Monday, July 14, 2008

Majlis Bicara Buku

Maka selesailah sudah majlis Bicara Buku II Bersama Jemari Seni Publishing. Novel-novel yang dibicarakan kali ini adalah Lili Buat Najah karya Nazurah Aishah, Bila Nysrah Kata Tak Mahu karya saya sendiri, dan Tentang… Dhiya karya Syud.

Dan ternyata novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu telah mencipta kontroversi saat dibicarakan oleh Puan Ina Marjana Ulfah.

Saya akan cuba memberikan laporan seobjektif yang mungkin:

Puan Ina memulakan bicara tersebut dengan memberikan sedikit sebanyak singkatan ceritanya. Pun, beliau tidak mengisahkan secara detail, kerana katanya, memandangkan novel ini masih terlalu baharu di pasaran, makanya tentu sekali masih ramai yang belum membacanya, oleh itu, bagi mengelakkan spoiler kepada plotnya, maka Puan Ina hanya menyentuhnya secara di permukaan sahaja.

Kemudian Puan Ina beralih pula kepada perkara-perkara yang positif di dalam karya tersebut. Katanya, pengarang telah berjaya menggarap peristiwa- peristiwa di dalam novel itu dengan baik, sehinggakan pembaca dapat benar-benar merasakan dan membayangkan keadaannya. Juga Puan Ina menekankan bahawa elemen suspens dan thriller menjadikan pembaca terus berdebar-debar saat membacanya.

Mengenai perwatakannya, Puan Ina mengatakan bahawa terdapat beberapa perkara positif di dalam watak Nysrah. Gadis 17 tahun ini digambarkan sebagai mempunyai keberanian dan kecekalan yang tinggi. Selain itu, elemen persahabatan dan setiakawan sesama rakan-rakan juga dipaparkan melalui watak-watak Nysrah, Siti Hajar, dan Izziati.

Puan Ina kemudian menyentuh beberapa unsur sinis yang dimasukkan oleh pengarang. Antaranya mengenai aurat wanita, yang disampaikan melalui watak Khairul Nizam. Selain itu, menurut Puan Ina, terdapat juga elemen-elemen keislaman yang diselitkan secara tidak langsung.

Keberanian mengangkat dan mengkritik isu-isu tertentu turut disentuh oleh Puan Ina. Katanya, keberanian ini barangkali menunjukkan gelombang pemikiran yang berbeza antara pengarang muda dengan pengarang lama.

Usai mengulas elemen-elemen positif, Puan Ina kemudian melanjutkan dengan perkara-perkara negatif, yang menurutnya, beliau sangat-sangat tidak bersetuju, yang terdapat di dalam novel tersebut. Nah, di sinilah kontroversinya. Puan Ina menyatakan ketidak senangan hatinya kepada watak Nysrah yang digambarkan bertudung labuh, tetapi telah membiarkan tangannya dipegang dan diramas oleh lelaki bukan mahram. Selain itu, jalan penyelesaian yang diambil oleh Nysrah dalam menyelesaikan masalahnya, menurut Puan Ina, adalah sangat-sangat negatif, dan tidak seharusnya dipaparkan di dalam sesebuah karya kerana dikhuatiri akan memberikan impak negatif kepada pembaca. Selain itu, menurut Puan Ina lagi, pengarang harus lebih bijak menggunakan teknik yang lebih berkias dalam memaparkan isu-isu sensetif seperti rogol, dan sebagainya.

Setelah selesai Puan Ina membentangkan ulasannya, maka tibalah pula sesi soal jawab. Ketua Editor Jemari Seni Publishing – Noor Suraya Adnan – bangun bagi menyangkal beberapa pendapat daripada Puan Ina tadinya. Antaranya, beliau mengatakan bahawa elemen-elemen negatif yang dipaparkan di dalam novel itu bukanlah dipaparkan oleh pengarang saja-saja tanpa sebarang matlamat. Sebaliknya, katanya, elemen itu bertindak sebagai pengajaran. Lebih-lebih lagi, di bahagian lain novel itu, pengarang telah memberikan kafarah yang sepatutnya kepada elemen-elemen negatif yang digambarkan pada bahagian-bahagian yang lebih awal itu. Selain itu, menurutnya lagi, elemen taubat setelah melakukan sesuatu yang buruk, adalah sesuatu yang positif, dan tidak harus dipandang sebagai sesuatu yang negatif.

Kemudian bangun pula seorang lagi khalayak, yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai pengkritik bebas. Menurut pengkritik bebas itu, beliau sudah lama tidak membaca karya-karya yang ditulis oleh golongan remaja, namun mutakhir ini, sedang kembali berusaha untuk berjinak-jinak dengan karya golongan ini. Katanya, beliau mengesan satu kelemahan ketara dalam karya-karya golongan muda, iaitu gaya penulisan yang terlalu langsung serta tidak halus. Pengkritik bebas itu turut menyentuh beberapa pemilihan kata yang kurang tepat di dalam novel ini (saya akui kebenaran kata-katanya, tetapi ada juga yang saya kurang bersetuju, seperti tentang Gunung Kosciousko, kerana ini adalah berkaitan dengan fakta).

Setelah selesai sesi soal jawab, Puan Ina kemudiannya memberikan pendapat secara keseluruhan tentang novel ini. Menurutnya, secara penghayatannya, novel ini adalah sebuah novel yang memberikan harapan.

Maka selesailah sesi bicara Bila Nysrah Kata Tak Mahu....

Oops! Saya sangkakan sudah tamat. Tetapi ternyata moderator mempunyai rancangan spontannya yang lain. Katanya, dia ingin mendengar ulasan daripada pengarang novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu terlebih dahulu; biarpun tidak terdapat di dalam atur cara, tetapi memandangkan perbincangannya agak hangat, maka pengarang wajar diberi peluang, katanya.

Maka bangunlah saya, terkalut-kalut, dan berdebar-debar juga. Ha! Ha! (Maklumlah, tak bersedia)

Saya memulakan kata-kata dengan mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Puan Ina dan juga kepada pengkritik bebas tadi. Kemudian saya mengatakan, bahawa menurut pandangan yang dikemukakan oleh Roland Barthes, seseorang pengarang itu seharusnya mati sebaik sahaja karyanya siap. Mati di sini, tentunya bukan bererti mati secara literal, sebaliknya sekadar bagi menggambarkan bahawa seseorang pengarang itu tidak lagi harus membicarakan karyanya sendiri setelah ia terbit. Hal ini penting, bagi memberikan kebebasan kepada pembaca dan khalayak memberikan intepretasi yang tersendiri akan karya tersebut, serta supaya khalayak tidak dipaksa memberikan makna yang diinginkan oleh pengarang sahaja. Saya kemudian mengambil contoh pelukis Picasso, yang dalam lukisan-lukisannya, kadang-kadang sengaja membiarkannya kelihatan seperti sebuah karya yang tidak siap. Alasannya, kerana menurut Picasso, andai lukisan itu dibiarkan siap, makanya lukisan itu akan mati, dan khalayak tidak lagi dapat memberikan interpretasi yang tersendiri. Dalam kata lain, sesebuah karya itu harus bebas diberikan makna oleh para pembaca. Dan oleh kerana itulah, kata saya, saya tidak wajar memberikan komen balas terhadap apa-apa yang telah diperkatakan tadi – sama ada kata-kata pujian mahupun kritikan.

Apa-apa pun, saya harus berterima kasih banyak-banyak kepada Puan Ina Marjana Ulfah, atas kupasan beliau tentang novel sulung saya ini. Seperkara yang saya suka ialah, Puan Ina, dalam membicarakan novel ini, telah secara sengaja merahsiakan beberapa maklumat, supaya kupasannya nanti tidak menjadi spoiler kepada hadirin yang belum membacanya. Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan, dan semua hadirin yang hadir bagi memeriahkan majlis diskusi novel-novel tersebut.

Ketika selesai majlis, dan tiba sesi kudapan, guru saya ketika Minggu Penulis Remaja 2007, Kak Salina Ibrahim, sempat menitipkan pesannya. Katanya, ini adalah suatu permulaan yang baik. Apa-apa pun, katanya, saya harus terus belajar bagi memperhalusi gaya penulisan. Dan beliau turut mengingatkan, bahawa tugas penulis bukan hanya untuk menghiburkan pembaca, tetapi juga bagi memberikan didikan. Terima kasih, Kak Salina....

Memang saya sentiasa percaya, bahawa menulis adalah suatu proses belajar yang amat panjang. Amat-amat panjang.

* * * * *

Untuk melihat gambar-gambar majlis tersebut, klik di sini. Gambar-gambar adalah hasil kerja Azizi Khalid.

Novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu boleh dibeli di kedai-kedai buku, atau boleh juga dibeli secara online di web Jemari Seni Publishing di www.jemariseni.com.

14 comments:

free online lottery said...

Well done for this wonderful blog.

abi said...

tahniah aidil!teruskan usaha sehingga menjadi seseorang.

hazwan said...

aidil, tahniah atas kemunculan novel sulung ko...
pepatah cina ada menyebut, seribu langkah bermula dengan satu langkah, dan ko telah pun memulakan satu langkah itu, so teruskanlah melangkah dengan berani dan semoga ia tidak akan tamat di sini saja...

saat omar said...

Syabas Aidl, pandai kau menjawab kritikan itu....

ina marjana ulfah said...

salam aidil, jutaan tahniah utk kesekian kalinya. Selepas berbual dgn Puan Suraya/Kak Su. Izinkan kak ina menyambung sedikit sahaja lagi. Kak ina difahamkan draf awal itu Nysrah bersekolah agama tetapi kemudiannya ditukar. Di sini bermulanya ketidak selesaan itu.

1. Pelajar sekolah agama memakai tudung labuh kebanyakkannya sebab ia uniform sekolah. Ramai yang kita telah jumpa memendekkan tudung sebaik sahaja meninggalkan sekolah agama tersebut.

2. Penggunaan Badan Wakil Pelajar & Lembaga Disiplin Pelajar menggambarkan sekolah itu ialah MRSM.(Hanya MRSM sahaja ada bandan sebegitu)

Kak Ina ialah bekas pelajar MRSM (Jasin 84'-88') seperti juga Aidil. Mereka di MRSM tidak dipaksa bertudung labuh. Kebanyakkannya bertudung labuh atas kehendak sendiri. Tidak pasti di zaman Aidil bagaimana, di zaman kak ina, pelajar bertudung labuh di MRSM adalah pelajar yang bukan calang2 -punya peribadi yang utuh & menjadi contoh, kebanyakkan mereka adalah BWP & LDP. Punya karisma & tidak senang2 berkompromi dengan hal-hal remeh spt membiarkan tangannya diramas seorang yg bukan muhrim.

Maaf kak ina, andai pendapat ini kurang wajar diperpanjangkan di sini. Sebenarnya cerita asal Aidil itu sudah bagus (sekolah agama) sebelum ditukar.

Apa pun tahniah, kak ina rasa Aidil mewakili gelombang baru anak muda yang berani menyuarakan idea dan pendapat melalui karya kreatif mengkritik kelemahan sistem2 yang wujud di Malaysia ini secara tidak langsung.

anis sarah said...

Salam, maaf, terima undangan tapi tak dapat datang. Lepas ni, ada novel kedua pula?

hani salwah yaakup said...

Aidil,

Tahniah! Tahniah! Tahniah!. Maaf terpaksa pulang awal hari itu. Semoga novel ini mendapat sambutan dan mengobarkan semangat awak untuk beri yang "baik-baik" untuk semua pembaca...

Nazmi Yaakub said...

saya mentertawakan sm zakir dalam kesusahan. anda juga pasti demikian - http://kawat.blogspot.com/

Aidil Khalid said...

Abi dan Hazwan,

Terima kasih. =)


Abg Saat Omar,

Itu tektik supaya dapat mengelak. Hehe.


Kak Ina,

Terima kasih atas ulasannya.


Anis Sarah,

Kenapa tak datang?


Kak Hanie Salwah,

InsyaAllah. Tapi saya tak pakai teori "YES." Erk.


Saudara Nazmi,

Jangan tertawa terlalu kuat. Kasihanlah nanti. ;-)
Emel-emel pelik, kan.

Wan Nor Azriq said...

Salam Aidil,

Tahniah atas pelancaran novel.Pendapat Barthes ini sebenarnya berhubung dengan teori resepsi pembaca: sesebuah teks sastera itu belum sempurna selagi ia belum ditafsir oleh pembaca.Dan hal ini memang betul kerana teks sastera itu bukan objek kaku.

Namun,itu tidak bermakna penulis boleh melepaskan diri begitu sahaja.Dia tetap ada pernan penting dalam hubungan penulis-teks-pembaca.Teks sastera itu sebagaimana yang kita sedia maklum,terbuka kepada tafsiran pembaca.Tapi perkara ini mengundang beberapa risiko:

a)Mutu sebuah teks yang bagus menjadi rendah kerana pembaca tidak dapat mengikut teknik penyampaian atau mesej yang ingin disampaikan oleh penulis.

b)Berlakunya tafsiran songsang oleh pembaca yang menyimpang jauh daripada maksud sebenar pengarang.Songsang ini merujuk kepada tafsiran yang mungkin mendatangkan kesan buruk pada pembaca atau tafsiran yang menyebabkan karya penulis ditolak ke tepi.

c)Karya penulis disalahgunakan oleh pihak tertentu seperti yang berlaku pada novel Shahon Ahmad,"Shit."

Saya bersetuju dengan pendapat Barthes bahawa "penulis telah mati." Hal ini akan memberi ruang kepada pembaca untuk membawa pengalaman mereka ke dalam sesebuah teks.Tapi dalam era pascamodenisme ini,penulis tidak boleh terus tidur dalam kubur.Sekali-sekala dia perlu hidup kembali bagi menghalang perkara-perkara di atas. :)

Aidil Khalid said...

Azriq, saya mengahwinkan pendapat Barthes dengan Picasso. ;-)

Seperti dalam filem-filem hantu, barangkali, pengarang yang sudah mati cuma boleh bangun sebagai hantu, sekiranya ada 'unfinished business.' Hehe.

Dan seperti kata awak, memanglah ada risiko karya itu akan disalah tafsir atau disalah guna oleh pembaca seperti yang berlaku kepada novel Shit. Malah bukan novel Shit sahaja, novel Tivi karya Pak Shahnon pun seringkali disalah tafsir orang-orang yang tidak reti menyelam ke dasar karya dan yang hanya tahu berenang di permukaan sahaja.

Anonymous said...

aidil, congrats!! tp nak tnya lari tp topik sket... dpt kolej tak dis sem?heeheheh...

Pembaca :) said...

Salam,

saya memang menantikan karya sulung sdr setelah mula membaca blog sdr semenjak tahun lepas. Syabas dengan kelahiran novel ini, alhamdulillah.

Beberapa pandangan ringkas setelah membaca:

1. Sdr telah dapat menyelami hati nurani watak-watak dengan baik.

2. Mengenai bahasa tu, saya lihat memang ada jurang generasi dalam "tanggapan". Sekadar pemerhatian, bukan kajian - pembaca lebih dewasa lebih suka kepada bahasa berbunga-bunga dan berbentuk metafora. Yang lebih muda lebih menitikberatkan aspek lain, isi dan inti, misalnya. Walaupun bahasa tidak dikesampingkan. Bagi saya, dalam penulisan, bahasa yang digunakan hendaklah melihat kepada konteks, dan situasi dan ya, bagi saya, sdr telah melakukan yang terbaik dalam penceritaan. Walaupun, saya masih lagi diantara yang kurang senang dengan adegan yang ditemui Nysrah, contohnya, di Gunung Kinabalu (?) - ma'af, buku tiada di tangan - samada metafora atau tidak.

3. Dengan bahasa yang bersahaja begitu, plot novel sangat padat dan "gripping"! Pembaca tidak dilepaskan dan harus mengikuti watak dari mukasurat ke mukasurat dengan debaran untuk mengetahui apa yang berlaku.

Mudah-mudahan, terus diKurniakan :)

Wassalam.

Aidil Khalid said...

Anonymous,

Aku dapat kolej, alhamdulillah. Aku duduk kolej Kenanga semester ini.


Pembaca,

Terima kasih atas ulasannya. Sebagai penulis baharu - yang masih hijau - saya tentunya menerima dengan hati terbuka sebarang pandangan. =)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP