Thursday, July 10, 2008

Aidil Khalid v Pramoedya Ananta Toer

Hari ini hari yang sangat bahagia bagi saya. Bahagia dengan buku.

Pertama, pagi tadi saya ke KL Sentral bertemu dengan Kaksu dan Kakyah (dua orang kuat Jemari Seni Publishing) bagi mendapatkan naskhah-nashkhah Bila Nysrah Kata Tak Mahu yang 'fresh' keluar dari kilang percetakan. Anda tentu tidak dapat membayangkan betapa terujanya saya saat itu! Barangkali, kalau hendak digambarkan, seperti watak Farid dalam cerpen Romansia, yang terkinja-kinja tak tentu arah saat ciptaannya berjaya disiapkan. Ha! Ha!



Kedua, buku-buku yang saya kirim kepada Kaksu yang ke Pesta Buku Indonesia baru-baru ini, sudah berada di tangan. Empat buah buku daripada tetralogi Pulau Buru karangan penulis besar Indonesia -- Pramoedya Ananta Toer. Sebelum ini, saya cuma pernah membaca dua buah buku karangan beliau, iaitu Keluarga Gerilya, dan juga Bumi Manusia. Kedua-duanya saya pinjam. Satu daripada rakan sekuliah, Abi Mursyidin, dan satu lagi, daripada perpustakaan UiTM. Sungguh pun baru dua buah bukunya yang saya baca, tetapi itu sudah cukup-cukup menjadikan saya jatuh cinta yang amat teramat sangat mendalam ke atas karya-karya Pram. Entahlah, saya pun tak tahu, barangkali ada kuasa magis yang menjadikan buku-bukunya begitu enak dibaca sehinggakan setiap habis satu halaman dibaca, saya akan terasa sayang untuk berpindah ke halaman berikutnya, kerana halaman yang tadinya dibaca terlalu enak untuk ditinggalkan!



Tapi sayangnya buku-buku Pram begitu sukar didapatkan di Malaysia. Nasib baik Kaksu sudi saya kirimkan buku-buku tersebut. Sudah sekian lama sebenarnya saya kepingin sangat hendak mendapatkan karya-karya Pram yang lainnya.

Bukan itu sahaja, saya malah dikejutkan pula dengan sebuah lagi buku. Biografi Raden Ajeng Kartini bertajuk Panggil Aku Kartini Saja, yang ditulis oleh Pramoedya Ananta Toer. "Hadiah hari ulang tahun dari Jemari Seni," kata Kaksu dan Kakyah. Aduhai, mereka ini bagai tahu-tahu sahaja saya ini sememangnya amat gemar akan buku-buku biografi.





Setelah sampai ke rumah, dan saya keluarkan ke semua buku-buku yang baru saya dapat itu, saya susun ke semuanya di atas meja belajar. Kemudian entah bagaimana, secara diam-diam saya telah membandingkan kedua-duanya -- antara novel saya yang baru sahaja terbit, dengan buku-buku karya agung Pramoedya Ananta Toer. Dan apabila saya meletakkan buku saya dengan buku Pram secara sebelah menyebelah, terasa betapa kerdilnya karya saya itu. Betapa kerdilnya diri saya sebagai penulis. Betapa masih panjangnya perjalanan saya dalam dunia sastera ini.



Lalu saya teringat akan kata-kata Earnest Hemingway. Katanya, "Kita harus mempunyai keazaman untuk mengalahkan penulis-penulis hebat sebelum kita...."

* * * * *
Selain di kedai-kedai buku, novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu boleh juga dibeli secara online dengan diskaun 11% (pos percuma dalam Malaysia) dari web Jemari Seni Publishing di www.jemariseni.com.

4 comments:

saat omar said...

tahniah Aidil..tapi kenapa tulisan 'kata" dalam kulit buku tu senget?

Aidil Khalid said...

Abg Saat,

Terima kasih. =)
Tentang susuna atur tulisan pada kulit tu, kena tanya pada pereka grafiknyalah. Saya ni buta seni sikit (tampak). Hehe.

hani salwah yaakup said...

Aidil,

kita mempunyai dua buah buku yang sama...hehehe. Dalam kegilaan memborong buku di Jakarta terlepas pandang buku "Panggil Aku Kartini Saja". Nasib baik tercapai juga biografi "Kartini: Dari Sisi Lain". Jadi awak kena buat review sikit buku tu erk. Kalau best,boleh dititip pada teman yang nanti pulang lebaran ke Indonesia...

SkinHead in Da Law Faculty said...

nysrah adalah seorang perempuan yang sangat sabar...kalau saya lah,saya dah maki hamun Pengetua sekolah tu...hehe...Aidil ROcks!!!!!!!!!

Bile nak buat buku "bila Pian kata "walaupun aku tak Hot tapi aku berbudi bahasa" tau!!!!!"...hehe..aidil hebat...

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP