Thursday, December 25, 2008

Dari Cita-Cita ke Empat Mata

Cita-cita sedari kecil, yang sehingga ke hari ini masih saya simpan dan pendam dengan sepenuh pengharapan, tetapi ternyata belum juga tercapai, malah besar kemungkinan tidak akan tercapai sama-sekali, adalah untuk menjadi seorang juruterbang – bukannya peguam, bukan juga penulis. Barangkali cita-cita ini banyak dipengaruhi oleh ayah saya.

Oh, tetapi ayah bukanlah seorang juruterbang, sebaliknya beliau merupakan pegawai MAS yang kerjanya, sedari saya kecil sehinggalah masuk ke kolej, adalah tidak henti-hentinya berpindah randah dari satu negara ke satu negara lain sahaja. Ketika saya di darjah satu seingat saya beliau bekerja di India. Kemudian ke Jeddah. Kemudian naik darjah dua beliau bekerja di Vietnam pula. Dan di sana selama tiga tahun. Kemudian berpindah ke Indonesia. Ketika itu saya sudah di darjah lima. Juga tiga tahun di sana. Dan kemudian berpindah lagi ke Mesir, yang mana beliau bertugas paling lama, iaitu selama enam tahun lebih (bermula saya tingkatan satu sehingga saya masuk kolej).

Resamnya orang lama dalam MAS, ayah banyak kenalan dalam syarikat penerbangan tersebut, dan tentunya termasuklah para kapten juruterbang. Jadi sesekali apabila saya terbang bersama ayah, beliau akan memperkenalkan rakan juruterbangnya itu kepada saya. Malah ada ketikanya, kalau juruterbang itu rapat dengannya, kami malah dijemput untuk ke kokpit.

Bermula dari sinilah cita-cita saya untuk mengemudi pesawat membelah langit biru, mulai tumbuh – sedikit pada mulanya, tetapi semakin lama, semakin dalam dan semakin mekar. Seperti akar tunjang yang mencengkam jauh ke dalam tanah, begitulah cita-cita saya.

Pernah sekali, seingat saya, ketika dalam tingkatan empat, waktu itu saya terbang sendirian dari Kaherah untuk pulang ke Kuala Lumpur. Memandangkan kapten pesawat ketika itu adalah teman ayah, jadi ayah mengambil peluang memperkenalkan saya kepadanya ketika di airport sebelum saya berlepas. Ayah malah turut membisikkan kepada kapten tersebut mengenai minat saya kepada profesion kejuruterbangan.

Jadi ketika pesawat sudah berada tinggi di langit, dan setelah saya selesai menikmati hidangan makan malam di tempat duduk yang letaknya di sebelah jendela kabin, serta ketika sedang duduk-duduk bermenungan sahaja memandang ke luar ke arah hitam yang pekat, ketika itulah saya disapa lembut oleh seorang pramugari.

Kata pramugari tersebut, kapten memanggil saya untuk melihat-lihat kokpit.

Ketika di dalam kokpit, saya pun dipersilakan duduk (dalam kokpit, selain dua buah kerusi – kerusi pilot dan co-pilot – terdapat dua buah lagi kerusi tambahan yang boleh ditarik buka dari dinding belakangnya. Di sinilah saya duduk). Lama saya duduk di situ, sambil kapten dan co-pilotnya memberikan penerangan tentang kerjaya sebagai juruterbang dengan penuh panjang lebar. Mereka menceritakan pengalaman mereka ketika di akademi penerbangan – bagaimana dimaki dan dihamun oleh jurulatih, juga lain-lain kisah suka-duka – tetapi yang paling menarik perhatian saya adalah pengalaman bagaimana ketika mereka menghadiri ujian temu-duga sebelum diterima masuk sebagai juruterbang pelatih (kadet pilot). Aneh, juruterbang tersebut menceritakan, ada di kalangan rakan-rakannya yang datang menghadiri ujian temuduga tidak secara serius, sebaliknya hanya sekadar suka-suka mengisi masa lapang setelah selesai keputusan SPM diumumkan, dan tidak berniat langsung untuk benar-benar menjadi juruterbang, tetapi ternyata telah diterima masuk. Sedangkan orang-orang lain, yang benar-benar bercita-cita ingin menjadi juruterbang, yang mempersiapkan diri sesempurna mungkin untuk sesi temuduga, tetapi ternyata malah tidak diterima.

“Begitulah,” katanya, “untuk menjadi pilot, minat sahaja tidak memadai. Seseorang itu harus dilahirkan untuk menjadi pilot, barulah dia akan dapat menjadi pilot yang baik.” Dan cara bagaimana untuk mengetahui sama ada seseorang itu benar-benar dilahirkan untuk menjadi pilot atau tidak, adalah melalui ujian simulasi yang dinamai psychomotor test.

Saya juga dimaklumkan oleh mereka tentang syarat-syarat asas. Mata harus terang, tidak boleh kabur, begitu katanya. Harus perfect, mesti 6/6, tambahnya lagi. Matematik dan fizik harus cemerlang. Bahasa Inggeris mesti fasih. Dan bermacam-macam lagi.

Saya waktu itu hanya mendengar dengan penuh pesona, sambil sesekali melemparkan pandang ke luar cermin hadapan kokpit – gelap semuanya, pesawat sedang membelah langit malam yang zulmat.

Nah, atas keinginan yang memuncak untuk menjadi juruterbang inilah, saya telah menjaga mata dengan sebaik-baik mungkin. Kalau membaca saya pastikan tidak dalam posisi berbaring. Lampu dipastikan cukup terang. Menonton televisyen tidak terlalu dekat dengan skrin. Juga perbanyak makan lobak merah. Malah kalau ke kedai mamak, tidak sah kalau tidak memesan jus lobak merah campur susu. Selain itu, subjek fizik dan matematik, juga matematik tambahan saya ‘paksa’ jadikan sebagai mata pelajaran kegemaran. Begitu juga dengan bahasa Inggeris.

Malah seingat saya, sememangnya sedari kecil lagi, ayah sangat-sangat menitik beratkan penjagaan mata kami adik-beradik. Kalau kami ‘ditangkap’ oleh ayah ketika sedang menonyoh mata, tentu akan dimarahinya habis-habisan. Ketika tahun 1995, waktu pertama kali ayah membeli komputer untuk keluarga, ayah pastikan pelindung cahaya skrin monitor dipasang. Ayah juga pasti menegur kalau menangkap kami menggunakan komputer dalam suasana kamar yang tidak cukup pengcahayaan. Begitu juga ayah menegah kami membaca dalam keadaan gelap.

Akhirnya ketika keputusan SPM keluar, saya mendapat A1 untuk semua mata pelajaran yang diperlukan untuk menjadi pilot – matematik, matematik tambahan, fizik, bahasa Inggeris. Gembiranya saya ketika itu bukan kepalang. Saya masih ingat juga, setelah mendapat keputusan itu, ayah membawa saya ke klinik mata di Petaling Jaya untuk membuat check up. Alasannya, untuk memastikan bahawa mata saya benar-benar cukup syarat bagi memohon sebagai juruterbang – jadi nanti apabila kemasukan sebagai juruterbang kadet dibuka, saya sudah boleh langsung memohon. Keputusan check-up itu juga amat menggembirakan, kerana doktor mengesahkan bahawa mata saya, kadar keterangannya adalah 6/6, alhamdulillah.

Tetapi sayang seribu kali sayang, saya ternyata memang tidak dilahirkan untuk menjadi pilot atas beberapa sebab. Pertama kerana ketinggian tidak mencukupi – hanya tiga sentimeter sahaja lagi! Tetapi hal itu sebenarnya tidak begitu menjadi hal besar, kerana kemudiannya seorang rakan ayah membantu, lantas saya diterima untuk ditemu duga. Tetapi ternyata saya kandas di peringkat pertama lagi, iaitu di peringkat ujian psychomotor (kurang lebih seperti ujian simulasi). Pada ketika itu kecewanya saya usah dikatakan! Kata-kata dari juruterbang waktu saya duduk dalam kokpit setahun dahulu terngiang-ngiang dalam fikiran: “Untuk menjadi pilot, minat sahaja tidak memadai. Seseorang itu harus dilahirkan untuk menjadi pilot, barulah dia akan dapat menjadi pilot yang baik.”

Tidak perlulah hendak diceritakan apa yang terjadi kemudiannya dengan panjang lebar, kerana seperti kata orang puteh, “the rest is history.” Saya sekarang sudah dalam jurusan undang-undang. Hmmh….

Semenjak itu juga, saya sudah tidak begitu cerewet lagi menjaga mata. Setelah sekian lama tidak dapat merasai bagaimana nikmatnya membaca dalam posisi berbaring, saya akhirnya dapat juga merasainya. Dan, ya, memang sungguh nikmat! Ya lah, sebelum ini, kalau hendak membaca sahaja, terpaksa mesti duduk – kalau tiga jam membaca, maka tiga jam lah sakit tulang belakang, lenguh pinggang, sengal-sengal sana-sini, akhirnya nikmat membaca pun jadi hilang. Tapi sekarang tidak lagi. Tidak perlu rigid sangat. Pembacaan menjadi lebih fleksibel. Terang, gelap, samar-samar, semuanya boleh, di mana-mana pun boleh.

Tapi kesannya pula? Kesannya tanpa disedari, ternyata semakin lama mata saya menjadi semakin kabur. Sedikit demi sedikit. Di dalam kelas waktu kuliah, kalau duduk di bahagian belakang, memang tak nampak langsung apa yang ditulis oleh pensyarah di papan putih di hadapan. Yang lebih teruk lagi kalau memandu di waktu malam, memang habis kabur semuanya.


Maka minggu lepas, saya pun pergi membuat cermin mata. Untuk pertama kalinya dalam 24 tahun hidup. Aneh rasanya! Aneh sekali. Tiba-tiba, kalau hendak memandang, saya perlu menggunakan alat bantuan penglihatan ini. Dan apabila melihat pula, ke mana-mana sahaja, akan ada bingkai cermin yang mengikut. Pandang ke kiri, ada bingkai, ke kanan pun ada bingkai juga. Haih! Rimas!

Tapi apa kan daya… saya perlu menerima kenyataan, bahawa mulai sekarang, sehinggalah ke tua nanti, saya perlu bergantung kepada alat ini. Saya sudah menjadi specky guy! Dan cita-cita yang ditanam sedari kecil sudah bercempera habis.

15 comments:

Tinta Ibn Awwal said...

hahaha..welcome to the club my friend!

sarah said...

cuba kanta lekap kalau tak selesa :)

Aidil Khalid said...

Abi,

Haha, thanks for the 'warm welcome'.


Sarah,

Saya tak beranilah nak pakai kanta lekap. Proses nak pakai tu macam mengerikan.

NoRE said...

wah,dah berkacamata.in my case,mata kanan dah teruk,mata kiri clear lagi.tak lama lagi aku pula menyusul.haha

saat omar said...

ye mmg best jadi pilot ni..gaji besar, org respek dan seronok pun satu...tapi tak pe, yang penting dah jadi penulis.

Lee pOw said...

memang guna kaca mata pada awalnya begitu =) tapi kadang2 bila nikmat ditarik, buat kita insaf..

Anonymous said...

jika aidil khalid bercita cita untuk jadi pilot dan akhirnya landing sebagai peguam ...saya pula bercita cita menjadi seorang lawyer yang akhir hipotesisnya menjadi biotechnologist ...tak pernah hayat saya terfikir meneruskan kesinambungan subject sains di universiti, tetapi beberapa perkara membuatkan saya menjadi one of da biotechnologist ..life is colorful ...

Wan Nor Azriq said...

Selamat tahun baru Aidil,

Terima kasih atas persahabatan yang awak telah berikan selama ini.Kita sememangnya mempunyai perbezaan pendapat dan prinsip.Tetapi dalam perbezaan itu kita saling belajar dan mengenali diri masing-masing.Semakin lama pena awak semakin tajam dan saya berharap tahun ini ia akan lagi tajam membuka minda dan imaginasi pembaca kita.

Seperti yang awak sudah sedia maklum,saya tidak akan melibatkan diri dalam akitiviti MPR.Apapun saya berharap awak akan tetap sukses.

Zaid Akhtar said...

Aidil,
selamat berkaca mata.
:-)

zulfazlan jumrah said...

Salam.

Ala, pakai spek atau tak pakai sama je. Biasalah penulis macam kita ni selalu mengadap lap top. kadang-kadang tak tentu masa sampai jauh malam. memang la mata rabun.

Aidil Khalid said...

Nore,

Aku pun sama jugak, mata kiri lagi teruk dari mata kanan. Mata kiri aku power 125, mata kanan 75 je. Tapi silau pulak yang tinggi.


Abg Saat,

Itulah pasal, jadi pilot memang best. Bukan sahaja gaji besar, tapi yang paling utama, "kerja pilot adalah kerja bercuti". hehe.


Lee Pow,

Yup, nikmat, biasanya hanya terasa manisnya saat sudah kehilangan.


Anonymous,

Indeed, life is colourful. Dan kitalah yang mencorakkann warnanya untuk menjadikannya cantik atau tidak.


Azriq,

Tak melibatkan diri dengan aktiviti persatuan, tak mengapa, yang penting kita terus menulis. Sebab kerja penulis bukanlah untuk menyibukkan diri dengan aktiviti berpesatuan, sebaliknya kerja penulis yang paling hakiki adalah untuk mengurung diri dan menulis!


Ustaz Zaid,

Wah, ustaz pun datang menjenguk ke sini. Terima kasih!


Zulfazlan Jumrah,

Itulah, kita penulis ni memang kena extra particular sikit dalam menjaga mata, sebab kerja menulis banyak menggunakan mata.

technology said...

glory25800
sickle25800
singer25800
skimp25800
proton25800

Anonymous said...

salam..ok ape pakai spek..
nampak educated sikit kn..
awak ni rajin kn menulis...
mesti awak pendiam punye org..hehehehe...

Aidil Khalid said...

Anonymous,

Yup, memang saya pendiam orangnya. Tapi bukanlah bermaksud semua orang yang minat menulis atau rajin menulis itu adalah orang-orang yang pendiam. Harap tak salah faham, ya.

Anonymous said...

saya sdg beruasa untuk mnjadi seorg pilot
saya anat minat
saya akan pastikan saya menjadi seorang juruterbang suatu hari nanti
tapi untuk jadi seorg juruterbang subjek fizik kena ada.
saya bukn aliran fizik.
bagaimana?

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP