barulah saya dinaikkan pangkat oleh majikan sesuai dgn kelulusan saya.Pengalaman adalah guru yg paling baik,dan oleh kerana kesusahan saya pd masa dulu,sampai skrg saya sudah biasa dgn hidup sederhana.Walaupun sudah bergaji besar,saya masih lagi mengamalkan hidup yang ala kadar saja sesuai dengan tuntutan Islam.Adalah lebih mudah bagi kita untuk adaptasi jika kita tidak membiasakan diri dgn kemewahan.Contohnya org yg pakai kereta mewah spt BMW akan sukar untuk tukar keretanya kpd cc yg rendah spt waja kerana sudah manjakan diri dgn kemewahan.Sebab itu kita harus balik kpd cara hidup rasullullah dan sahabat spt umar al-khattab yg mengamalkan cara hidup yg amat sederhana.Tidak ada guna kita mengeluh tapi adalah lebih baik kita mensyukuri segala nikmat Allah yang sedang dan telah kita rasa selama ini. Harap maaf jika tulisan saya ini menyinggung perasaan saudara. Wassalam.

saat omar said...

:)

Tasik Hijau said...

hehe..
jom naik basikal...

Tasik Hijau said...

Salam,
Aidil, ko berminat tak nak beli CD filem pendek Kapal Kertas tu. kalau berminat, bgtau la aku cepat2..
huhu

Anonymous said...

salam,
Bagusnya ko ni msh mengaji dah pakai keta, dah ada side income, then sempat pg mengaji lagi gitu, wa bagusnya - itu la tandanya negara kita makmur-di bawah kjaan yg lemah ni kan...
Tp klu PR perintah Msia lg gempak... minyak 10sen/liter, beras 20sen/kg, tandas FOC etc...aku tggu ja. Sama2 kta tunggu ya

UstazSAID.blogspot

Anonymous said...

Tapi saya suka dengan bidasan yang diberikan oleh Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff terhadap pernyataan YB Razali itu. Kata Ketua Program Sains Politik UKM ini, tanggung-jawab mencari alternatif bukanlah tanggung jawab rakyat, jadi kerajaan usahlah hendak mengalihkan beban pula. Rakyat sudah undi dalam pilihan raya, dan memberi mandat kepada kerajaan – dan (kalau kerajaan masih hendak menaikkan harga minyak) menjadi tanggung jawab kerajaanlah bagi mencari sumber alternatif yang dapat meringankan beban rakyat.
# itu utk rakyat undi BN, yg x undi BN, camna ? Boleh...jalan.

Aidil Khalid said...

Tuan Razaleigh Rahman,

Terima kasih atas nasihatnya. Saya setuju seratus peratus, bahawa dalam keadaan gawat ini, kita memang harus cepat menyesuaikan diri.

Tentang saranan hidup besederhana itu, ya, memang ada benarnya. Tapi kesederhanaan itu tidak harus dijadikan lesen untuk menjadikan rakyat mangsa taraf hidup yang rendah. Soalnya Islam sendiri tidak menghalang umatnya mencari kekayaan, asalkan hati tidak terpaut kepada dunia.


Abg Saat Omar,

;-)


Tasik Hijau,

Naik basikal, sihat badan. Saya suka naik basikal keliling Bukit Cerakah -- kalau hari-hari Minggu.


Anonymous (10:46 & 10:49)

Saya tidak pernah (sekurang-kurangnya dalam posting yang ini), menyatakan apa-apa berkenaan kerjaan yang lemah. Tentang kesilapan kerajaan mentadbir ekonomi yang saya sebut itu, adalah merujuk kepada kenyataan oleh Tun Dr Mahathir, bukan kenyataan saya sendiri.

Dalam sebuah sistem demokrasi, kerajaan yang sudah diberikan mandat menerusi pilihanraya tidak hanya mewakili para pengundi partinya sahaja, sebaliknya bertangungjawab terhadap keseluruhan rakyat. Ini adalah konsep asas demokrasi.

Mohd. Fahmi said...

Salam. pertama kali singgah di blog sdr. saya setuju dengan tulisan sdr.

satu je yang saya tertarik: sdr pernah menulis drama radio? saya berminat tetapi tak tahu nak cari contoh dimana. harap sdr boleh bantu.

terima kasih

Aidil Khalid said...

Saudara Mohd. Fahmi,

Tolong emel kepada saya. aidilkhalid@gmail.com. Nanti saya kirimkan contoh skrip.

Nazrul Hilmi said...

Salam Aidil,

sembang bab harga minyak ni, jumpa satu artikel yg baik...

Spekulator @ Penyangak Minyak?
http://novandri.blogspot.com/2008/06/spekulator-penyangak-minyak-mentah.html

renung-renungkan...

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP