Saturday, November 22, 2008

Cerpen di Berita Harian

Seperti biasa, setiap kali ada cerpen baharu yang disiarkan di mana-mana media, saya akan menulis proses kreatifnya di blog ini – kalau tidak banyak, sedikit. Kerana saya sebetulnya sedang dalam rangka menyusun sebuah manuskrip kumpulan cerpen, dan bagi tujuan dokumentasi, satu bab khusus proses kreatif akan dimasukkan di dalamnya. Jadi di bawah ini adalah proses kreatif untuk cerpen bertajuk Antiplot: Syarahan Panjang Kepada Perempuan Penyanggah Fatwa yang disiarkan di Berita Harian hari ini. Selamat membaca. =)

“Idea jarang-jarang datang ketika sedang relaks kerana idea adalah reaksi terhadap stres yang dihadapi.” Kata-kata tersebut diungkapkan oleh novelis Sri Rahayu Mohd Yusop dalam majalah Tunas Cipta, November 2008. Sungguh, alangkah benar dan alangkah tepat ia dalam merakamkan proses kreativiti seseorang pengarang!

Saya sendiri, secara peribadi, memang selalu mengalaminya – idea datang bertimpa-timpa tanpa diundang ketika sedang dalam ripuh, sedangkan ketika menikmati waktu-waktu senggang, jarang-jarang pula hendak ia bertandang. Memang ironis, tetapi kerana itulah, barangkali, saya ghalibnya akan lebih prolifik ketika berada di tengah-tengah kerja bertimbun. Cuma yang selalu menjadi masalahnya – apabila idea datang ketika waktu-waktu begini – ialah pembahagian waktu akan menjadi sukar dan berat. Terpaksa memilih antara kerja yang sedang terbeban yang harus dilangsaikan segera, dengan idea untuk menulis yang menggamit-gamit minta diluahkan (juga segera).

Nah, cerpen Antiplot: Syarahan Panjang Kepada Perempuan Penyanggah Fatwa, saya tulis dalam keadaan seperti inilah.

Saya waktu itu sedang dalam stres menghadapi peperiksaan akhir. Ketika itu masih ada satu lagi kertas – Family Law – yang belum usai. Dan subjek Family Law ini memang subjek yang memerlukan banyak hafalan – kes-kes mahkamah syariah, hadith, ayat-ayat al-Quran, dan sebagainya – oleh itu memerlukan saya menelaahnya dengan lebih lama. Tetapi keinginan untuk menulis itu datang mencanak-canak, menujah-nujah minta segera dicerpenkan sehingga andai saya biarkan sahaja tanpa diladeni, saya akan menjadi resah tidak ketentuan.

Keresahan itu sebetulnya tercetus ekoran daripada laporan yang dibaca mengenai sekumpulan golongan yang mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini berkaitan haramnya kaum wanita berperilaku seperti lelaki serta haramnya gaya hidup pengkid. Kemudian keresahan itu terus meningkat menjadi membara apabila menonton video youtube di laman web Bar Council yang bertajuk Fatwas, Control, Choices, and Women dan Protest Against Anti-Tomboy Fatwa. Video terbitan Malaysiakini itu, telah memaparkan pandangan golongan yang mempertikaikan malah memperlekehkan fatwa tersebut. Ungkapan “Stupid Fatwa Everywhere” yang dilaungkan di dalamnya menjadikan saya benar-benar marah. (Video-video tersebut boleh ditonton di sini, di sini dan di sini).

Lantas saya pun memutuskan untuk meninggalkan dahulu nota-nota kuliah, lalu duduk menghadap komputer riba, bagi menukangi cerpen untuk menjawab tohmahan-tohmahan golongan ekstrimis liberal tersebut. Beberapa kali proses penulisan terhenti untuk saya kembali mengulang tonton video. Sengaja berbuat demikian bagi membakar lagi hati supaya menjadi semakin marah, semakin berang, semakin resah, semakin bahang, semakin gelisah, serta semakin merampang dan supaya dengan itu akan lebih mudahlah saya hendak menuangkan apa-apa yang menggelegak mendidih meruap meluap dalam hati ke dalam bentuk karya.

Gaya penulisan cerpen ini sengaja ditulis dengan gaya anti plot. Seperti yang terzahir daripada namanya, anti plot ialah gaya penulisan yang tidak mementingkan plot sama sekali – sebaliknya lebih mementingkan isi daripada cerita – iaitu sebuah gaya penulisan yang lahir daripada gagasan Persuratan Baharu yang mula-mula diusulkan oleh Mohd Affandi Hassan. Teori Persuratan Baharu ini juga menekankan betapa terdapat perbezaan antara konsep ‘persuratan’ dengan konsep ‘kesusasteraan’.

Ketika saya mengikuti program Minggu Penulis Remaja tahun lalu, Faisal Tehrani yang menjadi pembimbing ketika itu sangat-sangat menggalakkan kami para peserta untuk mencuba gaya penulisan persuratan. Menurutnya, gaya Persuratan Baharu – iaitu yang meletakkan ilmu ditingkat teratas berbanding unsur-unsur lain – adalah lebih berjati diri Melayu, berbanding gaya penulisan kesusasteraan yang menurutnya adakalanya lebih berkiblatkan barat. Kalau dalam teori kesusasteraan gaya penulisan yang berkhutbah atau didaktik dipandang sebagai suatu kelemahan, teori Persuratan Baharu pula memandang sebaliknya, iaitu sebagai suatu kelebihan, juga kekuatan.

(Saya pernah menulis satu entri pendek tentang Persuratan Baharu dalam Warisnya Kalbu di sini)

Setengah pertama draf awal cerpen ini siap setelah kira-kira dua jam menulis (saya tidak ingat berapa halaman, tetapi rasanya barangkali dalam lima atau enam halaman). Saya berhenti untuk kembali menelaah nota-nota kuliah. Kemudian besoknya saya sambung lagi penulisan sehingga selesai lapan halaman semua sekali. Cerpen yang selesai itu tidak langsung dirikirim kepada editor, sebaliknya diperam terlebih dahulu. Tetapi proses pemeraman tidak boleh lama, kerana saya juga harus mengejar waktu – apabila menulis hal-hal yang isunya bersifat semasa, maka masa menjadi sangat berharga, kerana andai terlambat, maka isu tersebut akan menjadi lapuk. Lantas proses pemeraman hanya sehari, setelah itu fail cerpen ini kembali dibuka untuk proses pengeditan pula. Kemudian langsung dikirimkan ke halaman Susastera Berita Harian.

Terima kasih banyak-banyak harus saya panjangkan kepada editor, yang, kendatipun banyak masalah teknikal dalam pengiriman cerpen ini (seperti fail gambar tidak sampai, juga fail butir-butir diri hilang dalam kiriman internet), tetapi masih sudi menyiarkannya.


Dapatkan Berita Harian 22 November 2008 untuk membaca cerpen Antiplot: Syarahan Panjang Kepada Perempuan Penyanggah Fatwa. Atau untuk membaca versi atas talian, klik sini.

4 comments:

FARAHANA said...

Salam ,
Setuju benar dengan entri ini, saja singgah meninggalkan jejak.
Saudara selalu menjadi pesaing senyap-- geram dan cemburu melihat betapa prolifiknya saudara menulis sehingga boleh membakar semangat rakan seperjuangan yang lain..

Aidil Khalid said...

Farahana,

Alahai, janganlah jadikan saya sebagai pesaing, jadikanlah saya sebagai rakan seperjuangan. ;-)

FARAHANA said...

ahaaa---Pesaing sihat bunyinya lebih idealis dan jujur barangkali..rakan seperjuangan? Klise kot..

Salam ukhwah, pesaing senyap T-T

maicher said...

liver25800
longing25800
muse25800
icicle25800
fife25800

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP