Wednesday, July 30, 2008

Persuratan Baharu dalam Warisnya Kalbu

Persuratan Baru adalah satu teori penulisan yang diperkenalkan oleh Mohd Affandi Hassan bagi menolak teori kesusasteraan gaya lama yang berkiblatkan barat. Kalau dalam sesebuah karya kesusasteraan plot dianggap penting bagi menyampaikan cerita yang di baliknya harus terkandung falsafah, maka persuratan baharu adalah sebaliknya, iaitu plot tidak lagi penting, tetapi hanya semata-mata sebagai alat bagi menyampaikan ilmu. Sebab itu, dalam sesebuah karya persuratan, elemen berkhutbah tidak lagi dipandang sebagai suatu kelemahan – tidak seperti dalam karya kesusasteraan – malah akan dianggap sebagai kekuatan pula.

Pada awalnya ramai yang prejudis terhadap teori ini. Secara peribadi, saya sendiri pun begitu juga pada awalnya. Kerana saya merasakan bahawa andai plot tidak lagi penting, maka hilanglah seninya sesebuah karya itu. Dan apabila seninya tidak ada, maka hilanglah juga keindahannya. Kalau hendak menulis sesuatu yang tidak ada keindahan seni maka baiklah menulis karya non fiksyen daripada menulis fiksyen. Begitu fikir saya.

Tetapi prejudisnya saya itu berubah terus setelah membaca novel Warisnya Kalbu oleh Sri Rayahu Mohd Yusop.

Mungkin hal ini boleh diperdebatkan, tetapi bagi saya sekurang-kurangnya, novel ini sebenarnya menggunakan teknik persuratan baharu. Kerana kalau diteliti, plotnya ternyata sangat minimal (walaupun disusun secara dua zaman), iaitu hanya semata-mata bagi menampung ilmu-ilmu mengenai pantun yang ingin dipersembahkan oleh pengarangnya. Malah di banyak bahagian, dalam membacanya, kita akan merasa seperti sedang dikhutbahkan mengenai ilmu berpantun berserta dengan pantang larangnya juga falsafahnya – kendatipun tidaklah pula sama sekali sampai membosankan pembaca. Lebih-lebih lagi, sub-sub tajuk untuk babnya dinamakan: Pelajaran Satu, Pelajaran Dua, Pelajaran Tiga dan seterusnya.

Sebaik selesai membaca novel ini, saya ternyata telah mendapat sebuah kepuasan yang luar biasa – kepuasan estetika juga kepuasan intelektual. Bahasanya tersusun indah, plotnya yang sungguhpun minimal tetapi kemas, ilmunya yang segar, semuanya bersatu, menjadikannya sebuah karya yang sungguh berseni.

Saya kira, novel Warisnya Kalbu ini, sungguhpun dikategorikan sebagai novel remaja, tetapi sebenarnya harus dibaca oleh setiap manusia Melayu, tanpa mengira had umur kerana di dalamnya terkandung falsafah yang kaya tentang jati diri bangsa.

* * * * *

“Keunggulan pantun sebagai hasil ciptaan bangsa Melayu adalah berdasarkan empat sifat. Pertama, lambang dan amanat yang disampaikan; kedua, nilai seni dan resam yang dibawanya, ketiga, nilai ilmunya; dan akhir sekali cara dan kaedah kepengarangan yang menghasilkannya.”

“…pantun kepahlawanan dan pantun berkenalana yang banyak itu tidak terbanding nilainya dalam menyatakan sifat-sifat yang murni lagi maju.”

(Dipetik dari Bab Pelajaran Enam novel Warisnya Kalbu)

1 comment:

srirahayumohdyusop said...

Salam Aidil,

Terima kasih kerana sudi membaca WK. Saya amat menghargainya.

srirahayumohdyusop.blogspot.com

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP