Monday, September 01, 2008

Karya di Al Islam (Proses Kreatif)

Bulan ini, cerpen Bila Adik Dinie Melatah disiarkan di majalah Al Islam keluaran September 2008.


Cerpen ini, saya tulis, idea asalnya terilham daripada kes Kok Wah Kuan, iaitu kes kanak-kanak yang membunuh anak kepada guru tuisyennya sendiri, yang telah mendapat liputan meluas media sedikit masa dahulu. Selain itu, tragedi-tragedi menyayat hati seperti yang berlaku kepada Nurin Jazlin Jazimin juga Adik Sharlinie telah menyentuh naluri seni sehingga mendorong saya mencari penyelesaiannya. Lantas semua itu saya adunkan untuk dibentangkan dalam bentuk sebuah cerpen.

Idea asalnya sebetulnya telah saya peram agak lama juga sebelum menurunkannya dalam bentuk tulisan – makan masa berbulan-bulan juga, kalau tidak salah. Pernah cuba menulisnya beberapa kali, tetapi terbengkalai sekerat jalan, mungkin kerana ‘rasa’ dari dalam diri masih belum cukup kuat. Kemudian apabila saya habis membaca buku Kuras-Kuras Kreatif tulisan Azizi Haji Abdullah, saya terusik dengan gaya penulisan ustaz yang seorang ini. Di dalam buku itu, Ustaz Azizi menceritakan bagaimana beliau kalau hendak menulis, selalu akan menyewa bilik hotel, mengurung diri di situ, lalu berhempas pulas menyiapkan karya. Beliau suka begitu kerana setiap kali mengeluarkan duit untuk menyewa bilik, bererti beliau akan berasa bertanggung-jawab untuk menghasilkan sesuatu supaya duit yang dikeluarkan itu tidak sia-sia.

Saya tidak ikut gaya Ustaz Azizi yang pergi ke hotel, sebaliknya saya telah ke kedai kopi Starbucks di seksyen 9, Shah Alam. Maka dengan berbekalkan secawan Java Chip yang sangat enak (dan sangat mahal!), saya pun membuka komputer riba lantas mulai mengetik. Seperti Ustaz Azizi juga, saya merasa bertanggung jawab kepada diri sendiri untuk menyiapkan sekurang-kurangnya sebuah karya, kerana setelah mengeluarkan RM15 untuk secawan kopi, tentulah saya ingin ‘menebus’ kembali 'kerugian' melalui wang honorarium cerpen. Dan ternyata taktik itu berjaya. Dalam masa kira-kira empat jam melepak di Starbucks itu, draf pertama cerpen Bila Adik Dinie Melatah pun siap.

Kemudian sekembali ke kamar, saya melakukan kerja-kerja mengeditnya pula. Peluang bertemu dengan Kak Nisah Haron ketika di Pesta Buku telah saya gunakan untuk bertanya mengenai istilah perundangan yang ingin saya gunakan di dalam cerpen tersebut. Hal ini kerana, sungguhpun saya merupakan pelajar perundangan, tetapi di UiTM segala-gala pelajarannya disampaikan dalam bahasa Inggeris, lantas selalu sahaja menjadi masalah buat saya apabila ingin menulis jargon-jargon tertentu dalam bahasa Melayu. (Saya pelik juga dengan sistem pendidikan UiTM yang kononnya ingin jadi “benteng terakhir Melayu” ini, sebab setahu saya, apabila bekerja nanti, bahasa pengantar di mahkamah adalah bahasa Melayu malah kalau sesiapa yang pernah ke mahkamah tentu akan perasan bahawa terpampang di setiap kamar bicara arahan yang tertulis, "Sila gunakan bahasa Malaysia". Jadi kenapa pembelajaran harus dibuat dalam bahasa Inggeris, memang saya tidak faham, lebih-lebih lagi di sebuah institusi yang kononnya hendak mengangkat Melayu. Hmmh.)

Melalui Kak Nisah, saya tahu rupa-rupanya sekarang ini tugas menulis sangat senang dengan bantuan internet kerana di laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka, di bahagian kamusnya, segala-gala istilah dalam pelbagai bidang boleh disemak di situ. Alangkah mudah!

Dari situ barulah saya tahu, bahawa rupa-rupanya istilah reverse di dalam ayat "...the Court of Appeal reversed the judgement of the High Court...", kalau hendak diterjemah ke dalam bahasa Melayu, perkataan yang tepat adalah akas, atau pun di dalam bentuk ayatnya: "...keputusan Mahkamah Tinggi itu telah diakas oleh Mahkamah Rayuan...".

Bayangkan, sebelum mengetahui perkataan 'akas' itu, perkataan yang saya gunakan ialah 'menterbalikkan': "Mahkamah Rayuan telah menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi." Ha ha! Alangkah kelakarnya bunyinya, apabila saya baca kembali. Huhu!

Sebelum mengirimkan cerpen ini ke media, saya berikan rakan kritikus saya, Wan Nor Azriq, untuk membacanya terlebih dahulu. Memang selalu begitu -- kalau ada karya baharu, Azriq akan menjadi pengkritik awal, supaya dapat saya betulkan mana-mana kesilapan sebelum mengirimkan kepada editor, kerana kritikan Azriq biasanya tajam dan menyeluruh sifatnya, malah banyak perkara yang orang lain tidak nampak, tetapi dia boleh nampak. Dalam draf cerpen Bila Adik Dinie Melatah yang saya berikan kepadanya, dia telah mengkritik beberapa 'campur tangan narator' yang saya gunakan, lantas saya pun perbetulkan kembali bahagian itu.

Di bawah ini saya perturunkan sedikit sedutan beberapa perenggan awal cerpen Bila Adik Dinie Melatah:

* * * * *

ADIK Dinie sudah bunuh orang!

Sedangkan dia baru berusia sepuluh tahun setengah. Dan yang lebih teruk lagi, dia bukan sahaja bunuh satu orang, sebaliknya dua orang! Tentu sahaja berita semacam ini metah merisaukan satu negara. Dia mana silapnya? Salah asuhankah? Ibu dan bapanyakah yang harus dipersalahkan? Atau pemerintahkah yang sebenarnya selalu alpa? Ataukah masyarakatnya yang harus dipertanggung jawabkan? Media pula bagaimana?

Maka Adik Dinie pun dibawa ke mahkamah. Dia keluar dari van hitam polis dengan kedua-dua tangannya bergari. Dua pegawai polis perempuan lengkap berseragam mengiringi di kiri dan kanan. Salah seorangnya, yang bertudung kemas, memegng lengan kiri kanak-kanak tersebut sambil menariknya pantas. Mereka berjalan penuh cekatan membelah himpunan wartawan dan orang ramai yang hadir ingin menyaksikan dengan mata kepala sendiri kanak-kanak si pembunuh itu. Hingar-bingar orang ramai, yang masing-masing berspekulasi, melatari suasana. Kerlipan cahaya kamera bertubi-tubi menembak kelibat Adik Dinie yang kelihatannya agak pucat pada pagi itu.

Baca cerpen penuh Bila Adik Dinie Melatah di Al Islam, September 2008.

8 comments:

Wan Nor Azriq said...

Salam Aidil,

Tahniah sekali lagi :) tak sabar nak baca novel kedua awak hehe.

Saya sedang membuat eksperimen di blog saya.Kalau ada masa,datanglah berikan pendapat.

Terima kasih.

Aidil Khalid said...

Azriq, Terima kasih. Wah, eksperimen gender nampaknya!

anis sarah said...

Salam,
bulan lepas cerpen Azriq, bulan ni cerpen awak. Tahniah. Nak tengok pula bulan depan cerpen siapa.

inamarjanaulfah said...

salam aidil, TAHNIAH!!! & setuju 1000% mengenai bahasa melayu di kampus kita tu. Dan jika dilihat ada ketikanya budaya pelajar & tenaga pengajar(bukan semua) langsung tidak mencerminkan budaya Melayu tersebut.

Aidil Khalid said...

Anis Sarah,

Macam disengajakan pulak berturut-turut, kan. Bulan sebelum bulan lepas, cerpen Kak Salina. Kemudian bulan lepas, cerpen Azriq, bulan ni, cerpen ini. Bulan hadapan, kita sama-sama tunggu. =)


Kak Ina,

Mungkin kerana apabila kita mengimport bahasa sesuatu bangsa itu, tidak dapat tidak, kita akan turut mengangkut sama budaya mereka. Kalau yang diambil itu yang positif sahaja, tidak mengapa, tapi masalahnya, nampak gaya macam lebih banyak yang negatif sahaja yang diambill. =(

Abdullah Ghani said...

Brader ,

Abdullah Ghani sudah berpindah ke

http://abdullahghani.BLOGSPOT.com

Harap Maklum..

Anonymous said...

salam,

wah, tahniah untuk sekian kalinya... semoga Allah sentiasa memberi ruang dan waktu untuk Aidil terus menulis...

-kaksu-

Aidil Khalid said...

Abdullah Ghani,

Nanti akan ditukar.


Kaksu,

Amin, moga Kaksu juga begitu. =)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP