Saturday, August 09, 2008

Nyah Islam?

Letakkan diri kamu di tempat dia.

Kamu beragama Hindu, dan berkahwin dengan seorang suami yang juga beragama Hindu, menjalani bahtera perkahwinan dengan sangat indah malah dikurniakan cahaya mata, sehinggalah akhirnya suami kamu tiba-tiba membuat keputusan untuk bertukar agama kepada Islam secara senyap-senyap. Dan tanpa pengetahuan kamu juga, suami kamu itu telah menukarkan agama anak kamu – yang sedari kecil lagi telah kamu didik dan ajari dengan penuh dedikasi supaya menjadi seorang Hindu yang baik – kepada agama Islam.

Kamu sangat sayang kepada suami, dan lebih-lebih lagi sayang kepada anak kamu.

Tapi entah bagaimana, perkahwinan antara kamu dan suami akhirnya retak, lantas kalian pun bercerai. Maka isu tentang hak penjagaan anak pun timbul.

Memandangkan suami kamu sekarang sudah beragama Islam, makanya dia membawa kes ini ke Mahkamah Syariah. (Ketika inilah baru kamu tahu bahawa suami kamu ternyata sudah seorang Islam kerana sebelum ini hal ini dirahsiakan terus dari kamu). Mahkamah Syariah kemudiannya telah mengeluarkan waran tangkap terhadap kamu, kerana kesalahan menghina mahkamah apabila gagal menghadirkan diri waktu hari perbicaraan.

Kamu sebagai seorang Hindu tentu sekali sangat-sangat tidak bersetuju. Soalnya, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Senarai II dari Jadual ke Sembilan terang-terangan termaktub bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai hak kuasa terhadap orang-orang yang beragama Islam, sedang kamu bukan seorang Islam. Lantas kenapa pula Mahkamah Syariah hendak mengeluarkan waran tangkap terhadap kamu?

Tertekan, kamu sangat tertekan; sudahlah kehilangan suami, kemudian menghadapi kebarangkalian akan kehilangan hak jagaan anak yang sangat-sangat kamu sayangi, dan sekarang, hendak ditangkap pula!

Kamu lantas mencabar kembali keputusan Mahkamah Syariah tersebut di mahkamah sivil, atau lebih tapat lagi, Mahkamah Tinggi. Kamu bersyukur kerana keputusan hakim telah memihak kepada kamu apabila diputuskan bahawa Mahkamah Syariah tiada kuasa sama-sekali terhadap kamu, dan oleh itu waran tangkap yang dikeluarkan adalah tidak sah. Tetapi kamu juga pening kepala kerana hakim juga turut memutuskan suatu keputusan yang bagi kamu sangat-sangat pelik dan… err... keliru, barangkali.

Bagaimana kamu tidak katakan keliru, kalau hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hak jagaan anak dimenangi oleh kamu (ya, memang kamu gembira akan hal ini), tetapi dalam masa yang sama juga, agama anak kamu itu hendaklah tetap sebagai seorang Islam seperti yang telah ditukarkan secara senyap-senyap oleh suami kamu awal-awal dahulu. Dan hakim meneruskan lagi dengan mengatakan bahawa dalam menjaga anak kamu itu, kamu sama sekali dilarang mengajarkan atau mendidikkan apa-apa hal berkaitan agama kamu, yakni agama Hindu.

Keliru memang kamu keliru, bagaimana kamu seorang Hindu yang sangat patuh hendak membesarkan seorang anak tanpa dibenarkan mengajarkanya tentang agama? Sedangkan pengaruh keagamaan semamangnya sudah lama bersebati sebagai salah satu ramuan dan rencah utama dalam membesarkan mana-mana anak sekalipun. Lebih-lebih lagi keliru kerana kamu seorang Hindu harus membesarkan seorang anak yang kononnya beragama Islam.

Lantas apakah yang akan kamu lakukan selanjutnya ketika ini?

Nah, inilah yang sebenar-benarnya dihadapi oleh Shamala di dalam kes Shamala A/P Sathiyaseelan v Dr Jeyaganesh A/L Mogarajah [2004] 2 MLJ 241.

Dan hal inilah juga yang sebenar-benarnya hendak dibincangkan dalam forum Memeluk Islam anjuran Bar Council. Lalu kenapa orang-orang Islam harus melatah?

Sabar, sebelum anda menuduh saya sekular atau liberal atau kafir atau munafik atau apa-apa sahaja lagi, dengarkan dahulu apa-apa yang ingin saya katakan sampai habis.

Saya seorang Islam, insyaAllah, dibesarkan sebagai seorang Islam dan sampai kini masih lagi berpegang teguh dengan Islam malah menolak sungguh-sungguh kepercayaan sekular dan oleh itu saya percaya dengan sepenuh-penuh kepercayaan bahawa Islam adalah agama syumul yang sangat adil, paling adil malahan, yang tidak akan sama-sekali menidakkan hak mana-mana manusia biarpun dia bukan beragama Islam. Sebab itu apa yang diperlukan adalah jalan penyelesaian dan untuk mencarinya, salahkah untu berforum?

Seperti yang telah dikatakan oleh presiden Bar Council, Dato’ Ambeega Sreenevasan, tujuan forum itu bukanlah untuk mendesak Perkara 121(1A) – Kuasa Mahkamah Syariah – supaya dipinda. Sebaliknya forum itu hanya bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian, dengan memikirkan apakah mungkin perlu peruntukan undang-undang baharu bagi mengisi kelompongan dalam menangani situasi-situasi 'keliru' seperti yang berlaku dalam kes Shamala itu.

Lalu kenapa ada yang menuduh mencemuh bahawa forum itu ingin mempertikaikan kesucian Islam? Tidak, saya bukan hendak menyokong forum tersebut, maka janganlah salah sangka. Cuma saya malu apabila menonton di kaca television dalam Buletin Utama jam lapan malam tadi, apabila melihat bagaimana ketegangan berlaku dalam demonstrasi membantah forum anjuran Bar Council tersebut. Saya tidak menolak hak berdemonstrasi, kerana saya percaya itu adalah hak sesiapa sahaja dalam sebuah sistem demokrasi, tetapi apabila sampai berbalas tumbuk tolak menolak malahan, maka saya jadi malu kerana pada saya, mereka yang bertindak begitu sebenarnya bukannya mempertahankan kesucian Islam, sebaliknya merekalah sebenarnya yang mencemar mengotorkan imej Islam itu sendiri tanpa sedar sehingga nanti dipandang sebagai ganas.

Kita harus menerima hakikat, bahawa perundangan kita adalah undang-undang yang keliru. Di satu bahagian kita ingin jadi sekular, makanya kita ada undang-undang sivil. Dan di satu bahagian lain, kita juga ingin jadi islamik, makanya kita ada undang-undang syariah. Apabila berlaku pertembungan antara keduanya, inilah yang menimbulkan banyak masalah seperti yang terjadi dalam kes Shamala, juga kes-kes lainnya seperti kes Moorthy, dan Shubashini dan lain-lain. Kerana itu, saya percaya, jalan penyelesaiannya hanya satu, iaitu kita perlu overhaul seluruh sistem perundangan kita untuk kembali kepada Islam yang sebenar yang syumul yang tidak pernah memisah-misahkan antara agama dan kenegaraan. Sejak dari dulu lagi, sebelum kita dijajah, memang negeri kita negeri Islam, undang-undangnya berlandaskan Islam, lantas kenapa tidak kita kembali kepada sejarah kita yang gemilang?

Sirah nabi juga telah membuktikan bahawa hukum Islam mampu menjadi adil dalam sebuah negara berbilang bangsa berbilang kaum berbilang agama di Madinah dahulu.

Kita harus menolak kekeliruan dan saya percaya, hanya itulah jalan penyelesaiannya.

* Gambar diambil dari web malaysiakini.com.

7 comments:

hazwan said...

lepas ko terang, baru lebih faham...
memang selepas mendengar hujah ko, aku pun akan bersetuju, cuma, kenapa mesti diadakan terbuka...
kan lebih elok jika diadakan secara tertutup, lebih selamat...
orang Melayu Islam ni memang sensitif bila sentuh hal agama dan hak mereka, jadi sepatutnya majlis peguam negara patut dah tahu akan hal ini dan dah mengambil tindakan sewajarnya. Tapi, tak tahulah jika ada udang di sebalik batu atas penganjuran forum ini...

inamarjanaulfah said...

salam, bagus sekali komentar aidil. Untuk pengetahuan hazwan, rasanya forum itu tidak se'terbuka' seperti yang digembar-gemburkan. Untuk hadir perlu mendaftar dan membuat sedikit bayaran dan jemputan dibuat bukan kepada semua orang. Tumpuannya kepada ahli Majlis Peguam - pengamal undang-undang (peguam) sahaja.

saat omar said...

Saya setuju dengan Aidil..lagipun dia student law, sudah tentu apa yang dikatakannya berdasarkan fakta.

yang paling saya tak setuju tentang kes ni adalah lontaran molotov cocktail ke rumah dato Ambeega itu. janganlah sampai macam tu sekali. Bom buatan tangan itu silap2 boleh membuatkan rumah itu terbakar dan nyawa keluarganya terancam. Adakah kita memang mahu
tragedi itu berlaku? Kita bukan terrrorist seperti itu...
Cukuplah dengan mengadakan demonstrasi dan membantah forum itu. tak perlu bertindak ganas macam terrorist.
:)

rahim said...

tidak salah utk berbincang, cme byk kn lg pihak yg terlibat.Pgl hakim syarie, psyarah, mufti dll.biar pndpat yg diberi adil.mungkin tempat ye tidak sesuai.perlu dibuat di universiti agar npk akademik.melayu pantang dihina agamanye wlupn melyu itu bkn penganut sbenanye.kita marah org sntuh agama kita sdgkan kita jejak ke masjid smgu skali pn payah..

Aidil Khalid said...

Hazwan,

Mungkin tajuknya tu yang agak provokatif, sebab tu ramai yang membantah.


Kak Ina,

Terima kasih atas penjelasan lanjutnya. Saya pun sudah baca tulisan akak mengenai isu ini di Esastera.com. Dan ya, saya setuju, memang perbincangan itu tidak harus memanipulasikan permainan emosi, sebaliknya harus lebih menumpu kepada aspek perundangannya.


Abang saat,

Betul tu. Kita bukan pengganas. Patutnya buat bantahan secara aman saja sudah memadai.


Rahim,

Yup, mungkin jugak tu, kalau buat di universiti mungkin kurang sikit provokatifnya.

A.Ghani said...

Ler....rahim pun bagi comment ? :D

hanys said...

Saya pun lagi suka kalau benda ni dibuat secara profesional, bukan secara terbuka.. Apa yg saya tahu, forum ni still bjalan, tapi dihentikan segera, atas nasihat pihak polis.. yg sempat dibincangkan adalah tentang isteri yg mengtaakn suami mereka berubah, tidak lagi bertanggungjawab selepas memeluk islam. seolah2 forum ni nak menampakkan keburukan sesorang dengan memeluk Islam.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP