Monday, July 07, 2008

Jom! Bersama-sama Nysrah Belajar Silat...

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Bila Nysrah Kata Tak Mahu akan terbit di pasaran. Beberapa orang teman bertanya kepada saya, novel itu ceritanya tentang apa?

Mungkin agak aneh andai saya katakan bahawa saya tidak tahu. Ha! Ha! Masakan penulis novel sendiri tidak tahu novelnya bercerita tentang apa.

Seperti kata penyair Rahimidin Zahari barangkali, dalam salah satu bengkel puisinya; beliau pernah berkata bahawa andai beliau hendak menulis sesebuah puisi, beliau tidak pernah memikirkan tentang apakah tema yang ingin diangkat. Beliau hanya menulis mengikut sekehendak hatinya. Maka tugas pengkritiklah untuk menilai aspek tema dan sebagainya, dan menjadi hak pembacalah pula untuk menilainya.

Barangkali saya juga begitu. Barangkali.

Di sini saya perturunkan sedikit sedutan daripada novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu. Sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran, walaupun tidak secara menyeluruh, tentang apakah ceritanya novel ini.

Selamat membaca!


MALAM ITU dia menjadi srikandi Melayu. Dia akan bertari dengan tari srikandi....

“Tapi apa gunanya tari tu, Izzi?” Siti Hajar yang berlingkar di atas katil sambil menyelak majalah itu menyampuk lagi. Izziati memandang Siti Hajar, mengangkat keningnya, kurang mengerti. “Ya lah, apa gunanya tari tu? Maksud aku, takkanlah dalam waktu hendak berlawan pun masih sempat lagi hendak bertari-tari. Tentu tak sempat, kan? Macam dalam filem Melayu lamalah pulak aku tengok, nak menari-nari buka bunga dulu sebelum lawan.” Siti Hajar melanjutkan pertanyaannya agar Izziati lebih mengerti.

Izziati lain pula. Demi mendengar pertanyaan itu, tiba-tiba sahaja dia merasa tercabar dengan soalan itu. Entah kenapa, dia merasakan sepertinya soalan itu merendah-rendahkan ilmu silat yang dia pelajari pula. “Eeh… banyak cantik kau! Habis tu kau fikir sepak pusing-pusing tae kwan do tu sempat ke, kalau hendak digunakan waktu hendak berlawan betul-betul?”

Nysrah yang menjulurkan kakinya untuk diurut oleh Izziati itu diam sahaja, memerhatikan. Menarik ni, fikirnya. Dua orang rakannya bertengkar. Seorang pesilat, seorang lagi ahli tae kwan do. Wah, tentu mengancam pertarungannya. Nyeh, nyeh, nyeh… Nysrah tertawa dalam hatinya. Teringat pula dia akan pertarungan-pertarungan dalam komik.

“Apa pula tak sempatnya?” Siti Hajar menjawab. “Kau tak tengokkah Jacky Chan dan Bruce Lee tu? Hah, kan pusing-pusing mereka kalau berlawan.”

“Alahai… itu kan filem!”

“Memanglah filem, tapi berdasarkan situasi yang real,” Siti Hajar masih terus mempertahankan pendiriannya.

“Alah, sudah-sudahlah tu. Ada ke tentang tae kwan do dan silat pun hendak digaduhkan? Kalian belajar ni untuk bergaduh ke atau untuk mempertahankan diri?” Nysrah akhirnya mengambil tempat meleraikan. Tak sedap pula hendak dilihatnya dua orang rakan baiknya saling berbalas kata. Sepatutnya Siti Hajar mengerti bahawa Izziati itu memang agak keras orangnya. Jadi Siti Hajar patut mengalah. Tapi kalau sudah tidak ada yang mahu mengalah, terpaksalah Nysrah masuk mencelah.

“Tapi betul juga… aku pun sebenarnya ada terfikir juga, Izzi,” Nysrah menyambung lagi suaranya setelah beberapa jeda. Izziati waktu itu diam sahaja, mengurut-urut kakinya. Siti Hajar pun sama. Hanya menyelak-nyelak muka surat majalah sahaja. Nysrah dapat merasakan ada kecanggungan yang terapung-apung dalam atmosfera kamarnya. Terutamanya antara rakannya Siti Hajar dan Izziati. Dan untuk meleraikan kecanggungan itu, maka seseorang perlu bersuara. “Bukan nak merendahkan. Tapi sekadar hendak tahu. Apa sebenarnya kegunaan bunga, dalam situasi tempur yang sebenar?” Soalan yang sama tadi, tetapi diolah dengan susunan ayat yang lebih lunak, dan nada yang lebih baik, menjadi kurang provokatif, tidak seperti pada awalnya tadi.

Izziati menghela nafasnya. Kemudian perlahan-lahan, dia mengatur bicara. “Sebenarnya bunga tu, dalam silat-silat tradisional, adalah segala-galanya. Tanpa bunga, habislah silat. Sebab segala rahsia-rahsia gerakan terkandung dalam bunganya, selain daripada tapak, tentunya. Tapak pun penting juga.” Dia diam sebentar, seperti berkira-kira akan kata-kata seterusnya. “Bunga tu, nampak sahaja lembut. Tapi sebenarnya setiap tariannya ada tersimpul makna gerakan. Di situlah letaknya rahsia kependekaran Melayu dulu. Lembut dalam keras. Keras dalam lembut,” lanjut Izziati penuh bermadah.

“Wah… hebatnya....” Nysrah tersenyum. “Tapi… tapi....” Namun wajahnya kemudian mula mengerekot seribu. “...tapi aku tak fahamlah! Berbelit sangat!”

“Alah, kata mudahnya, bunga tu macam taici orang Cina juga. Nampak saja lembut, tapi sebenarnya apabila diaplikasikan kepada situasi combat sebenar, menjadi begitu berbahaya!”

Siti Hajar yang menghadap majalahnya waktu itu mengangkat wajahnya, menumpukan perhatian terhadap penerangan Izziati itu. “Oooh… begitu, rupanya.”

“Tapi kalau macam tu… kalau dalam Silat Gayong tak ada ajar bunga sangat, maknanya tak ada belajar rahsia gerakan sangatlah?” Nysrah menyoal, merujuk kepada pernyataan Izziati tadi.

“Sebenarnya begini… penerangan aku tadi tu merujuk kepada silat-silat Melayu asli. Silat-silat tradisional. Silat-silat kampung. Silat Gayong pula, adalah silat yang sudah dimodenkan. Sudah diubahsuai oleh pengasasnya, Dato’ Meor. Sebab tu macam kau kata, lebih kurang sama saja asasnya dengan tae kwan do. Memang pun Silat Gayong ada pengaruh daripada Cina. Cuba kau tengok pada lambangnya tu,” Izziati menghalakan jari telunjuknya pada baju silatnya yang tergantung pada paku yang terpacak pada pintu almarinya. Sengaja dia menggantungnya di situ – dah dua hari – mahu mengeringkan peluh yang melengket. “Haa… gambar naga dalam lambang tu menunjukkan adanya pengaruh dari Oriental.”

* * * * *

Untuk maklumat lanjut tentang novel ini, atau untuk membeli secara online, sila ke web Jemari Seni Publishings di www.jemariseni.com.

4 comments:

Anonymous said...

Oh, banyak menyentuh tentang martial arts ke? menarik...
(FahdRazy)

Aidil Khalid said...

Rasanya tak begitu banyak menyentuh soal martial arts. Tapi martial arts memainkan peranan penting dalam plotnya. =)

Nisah Haji Haron said...

Tahniah atas kelahiran novel ini. Saya sudah pesan dari Jemari Seni Jumaat lepas dan sampai pada hari ini (14 Julai, Isnin). Sebenarnya saya berhasrat untuk ke majlis diskusi buku ini, tetapi memandangkan saya tak sempat membacanya sebelum tarikh diskusi, saya tak mungkin dapat ke sana.

Teruskan Aidil, marilah kita rakyatkan ilmu!

Aidil Khalid said...

Kak Nisah,

Terima kasih kerana memberikan sokongan.

Novel pertama, tentunya banyak kekurangan. Mohon tunjuk ajar dari Kak Nisah.

Salam Hormat,
Aidil Khalid

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP