Tuesday, November 04, 2008

Beberapa Perkara

CERITA I

Sepatutnya entri ini ditulis tiga hari lepas. Tapi kerana kesuntukan waktu atas keripuhan musim periksa akhir, makanya tertangguh sampai ke hari ini.

Hari Sabtu tempoh hari (1 November 2008), Jemari Seni Publishing buat majlis makan-makan di Hotel Maya, Kuala Lumpur. Tujuannya, menurut Kak Yah dalam emel jemputannya, adalah bagi membincangkan perkembangan serta perancangan para penulis untuk tahun hadapan. Bunyi macam serius! Tapi sebenarnya majlisnya santai-santai sahaja. Sambil-sambil berjumpa rakan penulis, sambil-sambil dapat bertukar fikiran dan pandangan seputar dunia penulisan.

Saya pernah terbaca entah di mana – tak berapa ingat – tapi kira-kira begini katanya: Kerja menulis adalah kerja paling individual.

Tapi apabila sudah terlalu lama bersendirian, moral untuk menulis itu tentu akan menurun juga. Lantas, seperti kata John Norafizan yang turut hadir, “Pertemuan antara penulis, juga macam pertemuan antara penggiat MLM – lepas berjumpa dengan rakan-rakan, baru dapat semangat semula hendak bekerja. Kalau tidak tu lesu saja!

Dan dalam majlis itu juga, Kaksu selaku Ketua Editor sempat memberikan kuliah pendek tentang tatabahasa. Aduh, banyaknya hal-hal hukum bahasa yang saya tidak tahu. Antaranya, tentang penggunaan kata ‘baharu’ dan ‘baru’, ‘di dalam’ dan ‘dalam’, juga ‘daripada’ dan ‘dari’. Dan beberapa hal asas yang lain.

Kalau dalam bahasa Inggeris, lazimnya, andai berlaku kesalahan tatabahasa, hal tersebut akan memalukan si penulis. Orang akan memberi komen, “your grammar is terrible.” Tapi dalam bahasa Melayu, tatabahasa dilanggar tanpa rasa 'berdosa'. Sedangkan bahasa Melayu juga ada hukum-hukamnya yang harus dipatuhi, tidak boleh semberono sahaja.

Penulis-penulis yang hadir ketika majlis tersebut termasuk: Imaen, John Norafizan, Pingu Toha, Aidil Khalid, Ruby Hazri, Manjlara, Rnysa, Syud, Nazurah Aishah, serta, tentunya, dua orang kuat Jemari Seni, Kaksu dan Kakyah.

Terima kasih Jemari Seni untuk makan-makan yang sedap!


CERITA II



Buku baharu Ustaz Azizi Hj Abdullah sudah keluar. Saya belum dapatkannya lagi. Tapi saya suka kulitnya. Pandangan mata seorang tua dari balik papan-papan itu sepertinya menyimpan suatu rahsia yang mengundang untuk dirungkaikan oleh pembaca! Ah! Tarikan sebuah kulit! Tak boleh dinafikan memang persembahan kulit sesebuah buku memainkan peranan yang sangat penting, kerana kulit itulah yang akan menjadi tarikan pertama untuk dinilai oleh bakal pembaca -- sama ada hendak menarik buku tersebut dari rak di kedai, atau hendak membiarkannya sahaja tercongok di situ. Justeru, konsep "don't judge a book by its cover" sebenarnya sudah lapuk!

Maklumat lanjut tentang buku Jiwa Hamba boleh dicapai di sini.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP