Sunday, July 27, 2008

Ini Bahasa Aku Yang Punya

Semalam, sewaktu pesta buku di kompleks PKNS Shah Alam, saya mengambil kesempatan merayau-rayau sebentar, berjalan keluar daripada booth Jemari Seni Publishing. Sekadar hendak melihat-lihat apa-apa yang ada di sekeliling. Dan kebetulan pula waktu itu di pentas utama, SR A Samad Said sedang memberikan ucapan.

Saya tidak pasti apa mauduknya, tetapi saya dengar, Pak Samad sedang membicarakan tentang Uthaya Sankar. Saya lalu mencelah, menyelit, sebelum menemui sebuah kerusi yang masih kosong, langsung melabuhkan punggung.

Isinya biasa-biasa sahaja. Tentang cerpen-cerpen Uthaya Sankar. Intelek. Budaya. Kehidupan. Tamil. Pengalaman. Dan entah apa-apa lagi, saya tidak berapa ingat. Saya lebih memberi tumpuan kepada gaya percakapan Pak Samad. Memang saya suka mendengar gaya tuturnya yang baku. Dan saya selalu sahaja tertanya-tanya, sama ada gaya bicara yang sedemikian itu; adakah disengajakan oleh beliau (bagi memartabatkan bahasa Melayu), ataukah sememangnya sudah sedari dahulu lagi, sedari beliau kecil lagi, memang begitu gaya pengucapannya? Dalam dua buah buku – biografi dan autobiografinya – yang pernah saya baca, saya tidak temui jawapan untuk hal ini.

Sedang fikiran saya merewang-rewang tentang hal gaya ujar Pak Samad itu, Pak Samad kemudiannya beralih kepada isu yang lebih menarik. Isu bahasa Melayu vs bahasa Malaysia. Langsung tumpuan saya kembali kepada isi pertuturannya.

Umum memaklumi bahawa Uthaya Sankar adalah seorang pejuang yang memperjuangkan bahasa Melayu supaya diMalaysiakan.

Dan umum juga mengetahui bahawa isu bahasa Melayu melawan bahasa Malaysia ini adalah isu yang sensitif, terutamanya bagi kelompok sastera di Malaysia yang tegar mempertahankan bahawa bahasa Melayu adalah hak Melayu yang telah diwartakan sebagai bahasa kebangsaan untuk semua, dan andai di Malaysiakan, apakah yang tinggal untuk Melayu?

Dan oleh itu,tentu sekali sangat menarik untuk mendengar apa kata sasterwan rakyat yang seorang ini.

Kata Pak Samad, beliau menghormati pendirian Uthaya Sankar itu. Beliau melihat pendirian Uthaya Sankar sebagai perjuangan seorang individu dalam sebuah masyarakat yang sedang membangun yang inginkan bahasa kebangsaan negaranya dipanggil bahasa Malaysia. Dan hal ini bukanlah sesuatu yang salah untuk diperjuangkan.

Tetapi Pak Samad kemudiannya menegaskan pendirian peribadinya pula.

“Pendirian saya,” kata Pak Samad, “telah disediakan oleh nenek moyang saya, oleh keturunan saya sedari dahulu lagi.” Makanya kerana itulah, Pak Samad berpendirian bahawa bahasa Melayu adalah bahasa Melayu, dan bukan bahasa Malaysia.

Saya kagum dengan keterbukaan Pak Samad itu.

Perbedaan pendapat itu adalah sesuatu yang memang tidak akan dapat dielakkan – sekurang-kurangnya selagi kita hidup berkongsi dunia yang satu. Dan oleh kerana ia adalah perkara yang mustahil dielakkan, makanya tentu sekali adalah lebih elok andai kita meraikan perbedaan pendapat itu, berbanding bercakaran sesama sendiri.


*Nota: Gambar sekadar hiasan.

5 comments:

Kehelan said...

slm... sy dah pun mendapatkan karya saudara di PKNS dan mendapat autgoraf dr penulis...

jalan cerita yg menarik... cuma mcm tergantung... ada sambungan ke selepas ni??

mula2 seronok membaca, tetapi apabila tergantung begitu... marah pun ada...

teruskan berkarya!!

saat omar said...

saya cadangkan kita pakai Bahasa Melayu Malaysia...habis cerita. hehe...gurau je.
Tahniah sekali lagi Aidil.

Aidil Khalid said...

Kehelan,

Terima kasih kerana membaca karya saya. Tentang sambungan tu, setakat ini belum ada rancangan lagi dalam masa-masa terdekat.


Abg Saat,

Cadangan yang sangat bernas! Hehe... Kenapa ya, perkara ni tak diketengahkan? Bahasa Melayu Malaysia. Hmmh...

Uthaya Sankar SB said...

Saya bangga kerana isu bahasa dapat dibincangkan secara penuh intelek, tanpa dipengaruhi emosi, di sini.

Apapun, sila maklum bahawa saya BUKAN meminta istilah "Bahasa Melayu" dimansuhkan. Cuma, saya tidak mahu sesiapa menghalang hak saya menggunakan istilah "Bahasa Malaysia" -- suatu istilah yang memang sah wujud.

Aidil Khalid said...

Saudara Uthaya Sankar,

Terima kasih kerana menjenguk ke sini. =)

Tentang hak menggunakan istilah 'bahasa Malaysia' itu rasa saya tidak ada yang akan menafikannya, itu hak sesiapa sahaja rakyat Malaysia. Cuma yang perlu kita perhalusi ialah bagaimanakah pula penggunaannya secara rasmi -- bahasa Melayukah atau bahasa Malaysiakah? Begitu juga di peringkat sekolah, buku-buku teksnya, harus berbahasa Melayukah atau bahasa Malaysiakah? Inilah bagi saya yang lebih harus diperhalusi, kerana di dalam Perlembagaan Persekutuan terang-terangan termaktub menyebutkannya sebagai bahasa Melayu, bukan bahasa Malaysia.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP