Saturday, October 18, 2008

Pengakhiran Sebuah Ceritera

Secara peribadi, dulu, sebelum lahirnya novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu (BNKTM), saya tidak pernah terfikir bahawa pengakhiran sesebuah cerita akan menjadi tumpuan utama khalayak dalam menilai sesebuah karya. Fikir saya ketika itu, yang utama adalah ceritanya, konfliknya, dan pengolahannya, sedang bagaimana segala-galanya ditamatkan tidaklah penting, kerana pengakhiran sesebuah cerita hanyalah satu babak kecil sahaja daripada keseluruhan cerita yang panjang yang barangkali memakan beratus-ratus halaman.

Jadi saya dengan 'naifnya' ketika itu, tidak mengambil pusing dan tidak begitu sensitif akan soal ‘kehendak pembaca’ yang mahukan agar sesebuah cerita itu diakhirkan mengikut acuan-acuan tertentu mengikut selera-selera yang tertentu.

Menurut Rinn – salah seorang blogger pengulas novel-novel berbahasa Melayu yang agak prolifik menghasilkan ulasan – beliau tidak begitu senang dengan pengakhiran novel BNKTM. Saya petik ulasannya:

"…Cerita ini sangat real, menutup buku ini adalah seperti menutup sebuah akhbar harian. Terasa Nysrah is still around, lingering, tak der closure. Saya kurang puas dengan penutup kisah ini walaupun penulis sendiri membuat special appearance di akhir cerita. Saya masih tertanya-tanya.. apa khabar Nysrah sekarang?

"…Nysrah seperti menerima pembalasan dari ketelanjurannya dgn Budi tetapi insan2 lain yang ‘tidak baik’ dalam citer ni ada juga yang tidak menerima pembalasan setimpal.. tu salah satu sebab lagi membuat saya tak puas membaca kisah ini…."

Baca Ulasan penuh di sini dan di sini.

Sebagai penulis, komentar-komentar seperti ini sebenarnya sangat membantu dalam memuhasabahkan kembali karya sendiri -- menilai kembali di mana kurang dan di mana lebihnya. Penulis yang tidak mahu mengendahkan kata-kata dan komen pembaca adalah penulis yang syok sendiri – dia menulis, kemudian suka pada karyanya sendiri-sendiri sahaja, tidak mahu ambil tahu akan pandangan orang lain. Kerana itu, siapa-siapa yang mempunyai pandangan terhadap BNKTM, dialu-alukan memberikan komen.

Ada benarnya juga pandangan Rinn di atas. Malah menurut Mana Sikana di dalam Tunas Cipta Oktober 2008, pengakhiran sesebuah karya itu amat penting kerana di situlah akan terserlah kebijaksanaan pengarang dalam merungkaikan segala permasalahan yang dibina pada bahagian konflik dan klimaks. Oleh itu, ia tidak boleh sama-sekali dipandang enteng.

Barangkali peri pentingnya pengakhiran sesebuah karya bolehlah ditamsilkan dengan kehidupan manusia itu sendiri. Seseorang manusia boleh hidup bagaimana sekalipun caranya, tetapi di akhirnya nanti, yang akan diambil kira adalah bagaimana matinya. Seseorang boleh sahaja kufur seumur hidup, tetapi andai mendapat hidayah di akhir hayat, maka matinya akan sebagai seorang muslim juga. Sedang seseorang juga boleh warak seumur hidupnya, tetapi andai terjerumus ke jurang syaitan di akhir hayat, akan sia-sialah segalanya. Begitulah halnya dengan karya – boleh jadi permulaannya menarik, plotnya cemerlang, konfliknya menggugah, klimaksnya menggoncang, tetapi andai pengakhirannya lesu, maka pembaca akan kecewa.

Tetapi bagaimanakah yang dikatakan pengakhiran yang menarik dan bagaimana pula yang dikatakan pengakhiran yang lesu, tentu sekali sangat subjektif sifatnya. Lain orang lain seleranya. Dan selera itu sendiri sifatnya niskala.

Ketika mengirimkan manuskrip BNKTM kepada penerbit, saya agak pelik (dan canggung), mengapa hal pengakhiran novel ini diberikan perhatian yang agak serius. Tetapi hal ini kemudiannya menjadi jelas apabila pihak penerbit menjelaskan kepada saya bahawa, para pembaca, secara umumnya, ketika membaca, hendakkan sesuatu yang dapat menggembirakan hati meraka, bukan menggundah-gulanakannya lagi. Oleh itu mereka mahukan pengakhiran yang gembira (ala-ala live happily ever after, gitu), tidak sedih, dan lebih-lebih lagi tidak tergantung.

Saya ketika itu tidak begitu mengambil perhatian – atau mungkin lebih tepat kalau saya katakan tidak begitu mahu mengerti. Kerana saya secara pribadi ternyata memiliki kecenderungan yang sama sekali berbeza. Bagi saya, sesebuah karya itu akan lebih diingati, andai diakhiri dengan tragedi yang sedih, atau diakhiri dengan pengakhiran yang mengejut, yang tidak diduga, malah juga tergantung. Lihat sahaja filem Titanic yang diakhiri dengan tragedi yang sedemikian menyayat hati, tetapi menjadi box office luar biasa. Akan menjadi box officekah Titanic kalau diakhiri dengan plot yang happy ending?

Saya juga suka cerita-cerita yang tergantung. Saya masih ingat, ketika di bangku sekolah, ketika menelaah Komponen Sastera tingkatan lima, saya begitu terkesan dengan novel Konserto Terakhir karya SN Abdullah Hussein. Kerana pengakhirannya sedemikian mengejut, kesan karya itu ‘menghantui’ saya dalam satu tempoh yang sangat lama – sungguh sangat-sangat sukar hendak melupakannya. Kemudian sewaktu membaca novel Salina karya SN Pak Samad, hal yang sama juga saya rasakan – kerana pengakhirannya tidak diketahui apakah yang terjadi kepada Siti Salina, maka setelah menutup novel tebal itu, saya duduk tercenung panjang, panjang sekali, memikirkan bagaimanakah nasibnya, dan apakah yang bakal terjadi dengan Hilmy.

Mungkin pengaruh inilah yang menggerakkan saya mengakhirkan BNKTM dengan sedemikian cara – dan mungkin ketika itu saya terlupa bahawa tidak semua orang punya selera yang sama seperti saya!

Satu hal lagi yang selalu menjadi pertikaian adalah mengenai pembalasan kepada watak-watak di dalam sesebuah cerita. Secara umumnya, ramai pembaca hendak melihat watak-watak kesayangannya mendapat kemenangan di akhirnya, sedang watak-watak antagonis pula harus diberikan kekalahan, atau sekurang-kurangnya pembalasan yang setimpal. Yang baik dibalas baik yang jahat dibalas jahat.

Saya kurang bersetuju dengan pendapat ini (tetapi ini hanyalah pendapat peribadi saya sahaja – orang lain boleh sahaja berbeda pendirian kerana sastera itu sendiri subjektif sifatnya, tidak ada yang betul tidak ada yang salah, tertakluk bagaimana penghujahan dibuat). Bagi saya sesebuah karya yang baik haruslah mencerminkan realiti kehidupan itu sendiri. Dan dalam kehidupan, secara realitasnya, tidak semua yang baik dibalas kebaikan, dan tidak semua pula yang jahat dibalas dengan kejahatan di akhirnya. Adakalanya yang baik itulah yang ditimpa pelbagai kesusahan sampai ke sudah, sedang yang jahat pula, tak habis-habisnya mendapat kesenangan.

Selaku orang Islam, kita wajib percaya pada hari akhirat, iaitu hari pembalasan yang agung. Ketika itu nanti, segala perbuatan sekalian manusia ketika di dunia akan dibalas setimpalnya oleh Allah SWT yang maha adil lagi maha mengetahui.

Oleh itu tidak timbul masalah andai sesebuah karya tidak memaparkan balasan setimpal di akhir cerita, kerana pembaca-pembaca Muslim sudah tahu bahawa segalanya tidak berakhir hanya di dunia. Andai kita hendak segala-galanya dibalas di dunia lagi di dalam karya itu, tidakkah nanti jadinya ‘seolah-olah’ kita menidakkan hari pembalasan di akhirat kelak?

Justeru seseorang pengarang boleh sahaja membiarkan kejahatan merajalela di dalam karyanya, tetapi haruslah benar-benar teliti dalam hal ini, supaya kejahatan yang dilukiskan itu tidak sampai memberikan impak negatif, juga jangan sampai kelihatan seolah-olah pengarang sengaja hendak membela kejahatan tersebut, sebaliknya bertindak hanya sebagai pembakar emosi, supaya pembaca merasa membuak geram membara marah lalu mendesis dalam hati, "Cis! Geram betul, aku, si jahat ini tidak diberikan balasan setimpal! Moga-moga dia akan dibakar dengan api neraka yang paling panas di akhirat kelak!" Andai hal ini berjaya dilakukan, dan pembaca benar-benar mendesis, makanya pengarang sudah boleh dianggap berjaya melakukan amar maaruf kerana pembaca, tanpa sedar, dalam mendesis itu, telah secara tidak langsung mengingati hari akhirat, iaitu hari setelah kematian.

Sabda nabi saw, kurang lebih maksudnya, “Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati.”

Dan kalaupun pembaca tidak sampai mendesis sedemikian rupa, masih tidak mengapa lagi. Yang utama adalah sekurang-kurangnya, dalam membaca itu, pembaca merasa benci akan kejahatan yang dipaparkan di dalam karya tersebut. Menimbulkan rasa benci dan mual akan kejahatan adalah perkara yang positif. Menurut hadis nabi, ada tiga cara mencegah kemungkaran, salah satunya, yang berada di tingkat paling rendah, adalah dengan membenci dalam hati.

Allahua'lam.

* * * * *
Selain di kedai-kedai buku, novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu boleh juga dibeli secara online dari web Jemari Seni Publishing dengan diskaun 11% di http://www.jemariseni.com/ (pos percuma dalam Malaysia).

10 comments:

Anonymous said...

setiap pembaca ada selera mereka tersendiri...
macam saya, sama ada happy ending, sad ending atau cerita tergantung itu tidak menjadi masalah..
kadang2 saya lebih suka sesebuah karya yang berakhir dgn sad ending atau cerita tergantung..
apa pun semoga aidil terus maju dalam bidang ini..

-HAF-

Aidil Khalid said...

Ya, saya pun ada kalanya suka juga cerita yang berakhir dengan happy ending. Bila tutup buku tu tentu senyum panjang. =)

azree hanifiah said...

Aidil, itu tandanya pembaca tersebut nak BNKTM episod 2. Hehe. Buatlah sambungan pula.

Anonymous said...

Aidil,

Kaksu suka sangat artikel ini. Sewaktu kita ambil keputusan untuk membiarkan 'penulis' memilih cara mengakhiri BNKTM ini, kita sudah duga pro dan kontra... tetapi JS adalah 'makmal seni', untuk penulis mencuba pendekatan apa pun... asalkan tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam.

Sesetengah karya memerlukan pemikiran yang matang untuk mencernakannya... dan BNKTM salah sebuah daripadanya :)

- kaksu -

ruru said...

saudara Aidil,
saya sudah selesai membaca BNKTM
seperti pembaca yang lain, saya juga bersifat ingin tahu, adakah Nysrah ini
kisah yang benar? dan bagaimana pula dengan kandungannya.
kalau kisah yang benar, kasihan dia :(
Pengakhirannya saya sedikit setuju cuma saya rasa ia agak tergantung kerana banyak persoalan yang timbul dan saya mahu ia dijawab! :)

saat omar said...

selamat menempuh minggu peperiksaan :) good luck

Aidil Khalid said...

Azree,

Haha... Masalahnya belum ada 'kekuatan' untuk menyambung kisah itu.


Kaksu,

Sesuai dengan namanya, "Jemari Seni", memang betul-betul mengamalkan konsep sebagai makmal seni. Hehe.


Ruru,

Terima kasih kerana membaca BNKTM. =)

Tentang persoalan sama ada kisah benar atau tidak, adapun novel ini adalah sebuah karya fiksyen yang terilham daripada kejadian-kejadian yang real, tetapi tentunya sudah diadun terlebih dahulu dengan banyak unsur imaginasi sebagai rencah dan ramuan supaya lebih berperisa jadinya. Tentang pengakhirannya yang tergantung, alahai, apakan daya saya....


Abg Saat,

Terima kasih atas ucapannya.

hanys said...

citer ni berat untuk saya. kesian nysrah.sangat-sangat.

Aidil Khalid said...

Hanys,

Ya, mungkin cerita ini agak berat dari segi emosinya. Begitulah maklum balas yang saya terima, terutama daripada penerbit.

nino said...

pertama kali tgk cover buku,sy rasa pelik.
macam mana nak sebut nysrah.
tapi saya beli dan baca juga.
walaupun pengakhirannya begitu.
sy suka sebab sy boleh buat macam2 andaian yg sy suka.
hehe.
sama macam novel salina juga kan?

cuma cerita nih agak menakutkan sy.
menjadikan sy seorang manusia yg lebih hati-hati dalam pergaulan.lebih-lebih lagi dalam hal perasaan.
apa-apa sahaja boleh terjadi.

tahniah untuk cerita yg sebegini.
cuma masih tertanya-tanya,bila karya baru nak keluar?
hehe.

:D

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP